Ziarah Kasih Saudara Muslim Kampung Sepulut dan Nantayap, Sabah

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.”(an-Nahl: 125)
Bagi memacu kekukuhan gerakan dakwah kepada masyarakat supaya ia berterusan dan berkesan, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) menganjurkan ‘Program Ziarah Kasih Saudara Muslim’ bertempat di Kampung Padang Sepulut dan Kampung Nantayap, Mukim Nabawan, Sabah pada 14 hingga 16 Mac 2014 lalu.
Program itu disertai seramai 30 orang yang terdiri daripada ahli Perkim Cawangan Bukit Damansara, Perkim Cawangan Kuala Muda, kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS), mahasiswa Universiti Selangor (Unisel) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP).
Bendahari Kehormat Perkim, Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim berkata, perjalanan yang jaraknya 242 kilometer daripada Kota Kinabalu dibawa dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk tiba di kampung tersebut dengan mengharungi beberapa jalan sempit, berbukit bukau, simpang siur, jalan tidak berturap, tidak bertar dan tanah merah.
Jelas beliau, perjalanan yang memakan masa selama empat jam dari Kota Kinabalu itu melalui beberapa tempat iaitu Kinarut, Papar, Kampung Langkawit, Kampung Kelatuan, Banjaran Crocker, Kimanis, Keningau, Sook, Kampung Bahagia, Nabawan, Kampung Tetagas, sebelum tiba di Kampung Padang Sepulut yang mempunyai keluasan 50,930 hektar.
Peserta menggunakan jambatan gantung untuk menyeberangi ke kampung tersebut melalui pertemuan dua batang sungai iaitu Sungai Penawan dan Sungai Telangkai.
Dr. Muhammad Rais turut berasa terharu apabila melihat kegigihan penduduk kampung yang membantu dalam pembinaan masjid walaupun majoriti masih belum Islam pada ketika itu menerusi tayangan video bertajuk ‘Kisah Masjid Syahadah Sepulut’ yang dipaparkan.
“Saya juga ingin berkongsi semangat dan usaha seperti mana yang dijalankan oleh penduduk kampung dalam membantu menyiapkan prasarana seperti masjid, asrama, sekolah agama dan lain-lain lagi sebagai keperluan utama dalam mempelajari serta mendalami agama Islam,” jelas beliau.
“Kampung tersebut merakamkan kenangan manis dan menarik saya untuk datang sekali lagi bagi melihat pemandangan kawasan kampung yang cantik dan dihiasi masjid tersergam indah, kesantunan budi pekerti penduduk kampung dan tradisi makanan kampung yang lazat,” kata Dr Muhammad Rais yang pernah diberi peluang untuk mengislamkan salah seorang penduduk kampung.
Dr. Muhammad Rais turut mendoakan supaya sumbangan dan tenaga yang diberikan oleh penderma dalam pembinaan masjid mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT. Islam itu bermula dari bawah dan ini merupakan antara bukti yang menunjukkan cara Islam yang sebenar dan bila kita yang memulakannya, pastinya ada yang mengikuti langkah yang baik ini.
Majlis diserikan lagi dengan penyampaian sumbangan Perkim sebanyak RM5000 untuk Saudara Muslim, pembinaan Masjid Syahadatul Muttaqin di Pensiangan dan pembinaan sekolah yang disampaikan oleh Dr. Muhammad Rais kepada Pendakwah Pedalaman Sabah, Mohd. Fadli Yusof.
Pada masa yang sama, Dr. Muhammad Rais turut mengagihkan sumbangan RM500 kepada kanak-kanak Saudara Muslim di kampung tersebut.
Rombongan meneruskan ziarah mereka ke Kampung Nantayap, Nabawan bagi menziarahi Saudara Muslim yang ditimpa musibah apabila rumah mereka hangus terbakar dijilat api.
Atas keprihatinan daripada masyarakat kampung dan sumbangan orang ramai, rumah panjang yang terbakar tersebut hampir 80 peratus telah siap dibina.
Daimet Angisou turut menerima sumbangan Perkim sebanyak RM5,000 daripada Dr. Muhammad Rais mewakili penduduk Kampung Nantayap.
Sebahagian daripada hasil sumbangan pembinaan semula rumah terbakar itu, Daimet membeli batu-bata, pasir dan batu kelikir untuk mendirikan masjid di kampungnya sendiri setelah melihat terbinanya Masjid As-Syahadah di Kampung Padang Sepulut.

Setiap dari kita patut menarik golongan bukan Islam kepada Islam. InsyaAllah, kampung ini akan dipenuhi dengan orang-orang Islam pada suatu hari dan gerakan dakwah perlu diteruskan.

“Berkat usaha dakwah, saya ke sana untuk menjadikan kawasan pedalaman sebagai asas atau tapak untuk membangunkan Islam,” ujarnya.
Kata Mohd. Fadli, sewaktu beliau berdoa dan bermunajat di hadapan kaabah ketika menunaikan ibadah umrah pada Jun 2011 lalu, beliau mendapat keistimewaan mencium batu Hajarul Aswad lantas bermohon kepada Allah SWT supaya dapat menyambung perjuangan Rasulullah pada masa hadapan.
Berlakunya suatu peristiwa apabila beliau berdiri di tepi multazam iaitu kawasan di antara hadapan pintu kaabah dan Hajarul Aswad, telinga beliau mula berdengung dan terdapat suara berulang-ulang kali memberitahu kepada beliau empat mesej iaitu “pergi Sabah, pergi Pensiangan, ramai orang tunggu kamu dan ramai yang akan masuk Islam” .
Akibat tidak dapat menahan sakit dengungan di telinga, beliau terus berkata, “Ya Allah, aku akan pergi,” secara tiba-tiba bunyi dan dengungan di telinga hilang serta-merta. Beliau turut melihat gambaran Kampung Padang Sepulut dan pertembungan dua sungai ketika di hadapan kaabah.
Setibanya di Kuala Lumpur, Mohd. Fadli mencari jalan untuk ke kampung tersebut sehingga beliau berjaya menemui tempat tersebut seperti mana yang beliau telah melihat di hadapan kaabah.
Setelah berdakwah dari bulan Jun hingga Oktober di kampung tersebut, akhirnya tiga orang ingin memeluk Islam pada November 2011. Inilah kekuasaan Allah SWT di mana sehingga Mac 2014, seramai 312 orang telah memeluk Islam.
Setelah Islam hadir di kampung tersebut, pelbagai perubahan yang berlaku seperti ikan bertambah di dalam sungai, rusa, hasil hutan, peluang pekerjaan dan sebagainya serta pembinaan masjid, asrama dan sekolah agama mudah dibina,” jelasnya.
Sebelum masjid didirikan, beliau dan penduduk kampung melaksanakan ibadah solat di sebuah dewan mini di kampung tersebut dan Allah SWT telah gerakkan hati penduduk kampung dan orang luar datang membantu dalam pembinaan masjid.
Pada 13 Mei 2012, penduduk kampung bergotong-royong membersihkan kawasan tanah yang telah diwakafkan oleh Juliah Lindas.
Dengan keimanan yang terbentuk, penduduk kampung yang bergelar mualaf membina masjid sehingga ianya siap dibina serta ada penderma yang menyumbang alatan masjid, karpet dan set alat pembesar suara.
Pada hari pembinaan masjid, seramai sebelas orang yang telah memeluk Islam kerana mereka tertarik dengan akhlak dan sikap bekerjasama serta bergotong-royong yang dilakukan oleh penduduk kampung dalam pembinaan masjid.
Sehingga ada seorang yang beragama Kristian Katolik yang baru pulang dari gereja melihat kami membina masjid, beliau terus berminat memeluk Islam setelah diterangkan kepadanya tentang Islam.
Terdapat juga dua orang penduduk di sini yang memeluk Islam kerana mengetahui masjid akan dibina. Begitu juga apabila seorang kanak-kanak yang membantu membina masjid, setelah pulang ke rumah, mereka menyuruh ibu bapa mereka memeluk Islam.
Tiga orang daripada penduduk kampung memeluk Islam sehari sebelum masjid tersebut digunakan iaitu Robert Singgah atau nama Islamnya Abdul Aziz, Pinili atau Azizah dan Andatung atau Khadijah.
Masjid tersebut diberi nama Masjid As-Syahadah kerana berlakunya ibadah pengislaman oleh salah seorang penduduk kampung, Rimin Ansalin pada 9 Februari 2013 sebelum azan pertama berkumandang di masjid yang baru siap dibina itu. Rimin adalah antara penduduk yang menjaga persekitaran masjid sebelum masjid siap dibina meskipun pada ketika itu beliau belum memeluk Islam.
Penduduk di sini menggunakan kepakaran masing-masing untuk membantu dengan dibayar upah berdasarkan kemahiran mereka.
Masjid ini juga digunakan untuk anak-anak penduduk belajar mengaji, solat, melakukan ulang kaji dan kerja sekolah.
“Bagi membantu dan menambah ekonomi penduduk kampung, telah diadakan projek semaian orkid dan projek penanaman kelapa sawit. Bengkel servis kereta pacuan empat roda dan kedai pasar mini pula masih dalam perancangan,” jelasnya.
Pada 11 Februari 2014 lalu, seramai sebelas penduduk Kampung Pensiangan telah memeluk Islam kerana melihat kerjasama dan ukhwah ketika aktiviti mengutip batu sungai bagi pembinaan Masjid Syahadatul Muttaqin dijalankan membuatkan mereka tertarik sekali gus mengucap dua kalimah syahadah.
Mohd. Fadli turut mendoakan supaya pesawat, penumpang dan anak kapal MH370 berada di dalam keadaan selamat serta ditemui dengan segera.
Mereka yang ingin turut serta untuk menambah saham akhirat boleh turut serta menyalurkan ke akaun wakaf Maybank Pusat Pembangunan As Sabah bernombor 564427506145.
Turut hadir ialah Pegawai Tugas-tugas Khas Pejabat Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Ustaz Wan Abdul Hamid Wan Teh dan Pengerusi Perkim Cawangan Kuala Muda, Hj. Abdul Hamid Abdul Kadir.
Rombongan ziarah dalam perjalanan ke Kampung Padang Sepulut.
Rombongan tiba di Kampung Padang Sepulut, Nabawan, Sabah.
Dr. Muhammad Rais (kiri) bersama rombongan menyeberangi sungai menggunakan jambatan gantung untuk tiba ke Kampung Padang Sepulut.
Rombongan merentasi Sungai Penawan dan Sungai Telangkai untuk tiba di Kampung Padang Sepulut.
Dr Muhammad Rais menyampaikan sumbangan kepada penduduk kampung.
Rombongan ziarah beramah mesra bersama penduduk kampung.
Ustaz Mohd. Fadli (kanan) menyampaikan ceramah multimedia bertajuk Kisah Masjid kepada penduduk kampung dan rombongan ziarah.
Penduduk Kampung Padang Sepulut.
Penduduk kampung bersama-sama mendengar sesi ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Mohd. Fadli.
Penduduk kampung mendengar ‘Kisah Masjid’ yang disampaikan oleh Ustaz Mohd. Fadli.
Wajah-wajah Muslimah Kampung Padang Sepulut.
Rombongan ziarah yang turut serta mendengar Kisah Masjid yang disampaikan.
Tun Zaki (berbaju biru kiri) menyampaikan ucapan kepada penduduk kampung.
Dr. Muhammad Rais turut menyampaikan ucapan dan amanat kepada penduduk kampung.
Solat fardu berjemaah antara penduduk kampung dan rombongan ziarah.
Dr. Muhammad Rais bersalam-salaman bersama penduduk kampung setelah selesai menunaikan solat fardu.
Dr. Muhammad Rais (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Ustaz Mohd. Fadli untuk Saudara Muslim, pembinaan masjid dan sekolah agama.
Rombongan ziarah menikmati jamuan yang dihidangkan oleh penduduk kampung.
Rombongan ziarah bergambar bersama penduduk Kampung Padang Sepulut.
Rombongan ziarah bergambar di hadapan Masjid As-Syahadah, Kampung Padang Sepulut.
(Dari kiri) Tun Zaki, Dr. Muhammad Rais dan Abdul Hamid menziarahi penduduk Kampung Nantayap, Daimet yang mengalami kebakaran rumahnya.
Kampung Nantayap yang telah dibina semula.
Dr. Muhammad Rais (tengah) menyampaikan sumbangan pembinaan semula rumah terbakar dan pembinaan masjid kepada Daimet (kanan).
LAGI GAMBAR DI >>> FACEBOOK PERKIM KEBANGSAAN
[mappress mapid=”13″]