Aktiviti Kebajikan

PERKIM Ziarah Mualaf Tiga Anak Tidak Berkemampuan

oleh : UMAG

KEPONG, 13 DISEMBER 2023 – Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan (UDPI), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan, Muhammad Farhan Tee Abdullah telah menziarahi saudara baharu, Mira Abdullah, 24, di Taman Intan Baiduri, baru-baru ini.

Menurut Farhan, beliau menziarahi mualaf berbangsa India itu setelah mendapat aduan dari masyarakat awam berkenaan masalah yang dihadapi oleh keluarga ini.

Mira mempunyai tiga orang anak, masing-masing berusia lima, tiga dan satu tahun. Anak sulungnya masih tidak bersekolah lagi kerana lambat bercakap.

Jelas Farhan, pihak PERKIM Kebangsaan telah membantu Mira menjelaskan bayaran tunggakan bil elektrik, bil air dan sewa rumahnya pada bulan November 2023 lalu kerana tuan rumah bertindak untuk menghalau mereka sekeluarga sekiranya tidak melunaskan sewa yang telah tertunggak beberapa bulan.

“Rasa sebak di hati setelah saya melihat keadaan bilik tidur mereka hanya beralaskan kain yang dibentang sahaja tanpa tilam,” ujar Farhan menahan air mata.

Tambah sebak lagi perasaan apabila Farhan meninjau di ruangan dapurnya yang kosong tiada dapur gas atau tong gas untuk memasak.

Berikutan suaminya ditahan oleh pihak berkuasa, Mira bersama anak-anaknya terpaksa meraih simpati dengan mendapatkan makanan melalui jiran-jiran dan mereka yang prihatin dengan keadaan hidupnya.

Melihat keadaan yang menyedihkan itu, Farhan bersama kakitangan UDPI terus ke kedai berhampiran untuk membeli dapur gas, alas tilam selimut dan sepapan telur.

Kakitangan UDPI turut membawa bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak, gula, biskut, tepung, susu tepung, sardin dan lain-lain.

Farhan turut memberi jaminan kepada Mira untuk memberi bantuan makanan asas pada setiap bulan sehingga kehidupannya benar-benar stabil.

Mira yang tidak bekerja kerana sibuk menjaga anak-anaknya berhasrat untuk menjual makanan ringan di hadapan sekolah berhampiran bagi menyara kehidupan mereka sekeluarga.

Mira juga baru memohon bantuan daripada Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada 17 November 2023 yang lalu untuk saraan hidupnya.

Di akhir ziarah, Farhan turut menghulurkan sedikit sumbangan wang tunai kepada Mira bagi meringankan beban yang ditanggung.

Bagi meringankan beban yang dihadapi oleh Mira Abdullah dan sekeluarga, anda boleh menyalurkan sumbangan anda di akaun Maybank bernombor 164203527232 atas nama MIRA BINTI ABDULLAH.

Semoga Mira bersama anak-anaknya dapat terus tabah dan kuat menghadapi segala ujian dari Allah SWT.


Farhan menziarahi Mira Abdullah di Taman Intan Baiduri, baru-baru ini.


Mira yang tidak bekerja mendapat bantuan jiran yang simpati demi menyara anaknya berusia lima, tiga dan satu tahun.


Farhan bersama UDPI membawa sumbangan makanan kepada Mira.


Antara barang keperluan lain yang dibeli iaitu dapur memasak, peralatan memasak, alas tilam selimut, telur dan bahan-bahan masakan.


Anak-anak Mira baring di alas selimut yang baru dibeli.


Farhan mewakili PERKIM Kebangsaan menghulurkan wang tunai kepada Mira Abdullah bagi meringankan beban yang dihadapi.

Related Articles

Back to top button