Aktiviti Dakwah

Tan Sri Dr Yusof Noor Ajak Sambut, Kenang Kelahiran Rasulullah SAW

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 7 OKTOBER 2022 – Seramai lebih 50 terdiri daripada pegawai dan kakitangan PERKIM Kebangsaan berkumpul di Majlis Perhimpunan Bersama Warga Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan di perkarangan ruang legar Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini.

Perhimpunan yang disertai oleh kakitangan IDIP-KL dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE) itu merupakan tradisi pertemuan bulanan pimpinan tertinggi PERKIM Kebangsaan bersama pegawai dan kakitangannya.

Majlis dimulakan dengan nyanyian Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan dipimpin oleh Pasukan Nasyid PERKIM Kebangsaan disusuli dengan bacaan doa oleh Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM Kebangsaan, Encik Muhammad Jais Mariappan Abdullah.

Majlis diserikan lagi dengan amanat Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.


Dr Yusof Noor dalam ucapannya berkata, nasyid merupakan satu wasilah untuk menambah keceriaan dalam berdakwah menerusi lagu-lagu berkaitan dengan agama.

Beliau menyarankan supaya Pasukan Nasyid PERKIM Kebangsaan menambah lagu-lagu tambahan dari semasa ke semasa seperti lagu Maulid Nabi Muhammad SAW atau Maal Hijrah dan sebagainya.

Katanya, umat Islam akan menyambut Maulidur Rasul di Malaysia ini bahkan di negara lain, walaupun tidak mempunyai sambutan seperti kita.

“Kita dipuji walaupun tidak ada majlis yang rasmi atau perkara wajib bagi menyambut dan mengenang hari kelahiran Nabi Muhammad SAW, tetapi ia menjadi syiar orang-orang Islam yang menunjukkan ekspresi serta kecintaan mereka kepada Rasulullah SAW yang sudah menyebarkan Islam pada 1400 tahun yang lalu.

“Walaupun Baginda wafat pada usia 62 tahun, tetapi ajaran yang Baginda tinggalkan tidak akan luput sehingga beribu-ribu tahun,” jelas Dr Yusof Noor.

Beliau mengajak warga PERKIM berdoa agar Allah SWT menambah rahmat kepada Baginda SAW.

“Tidak berapa lama lagi kita akan masuk ke tahun 2023 dan semua kejadian di alam ini akan bertambah usia termasuk pokok, bukit, manusia dan dunia.

“Kita semua akan bertambah tua dan bila kita mengaitkan dengan kelahiran Nabi Muhammad SAW, yang tidak boleh menolak peredaran masa, maka kita perlu membuat persediaan kerana bersedia menghadapi cabaran masa yang memamah kita.

Ujarnya, Nabi Muhammad SAW apabila sahaja menerima wahyu, maka bermulalah dakwah dan usia dakwah bersamaan dengan usia Baginda Rasulullah SAW.

Kalau kita perhatikan apakah yang dibuat oleh Nabi Muhammad SAW dalam konteks dakwah?

“Baginda berdakwah apabila menerima amanah daripada Allah SWT dengan berdakwah kepada orang jahil kerana Baginda dikelilingi oleh orang jahil.

“Rasulullah SAW berdakwah sejak menerima wahyu serta menghadapi golongan kafir yang belum Islam dan sudah tentu Baginda perlu menempuhi banyak cabaran.

“Sebelum memeluk Islam, ada di antara mereka itu sebenarnya adalah mereka yang kuat menentang Islam dan Nabi Muhammad SAW dengan kekerasan dan ada juga yang merancang untuk membunuh Nabi Muhammad SAW.

“Kita boleh bayangkan bagaimana kesulitan yang dihadapi oleh Baginda SAW berdakwah kepada orang bukan Islam yang terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan pancaroba,” ulas Dr Yusof Noor.

Tambahnya, di Malaysia, terdapat banyak badan dakwah pada masa ini seperti agensi-agensi rasmi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam.

Alhamdulillah urusan berdakwah ini bukan sahaja dibuat oleh PERKIM malah kita bekerjasama untuk memperkasakan dakwah dengan mereka dan jika tidak sampai seratus, tetapi sudah pasti berpuluh-puluh badan dakwah di Malaysia ini.

“Pada pemerhatian saya, ada sesuatu yang unik di PERKIM iaitu ia dicetuskan untuk memberi fokus dakwah kepada golongan yang bukan Islam di samping memberi kefahaman kepada orang-orang Islam itu sendiri,” katanya.

“Kita ada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang ditubuhkan oleh kerajaan dengan menjalankan kegiatan dakwah kepada orang Islam sendiri.

“Bila PERKIM dicetuskan oleh Perdana Menteri Malaysia pertama, YTM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di mana hasrat beliau supaya mendekati orang bukan Islam di mana amanat itu dipikul sehingga ke hari ini.

Mengulas lanjut, sebenarnya tugas kita ada sedikit kelainan di samping memberi kefahaman kepada orang-orang Islam yang sudah telah menganut Islam tetapi keunikan PERKIM adalah berasaskan kepada hasrat yang murni daripada pencetusnya untuk kita mendekati non-Muslim.

“Saya sebenarnya menyebut bahawa tugas yang kita lakukan pada hari ini bukanlah mudah, tetapi Insha Allah kita perlu pikul bersama-sama.

“Kita tidak boleh menyerahkan pada seorang individu untuk berdakwah kepada non-Muslim, tetapi kita buat secara bersama dan segala kesulitan itu jika dibuat bersama akan bertambah mudah serta perlu melaluinya dengan penuh kesabaran,” ujar beliau.

Dr Yusof Noor turut memetik firman Allah SWT ayat 54 dalam surah Al-Kahfi seperti mana yang disunnahkan melazimi membacanya pada hari Jumaat yang bermaksud: “dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya.”

Jelasnya, bila Allah SWT sendiri menciptakan manusia dan mereka merupakan satu golongan yang suka berbalah.

“Apabila kita menuruti keseluruhan ajaran Islam walaupun manusia itu suka berbalah tetapi ada jalan selamat iaitu menerusi akhlak yang baik, sabar, memahami dan membanyakkan rasa muhibbah.

“Saya yakin bahawa semua peringkat di PERKIM ini menghadapi cabaran ini kerana apabila kita berdakwah, kita akan mendengar berbagai-bagai pertikaian.

“Di dalam urusan berkaitan dengan Islam pun kadang kala orang Islam sendiri pun akan menerima pertikaian juga, maka akhirnya orang Islam akan rugi kerana mereka menghabiskan masa di dalam perbalahan.

“Maka sebab itulah kita perlu mengenang dan menghalusi perkara ini sekali gus saya merakamkan terima kasih kepada 111 warga pentadbiran PERKIM di mana sahaja kerana senantiasa istiqamah dan fokus dalam satu saf.

Katanya, agenda kita yang terbesar ialah untuk mensifarkan kemiskinan di kalangan saudara baru.

Beliau berharap, Allah SWT akan memberikan balasan yang baik jika berjaya memastikan setiap mereka yang memeluk Islam terselamat daripada kefakiran, kemiskinan dan kesusahan.

“Agenda PERKIM dan fokus ini telah kita putuskan di dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan PERKIM yang lalu iaitu mensifarkan kemiskinan di kalangan mereka yang baru mengucap dua kalimah syahadah.

“Kita akan memperhalusi agenda ke arah memperkasakan saudara baru supaya mereka dilihat sebagai orang yang mempunyai iman dan sejahtera hidup.

Mereka yang memeluk Islam di sini atau di mana sahaja akan diberikan bimbingan-bimbingan keusahawanan.

“Kita akan memfokuskan dengan memberikan kursus keusahawan kepada saudara baru yang diadakan di Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) di Kelantan melalui usahasama di antara Koperasi PERKIM Terengganu Berhad (KOPTER) dengan Koperasi Kayu Kelat Juara Jerteh Berhad (KKKJJ), AMWAJ Travel and Tours dan Yayasan Ekonomi Padang Besar (YEPB).

Antara kursus yang disediakan ialah pelancongan agro, pelancongan haji, umrah dan pelancongan Islam, bidang telekomunikasi, multimedia serta kerjaya belia.

Jelas Dr Yusof Noor, pungutan zakat yang dikumpulkan khususnya zakat perniagaan yang dikumpulkan secara purata pada tahun lalu di sekitar RM2.6 bilion.

“Satu perlapan daripadanya untuk saudara baharu dan kita berharap mendapat sebahagian  daripada satu perlapan itu untuk saudara baru PERKIM.

Dengan cara itu kita akan mencapai hasrat kita untuk mensifarkan kemiskinan di mana mereka ada tempat tinggal, kebolehan untuk melakukan kerja-kerja yang mudah menerusi kolaborasi dengan pelbagai pihak.

Selain itu, fokus kita ialah latihan untuk kader dakwah. Kader dakwah ini adalah pendakwah yang terdiri daripada orang yang telah lama memeluk Islam dan istiqamah melakukan usaha dan kerja-kerja dakwah dan kebajikan serentak dengan penglibatan latihan keusahawanan.

“Sebahagian daripada pendakwah menjadi kader dakwah yang kita latih terdiri daripada saudara baru.

Ulas beliau, kita sebagai sebuah organisasi yang mahukan pentadbir dan pemimpin negara yang baik serta jika kita meyakini pimpinan yang baik tentulah mereka tidak mengabaikan PERKIM kerana PERKIM adalah warisan dan amanah yang ditinggalkan oleh pemimpin negara.

Walaupun kekuatan kita hanya 111 orang, merekalah yang akan memberi impak yang besar kepada mungkin jutaan orang di seluruh negara.

“111 orang pasukan warga PERKIM mestilah bersatu padu, bekerjasama dan berganding bahu sesama kita. Usah gusar asalkan kita bekerja dan bergerak dalam satu saf seperti mana yang dikehendaki oleh agama kita.

Beliau juga mengingatkan warga PERKIM supaya berhati-hati dengan musim banjir dan PERKIM akan bersedia dengan Pasukan Sukarelawan Kecemasan.

Pasukan tersebut disertai dari PERKIM Bahagian Negeri-negeri yang akan berada di lokasi berlakunya bencana alam bagi menghulurkan bantuan dan membantu mereka.

Ulasnya, PERKIM Kebangsaan bersama membantu dan menyokong usaha ini kerana kebimbangan PERKIM kepada Muslim dan masyarakat dan ini merupakan cara dakwah yang paling berkesan.

“Mudah-mudahan kita menyambut Maulidur Rasul dengan penuh kekhusyukan, pengharapan dengan keberkatan dan syafaat Nabi Muhammad SAW sekali gus diharap PERKIM akan terus menjadi lebih perkasa lagi,” kata Dr Yusof Noor mengakhiri amanatnya.

Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim; Setiausaha Kerja (Pentadbiran dan Program), YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik; Setiausaha Kerja (Bahagian dan Cawangan) PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM – Kuala Lumpur (IDIP-KL), YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad dan Penyelaras Unit Penerbitan dan Media Baru, Encik Firdaus Lokman Tah.

Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad merupakan persembahan penutup Pasukan Nasyid PERKIM Kebangsaan.


Pasukan Nasyid PERKIM Kebangsaan memimpin nyanyian lagu Negaraku, PERKIM Pacu Kemajuan dan selawat.


Muhammad Jais Mariappan Abdullah mengetuai bacaan doa pembuka majlis.


(Dari kiri): Haji Mamat, Dato’ Hanif, Tan Sri Dr Yusof Noor, Datuk Nordin dan Dr Suariza menadah tangan ketika doa dibacakan.


Warga PERKIM Kebangsaan mengaminkan doa ketika bacaan doa dipanjatkan.


Dr Yusof Noor menyampaikan amanatnya di Himpunan Oktober 2022 Bersama Warga PERKIM.


Meraikan dan mengenang kelahiran Nabi Muhammad SAW antara yang diucapkan oleh Tan Sri SUA.


Dr Yusof Noor turut menekankan ayat 54 daripada Surah Al-Kahfi bermaksud: “dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya.”


Kelihatan staf IDIP-KL turut bersama di dalam perhimpunan itu.


Dr Yusof Noor turut mengumumkan bahawa PERKIM akan bersedia dengan Pasukan Sukarelawan Kecemasan bagi berlakunya bencana alam.

Related Articles

Back to top button