Aktiviti Dakwah

Tun Mahathir Gesa Umat Islam Bersatu Padu

oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

“Jika kita kembali kepada ajaran Islam seperti yang terdapat di dalam al-Quran dan hadis yang sahih, kita akan dapat mengatasi segala permusuhan sesama kita dan secara tidak langsung ia mendamaikan negara kita serta pemerintahan tersebut akan membawa kebaikan, kesejahteraan kepada semua rakyat dan terutamanya orang-orang Islam di negara kita,” ucap Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berucap ketika menyampaikan ucaptamanya di Majlis Iftar Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bersama Yang DiPertua PERKIM bertempat di The Everly Putrajaya pada 25 Mei 2018 lalu.

Majlis tersebut dihadiri seramai lebih 800 tetamu terdiri daripada Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, PERKIM Bahagian-bahagian, Wanita PERKIM, Jabatan Perdana Menteri (JPM), MyEG Service Berhad, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia  (JAKIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Universiti Islam Malaysia (UIM), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Yayasan Taqwa, Persatuan Arkitek Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Bank Rakyat, Kedutaan Turki, Iran, Arab Saudi dan Mesir serta saudara Muslim PERKIM.

Tambah Tun Dr Mahathir, beliau berasa gembira dan bersyukur kerana bukan sahaja mendapat kemenangan di pilihanraya umum lalu tetapi ianya berjalan dengan baik serta peralihan kuasa berlaku tanpa sebarang unsur keganasan.

“Peralihan kuasa seperti di Malaysia jarang berlaku di negara di dunia kerana adakalanya berlaku keganasan sehingga ramai terbunuh sekiranya kerajaan yang terdahulu tidak menerima kekalahan.

Beliau melahirkan rasa terima kasih dan bersyukur kepada Allah SWT kerana memelihara keamanan di negara ini.

“Faktor utama berlakunya perpecahan di kalangan orang Islam di Malaysia ialah perbezaan fahaman politik,” kata Tun Dr. Mahathir.

Di Malaysia orang Islam kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu dan telah termaktub dalam perlembagaan negara bahawa orang Melayu itu adalah orang Islam, jika seseorang itu bukan Islam maka dia bukan Melayu.

Menurut Tun Dr. Mahathir yang juga Yang DiPertua PERKIM, sepatutnya orang Islam tidak berpecah kerana masing-masing mengamalkan fahaman Islam yang sama tetapi malangnya perpecahan berlaku apabila Islam dipolitikkan.

Islam itu adalah bersaudara tetapi fahaman politik telah memecah belahkan orang Islam sehingga berlaku permusuhan yang ketara.

Beliau berharap umat Islam di Malaysia dapat bersatu dan tidak sepatutnya berpecah belah hanya disebabkan oleh  fahaman politik yang berbeza.

“Inilah sesuatu yang harus kita ingat selain daripada kita bersyukur kerana di dalam negara kita ini, pilihanraya boleh berjalan dengan aman dan baik bahkan pertukaran kerajaan juga tidak menyebabkan huru-hara berlaku dalam negara kita,” ujarnya.

Terdapat beberapa negara di timur tengah yang bertukar dari sistem monarki kepada sistem demokrasi dan mengadakan pilihanraya. Tetapi pilihanraya tidak berjaya untuk menubuhkan kerajaan yang berwibawa.

Katanya lagi, di Malaysia terdapat 60 peratus penduduk yang beragama Islam, selebihnya iaitu 40 peratus adalah penganut agama yang lain. Tetapi hari ini dengan sedihnya kita lihat ramai orang Islam berhijrah daripada negara Islam untuk tinggal di negara bukan Islam.

Ini memberi pengajaran kepada kita bahawa perlunya sebuah kerajaan yang baik iaitu tidak bermusuhan sehingga berperang dan akhirnya rakyat terpaksa mencari perlindungan di negara bukan Islam. Justeru apabila golongan tersebut  berada di negara bukan Islam, mereka pastinya terikat dengan sistem perundangan negara terbabit.

Islam secara jelas adalah agama yang mencegah kemungkaran tetapi malangnya ada juga umat Islam yang memilih jalan permusuhan sesama sendiri.

Saya berharap kita dapat teruskan ibadat puasa pada tahun ini dalam keadaan yang selamat dan tenang supaya kita mendapat pahala daripada amalan ini.

Turut hadir ialah pimpinan PERKIM, Naib Yang DiPertua, Datuk Dr. Mustapha Ma, Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad, Prof. Dr. Ridhuan Tee Abdullah; Bendahari Kehormat, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim; Penolong Setiausaha Agung Kehormat, Datuk Hasbullah L. Isa; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Datuk Othsman Hassan; isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan isteri Naib Yang DiPertua, Datin Seri Shamsiah Mohd. Yassin.

Majlis turut disertai oleh Kelab PERKIM Universiti (KPU) yang terdiri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Tun Abdul Razak (UniRAZAK), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS).

Sebelum itu Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor dalam ucapannya mewakili kepimpinan PERKIM mengucapkan tahniah kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7.

Kemenangan ini telah memberi makna yang cukup besar buat rakyat Malaysia sekaligus mengangkat kembali martabat negara di persada antarabangsa.

Beliau turut menyampaikan tiga rangkap pantun khusus kepada Perdana Menteri,

Pulau Langkawi indah dipandang menambah rindu,
Sepanjang hari ia menjadi idaman kalbu,
Malaysia kini bukan lagi Malaysia dahulu,
Bernakhodakan Mahathir demi menuju Malaysia baharu.

Di sana buah celagi di sini kuih muruku,
Si dara menjeling teruna yang merindu,
Usahlah Tun merasa ragu-ragu,
Warga PERKIM seluruhnya kan tetap bersamamu.

Minyak zaitun dicampur minyak kelapa muda,
Pergelangan tangan dihiasi emas dan permata,
Sebanyak mana pun halangan bakal melanda,
Pertolongan dari Allah jualah untuk Tun yang kita pinta.

“Saya merasakan suasana hari ini menggambarkan wajah sebenar warga PERKIM dan pastinya tradisi ini perlu dikekalkan sebagai acara tahunan yang utama sekaligus berjaya menghimpunkan rangkaian PERKIM dari seluruh negara,” kata Dr. Yusof Noor.

Beliau berharap, mudah-mudahan Tun Mahathir terus kekal bersama setelah 12 tahun bersama menerajui kepimpinan PERKIM sebagai Yang Dipertua.

Majlis disajikan dengan alunan ayat suci al-Quran oleh Pengerusi PERKIM Cawangan Ehsan, Mohd. Noor Hamim Suntong.

Tun Dr. Mahathir diiringi Dr. Yusof Noor menyampaikan trofi, wang tunai dan sijil penghargaan kepada pemenang Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Program, Urus Tadbir dan Kepimpinan Kelab PERKIM Universiti (KPU).

UIAM merangkul kategori emas menerima sebuah trofi, sijil anugerah dan wang tunai, manakala kategori perak dimenangi oleh UniSZA berserta trofi, sijil anugerah dan wang tunai manakala UniRAZAK menerima trofi, sijil anugerah dan wang tunai bagi gangsa bagi Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Program KPU.

Manakala Anugerah Kecemerlangan Tadbir Urus KPU kategori emas diterima oleh UniSZA, kategori perak UIAM dan gangsa kepada KUIPSAS.

Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan KPU pula disandang oleh Ahmad Zulaini Makinud-din dari UIAM.

Turut diadakan penyampaian sumbangan duit raya kepada Asrama Darul Falah (ASDAF) PERKIM, Rumah Perlindungan dan Anak-anak Yatim Raudhatul Jannah dan Rumah Kasih Amal Bestari.

Tun Mahathir bersama isterinya berkesempatan memotong kek penghargaan tahniah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7.

Majlis berakhir dengan solat Isyak, solat sunat tarawih, witir berjemaah dan moreh.

 


Warga PERKIM menyambut ketibaan Yang DiPertua PERKIM, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

 


Mahathir meraikan tetamu kehormat di Majlis Iftar PERKIM.

 


Dr. Yusof Noor menyampaikan ucapan aluan sambil berpantun.

 


YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyampaikan amanat kepada tetamu yang hadir.

 


Tun Dr. Mahathir meminta umat Islam bersatu tanpa mengira fahaman politik.

 


Antara 800 tetamu yang hadir di majlis tersebut.

 


Tetamu mengambil juadah untuk berbuka puasa.


Tetamu menunaikan solat Maghrib berjemaah dipimpin Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya, Datuk Haji Abdul Manaf Haji Mat.

 


Jemaah mengaminkan doa setelah selesai menunaikan solat.

 

 


Tun Dr. Mahathir menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Program kepada KPU UniRAZAK.

 


UniSZA menerima kategori perak bagi Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Program dari Tun Dr. Mahathir.

 


Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Program kategori emas dimenangi oleh KPU UIAM.

 


Perdana Menteri menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Tadbir Urus KPU kategori gangsa kepada KPU KUIPSAS.

 


KPU UIAM menerima Anugerah Kecemerlangan Tadbir Urus KPU dari Tun Dr. Mahathir.

 


Tun Dr. Mahathir menyampaikan trofi, sijil penghargaan dan wang tunai kepada KPU UniSZA selaku pemenang Anugerah Kecemerlangan Tadbir Urus KPU kategori emas.

 


Ahmad Zulaini Makinud-din (kanan) dari UIAM menerima Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan KPU daripada Dr. Mahathir.

 


Dr. Mahathir menyampaikan sumbangan kepada wakil Rumah Perlindungan dan Anak-anak Yatim Raudhatul Jannah.

 


Dr. Yusof Noor (tiga dari kiri) menyampaikan cenderamata kenang-kenangan kepada Tun Dr. Mahathir.

 


Tun Dr. Mahathir dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah berkesempatan memotong kek penghargaan tahniah sebagai Perdana Menteri Malaysia.

 


Tetamu menunaikan solat Isyak, tarawih dan witir berjemaah.

 


Tetamu kehormat menikmati juadah hidangan yang disediakan.

Related Articles

Back to top button