Tun Mahathir Akhiri Jawatan Yang Dipertua Pada AGM PERKIM Akan Datang
oleh: SRZ
PUTRAJAYA, 20 FEBRUARI 2025 – “Saya berhajat untuk bersara daripada menjadi Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan saya akan tamatkan apabila kita adakan mesyuarat agung akan datang,” ucap Dr Mahathir.
Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan hasratnya untuk mengakhiri jawatannya pada bulan Mei 2025 ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Kebangsaan PERKIM bertempat di Yayasan Kepimpinan Perdana, Presint 8, dekat sini pada pagi Khamis.
Mesyuarat tersebut dihadiri seramai lebih 50 orang terdiri daripada Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, Pengerusi dan Setiausaha PERKIM Bahagian Negeri-negeri seluruh Malaysia.
Mesyuarat dimulakan dengan bacaan doa dipimpin oleh Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim.
Menurut Dr Mahathir, PERKIM bukan parti politik atau badan kerajaan, tetapi merupakan sebuah institusi yang ditubuhkan untuk memperjuangkan perkembangan agama Islam di Malaysia.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan politik yang tidak sihat, seperti penggunaan wang untuk mendapatkan sokongan, tidak seharusnya menjadi amalan dalam PERKIM.
Dr Mahathir juga menekankan kepentingan kemajuan umat Islam dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi dan pendidikan, bagi membuktikan keunggulan Islam.
Beliau turut mengkritik keadaan dunia Islam yang lemah, termasuk kegagalan negara-negara Islam melindungi saudara seagama, seperti di Gaza.
Mengenai penggantinya, beliau menjelaskan bahawa keputusan pemilihan Yang Dipertua PERKIM yang baharu terletak di tangan Ahli Majlis Kebangsaan dan perwakilan pada pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali-64 akan datang.
Tambah Dr Mahathir lagi, walaupun terdapat cadangan daripada kerajaan untuk mencalonkan Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, ahli mesyuarat agung berhak menerima atau menolak cadangan tersebut.
Dr Mahathir turut menjelaskan bahawa keputusan untuk bersara dibuat kerana faktor usia dan komitmen dalam tugas-tugas yang lain.
“Saya berharap PERKIM akan terus berfungsi dengan baik di bawah kepimpinan baharu dan menyeru agar pendekatan dakwah Islam diperbaiki agar lebih berkesan dan relevan dengan keadaan semasa,” kata beliau mengakhiri ucapannya.
Turut hadir ialah kepimpinan tertinggi PERKIM iaitu Timbalan Yang Dipertua, YABhg Tun Dr Ahmad Fairuz Sheikh Abd Halim; Naib Yang Dipertua, YB Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim, Tuan Haji Muhammad Fitri Abdullah, YBhg Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah dan YBhg Prof Dr Ramle Abdullah.
Hadir sama, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor; Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, YBhg Dato’ Sri Hajah Rohani Abdul Karim, YBhg Dr Nur’azah Dato’ Abdul Manaf, YBhg Dato’ Haji Hasbullah L. Isa, YBhg Datuk Haji Ali Ab Majid, YBhg Tuan Haji Hushim Haji Salleh, YBhg Prof Madya Dr Amin Malik Shah Abdul Majid, YBhg Tan Sri Dr Ismail Ibrahim, YBhg Tuan Haji Mohamad Shaiful Bahri Abdullah, YBhg Dato’ Sri Hasan Arifin, YBhg Dato’ Haji Khairi Hasan, YBhg Datin Paduka Hajah Norsiah Harun dan YBhg Dato’ Haji Mohd Nawawi Ismail.

Ahli Majlis Kebangsaan, YBhg Prof Madya Dr Amin Malik Shah Abdul Majid menandatangani di borang kehadiran Mesyuarat Khas Majlis Kebangsaan PERKIM ketika sesi pendaftaran.

Dr Yusof Noor menyambut ketibaan Ahli Majlis Kebangsaan, YBhg Tan Sri Ismail Ibrahim di perkarangan Yayasan Kepimpinan Perdana.

Dr Yusof Noor menyambut ketibaan Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Melaka, Sahibus Samahah YBhg Datuk Wira Haji Halim Tawil.

Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim menandatangani kehadiran mesyuarat khas.

Ketibaan Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir ke Mesyuarat Khas Majlis Kebangsaan PERKIM.

Mesyuarat khas dibuka dengan bacaan doa.

Doa dipimpin oleh Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.

Dr Mahathir mempengerusikan mesyuarat sekali gus menyatakan hasratnya untuk mengakhiri jawatan Yang Dipertua.


Antara Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM yang hadir di mesyuarat khas tersebut.

Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM dari seluruh Malaysia berhimpun dalam mesyuarat khas PERKIM.

Ahli Majlis Kebangsaan mendengar ucapan dan amanat yang disampaikan oleh Yang Dipertua.

Dr Mahathir menegaskan bahawa pendekatan politik yang tidak sihat, seperti penggunaan wang untuk mendapatkan sokongan, tidak seharusnya menjadi amalan dalam PERKIM.

Tan Sri Dr Ismail Ibrahim menyatakan pendapat beliau di dalam mesyuarat tersebut.

Datin Paduka Norsiah Harun memberikan pandangannya di dalam mesyuarat itu.

Lebih 50 Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM berhimpun di dalam mesyuarat khas.

Ahli Majlis Kebangsaan merangkap Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Pahang, Dato’ Seri Hasan Arifin turut melontarkan buah fikiran di dalam mesyuarat.

Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, Dato’ Sri Hajah Rohani Abdul Karim turut mengutarakan pendapatnya.

Dr Mahathir mendengar pandangan, pendapat dan idea yang disampaikan oleh Ahli Majlis Kebangsaan.

Naib Yang Dipertua PERKIM, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah menyampaikan cadangannya di dalam mesyuarat tersebut.

Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM bergambar seusai mesyuarat khas berakhir.

Ahli Majlis Kebangsaan mengangkat jari telunjuk yang membawa makna kalimah syahadah.