Aktiviti Kebajikan

PERKIM Anjur Majlis Jamuan Sambut Kedatangan Ramadan

oleh: UMI MUSFIRAH ABDUL GHANI

KUALA LUMPUR, 6 APRIL 2021 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan mengadakan Majlis Jamuan Sempena Menyambut Kedatangan Ramadan Al-Mubarak 1442H di Tingkat 23, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini.

Majlis tersebut dihadiri oleh lebih 50 orang yang terdiri daripada kakitangan PERKIM Kebangsaan, PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL) dan Pusat Komuniti Strok PERKIM (SCORE).

Turut hadir ialah Naib Yang Dipertua PERKIM merangkap Pengerusi PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, YBhg Dato’ Haji Mohd Nakhaie Haji Ahmad; Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim; Pengarah Unit Perhubungan Awam Dalam dan Luar Negara PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Setiausaha Kerja Pentadbiran dan Program PERKIM, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik serta Pengarah IDIP-KL, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Penolong Pegawai Dakwah IDIP-KL, YBrs Ustaz Abdul Qawi Navine Abdullah dan majlis diacarakan oleh Pegawai Unit Perancangan Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM, YBrs Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah.

Majlis diserikan lagi dengan ucapan Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Tan Sri Dr Yusof Noor dalam ucapannya mengucapkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana dapat berhimpun bersempena meraikan kedatangan bulan Ramadan.

Katanya, tahun ini dan tahun lepas PERKIM tidak dapat menganjurkan Majlis Iftar Ramadan yang dilaksanakan setiap tahun-tahun sebelumnya disebabkan berikutan penularan wabak pandemik COVID-19.

Jelas beliau, ini bermakna sudah hampir setahun kita terkesan daripada penularan wabak itu dan kita memohon kepada Allah kita agar kita dan juga masyarakat di luar sana terselamat daripada wabak pandemik ini.

Ujarnya, majlis ini merupakan satu jamuan biasa yang diadakan saban tahun bersempena menyambut ketibaan bulan Ramadan sebagai tanda muhibbah di antara majikan dan kakitangan.

Tan Sri Dr Yusof Noor turut mengucapkan Selamat Berpuasa dan beliau turut memohon maaf di atas kekhilafan, kesilapan dan kesalahan di antara semua. Semoga kita bertemu di bulan yang penuh mulia dan keberkatan, Ramadan Al-Mubarak.

Related Articles

Back to top button