Wanita PERKIM, UKM Termeterai MoA Pelan Pembangunan Wanita Mualaf Malaysia
oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
“Kehidupan seorang wanita yang baru melafazkan dua kalimah syahadah perlu diberi perhatian khusus memandangkan terdapat di antara mereka mempunyai masalah-masalah seperti perdagangan hubungan wanita, ditinggalkan suami, bergantung tidak bertali, murtad, penagihan dadah serta terjerat masalah-masalah ekonomi,” titah Ketua Wanita PERKIM, YTM Tunku Puan Sri Dato’ Hajjah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Tunku Noor Hayati berkenan menyampaikan titahnya ketika di Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) ‘Pelan Pembangunan Wanita Mualaf Di Malaysia’ Antara Univeriti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Wanita PERKIM Kebangsaan bertempat di Fakulti Pengajian Islam, UKM, Bangi, Selangor pada 13 Mac 2020 lalu.
Turut hadir ialah Naib Yang Dipertua PERKIM merangkap Pengerusi PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, Dato’ Mohd. Nakhaie Ahmad; Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof Dr Wan Kamal Mujani; Ahli Majlis Kebangsaan Wanita PERKIM, Datin Mawanchik Che Jais, Prof Madya Dr Nur’azah Dato’ Abdul Manaf; Pengarah Institut Dakwah Antarbangsa PERKIM (IDIP-KL), Dr Suariza Hidayah Muhammad; Pengerusi Pusat Kajian Dakwah dan Kepimpinan, Dr Rosmawati Mohamad Rasit; Penyelidik Fakulti Pengajian Islam, Prof Dato’ Dr Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim, Prof Dr Zainab, Prof Madya Salasiah Hamdan, Prof Dr Zuliza, Dr Madya Idawati Yaakob, Dr Adawiyah Ismail dan Dr Nur Athiroh Masyail Tan Ai Po.
Tunku Noor Hayati turut merafa’kan kesyukuran kepada Allah SWT kerana dapat berkumpul bersama-sama menjalinkan kerjasama serta kolaborasi antara UKM dan Wanita PERKIM.
“PERKIM diasaskan oleh ayahanda saya, AlMarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 1960 dan dalam gerakan PERKIM beberapa tahun, AlMarhum cakna serta prihatin dengan permasalahan yang dihadapi oleh wanita mualaf,” jelasnya.
“Wanita PERKIM kemudiannya ditubuhkan pada tahun 1980 bagi mendalami permasalahan wanita mualaf dan menjaga perhubungan dengan keluarga asal mereka,” titah Tunku Noor Hayati selaku Tengku Puan Temenggong Kelantan.
Ujar beliau, dalam 40 tahun perjalanan banyak masalah yang dilihat oleh pendakwah-pendakwah wanita PERKIM di seluruh negara. Kini tiba masanya kita mengambil inisiatif untuk merekodkan dan mengambil data secara peribadi mereka yang menghadapi pelbagai masalah yang berlainan disebabkan oleh faktor sosio ekonomi serta budaya setempat.
Menurut Tunku Noor Hayati, Wanita PERKIM juga berhasrat untuk mewujudkan one-stop centre sebagai pusat transit bagi membantu wanita mualaf dan melalui kerja penyelidikan UKM, hasrat Pelan Pembangunan Wanita Mualaf ini adalah sangat diharapkan agar dapat dilihat serta dilaksanakan dengan lebih strategik dan teratur sekali gus dapat merujuk terhadap pendirian blue-print.
Selain itu, faedah yang boleh didapati ialah ia dapat membina perkongsian pintar dan keterlibatan strategik bersama Wanita PERKIM sebagai pemegang kepentingan dalam menyumbang komitmen kewangan bagi kelangsungan penyelidikan di UKM.
Ia juga dapat membina kepakaran dan hasil penyelidikan dalam kalangan penyelidik UKM bagi menyumbang wanita mualaf di Malaysia.
Ia akan memberi nilai tambah dan membangunkan staf akademik yang berkemahiran dan proaktif dalam usaha penyelidikan dan kerjasama dengan institusi agama untuk pengembangan dakwah semasa.
Ulas beliau lagi, bersesuaian dengan matlamat dalam meramaikan lagi saudara-saudara seIslam, ia seharusnya dimulakan dengan menangani serta mempelajari kehidupan masyarakat mualaf serta memberi pencerahan kepada mereka dalam kes-kes murtad atau kehidupan yang menyalahi akidah Islam.
Tunku Noor Hayati berharap, ia menjadi satu daftar intelek di mana penggunaan data ini secara tulisan akan mewujudkan pelbagai komitmen, teori dan fakta baru serta seterusnya memperkembangkan kajian selanjutnya.
Data-data yang direkodkan ini akan dimajukan kepada jabatan berkaitan seperti Majlis Agama Negeri-Negeri, Jabatan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (JPWKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), agama, syariah dan juga jabatan-jabatan yang lain untuk tindakan selanjutnya.
“Saya sekali lagi terharu dan mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak UKM yang bersetuju untuk membantu dan menyokong visi dan misi Wanita PERKIM,” katanya.
“Alhamdulillah saya percaya UKM sebagai satu Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang tersohor di Malaysia dapat memberikan sumber yang sahih dan impak yang lebih tinggi sehingga mencapai hasrat dan tujuan Pelan Pembangunan Wanita Mualaf secara strategik,” jelas beliau.
Saya berasa bangga dengan UKM kerana saya juga merupakan alumni UKM yang mengambil jurusan undang-undang pada suatu ketika dahulu.
Tunku Noor Hayati merakamkan ucapan terima kasih sekali lagi kepada rakan para pendidik UKM kerana telah banyak membantu untuk merealisasikan hasrat beliau dalam membantu wanita mualaf.
Sebelum itu, Timbalan Naib Canselor Pendidikan dan Inovasi UKM, Prof Dato’ Ir Dr Abdul Wahab Mohammad menyampaikan ucapan aluan.
Dr Abdul Wahab dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Wanita PERKIM Kebangsaan serta Pusat Kajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam UKM yang telah bekerjasama sebagai rakan strategik bagi membina satu Pelan Pembangunan Wanita Mualaf Malaysia.
Katanya, dahulu apabila seseorang bukan Islam memeluk agama Islam maka dia akan dipanggil masuk Melayu. Kini, walaupun sudah 62 tahun mencapai kemerdekaan, seorang mualaf masih dianggap masuk Melayu.
Jelas beliau, sebagai wanita mualaf mereka terpaksa menghadapi pelbagai bentuk cabaran yang pastinya mengakibatkan mereka mendapat pelbagai tekanan sehingga menggugat kepercayaan mereka kepada Allah SWT dan banyak kes yang kita dengar mereka kembali kepada agama asal atau murtad.
“Segalanya berlaku disebabkan mereka ditinggalkan suami, bercerai, hilang tempat bergantung, tiada tempat tinggal, tiada sumber kewangan, mengalami masalah penjagaan anak selepas bercerai, tiada sijil pendaftaran nikah dan macam-macam lagi,” ujar Dr Abdul Wahab.
Pada tahun 2009, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menyediakan satu garis panduan pengurusan saudara baru, namun hingga kini masalah mualaf masih tetap berlaku dan kebanyakkan masalah tersebut bermula daripada tentangan dan penolakan keluarga terhadap pemelukan agama Islam.
Menurut beliau, dengan persetujuan menandatangani MoA tersebut, projek pendidikan Pelan Pembangunan Wanita Mualaf Malaysia merancang enam teras strategi utama iaitu Teras Hal Ehwal Agama; Teras Sosiobudaya; Teras Ekonomi dan Agama; Teras Syariah dan Perundangan; Teras Psikologi, Kaunseling dan Keluarga serta Teras Pendidikan.
“Kenam-enam strategi tersebut adalah berkaitan dengan luahan perasaan dan pengalaman wanita mualaf PERKIM yang perlu diberi perhatian dan diambil tindakan segera,” ulas Dr Abdul Wahab.
Jelas beliau, Pelan Pembangunan Wanita Mualaf Malaysia berfungsi sebagai mekanisma rujukan bagi membantu menyelesaikan masalah sama ada wanita mualaf PERKIM atau wanita mualaf di tempat lain dan ianya juga menjadi one-stop centre dakwah.
Beliau berharap, ia dapat dijalankan dari semasa ke semasa bermula dengan penyelidikan, menghasilkan dasar-dasar, menghasilkan modul dan akhirnya menghasilkan jurulatih-jurulatih PERKIM yang berperanan menjaga kebajikan wanita mualaf seluruhnya.
Semoga dengan termeterai dua perjanjian itu akan ada lebih banyak lagi kerjasama strategik dapat dilaksanakan antara UKM dan Wanita PERKIM Kebangsaan pada masa akan datang sekali gus bersama-sama menggalas usaha dakwah Islamiah.
Majlis diserikan lagi dengan upacara menandatangani Memorandum ‘Perjanjian Pelan Pembangunan Wanita Mualaf Di Malaysia’ antara Fakulti Pengajian Islam UKM dengan Wanita PERKIM Kebangsaan.
Tunku Noor Hayati dan Dato’ Mohd. Nakhaie menurunkan tandatangan MoA bagi Wanita PERKIM Kebangsaan manakala Dr Abdul Wahab dan Dr Wan Kamal menurunkan tandatangan bagi UKM.
Tunku Noor Hayati bersama Wanita PERKIM dan barisan kepimpinan pendidik Fakulti Pengajian Islam UKM bergambar kenang-kenangan di akhir majlis.
Para pendidik Fakulti Pengajian Islam UKM menyambut ketibaan Tunku Noor Hayati (kiri).
Keberangkatan tiba Tunku Noor Hayati bersama tetamu kehormat di Bilik Mesyuarat Bitara, FPI, UKM.
Pelajar FPI Tahun 1, Mohamad Yusuf Kassim (kiri) mengalunkan bacaan surah Ali-Imran, ayat 103 hingga 104 beserta terjemahan.
Antara Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan yang turut hadir.
Dr Abdul Wahab menyampaikan ucapan aluan di majlis tersebut.
Tunku Noor Hayati berkenan menyampaikan titah ucapannya di Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Pelan Pembangunan Wanita Mualaf di Malaysia.
Tunku Noor Hayati berkenan menurunkan tandatangan MoA sambil disaksikan oleh Dato’ Mohd. Nakhaie (kiri).
Dr Abdul Wahab (kiri) menyaksikan Dr Wan Kamal menurunkan tandatangan selepas beliau menandatangani MoA.
Majlis Menandatangani MoA Pelan Pembangunan Wanita Mualaf Malaysia.
Termeterai akhirnya MoA di antara Wanita PERKIM Kebangsaan dan UKM.
Dr Abdul Wahab (dua dari kanan) menyampaikan cenderamata berupa dua buah buku UKM kepada Tunku Noor Hayati (dua dari kiri).
Tunku Noor Hayati berkenan menyampaikan cenderamata sebuah buku coffee table PERKIM kepada Timbalan Naib Canselor Pendidikan dan Inovasi UKM, Prof Dato’ Ir Dr Abdul Wahab Mohammad (dua dari kanan).
Tunku Noor Hayati bersama barisan Wanita PERKIM dan pendidik FPI UKM bergambar kenang-kenangan di akhir majlis.
[youtube url=”https://www.youtube.com/watch?v=HIFVUF0wFn8″ width=”700″ height=”467″]