Laksana Korban Untuk Bantu Orang Susah – SUA PERKIM
oleh: SRZ
KUALA LUMPUR, 2 JUN 2023 – Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor menganjurkan pegawai serta kakitangannya melaksanakan ibadah korban untuk membantu mereka yang susah dan sekiranya tidak mampu ambillah peluang untuk menolong mereka.
Dr Yusof Noor berkata ketika menyampaikan amanatnya di Majlis Perhimpunan Bulanan Warga PERKIM Kebangsaan diadakan di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat PERKIM, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, dekat sini.
Seramai lebih 40 orang hadir terdiri daripada pegawai dan kakitangan PERKIM Kebangsaan, Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL) dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE).
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan disusuli bacaan doa oleh Penolong Pegawai IDIP-KL, Abdul Qawi Navine Abdullah.
Majlis tersebut diacarakan sepenuhnya oleh Pegawai Unit Pembangunan Dakwah dan Operasi (UPDO), Muhammad Farhan Tee Abdullah.
Dr Yusof Noor turut merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada warganya.
Kata beliau, kita masih berada di antara dua hari raya iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Hari Raya Aidiladha atau dipanggil Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban akan disambut pada 29 Jun 2023 oleh seluruh umat Islam di dunia.
“Sambutan Aidiladha sekali lagi dilihat oleh masyarakat dunia bahawa orang Islam berkumpul dan berpeluang untuk mengerjakan ibadah Haji.
“Hari raya merupakan satu nikmat kesyukuran dan bukannya satu pesta seperti mana kelaziman kita mengikut tradisi.
“Islam merupakan agama diturunkan oleh Allah SWT melalui Nabi Muhammad SAW untuk kita meningkatkan ibadah kita kepada-Nya kerana dua hari raya itu merupakan hari yang kita mendapatkan peluang untuk meraih pahala dan ganjaran dari-Nya.
“Hari Raya Aidilfitri merupakan hari yang disyukuri kerana kita berjaya berpuasa selama satu bulan Ramadan manakala Hari Raya Aidiladha merupakan hari raya yang mengajarkan kita erti pengorbanan sesuatu harta yang kita sayangi,” jelas Dr Yusof Noor.
Menurut beliau, bagi yang berkemampuan untuk berkorban mereka akan melaksanakan ibadah itu dengan sebahagian daripada haiwan ternakan tersebut diberikan kepada mereka yang susah, fakir dan miskin.
Jumlah yang kita korban contohnya haiwan ternakan seperti lembu, mereka boleh mengambil satu daripada tujuh bahagian untuk dikorbankan atau seekor kambing.
Tambah Dr Yusof Noor, di Malaysia, nilai sebahagian haiwan ternakan pada hari ini adalah dalam RM700 hingga RM800.
Pada masa ini, ramai orang berkempen untuk melakukan ibadah korban dan menghantar daging ke negara yang mempunyai umat Islam yang susah dan miskin.
Pada pandangan saya, jika kita melaksanakan ibadah korban dengan kadar termurah di luar negara sedangkan kita berupaya berkorban dengan harga pasaran di negara kita, mungkin mereka mendapat kurang pahala.
Jelas Dr Yusof Noor, lebih utama jika kita berkorban di dalam negara daripada berkorban di luar negeri.
Ketika musim Haji di Mekah, ramai jemaah Haji mengambil peluang untuk berkorban dan pihak-pihak tertentu telah menghantar daging korban berjuta-juta kilogram yang diproses ke negara-negara lain.
Ujarnya, adalah lebih baik kita membuat ibadah korban di negara sendiri berbanding negara lain kerana negara lain juga melaksanakan perkara yang sama dan lebih banyak daripada kita.
Beliau menyeru supaya mengutamakanlah jiran dan orang sekeliling dalam pengagihan daging korban kecuali di sekeliling tidak ada yang memerlukan barulah hantar ke negara lain.
Katanya, ibadah dalam Islam tidak mengajar kita mengambil peluang untuk mendapatkan keuntungan yang tidak baik.
Pada masa ini, banyak penipuan daripada pihak tertentu yang menguruskan jemaah umrah dan haji secara tidak langsung mengaibkan Islam.
Ulas Dr Yusof Noor lagi, semua kakitangan PERKIM dari semasa ke semasa akan diberikan pendedahan kepada kursus dakwah tidak kira sama ada kedudukan atau jawatan mereka.
“Pengisian Kursus Asas Dakwah ini kita akan sesuaikan dengan profesion sekali gus meningkatkan pengetahuan Islam mereka selari dengan matlamat PERKIM.
“Matlamat kita ialah untuk memberi kefahaman dan pendedahan kepada semua kakitangan mengenai asas dakwah Islam,” kata Dr Yusof Noor.
Menurutnya lagi, dakwah ini merupakan perkara yang kita boleh fahami dalam kategori berbeza sama ada asas atau pun profesional.
“Kakitangan mestilah mempunyai maklumat yang jelas mengenai Islam dari semasa ke semasa walaupun jawatan yang diamanahkan bukannya dalam bidang dakwah.
“Dakwah dengan maksud banyak bergerak menemui orang lain dan mengajak orang lain masuk Islam.
Dr Yusof Noor berkata, di dalam kehidupan kita ini ada dua tarikan iaitu ‘sorong dan tarik’. Sorong itu bermaksud tarikan mengikut hawa nafsu manakala tarik pula bermaksud tarikan melaksanakan perintah Allah.
Katanya, manusia yang mengikut nafsu dan tidak beriman martabatnya akan ke turun ke bawah manakala manusia yang mencari Allah dengan beribadah dan meletakkan keyakinan pada-Nya, maka darjatnya akan tinggi ke atas.
Itulah hikmatnya apabila kita mengetahui bahawa di dalam diri kita ada dua hakikat iaitu roh dan jasad, maka perseimbangkanlah diri di antara kedua-duanya.
Jelas beliau, Rasulullah SAW juga perseimbangkan di antara roh dan jasad kerana Baginda adalah insan yang paling sempurna diistilahkan sebagai ‘Insan Kamil’.
Kata beliau ketika pertemuan dengan Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Johor, YM Datuk Dr Syed Ali AlAttas baru-baru ini, PERKIM adalah tempat kita beri sumbangan.
Menurut Dr Syed Ali, kejayaan PERKIM sewaktu di era Pengasas PERKIM, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj tidak ada perebutan yang dipertandingkan bagi Ahli Majlis Kebangsaan pada ketika itu walaupun ada di antara mereka telah dicalonkan bagi jawatan tertentu tetapi mereka dengan rendah hati menolak kerana bagi mereka ramai yang lagi layak untuk jawatan tersebut.
Dr Yusof Noor turut memaklumkan bahawa supaya jentera pentadbiran dan urus setia supaya membuat persediaan yang rapi bagi menghadapi Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-62 yang akan diadakan pada 11 Jun 2023 tidak lama lagi supaya persidangan tersebut berjalan dengan lancar.
Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin; Setiausaha Kerja PERKIM Kebangsaan, Encik Zulkefli Arifin; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa serta Pengarah Pembangunan Pendidikan dan Pengajian Saudara Baharu, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad.
Warga dan kepimpinan PERKIM berdiri bagi menyanyikan lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan.
Farhan Tee mengacarakan Majlis Perhimpunan Bulanan Warga PERKIM bagi bulan Jun.
Abdul Qawi memimpin bacaan doa pembuka majlis.
Warga PERKIM mengaminkan doa yang dibacakan.
Dr Yusof Noor menyampaikan amanat di perhimpunan bulanan warganya.
Pegawai dan kakitangan PERKIM mendengar amanat yang disampaikan oleh Tan Sri SUA.
Dr Yusof Noor menyeru warganya supaya dapat mengambil bahagian di dalam korban untuk membantu orang susah.
“Kakitangan tidak kira dari unit mana sekali pun akan diberi Kursus Asas Dakwah Islam,” jelas Dr Yusof Noor.
“Jentera pentadbiran dan urus setia perlu bersiap sedia untuk persidangan Mesyuarat Agung PERKIM Kebangsaan tidak lama lagi,” maklum Dr Yusof Noor.