Berita PERKIM Bahagian & Cawangan

Wanita PERKIM Kedah Anjur Forum Amar Makruf Nahi Munkar

oleh: ZAATIL HIDAAYAH AHMAD BUSTAMAN

ALOR SETAR, 6 DISEMBER 2023 – Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Negeri Kedah telah menganjurkan Program Liqa’ Mahabbah Tahun 2023 bertempat di Dewan Mahathir Mohamad, Kompleks Rumah Kelahiran Mahathir Mohamad, Lorong Kilang Ais, dekat sini.

Program itu dihadiri seramai lebih 80 orang saudara baru dari Alor Setar, Ayer Hitam, Baling, Pendang dan Kuala Nerang termasuk Ahli Jawatankuasa PERKIM Bahagian Negeri Kedah.

Sempena Program Liqa Mahabbah Tahun 2023 pada kali ini, PERKIM telah mengadakan forum “Amar Makruf dan Nahi Mungkar: Tanggungjawab dan Pelaksanaan”.

Forum ini diadakan adalah bertujuan untuk memberikan kesedaran dan penjelasan bahawa perubahan cara hidup kepada kehidupan yang lebih baik memerlukan pengorbanan dan kesabaran yang tinggi.

Forum ini juga menampilkan barisan panel iaitu Pegawai Khas (Agama) kepada YAB Menteri Besar Kedah Darul Aman, YBrs Tuan Syeikh Yusoff Haji Ahmad; Penolong Pegawai Ehwal Islam Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah YBrs Zaiton Zainal Abidin serta YBhg Ustaz Haji Abdul Malik Abdullah.

Forum tersebut telah dipengerusikan oleh Pegawai Tadbir Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM), Ustaz Muhammad Syazwan Menon.

Majlis diserikan lagi dengan ucapan oleh Pengerusi Wanita PERKIM Bahagian Negeri Kedah, YBhg Datin Hajah Aishah Ibrahim.

Seterusnya, majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Kedah, YBhg Dato’ Wira Mansor Haji Ismail.

Selesai program, Ustaz Haji Abdul Malik Abdullah berkesempatan mengislamkan dua saudara perempuan dengan melafazkan dua kalimah syahadah yang turut disaksikan lebih 80 peserta dewan.


Forum Amar Makruf Nahi Mungkar dijayakan oleh barisan ahli panel, (dari kiri): Syazwan Menon, Syeikh Yusof, Zaiton dan Abdul Malik.


Peserta di kalangan saudara baharu mendengar dan menghayati forum yang disampaikan.


Muslimat di kalangan saudara baharu menghayati forum yang disampaikan.


Ucapan perasmian oleh Dato’ Mansor.


Abdul Malik mengikrarkan dua kalimah syahadah diikuti dua saudara baharu perempuan.


Kepimpinan PERKIM Kedah berkesempatan bergambar bersama-sama lebih 80 saudara baru di akhir program.


Datin Aishah menyampaikan buah tangan kepada Dato’ Mansor.

Related Articles

Back to top button