Penghantar ‘Hadiah Kejutan’ Dapat Hidayah Peluk Islam
oleh : SRZ
KUALA LUMPUR, 8 JANUARI 2024 – “Saya percaya di dalam dunia ini tiada Tuhan melainkan Allah,” kata Muneera selepas beliau mengucapkan dua kalimah syahadah di Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan, Jalan Sultan Azlan Shah pada pagi Selasa.
Sasikala Velan, 27 atau nama Islamnya, Muneera Sasikala Velan memeluk Islam ditemani rakannya Muhammad Ismail Mohamed Ibrahim, 28, di hadapan Pembantu Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Ustaz Haji Amran Anbarasu Abdullah.
Menurut Muneera, hatinya bertambah tenang, gembira dan bersyukur selepas mengikrarkan dua kalimah syahadah di dalam Bahasa Arab diikuti pula dalam Bahasa Melayu.
Katanya, sejak dari kecil lagi bermasyarakat dan berkawan dengan orang Islam di mana mereka menceritakan tentang kebesaran Allah SWT sekali gus mengingati hingga ke hari ini serta mempercayainya.
Setelah belajar dan menghayati serta mengkaji, Muneera menyakini Allah adalah Tuhan yang satu.
Muneera yang berketurunan India berkata, hanya agama Islam sahaja jalan atau cara kehidupan yang sebenar.
Beliau merasakan seperti bayi yang baru dilahirkan semula selepas melafazkan kalimah tayyibah dengan penuh kegembiraan.
“Saya berasa teramat gembira kerana seolah-olah dosa yang saya lakukan selama ini telah diampunkan oleh Allah SWT,” ujarnya sambil mengukirkan senyuman manis.
Dalam penghijrahannya itu, beliau berazam untuk mempelajari dan mendalami agama Islam dengan mengikuti Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK) yang diadakan pada setiap hari.
Tambahnya, ibu dan adik beradik tidak menghalang untuk beliau memilih agama yang berbeza daripada mereka bahkan mereka menyokong pilihan Muneera.
Ulas beliau lagi, sudah menjadi kebiasaan beliau ketika sebelum memeluk Islam beliau telah melaksanakan ibadah puasa dan berdoa malah menunaikan solat pada waktunya.
“Ini bukan perkara baru bagi saya mempraktikkan diri sebagai Muslim kerana perkara itu telah lama saya lakukan dan menjadi orang Islam merupakan satu rahmat bagi saya,” jelas Muneera.
Kini beliau bekerja sebagai penghantar hadiah kejutan untuk mereka yang menempah menerusi platform media sosial dengan harga yang berpatutan.
Beliau menghantar hadiah seperti bunga, coklat, sambutan hari jadi, konvokesyen dan lain-lain lagi.
Amran turut memberikan panduan penerangan memeluk agama Islam kepada Muneera iaitu dengan memberi pengertian Rukun Iman, Rukun Islam, tugas dan kewajipan sebagai seorang Islam.
Selain itu, Amran memberi penerangan mengenai tanggungjawab terhadap keluarga bukan Islam serta larangan menyembah selain Allah dan larangan membuat perkara yang ditegah dalam Islam kepada Muneera.
Selepas merekodkan pendaftaran pengislaman, Muneera menerima beg Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mengandungi kit pengislaman seperti al-Quran, buku Iqra’, buku Asas Fardu Ain, sejadah, telekung dan lain-lain daripada Amran.
Muneera (kiri) melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan Pembantu Pegawai UPDI, Ustaz Haji Amran Anbarasu Abdullah.
Raut wajah kegembiraan Muneera ketika melafazkan dua kalimah syahadah.
Muneera ditemani rakannya Ismail hadir ke Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan untuk memeluk Islam.
Amran menyerahkan beg MAIS yang mengandungi kit pengislaman.
Muneera mengatakan bahawa mempraktikkan Islam bukan satu perkara baru bagi dirinya.