Aktiviti Dakwah

Usrah Pertemuan Bulan Januari 2021 Bersama Kakitangan PERKIM Kebangsaan

oleh: UMI MUSFIRAH ABDUL GHANI

8 JANUARI 2021 – KUALA LUMPUR. “Mutakhir ini kes COVID-19 di negara kita semakin meningkat dan membimbangkan di mana Kementerian Kesihatan meramalkan berkemungkinan kes akan mencapai 8,000 pada bulan Mac nanti,” kata Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.


Beliau berkata ketika menyampaikan ucapan amanat di Majlis Usrah Pertemuan Bulan Januari 2021 Bersama Kakitangan PERKIM di ruang legar Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah di sini.

Turut hadir ialah pimpinan PERKIM, Bendahari Kehormat, YBhg Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim; Penolong Setiausaha Agung Kehormat, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa; Pengarah Unit Pembangunan dan Aset, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah Unit Perhubungan Awam Dalam dan Luar Negara, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Setiausaha Kerja (Pentadbiran dan Program); YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik dan Setiausaha Kerja (Bahagian dan Cawangan); Encik Zulkefli Arifin; Pengarah Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL).

Seramai lebih 50 kakitangan PERKIM Kebangsaan, kakitangan PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, IDIP-KL dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM menyertai perhimpunan tersebut dalam penjarakan fizikal serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Sebelum itu, YBrs Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah mengacarakan majlis diikuti dengan nyanyian lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan dipimpin oleh Pasukan Koir PERKIM serta diikuti dengan majlis bacaan doa disampaikan oleh YBrs Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah.

Kata Dr Yusof Noor lagi, angka ini memang menakutkan, tetapi kalau kita fikirkan segala-galanya tidak mustahil boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan kita mengharapkan warga PERKIM serta umat Islam keseluruhannya terhindar daripada COVID-19.

Jelasnya, pandemik ini bukan baru berlaku pada hari ini malah telah wujud sejak dahulu lagi tetapi setiap zaman wujud pandemik yang berbeza dan kita bersyukur kepada Allah SWT kerana semua dapat hadir.

Jika kita ditakdirkan mengalami wabak yang sedang melanda negara ini dan di dunia sekarang ini mungkin kita tidak dapat hadir dalam majlis ini.

Ujarnya, beliau di ajar jikalau melawat orang sakit yang terbaik ialah membaca doa dari sebuah hadis diriwayatkan dari kitab Tirmidzi dari Abu Hurairah dari Nabi SAW beliau bersabda :

مَن رَأَى مُبتَلًى فقال : الحمدُ للهِ الذي عافَانِي مِمَّا ابْتلاكَ به ، و فَضَّلَنِي على كَثيرٍ مِمَّنْ خلق تَفضِيلًا ، لَمْ يُصِبْهُ ذلكَ البلاءُ

“Barangsiapa yang melihat seseorang terkena penyakit, maka ucapkanlah: “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkanku dari penyakit yang telah ditimpakan kepada orang itu dan telah memuliakanku dari makhluk-makhluk lain yang juga memiliki kemuliaan, maka kerana doanya itu, maka Allah tidak menimpakan penyakit tersebut kepadanya.”

Tambah Dr Yusof Noor, terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin Aisyah RA beliau berkata : ‘’Aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang taun, kemudian Rasulullah S.A.W mengkhabarkan kepadaku dengan berkata :

أَنَّهُ كَانَ عَذَابًا يَبْعَثُهُ اللهُ عَلَى مَنْ يَشَاءُ، فَجَعَلَهُ رَحْمَةً لِلْمُؤْمِنِينَ، فَلَيْسَ مِنْ رَجُلٍ يَقَعُ الطَّاعُونُ، فَيَمْكُثُ فِي بَيْتِهِ صَابِرًا مُحْتَسِبًا يَعْلَمُ أَنَّهُ لَا يُصِيبُهُ إِلَّا مَا كَتَبَ اللهُ لَهُ إِلَّا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ الشَّهِيدِ

Maksudnya : “Sesungguhnya ia merupakan azab yang dihantarkan oleh Allah kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Maka Allah menjadikan ia sebagai rahmat bagi golongan yang beriman. Tidaklah seorang lelaki itu saat berlakunya taun lalu dia duduk di dalam rumahnya dengan penuh sabar serta mengharapkan ganjaran pahala, dan dia tahu tidaklah musibah menimpa dirinya melainkan apa yang Allah telah tetapkan buat dirinya maka dia mendapat seperti ganjaran pahala orang yang syahid.”

Kata Dr Yusof Noor lagi, seluruh dunia sekarang ini mengamalkan perkara ini iaitu duduk di rumah.

“Rasulullah SAW tidak pergi ke universiti namun apa yang disampaikan oleh baginda telah dihayati dan diamalkan oleh sistem kehidupan di dunia kerana agama Islam ini adalah agama yang terbaik kerana Rasulullah telah pun mengajar kita cara yang terbaik untuk mengelak dari penyakit ini,” jelas beliau.

“Keduanya saya ingin berterima kasih dan mengucapkan tahniah kepada warga PERKIM kerana pasukan nasyid kita telah menjadi pasukan Koir Rasmi PERKIM dan jika ada acara atau majlis, pasukan ini yang akan dijemput dengan memakai pakaian seragam ini, tambahnya.

Dr Yusof Noor turut mengucapkan tahniah dan terima kasih sekali lagi kepada semua warga PERKIM di setiap peringkat yang telah menjayakan urusan Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-59 yang perlu diadakan sebelum 31 Disember 2020 mengikut arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Menurut beliau, perkara tersebut belum pernah kita alami kerana kita telah merancang untuk mengadakan mesyuarat agung beberapa kali namun terpaksa ditangguhkan akibat COVID-19.

“Pelbagai persiapan telah dilakukan namun terpaksa berpindah tempat dan saya ingin mengucapkan terima kasih kerana warga PERKIM bertungkus lumus dan bersabar menghadapi kesukaran yang berlaku dan berjaya mengatasinya,” ulas beliau.

Akhirnya kita dapat melaksanakan Mesyuarat Agung PERKIM secara maya dan sekiranya pandemik ini masih berlaku, kita boleh memikirkan untuk menyediakan fasiliti yang diperlukan tanpa berharap pada pihak luar.

Katanya, kini telah sampai pada satu tahap penyampaian secara maya amatlah diperlukan dan pentadbiran kerajaan serta organisasi pun telah mula mesyuarat secara maya kerana ia merupakan satu tatacara kehidupan yang baru di dalam norma baharu.

“Ketiganya ialah saya hendak maklumkan bahawa Bahagian Kewangan PERKIM bimbang sekiranya kita perlu membayar premium Bangunan PERKIM dengan memperbaharui lesen untuk penggunaan bangunan ini,” katanya.

“Dengan berkat doa dari kita semua, bayaran premium ini dikurangkan untuk 99 tahun di mana satu tempoh yang amat lama,” kata beliau dengan rasa kesyukuran.

“Saya yakin proses untuk mendapatkan pengurangan ini bukan mudah tanpa kesefahaman dan hubungan yang baik dengan pihak yang berkuasa,” ujarnya.

Ulas beliau, tidaklah menjadi bebanan kepada PERKIM untuk mengeluarkan sejumlah wang setelah mendapat pengurangan ini.

Pembayaran premium ini mungkin tidak akan menjejaskan aktiviti kita dalam pencarian dana dan merupakan rahmah kepada kita kerana hasil daripada komitmen banyak pihak.

Oleh itu, kita akan adakan sedikit majlis kesyukuran kepada Allah SWT bersempena Tahun Baru 2021 dan pengurangan pembayaran premium Bangunan PERKIM.

“Keempat, pihak pengurusan PERKIM telah melantik Haji Mamat Che Chik menjadi Setiausaha Kerja bagi menguruskan hal-hal berkaitan pentadbiran dan program bagi melicinkan dan memperkemaskan lagi urusan pentadbiran PERKIM,” tambah Dr Yusof Noor.

Manakala Setiausaha Kerja yang sedia ada, Encik Zulkefli Arifin akan menguruskan hal-hal berkaitan Bahagian dan Cawangan supaya dapat membantu urusan PERKIM Bahagian dan Cawangan sekali gus membantu dalam memperbaiki pentadbiran PERKIM Kebangsaan.

Dr Yusof Noor sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada warga PERKIM kerana kalau tidak ada kerjasama di antara semua pihak, pengurusan PERKIM tidak dapat berjalan dengan lancer dan kita mengharapkan wabak COVID-19 ini berakhir dengan segera serta kita dapat meneruskan kelangsungan hidup seperti biasa.

“Saya mewakili warga PERKIM ingin mengucapkan terima kasih kepada Bekas Pegawai Kewangan PERKIM, Encik Abu Bakar Zakaria di atas perkhidmatan beliau serta mendoakan semoga beliau dan keluarganya dikurniakan kesihatan yang baik,” tambahnya.

Beliau turut memperkenalkan kakitangan baru PERKIM iaitu Pegawai Unit Kewangan PERKIM, Cik Riana Sukma; Pegawai Perhubungan Awam Dalam dan Luar Negara PERKIM; Cik Safiyya Nur Sakeena Sallehuddin dan pemandu PERKIM, Isa dan Fadhli.

Dr Yusof Noor berharap, dengan penambahan kakitangan ia dapat memperkemaskan lagi urusan pentadbiran PERKIM dan kita mengalu-alukan kehadiran kakitangan yang baru serta berterima kasih kepada kakitangan yang telah berkhidmat.

Majlis diteruskan dengan bacaan Ikrar Penjawat Perkhidmatan PERKIM yang diketuai oleh Encik Muhammad Farhan Tee Abdullah.

IKRAR PENJAWAT PERKHIDMATAN PERKIM

Kami yang telah dilantik berkhidmat dengan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia [PERKIM] membuat ikrar di sini bahawa semasa dan selagi kami berkhidmat dengan PERKIM, kami akan patuh dan berjanji :

Pertama: Bekerja mengikut prinsip-prinsip Islam.

Kedua: Bekerja untuk mencapai  visi, misi dan matlamat PERKIM

Ketiga: Bekerja sedaya upaya dengan penuh tanggungjawab dan berkualiti

Keempat: Mematuhi undang-undang, peraturan dan arahan pejabat

Kelima: Bekerja bersama dengan pengurusan dan rakan sekerja dengan padu, harmoni dan bekerjasama, dan

Keenam: Patuh dan setia kepada ketua kami.

Maka, kami penjawat perkhidmatan PERKIM berjanji menunaikan komitmen ini yang kami buat pada tahun ini dan seterusnya.

Di akhir majlis, YBhg Tan Sri Setiausaha Agung Kehormat PERKIM menyampaian Buku Panduan Warga Kerja PERKIM kepada Setiausaha Kerja Pentadbiran dan Program, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik; Setiausaha Kerja Bahagian dan Cawangan, Encik Zulkefli Arifin; Pengarah Unit Pembangunan dan Aset, YBhg Dato’ Ahmad Mustafa; Penyelaras Urus Setia Mesyuarat-Mesyuarat PERKIM, YBhg Tuan Haji Mohd Zuber Zain; Pengarah Unit Perhubungan Awam Dalaman dan Luaran PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad, Pengarah IDIP-KL; Penyelaras Unit Penerbitan dan Media Baru, Encik Firdaus Lokman Tah.

Majlis diikuti dengan penyampaian saguhati sebagai tanda penghargaan, perkhidmatan serta komitmen Encik Abu Bakar Zakaria selaku bekas Pegawai Kewangan PERKIM selama lebih tujuh tahun berkhidmat.

[youtube url=”https://www.youtube.com/watch?v=ZURl36kPb9I&t=1560s” width=”700″ height=”376″]

Related Articles

Back to top button