Aktiviti Dakwah

SUA PERKIM Saran Amal Doa Hindar Dari Sifat Negatif

Oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 7 SEPTEMBER 2023 – “Dukacita dan risau merupakan penyakit yang menyebabkan kita berasa sedih atau putus asa, maka mohonlah perlindungan daripada Allah SWT,” kata Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.


Dr Yusof Noor berkata ketika menyampaikan amanatnya di Majlis Perhimpunan Bulanan Warga PERKIM Kebangsaan diadakan di ruang legar, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, pada pagi Khamis.

Seramai lebih 40 orang hadir terdiri daripada pegawai dan kakitangan PERKIM Kebangsaan, Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL) dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE).

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan dipimpin oleh Pasukan Nasyid PERKIM serta bacaan doa oleh Penolong Pegawai Dakwah IDIP-KL, Abdul Qawi Navine Abdullah.

Majlis tersebut diacarakan oleh Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan (UDPI), Muhammad Farhan Tee Abdullah.

Dr Yusof Noor dalam ucapannya berkata, kita telah hampir masuk pada suku terakhir bagi tahun 2023.

“Semangat kita kadang kala akan merosot pada hujung tahun tetapi saya lihat warga PERKIM Kebangsaan semakin ceria dengan amalan doa yang ma’thur dipanjatkan pada setiap hari,” kata Dr Yusof Noor.

Jelasnya lagi, doa yang dibaca ialah doa daripada Rasulullah SAW bermaksud: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.” (Hadis Abu Said al-Khudri)

Ada di antara orang Islam dan bukan Islam yang menghadapi rasa dukacita atau kesedihan disebabkan kehilangan harta benda atau nyawa sehingga sanggup membunuh diri atau menjadi tidak siuman,
Kata Dr Yusof Noor, kita sebagai penganut Islam seharusnya mengamalkan dan menghayati doa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW itu, insya-Allah kita akan dilindungi oleh Allah SWT.

Tambahnya, bila kita berdakwah dengan mengajak orang lain masuk Islam, kita perlulah meyakinkan dan menetapkan pendirian dengan Islam dengan sepenuh keyakinan.

Dr Yusof Noor menjelaskan bahawa kita akan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tugasan di ibu pejabat tetapi khidmat kita akan sampai ke seluruh PERKIM negeri.

Terbaharu, kita telah mengadakan Sambutan Hari Penubuhan PERKIM Ke-63 di Pulau Pinang pada bulan lalu dan PERKIM Kebangsaan akan mengadakan aktviti dan program di negeri-negeri yang lain.

“Kita pergi ke negeri-negeri berdasarkan kepada keadaan dan kemampuan, sekiranya mendapat kerjasama serta tajaan secara tidak langsung ia dapat menjimatkan kos.

“Menerusi kerjasama dan jalinan hubungan yang baik dalam menganjurkan sesuatu program, tidak semestinya kos bertambah.

“Orang akan memberikan sumbangan sekiranya mereka yakin dengan PERKIM,” ujarnya.

Pada era Pengasas PERKIM, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj juga menghadapi perkara yang sama iaitu PERKIM tidak mempunyai sumber pendapatan yang tetap untuk menjalankan kegiatan, namun sumbangan daripada saudara baharu di kalangan profesional dan usahawan yang berjaya dapat menampung sumber kewangan PERKIM pada zaman itu.

Menurut Dr Yusof Noor, Hari Malaysia yang disambut pada setiap 16 September merupakan hari yang penting di mana ia merupakan hari penggabungan bersama di antara Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak bagi membentuk Malaysia pada tahun 1963.

Ujarnya, di antara pengasasan PERKIM adalah kerjasama di antara Almarhum Tunku mewakili Tanah Melayu dan Ketua Menteri Sabah, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun.

Itu yang menggerakkan Almarhum Tunku bahawa kerjasama awal Tanah Melayu dengan Sabah itu penting kerana Sabah memerlukan pertolongan dari segi dakwah dan begitu juga di Negeri Sarawak.

PERKIM mesti memikirkan strategi yang dimulakan oleh Almarhum Tunku apabila menyambut Hari Malaysia kerjasama PERKIM Ibu Pejabat dengan negeri-negeri pilihan mesti disuburkan semula kerana ia adalah amanah.

Kita akan cari jalan bagaimana kita hendak mengembalikan semula rangkaian kerja yang telah dimulakan oleh Almarhum Tunku dahulu iaitu PERKIM Kebangsaan mestilah memberikan tumpuan kepada negeri-negeri yang telah menginspirasikan beliau untuk menubuhkan PERKIM dengan melancarkan dakwah di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Kita akan mencari jalan untuk melebarkan perkhidmatan kita di PERKIM Kebangsaan supaya dapat dirasai oleh semua khususnya Sabah dan Sarawak.

Dakwah kepada masyarakat Melayu bukanlah satu keutamaan bagi PERKIM kerana PERKIM memberikan tumpuan khusus dakwahnya kepada mualaf dan bukan Islam manakala kepada golongan Melayu sebagai satu tambahan.

Sasaran tempat untuk pengembangan dakwah PERKIM ialah di bandaraya kosmopolitan seperti di Melaka, Ipoh, Johor Bahru, Penang dan Kuala Lumpur.

Beliau menyeru warganya supaya meningkatkan kualiti kerja bagi memberikan tahap prestasi yang cemerlang.

Jelasnya, negeri yang akan dipilih bagi melaksanakan aktiviti khidmat sosial selepas ini ialah di Negeri Perak dan Negeri Sembilan berdasarkan kemampuan yang kita ada tetapi pilihan utama ialah seperti mana yang telah diamanahkan oleh Almarhum Tunku iaitu di Negeri Sabah dan Sarawak.

Sekiranya kita ingin mengadakan aktiviti dakwah di Sabah, kita perlulah mengadakan perbincangan dan perundingan dengan badan gabungan PERKIM iaitu Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) manakala di Sarawak pula menerusi Harakah Islamiah (HIKMAH).

Mudah-mudahan usaha kita akan diterima oleh Allah SWT dan sekali gus diberikan kesihatan bagi menggalas tugas yang telah diamanahkan.

Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim; Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin; Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Encik Zulkefli Arifin; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah UDPI, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad serta Pengarah Unit Komunikasi dan Media PERKIM Kebangsaan, Encik Firdaus Lokman Tah.


Dr Yusof Noor berkesempatan bergambar bersama warganya sebelum memulakan majlis.


Majlis perhimpunan bulanan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan dipimpin oleh Pasukan Nasyid PERKIM.


Pimpinan PERKIM menyanyikan lagu Negaraku diikuti dengan lagu PERKIM Pacu Kemajuan.


Farhan Tee mengaacarakan majlis perhimpunan tersebut.


Abdul Qawi Navine mempimpin majlis bacaan doa.


Warga PERKIM Kebangsaan menadah tangan ketika doa dibacakan.


Kakitangan PERKIM mengaminkan doa yang dibacakan.


Dr Yusof Noor menyeru warganya supaya mengamalkan doa agar dilindungi oleh perkara negatif.


Dr Yusof Noor berkata, Hari Malaysia yang disambut pada setiap tahun merupakan hari penting.


Dr Yusof Noor memberitahu bahawa PERKIM akan mencari jalan untuk melebarkan perkhidmatan supaya dapat dirasai oleh semua.


Warga PERKIM mendengar amanat yang sampaikan oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM.


Dr Yusof Noor menyeru warganya supaya meningkatkan kualiti kerja bagi memberikan tahap prestasi yang cemerlang.

Related Articles

Back to top button