Aktiviti Pendidikan

Tan Sri SUA PERKIM Sampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang KPIPK

Oleh: UMI MUSFIRAH ABDUL GHANI

KUALA LUMPUR, 12 APRIL 2021Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor telah menyampaikan anugerah kepada pelajar saudara baru di Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang dan Aktiviti Cemerlang Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK) bertempat di Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL), Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini.

Tan Sri Dr Yusof Noor ketika berucap mengucapkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana akhirnya kita dapat mengadakan juga majlis itu walaupu banyak kekangan yang dihadapi sebelum menjelang Ramadan kira-kira lapan jam lagi.

Katanya, walaupun masih berbaki lapan jam, namun tiada ada sesiapa yang boleh memberi jaminan kita akan bertemu dengan bulan Ramadan pada malam hari.

Oleh sebab itu, kita bersyukur kepada Allah SWT, mudah-mudahan doa yang kita biasa dengar dan baca iaitu,

أللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَان

Maksudnya : “Ya Allah berkatilah kami di bulan Sya’aban serta sampaikanlah (umur) kami hingga bulan Ramadan.”

Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa; Pengarah Unit Perhubungan Dalam dan Luar Negara PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Setiausaha Kerja Pentabiran dan Program, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik; Setiausaha Kerja PERKIM Bahagian dan Cawangan, Encik Zulkefli Arifin serta Pengarah IDIP-KL, YBhg Dr Suariza@Hidayah Muhammad.

Tan Sri Yusof Noor turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Pasukan Koir PERKIM yang mempersembahkan lagu rasmi PERKIM iaitu PERKIM Pacu Kemajuan, yang pentingnya bukan lagu yang dinyanyikan tetapi mesej yang disampaikan daripada lagu tersebut.

Jelas beliau, apabila kita menghayati lirik lagu PERKIM kita mendapati ia mengisahkan berkenaan PERKIM seperti semangat kesukarelawan, bekerjasama, berkebajikan serta yang susah dibantu.

Beliau berharap, PERKIM bukannya milik kita seorang namun ia dimiliki oleh warga-warganya yang menghayati makna lagu tersebut.

Dr Yusof Noor turut berkongsi pengalamannya di bulan Ramadan di mana Ramadan dan Al-Quran tidak dapat dipisahkan serta kita perlu mengetahui apakah signifikannya Al-Quran dengan bulan Ramadan.

Ujarnya, kita boleh memahami signifikan ini secara mudah sahaja, semalam saya menghadiri satu majlis berkaitan kesusasteraan.

Apakah makna kesusasteraan iaitu hasil seni yang disampaikan melalui bahasa kerana bahasa ialah alat komunikasi.

Katanya, semua di muka bumi ini berbicara dengan caranya yang tersendiri. Alat komunikasi manusia ialah perkataan.

Cara kita bercakap memberi tanggapan yang berbeza, bahasa yang sama tetapi ia boleh diperindahkan.

Tan Sri SUA mengajak hadirin berfikir dan merenung bahasa yang telah diperindahkan melalui bahasa kesusasteraan yang dikeluarkan oleh Shakespeare, Hemingway dan Charles Dickens.

Kita boleh katakan bahasa yang mereka gunakan indah belaka, namun selepas beberapa tahun hasil karya mereka hilang dan tidak kekal kerana ia bergantung kepada mesej yang ingin disampaikan daripada hasil karya mereka.

Namun yang kekal sehingga 1,400 tahun adalah Al-Quran Al-Karim yang mempunyai bahasanya yang indah walaupun dibaca dengan nada yang biasa.

Apabila kita membacanya ada yang berbentuk puisi dan ini merupakan kitab yang paling unik diturunkan dalam Bulan Ramadan yang mulia kerana adanya Nuzul Al-Quran padanya.

“Perkara ini perlu dihargai oleh warga PERKIM di mana-mana sahaja,” kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Jelas Tan Sri lagi, terdapat satu klausa dalam Perlembagaan PERKIM iaitu Ahli Bersekutu PERKIM di mana mereka yang bukan beragama Islam boleh menjadi Ahli Bersekutu PERKIM dan tujuan penubuhan PERKIM adalah untuk menyampaikan mesej Islam.

Sudah tentu ia bukan sahaja untuk mereka yang beragama Islam, tetapi menjadi kewajipan bagi kita untuk menyampaikan risalah Islam kepada mereka yang bukan beragama Islam.

Tambahnya, kita amat mengalu-alukan pelajar yang bukan beragama Islam yang ingin menuntut ilmu mata pelajaran Islam di dalam KPIPK yang kita anjurkan.

Kita juga boleh beri galakan kepada mereka yang bukan Islam untuk turut menyertai kelas yang dianjurkan oleh pihak PERKIM Kebangsaan agar mereka dapat pendedahan tentang Islam.

Akhirnya saya ucapkan tahniah kepada semua tenaga pengajar, walaupun kita alu-alukan kesukarelaan namun kita tidak sia-sia usaha mereka dengan memberi mereka juga sedikit penghargaan.

Tan Sri turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang membantu PERKIM Kebangsaan dalam menjayakan penganjuran KPIPK.

Sebelum itu, Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan (UPPP) PERKIM, YBrs Ustaz Muhammad Farhan Tee mengacarakan majlis manakala YBrs Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah memimpin bacaan doa pembuka majlis.

12 ahli Pasukan Koir PERKIM turut menyampaikan persembahan nyanyian lagu Wawasan Diri dan Selawat kepada hadirin.

Leow Shwu Lian selaku penerima Anugerah Pelajar Cemerlang KPIPK Tahap Pra Asas 2020

yang masih belum memeluk Islam turut berkongsi pengalaman beliau ketika mengikuti kelas PERKIM.

YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor menyampaikan Anugerah Pelajar dan Aktiviti Cemerlang kepada 22 pelajar saudara baru yang disaksikan oleh Dato’ Hasbullah dan Haji Mamat.

Anugerah Pelajar Cemerlang KPIPK Tahap Pra Asas tempat cemerlang dirangkul oleh Leow Shwu Lian manakala tempat terbaik diraih oleh Thaqif Tay Jet Lee serta Thanaraja Hadi Venayagamoorthy dan Tan Poh Choo masing-masing meraih tempat baik.

 Muhammad Syafiq Muhammad Rahman pula dianugerahkan Pelajar Cemerlang KPIPK Tahap Asas manakala Ali Abdullah meraih tempat terbaik dan Allahyarham Muhammad Rahman Louis mendapat tempat baik.

Tempat cemerlang bagi Anugerah Pelajar Cemerlang KPIPK Tahap Pertengahan dinobatkan kepada Adam Lee Abdullah manakala Muhammad Asok Abdullah meraih tempat terbaik dan Junaida Yee Mee Kuan mendapat tempat baik.

Mohd Alif Nazir N. Chew Abdullah menggapai tempat cemerlang bagi Anugerah Pelajar Cemerlang KPIPK Tahap Lanjutan manakala Muhammad Firdaus Abdullah meraih tempat terbaik dan tempat baik disandang oleh Muhammad Mahadi Aw Abdullah.

Nur Aliya Pinggo meraih tempat johan di dalam Anugerah Aktiviti Cemerlang Tilawah Al-Quran manakala Mariam Glenda menyandang tempat naib johan dan tempat ketiga diraih oleh Siti Mariam Awat Abdullah.

Johan bagi Anugerah Aktiviti Cemerlang Laungan Azan diraih oleh Muhammad Syafiq Muhammad Rahman manakala Muhammad Awsam Sadial Abdullah dan tempat ketiga disandang oleh Ali Abdullah.

Muhammad Amin Sim Abdullah meraih johan bagi Anugerah Aktiviti Cemerlang kategori Pengetahuan Islam manakala naib johan disandang oleh Mohd Ridhuan Guantoh Engkuan dan Muhammad Asok Abdullah mendapat tempat ketiga.

Penerima anugerah masing-masing membawa pulang sijil penghargaan, trofi dan wang tunai.

Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor turut menyampaikan Anugerah Tenaga Pengajar Cemerlang Tahap Pra Asas kepada YBrs Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah manakala Tahap Asas diberikan kepada YBrs Ustaz Mohd Saiful Hafiz Vijia Abdullah; Tahap Pertengahan diterima oleh YBrs Ustaz Mohd Noor Ihsan Kamaruzaman; Tahap Lanjutan dinobatkan kepada YBrs Ustazah Khadijah @ Monica E. F Dingjan dan Tahap Umum diraih oleh YBrs Ustazah Khadijah Ishak.

Di akhir majlis, YBhg Tan Sri SUA menyampaikan cenderahati kepada YBrs Ustaz Saiful Hafiz Vijia Abdullah dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi mewakili penaja utama Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan.











Related Articles

Back to top button