Aktiviti Dakwah

Kenyataan Media PERKIM


KENYATAAN MEDIA

Perjuangan menentang kekejaman rejim Israel perlu dilakukan secara teratur dan strategik

Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) menyelar tindakan negara Barat dan Amerika Syarikat (AS) yang berterusan mencipta naratif yang menyesatkan dengan menyatakan bahawa serangan yang dilakukan ke atas Israel dianggap sebagai serangan pengganas terhadap demokrasi dan orang yang mencintai keamanan.

Selama tujuh dekad, Israel sudah melakukan jenayah perang, pembunuhan beramairamai, genosida dan kekejaman yang tidak dapat dibayangkan terhadap rakyat Palestin.

Kekejaman yang berlaku terhadap rakyat Palestin bukanlah isu yang baharu, malahan ianya telah berterusan sehingga ke hari ini. Angka rakyat Palestin yang terkorban semakin meningkat hari demi hari termasuklah kanak-kanak, wanita, warga emas dan ribuan lagi yang cedera.

Sempena Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan (EXCO) PERKIM yang bersidang pada Jumaat, 13 Oktober, 2023, YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Yang Dipertua PERKIM menyifatkan tindakan Hamas ialah langkah yang dijangka dilakukan oleh mana-mana orang yang telah lama dijajah, dibunuh dan dihina tanpa rasa bersalah atau sebarang kekesalan.

“Tindakan Hamas ialah langkah orang yang sudah tenggelam punca, hilang harapan untuk mendapatkan keadilan daripada negara besar yang mendabik dada sebagai pejuang keadilan dan kemanusiaan”, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Yang Dipertua PERKIM.

PERKIM mengutuk sekeras-kerasnya tindakan media Barat dan Amerika Syarikat yang berterusan mencipta naratif membela Israel dengan menyifatkan kekejaman tanpa menghiraukan undang-undang antarabangsa yang dilakukan terhadap warga Palestin itu sebagai tindak balas kepada pengganas.

Hakikatnya, serangan terhadap warga Palestin itu merupakan balasan kepada orang yang berjuang atas kebebasan dan hak mereka yang dirampas dengan paksaan.

Oleh yang demikian, negara-negara Islam perlu bersatu padu dalam usaha mencari penyelesaian yang adil dan saksama bagi orang Palestin supaya perjuangan mereka itu tidak sia-sia.

Perjuangan menentang kekejaman rejim Israel perlu dilakukan secara teratur dan strategik supaya permusuhan dan peperangan yang berterusan sejak berketurunan sejak sekian lama berjaya ditamatkan.

“Islam Itu Persaudaraan”

Related Articles

Back to top button