PERKIM Sokong Usaha RISEAP Perluas Kerjasama Dakwah Pimpinan Pusat Wanita Islam Indonesia
𝘰𝘭𝘦𝘩: 𝘔𝘖𝘏𝘋. 𝘚𝘠𝘈𝘏𝘙𝘐𝘓 𝘙𝘖𝘚𝘋𝘐 𝘈𝘏𝘔𝘈𝘋 𝘡𝘈𝘏𝘜𝘋𝘐
𝗞𝗨𝗔𝗟𝗔 𝗟𝗨𝗠𝗣𝗨𝗥, 𝟮𝟰 𝗡𝗢𝗩𝗘𝗠𝗕𝗘𝗥 𝟮𝟬𝟮𝟲 – Jaringan kerjasama dakwah antara Malaysia dan Indonesia terus diperkukuh menerusi kunjungan hormat delegasi Persatuan Wanita Islam Indonesia ke Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP), sekali gus membuka ruang lebih luas kepada kerjasama strategik dalam pembangunan wanita, pemerkasaan institusi keluarga dan kebajikan masyarakat Islam di rantau ini.
Kunjungan yang berlangsung di Dewan Seminar, Tingkat 1, Bangunan PERKIM, di sini, hari ini, disertai seramai 88 ahli Pimpinan Pusat Wanita Islam Indonesia dari pelbagai wilayah dan daerah di Indonesia, diketuai 𝗞𝗲𝘁𝘂𝗮 𝗨𝗺𝘂𝗺 𝗣𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻𝗮𝗻 𝗣𝘂𝘀𝗮𝘁 𝗪𝗮𝗻𝗶𝘁𝗮 𝗜𝘀𝗹𝗮𝗺 𝗜𝗻𝗱𝗼𝗻𝗲𝘀𝗶𝗮, 𝗗𝗿. 𝗛𝗮𝗻𝗶𝗽 𝗣𝘂𝗷𝗶𝗮𝘁𝗶.
Ketibaan delegasi berkenaan disambut mesra oleh 𝗕𝗲𝗻𝗱𝗮𝗵𝗮𝗿𝗶 𝗞𝗲𝗵𝗼𝗿𝗺𝗮𝘁 𝗥𝗜𝗦𝗘𝗔𝗣, 𝗕𝗿𝗶𝗴𝗲𝗱𝗶𝗲𝗿 𝗝𝗲𝗻𝗲𝗿𝗮𝗹 𝗔𝗯𝗮𝗻𝗴 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗔𝗯𝗮𝗻𝗴 𝗠𝗮𝗿𝘇𝘂𝗸𝗶 bersama 𝗞𝗲𝘁𝘂𝗮 𝗣𝗲𝗴𝗮𝘄𝗮𝗶 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗥𝗜𝗦𝗘𝗔𝗣, 𝗡𝗼𝗿𝗮𝗶𝗻𝗶𝗱𝗮𝗵 𝗝𝗮𝘆𝘂𝘀 serta barisan pimpinan organisasi berkenaan.
Turut hadir mewakili PERKIM Kebangsaan ialah Pengarah Pentadbiran, Dr. Suariza @ Hidayah Muhammad; Eksekutif Pentadbiran, Ahmad Hasaidi Said; Eksekutif Dakwah, Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah; Eksekutif Dakwah 1, Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah; Eksekutif Dakwah 2, Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan; Eksekutif Dakwah 3, Nur Syahirah Musa; Eksekutif Kewangan, Mohd Aizat Rosli; Timbalan Eksekutif Kewangan, Rahman Ismail serta wakil dari Wanita PERKIM Kebangsaan, Siti Masliana Mohd Ariffin.

Dalam ucapan alu-aluannya, 𝗕𝗲𝗻𝗱𝗮𝗵𝗮𝗿𝗶 𝗞𝗲𝗵𝗼𝗿𝗺𝗮𝘁 𝗥𝗜𝗦𝗘𝗔𝗣, 𝗕𝗿𝗶𝗴𝗲𝗱𝗶𝗲𝗿 𝗝𝗲𝗻𝗲𝗿𝗮𝗹 𝗔𝗯𝗮𝗻𝗴 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗔𝗯𝗮𝗻𝗴 𝗠𝗮𝗿𝘇𝘂𝗸𝗶 menegaskan bahawa peranan wanita Islam dalam membangunkan masyarakat tidak boleh dipandang ringan kerana kekuatan sesebuah keluarga dan kemajuan sesebuah negara turut bergantung kepada pembentukan wanita yang berilmu, berakhlak serta mempunyai keupayaan memimpin.
Menurut beliau, penglibatan wanita dalam pembangunan ummah merangkumi pelbagai bidang, termasuk pendidikan, pembentukan akhlak dan kasih sayang dalam keluarga, kesihatan, kesejahteraan sosial serta pembangunan kepimpinan wanita.
Katanya, usaha membina keluarga yang sejahtera perlu bermula dengan pendidikan dan pembentukan akhlak sejak peringkat awal, selain memastikan wanita mempunyai pengetahuan, keyakinan dan keupayaan untuk menyumbang dalam pelbagai lapangan kehidupan.
Abang Mohamad turut menekankan bahawa wanita Islam masa kini bukan sekadar berperanan dalam lingkungan keluarga, malah berupaya menjadi pendidik, usahawan, pemimpin dan penggerak kebajikan masyarakat tanpa mengabaikan tuntutan agama serta nilai kesopanan dan penjagaan aurat.
“Wanita yang berilmu, wanita yang berniaga, wanita yang memimpin dan wanita yang menjadi contoh kepada masyarakat merupakan antara kekuatan penting dalam membangunkan ummah.
“Apabila wanita itu baik, kuat dan mempunyai ilmu, maka baiklah keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.
Beliau turut menyifatkan setiap usaha wanita dalam mendidik anak-anak, membimbing keluarga, membantu golongan memerlukan serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat sebagai sumbangan besar yang mempunyai nilai kebajikan dan ganjaran di sisi Allah SWT.

Sementara itu, 𝗞𝗲𝘁𝘂𝗮 𝗨𝗺𝘂𝗺 𝗣𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻𝗮𝗻 𝗣𝘂𝘀𝗮𝘁 𝗪𝗮𝗻𝗶𝘁𝗮 𝗜𝘀𝗹𝗮𝗺 𝗜𝗻𝗱𝗼𝗻𝗲𝘀𝗶𝗮, 𝗗𝗿. 𝗛𝗮𝗻𝗶𝗽 𝗣𝘂𝗷𝗶𝗮𝘁𝗶 dalam ucapannya berkata, Pimpinan Pusat Wanita Islam Indonesia yang ditubuhkan pada 1962 kini mempunyai jaringan organisasi di 30 provinsi, dengan keanggotaan kira-kira 2.5 juta orang dari seluruh Indonesia.
Katanya, persatuan berkenaan menghimpunkan anggota merentasi generasi, daripada golongan muda hingga wanita berusia lebih 70 tahun, sekali gus mencerminkan keterbukaan organisasi itu dalam menggerakkan penyertaan wanita tanpa dibatasi faktor usia.
Beliau menjelaskan, terdapat tiga keutamaan utama yang terus menjadi teras perjuangan persatuan tersebut, iaitu memperkukuh ketahanan keluarga, membangunkan kemandirian ekonomi wanita dan menyumbang kepada kejayaan ummah.
Menurutnya, ketahanan keluarga menjadi keutamaan kerana institusi berkenaan merupakan asas penting dalam melahirkan generasi Islam yang mempunyai pendidikan, pegangan agama dan sahsiah terpuji.
Pada masa sama, kemandirian ekonomi wanita turut diberikan perhatian kerana kesejahteraan sesebuah keluarga mempunyai hubungan rapat dengan kemampuan ekonomi serta kestabilan kehidupan anggotanya.
Dr. Hanip turut menyatakan kesediaan Pimpinan Pusat Wanita Islam Indonesia untuk memperluas kerjasama dengan RISEAP, termasuk menggerakkan sumber tenaga manusia, pendakwah, ustazah dan tenaga pengajar bagi menyokong program pembangunan masyarakat Islam, khususnya di negara-negara yang mempunyai komuniti Muslim minoriti.
Beliau berharap hubungan silaturahim yang terjalin menerusi kunjungan tersebut dapat diterjemahkan kepada program bersama yang lebih tersusun dan berterusan pada masa hadapan.
Sesi dialog dan soal jawab yang berlangsung selepas itu turut membuka ruang perbincangan lebih mendalam mengenai peranan RISEAP sebagai platform kerjasama dakwah serantau yang menghimpunkan pertubuhan Islam dari pelbagai negara Asia dan Pasifik.
Menjawab pertanyaan delegasi mengenai keanggotaan RISEAP, Abang Mohamad menjelaskan bahawa organisasi berkenaan mempunyai 23 negara anggota serta dua negara anggota bersekutu, menjadikan keseluruhan keanggotaannya sebanyak 25 negara.
Jaringan tersebut merangkumi negara-negara di Asia Timur, Asia Tenggara, Asia Selatan dan Pasifik, termasuk Jepun, Korea, Taiwan, Hong Kong, Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand, Filipina, Australia, New Zealand, Fiji dan beberapa negara lain.
Beliau menjelaskan bahawa antara tanggungjawab utama RISEAP ialah membantu memperkukuh kedudukan masyarakat Islam di negara-negara minoriti Muslim melalui sokongan terhadap pembangunan institusi keagamaan, penyediaan kemudahan ibadah, pendidikan serta pengukuhan jaringan dakwah.
Antara bidang yang turut diberikan perhatian ialah pembangunan sistem pensijilan halal bagi memudahkan umat Islam mendapatkan makanan dan minuman yang diyakini halal ketika berada di negara-negara berkenaan.
Menurut beliau, usaha tersebut bukan sekadar melibatkan aspek penyembelihan, sebaliknya merangkumi keseluruhan proses pengeluaran, penyediaan, kebersihan dan pematuhan bahan yang digunakan dalam sesuatu produk.
Beliau turut menyatakan bahawa RISEAP terbuka untuk bekerjasama dengan Pimpinan Pusat Wanita Islam Indonesia dalam pelaksanaan program dakwah dan kebajikan, termasuk di wilayah yang mempunyai komuniti Muslim minoriti, dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat setempat serta keperluan mengekalkan keharmonian antara agama.

Dalam sesi yang sama, 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗮𝗿𝗮𝗵 𝗣𝗲𝗻𝘁𝗮𝗱𝗯𝗶𝗿𝗮𝗻 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗗𝗿. 𝗦𝘂𝗮𝗿𝗶𝘇𝗮 @ 𝗛𝗶𝗱𝗮𝘆𝗮𝗵 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 turut memberikan penerangan mengenai sejarah penubuhan dan peranan PERKIM sebagai pertubuhan kebajikan Islam yang diasaskan oleh Perdana Menteri pertama Malaysia, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Menurutnya, penubuhan PERKIM mempunyai hubungan rapat dengan usaha memperluas dakwah Islam di Malaysia, khususnya dalam memberikan bimbingan kepada golongan mualaf dan masyarakat bukan Islam.
Suariza menjelaskan bahawa PERKIM telah ditubuhkan tiga tahun lebih awal berbanding RISEAP. Hubungan antara kedua-dua pertubuhan ini amat erat, ibarat adik-beradik yang saling melengkapi dalam memperjuangkan agenda dakwah Islam di peringkat serantau dan antarabangsa.
Malah, hubungan strategik tersebut terus diperkukuh apabila PERKIM dan RISEAP kini berkongsi barisan kepimpinan tertinggi yang sama, iaitu YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg selaku Yang Dipertua atau Presiden serta YBhg. Dato’ Dr. Haji Mohamad Marzuki Mohamad Omar selaku Setiausaha Agung Kehormat.
Katanya, PERKIM yang bergerak berlandaskan lima tujuan utama penubuhannya, termasuk dakwah, pendidikan, kebajikan, kerjasama dan lain-lain terus melaksanakan pelbagai program bagi membantu masyarakat memahami Islam serta menyediakan bimbingan kepada saudara baharu.
Beliau turut mengalu-alukan peluang kerjasama dengan Pimpinan Pusat Wanita Islam Indonesia, khususnya dalam bidang pendidikan Islam, pembangunan mualaf dan program kebajikan yang boleh dilaksanakan secara bersama.
Perbincangan turut menyentuh pengalaman Pimpinan Pusat Wanita Islam Indonesia dalam menguruskan kebajikan mualaf di wilayah yang mempunyai masyarakat Islam minoriti, termasuk penyediaan rumah al-Quran, kelas bimbingan agama dan bantuan kepada saudara baharu yang berhadapan cabaran keluarga serta kehidupan selepas memeluk Islam.
Menariknya, Abang Mohamad turut berkongsi bahawa RISEAP mempunyai pendekatan tersendiri dalam membangunkan kepimpinan generasi muda melalui program latihan secara bersemuka yang lazimnya berlangsung antara lima hingga tujuh hari.
Program tersebut memberi penekanan kepada pembentukan jati diri, kesedaran tanggungjawab, kemahiran kepimpinan dan kefahaman mengenai peranan seorang pemimpin Islam dalam masyarakat.
Beliau menegaskan bahawa kepimpinan bukan hanya terhad kepada kedudukan dalam organisasi atau pentadbiran negara, sebaliknya bermula daripada tanggungjawab paling asas, iaitu memimpin diri sendiri dan keluarga.
Dalam konteks itu, beliau menyifatkan Rasulullah SAW sebagai contoh kepimpinan paling sempurna untuk dijadikan teladan oleh umat Islam dalam membina kepimpinan yang berintegriti, berakhlak dan bertanggungjawab.
Turut mengambil bahagian dalam sesi perkongsian ialah Dr. Fatin Nur Majdina Nordin selaku Naib Presiden Hal Ehwal Wanita Angkatan Belia Islam Malaysia (HELWA ABIM), yang memperkenalkan peranan organisasi itu dalam pembangunan wanita, keluarga dan kesejahteraan sosial menerusi pelbagai inisiatif pendidikan, perlindungan serta khidmat kaunseling masyarakat.
Perkongsian berkenaan turut memperlihatkan potensi kerjasama antara pertubuhan Islam di rantau ini dalam memperkukuh jaringan pembangunan wanita, termasuk usaha menangani isu keluarga, kesihatan mental, perlindungan wanita dan pembangunan generasi muda.
Kunjungan hormat tersebut mencerminkan komitmen bersama RISEAP, PERKIM dan Pimpinan Pusat Wanita Islam Indonesia untuk terus memperluas ruang persefahaman serta memperkukuh kerjasama dakwah merentas sempadan.
Di akhir kunjungan hormat tersebut, Abang Mohamad menyampaikan plak penghargaan RISEAP kepada Dr. Hanip manakala Dr. Hanip juga menyampaikan plak penghargaan balas kepada Abang Mohamad diiringi Norainida dan Dr. Suariza.
Majlis berakhir dengan sesi fotografi dan jamuan makan tengah hari.

Bendahari RISEAP, Abang Mohamad menyambut mesra serta mengalu-alukan kehadiran 88 Pimpinan Pusat Wanita Islam Indonesia ke Kuala Lumpur.

Abang Mohamad berkata, penglibatan wanita dalam pembangunan ummah merangkumi pelbagai bidang, termasuk pendidikan, pembentukan akhlak dan kasih sayang dalam keluarga.

Menurut Abang Mohamad, beliau menekankan bahawa wanita Islam masa kini bukan sekadar berperanan dalam lingkungan keluarga, malah berupaya menjadi pendidik, usahawan dan pemimpin.

Dr. Hanip menjelaskan, terdapat tiga keutamaan utama yang terus menjadi teras perjuangan iaitu memperkukuh ketahanan keluarga, membangunkan ekonomi dan menyumbang kepada kejayaan ummah.

Dr. Hanip turut menyatakan kesediaan Pimpinan Pusat Wanita Islam Indonesia untuk memperluas kerjasama dengan RISEAP, termasuk menggerakkan sumber tenaga manusia dan pendakwah.

Antara eksekutif-eksekutif PERKIM yang hadir memberi sokongan.

Salah seorang Pimpinan Pusat Wanita Islam Indonesia mengajukan soalan.

Abang Mohamad menjawab segala pertanyaan daripada Pimpinan Pusat Wanita Islam Indonesia.

Pimpinan Pusat Wanita Islam Indonesia yang hadir dari pelbagai provinsi dari seluruh Indonesia.

Dr. Suariza menjelaskan bahawa PERKIM telah ditubuhkan tiga tahun lebih awal berbanding RISEAP dan hubungan antara kedua-dua pertubuhan ini amat erat, ibarat adik-beradik.

Beberapa soalan diajukan oleh Pimpinan Pusat Wanita Islam Indonesia kepada pimpinan RISEAP.

Pimpinan Pusat Wanita Islam Indonesia mendengar maklumat disampaikan.

Abang Mohamad turut berkongsi bahawa RISEAP mempunyai pendekatan tersendiri dalam membangunkan kepimpinan generasi muda.

Dr. Fatin Nur Majdina Nordin selaku Naib Presiden HELWA ABIM turut berkongsi potensi kerjasama antara pertubuhan Islam di rantau ini dalam memperkukuh jaringan pembangunan wanita, termasuk usaha menangani isu keluarga dan lain-lain.

Abang Mohamad menyampaikan plak cenderamata RISEAP sebagai simbol penghargaan kepada Dr. Hanip.

Dr. Hanip turut menyampaikan plak cenderamata balas kepada Abang Mohamad.

Amin Soleh memimpin bacaan doa penutup.

Pimpinan Pusat Wanita Islam Indonesia menadah tangan sambil mengaminkan doa.

Pimpinan Pusat Wanita Islam Indonesia bergambar kenang-kenangan bersama kepimpinan RISEAP dan PERKIM di akhir kunjungan.

Eksekutif PERKIM dan RISEAP berkesempatan bergambar bersama-sama tetamu kehormat.



