Aktiviti Dakwah

UIS Meterai Memorandum Perjanjian Penyelidikan Bersama PERKIM

oleh: SRZ

KAJANG, 9 JANUARI 2024 – “Penyelidikan kerjasama di antara Universiti Islam Selangor (UIS) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) bakal membangun satu model untuk dijadikan sebagai panduan untuk merangka pendekatan praktikal mendekati golongan mualaf profesional untuk berperanan sebagai pendakwah khususnya dalam lingkungan mereka,” kata Timbalan Naib Canselor Penyelidikan, Jaringan Komuniti dan Industri UIS, YBhg Prof Madya Dr Mokmin Basri.

Dr Mokmin berkata ketika menyampaikan ucapannya di dalam Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Kerjasama Penyelidikan antara UIS bersama PERKIM bertempat di Bilik Senat, UIS, Bandar Seri Putra pagi Selasa.

Beliau sebelum itu merakamkan ucapan tahniah dan mengalu-alukan kehadiran daripada kepimpinan PERKIM Kebangsaan ke UIS bagi pelaksanaan penyelidikan yang telah disepakati dengan tajuk ‘Pembangunan Model Pembentukan Mualaf Profesional Sebagai Pendakwah.’

Dr Mokmin turut mengucapkan ucapan tahniah kepada Dekan Fakulti Pengajian Peradaban Islam UIS, YBhg Dr Rosni Wazir kerana telah membina jaringan kolaborasi penyelidikan di mana kajian itu dapat memberi impak dan sumbangan khususnya dalam bidang dakwah.

Tambahnya, penyelidikan tersebut akan diketuai oleh Pensyarah Jabatan Dakwah dan Usuluddin UIS, YBhg Prof Madya Mariam Abd Majid manakala bagi kumpulan penyelidik PERKIM diketuai oleh Pengarah Pendidikan dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad.

Ulas Dr Mokmin lagi, pemetraian MoA penyelidikan itu bakal mewujudkan kolaborasi dan kerjasama dalam perkara pelaksanaan penyelidikan; penulisan ilmiah; penerbitan hasil penyelidikan; pelaksanaan seminar, wacana atau diskusi serta bidang-bidang lain yang dipersetujui oleh kedua pihak.

Beliau berharap semoga MoA tersebut membuka ruang kelangsungan kolaborasi dan kerjasama erat dalam siri-siri program dan aktiviti berasaskan kepakaran dan kemahiran kedua pihak UIS dan PERKIM pada masa hadapan.

Dalam masa yang sama beliau turut mendoakan semoga usaha kerjasama itu dapat mengukuhkan semangat kebersamaan di antara UIS dan PERKIM selain aktiviti-aktiviti dakwah, kebajikan serta pendidikan yang aktif dari mahasiswa-mahasiswa Kelab PERKIM UIS.

Sebelum itu, Naib Canselor merangkap Ketua Eksekutif UIS, YBhg Dato’ Prof Madya Dr Mohd Farid Ravi Abdullah telah mengundang Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor bersama kepimpinan PERKIM Kebangsaan ke Pejabat Rektor UIS.

Di dalam pertemuan tersebut, Dr Yusof Noor merakamkan ucapan tahniah kepada Dr Farid Ravi kerana telah diberi kepercayaan untuk memimpin UIS sebagai Naib Canselor serta mengucapkan terima kasih kerana sudi mengundang kepimpinan PERKIM Kebangsaan ke UIS.

Dr Yusof Noor dalam ucapannya berkesempatan merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada UIS kerana hasil usaha yang gigih semua pihak sehingga tertubuhnya UIS atau dahulu dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Ujarnya, Dr Farid Ravi merupakan salah seorang hasil keluaran produk PERKIM di mana beliau telah memeluk Islam di hadapan Ustaz Kadir Chong di Ibu Pejabat PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur pada usianya genap 18 tahun dan seterusnya melanjutkan pengajian Islam di Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) di Kota Bharu, Kelantan.

Dr Yusof Noor sekali lagi berterima kasih kepada UIS kerana memilih organisasi PERKIM untuk menjalankan penyelidikan dan berharap mudah-mudahan penyelidikan tersebut menghasilkan sesuatu yang baru bagi memanfaatkan semua pihak di Malaysia.

Sementara itu, Dr Farid Ravi turut menyeru para dermawan untuk tampil dengan menghulurkan sumbangan bagi pembinaan IDIP memandangkan asrama IDIP sudah uzur dan ianya tidak selamat setelah mendapat nasihat daripada pihak berkuasa terutamanya bomba disebabkan mengalami banyak kerosakan.

Bangunan yang sedia ada telah dirobohkan dan kini IDIP dalam proses pembinaan semula asrama baru dengan jangkaan sebanyak RM7 juta.

Kos tersebut bagi menyediakan tempat pembelajaran untuk mualaf yang datang dari seluruh tanah air.

Kata Dr Farid Ravi lagi, IDIP telah melahirkan ramai tokoh-tokoh dakwah negara ini hasil didikan yang tidak jemu warga pendidik di IDIP di bawah kelolaan PERKIM Kebangsaan di mana peranannya menjaga, memberi pendidikan dan kebajikan kepada mualaf.

Pada berlangsungnya majlis MoA itu Dr Yusof Noor dalam ucapannya mendapati bahawa banyak pihak menganggap maksud mualaf ialah hanya orang yang baru memeluk agama Islam.

Jelas beliau, mengikut pentafsiran makna mualaf ialah bukan sahaja mereka baru memeluk Islam tetapi menurut para mufasirin bahawa mereka yang belum Islam dan berpotensi memeluk agama Islam juga sebenarnya dimaksudkan golongan mualaf.

Pengagihan zakat yang kita dapati di Malaysia pada ketika ini biasanya ditumpukan kepada mereka yang baru memeluk agama Islam tetapi atas sebab-sebab tertentu ia tidak diberi peluang untuk meyakinkan yang bukan Islam mendapat manfaat daripada zakat.

Di dalam Al-Quran turut menentukan pembahagian wang zakat diasingkan sepertimana firman Allah SWT di dalam Surah at-Taubah yang bermaksud: “Sesungguhnya Zakat adalah untuk orang fakir, miskin, para amil, orang yang dijinakkan hatinya (saudara baru dalam Islam), membebaskan hamba, orang yang berhutang, orang yang berjuang pada jalan Allah dan orang yang berkeputusan; (ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Sesetengah orang di Malaysia beranggapan mualaf merupakan orang susah tetapi ada sebahagian daripada golongan tersebut merupakan orang kaya serta profesional.

Jelas Dr Yusof Noor lagi, diharap kajian tersebut dapat menyelesaikan kedudukan mualaf yang berjaya seperti yang berlaku di zaman Rasulullah SAW kerana mereka yang memeluk Islam di zaman Rasulullah SAW di peringkat permulaan adalah hartawan termasuk isteri baginda, Sayyiditina Khadijah Khuwalid yang merupakan wanita pertama memeluk Islam dan juga merupakan hartawan.

“Saya fikir sangat signifikan dengan penyelidikan ini untuk kita mencari satu model bagaimana kita menangani isu yang berkaitan dengan mualaf.

“Kalau kita pergi ke negara maju seperti di Amerika, England atau Perancis yang memeluk Islam adalah intelektual bukan orang susah.

“Saya yakin mudah-mudahan kaji selidik ini akan menghasilkan sesuatu yang baru dan ini menjadikan satu markah yang boleh membantu universiti sekali gus nilai tambah kepada peranan UIS.

“Diharap pengalaman yang dilalui oleh PERKIM selama lebih 60 tahun berguna untuk kita membina model bagi tujuan ini,” kata Dr Yusof Noor mengakhiri ucapannya.

Majlis diserikan lagi dengan menandatangani MoA Kerjasama Penyelidikan antara UIS dengan PERKIM.

Dr Yusof Noor dan Bendahari Kehormat, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun menurunkan tandatangan pada dokumen MoA PERKIM manakala Dr Mokmin dan Dr Rosni menandatangani dokumen MoU UIS.

Majlis berakhir dengan penyampaian cenderahati UIS disampaikan oleh Dr Mokmin kepada Dr Yusof Noor manakala Dr Yusof Noor menyampaikan sebuah plak beserta buku berjudul Warisan dan Wawasan 60 Tahun PERKIM kepada Dr Mokmin sebagai cendarhati balas.

Turut hadir ialah ialah Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin; Pengarah Aset dan Pembangunan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah Unit Komunikasi dan Media PERKIM Kebangsaan, Firdaus Lokman Tah serta Dekan Fakulti Pengajian Peradaban Islam UIS, YBhg Dr Rosni Wazir.


Ketibaan Dr Yusof Noor dan barisan kepimpinan PERKIM disambut warga UIS.


Dr Yusof Noor diundang untuk bertemu Naib Canselor UIS, Dr Farid Ravi di Pejabat Rektor UIS.


Dr Yusof Noor bersama kepimpinan PERKIM memaklumkan kepada Dr Farid Ravi bahawa asrama IDIP Kota Bharu telah dirobohkan dan kini sedang dalam pembinaan semula.


Dr Farid Ravi yang juga bekas pelajar IDIP merangkap Alumni IDIP menyeru dermawan supaya dapat menyumbang bagi pembinaan asrama IDIP yang baru.


Barisan kepimpinan PERKIM Kebangsaan bersama warga IDIP di Majlis MoA Penyelidikan di Dewan Senat UIS.


Dr Mokmin Basri selaku Timbalan Naib Canselor UIS menyampaikan ucapan di majlis tersebut.


Dr Yusof Noor mengucapkan terima kasih kepada pihak UIS kerana memilih PERKIM untuk menjalankan penyelidikan.


Dr Yusof Noor berharap mudah-mudahan penyelidikan tersebut menghasilkan sesuatu yang baru bagi memanfaatkan semua pihak.


Dr Mokmin Basri ketika menandatangani memorandum.


Dr Yusof Noor menurunkan tandangan di atas memorandum perjanjian penyelidikan tersebut.


Dato’ Abdul Hanif mewakili PERKIM turut menandatangani MoA tersebut.


Dr Rosni Wazir mewakili UIS turut menurunkan tandatangan pada memorandum itu.


Dr Yusof Noor dan Dr Mokmin Basri berjabat tangan selepas menandatangani MoU Penyelidikan antara UIS dan PERKIM.


Dr Mokmin Basri menyampaikan cenderahati kepada Dr Yusof Noor.


Dr Yusof Noor menyampaikan plak PERKIM kepada Dr Mokmin Basri sebagai cenderahati balas.


Dr Yusof Noor turut menyampaikan buku berjudul Warisan dan Wawasan 60 Tahun PERKIM kepada Dr Mokmin Basri.


Barisan kepimpinan PERKIM dan warga UIS merakamkan gambar kenang-kenangan di akhir majlis.

Related Articles

Back to top button