SS Datu Haji Kipli Sampaikan SKOP Dakwah dan Cabarannya di Sarawak
oleh: SRZ
KUALA LUMPUR, 8 SEPTEMBER 2023 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan menerusi Insitut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIPKL) telah menganjurkan Siri Kuliah Dakwah Perdana (SKOP) siri kelima bertempat di Dewan Al-Ilm, 250, Bangunan Balai Islam, IDIPKL pada pagi Jumaat.
Majlis dihadiri seramai lebih 100 peserta terdiri dari kakitangan PERKIM Kebangsaan, IDIPKL, PERKIM Bahagian Negeri Sembilan, PERKIM Cawangan Rembau, PERKIM Cawangan Nilai, Wanita PERKIM Cawangan KL Utara, PERKIM Cawangan Bandar Tasik Puteri serta saudara baharu.
Majlis dimulakan dengan ucapan disampaikan oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
Dr Yusof Noor dalam ucapannya berkata, kita bersyukur kepada Allah SWT kerana kita dapat bertemu di dalam majlis kelima SKOP yang menjadi hasrat PERKIM untuk menambahkan lagi peluang kita mendapatkan ilmu daripada tokoh ilmuan semasa dari Sarawak.
Di Malaysia, kita akan menyambut Hari Malaysia tidak lama lagi bagi meraikan hari ikatan muhibbah yang lebih rapat di antara Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak pada 16 September 2023.
Beliau berkata, 16 September 1963 merupakan tarikh keramat untuk kita mengukuhkan hubungan kita dalam memperingati penggabungan bersama Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak bagi membentuk Malaysia.
Tambahnya, Pengasas PERKIM, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang juga Perdana Menteri pertama berperanan dalam menggabungkan Sabah dan Sarawak bersama Tanah Melayu.
Kata Dr Yusof Noor lagi, rancangan penubuhan PERKIM yang diasaskan oleh Almarhum Tunku tentu ada kaitan yang rapat dengan hubungan rakan-rakan di Sabah dan Sarawak.
Buktinya, sewaktu Almarhum Tunku mengasaskan PERKIM, rakan-rakan yang erat dengannya bagi melancarkan rancangan penubuhan PERKIM ialah Allahyarham Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun selaku Ketua Menteri Sabah manakala Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Ya’kub selaku Ketua Menteri Sarawak pada ketika itu.
Ulas beliau, penubuhan PERKIM dalam misi penerangan Islam oleh Almarhum Tunku bukan sahaja tertumpu di Semenanjung Tanah Melayu tetapi juga di Sabah dan Sarawak.
Menurut Dr Yusof Noor lagi, di dalam fikiran Almarhun Tunku berdasarkan dokumen dan fail-fail lama yang ditinggalkan, hasratnya untuk menjalinkan kerjasama bersama negeri Borneo dengan menjadikan Islam sebagai agama diterima dengan baik dan tiada unsur paksaan serta berasaskan kepada hikmah.
Uniknya di Sarawak, minoriti orang Islam diterima baik dan dihormati oleh majoriti bukan Islam serta menerima pimpinan Muslim yang hanya terdiri daripada 25 peratus penganutnya.
Kata Dr Yusof Noor, ini adalah senjata yang digunakan oleh pimpinan di Sarawak iaitu al-Hikmah sambil memetik Surah Al-Nahl, ayat 125 bermaksud : “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan.”
“PERKIM adalah badan dakwah, kalau kita tidak menggunakan senjata al-Hikmah, saya fikir PERKIM akan gagal menerangkan agama Islam kepada bukan Islam,” kata beliau mengakhiri ucapannya.
Mufti Negeri Sarawak, Sahibus Samahah Datu Haji Kipli Haji Yassin meneruskan penyampaian kuliah bertajuk ‘Dakwah dan Cabarannya di Sarawak’.
Datu Haji Kipli dalam ceramahnya memperkenalkan dirinya telah berkhidmat sebagai Mufti Negeri Sarawak selama 13 tahun dan sebelumnya beliau merupakan generasi keempat yang mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Hj Othman Abd Wahab, Kuching di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.
Ujarnya, memandangkan kekurangan kuliah agama di masjid kampungnya, beliau menawarkan diri sejak usianya tingkatan tiga untuk mengajar kuliah agama serta berkhutbah dan bermula saat itulah beliau membina karekter untuk jadi pendakwah.
Sebelum ini, beliau pernah menyandang jawatan sebagai pensyarah di Universiti Malaya, Jabatan Agama Islam Sarawak, Jabatan Premier Sarawak, Majlis Islam Sarawak, Jabatan Mufti Sarawak, usahawan dan jawatan terakhir ialah menjadi Mufti Negeri Sarawak.
Kata Datu Haji Kipli lagi, di Sarawak dakwah paling penting ialah ‘Dakwah Bil Hal’.
Beliau menjelaskan bahawa berdasarkan sumber daripada demografi Kerajaan Negeri Sarawak bagi tahun 2020, jumlah populasi seluruh negeri Sarawak ialah seramai 2,907,500 orang di mana kaya dengan pelbagai budaya dan etnik.
812,900 daripada penduduknya adalah dari Kuching manakala di Samarahan mempunyai 187,500 penduduk yang masing-masing majoritinya adalah daripada kalangan bangsa Melayu dan Cina.
Di Serian mempunyai 105,800 penduduk majoritinya daripada bangsa Bidayuh manakala di Sri Aman pula mempunyai 111,400 penduduk daripada kalangan bangsa Iban.
Bangsa Melayu dan Iban mempunyai sama ramai di Betong 128,000 manakala penduduk di Sarikei berjumlah 139,000 dari kalangan Cina dan Melanau.
Seramai 349,700 penduduk di Sibu adalah dari kalangan bangsa Cina etnik Foochow manakala di Mukah didiami 134,900 penduduk dari kalangan bangsa Melanau dan 266,200 penduduk di daerah Bintulu Iban, Melanau dan Cina.
Kedudukan penganut agama Islam di Sarawak secara tidak rasmi berjumlah 32.3 peratus yang merupakan satu cabaran yang besar di mana PERKIM boleh bantu kita menghidupkan dakwah di Sarawak.
Katanya, melihat daripada demografi tersebut, dakwah di Sarawak perlu dihayati dan difahami serta melakukan dengan secara berhikmah.
Jelas beliau kekuatan dakwah di Sarawak berpotensi dilaksanakan menerusi kepelbagaian, perpaduan, badan-badan Islam, medan dakwah yang luas dan sistem sokongan.
Ujarnya, kita boleh menyampaikan Islam dalam pelbagai bentuk dengan memahami pelbagai 30 etnik dan budaya di Sarawak.
Bersandarkan firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat, ayat 13 bermaksud : “Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain) Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).”
Antara kekuatan perpaduan yang dibina ialah mengamalkan makan bersama rakan bukan Islam ketika berada di seminar atau kursus kerana ianya merupakan peluang yang ada untuk berdakwah.
Perbualan dan pendapat secara tidak langsung boleh menceritakan tentang keindahan Islam mereka akan hormat kepada kita.
Menerusi tinjauan beliau, ramai di antara orang bukan Islam di Sarawak menonton dan mengikuti rancangan Forum Perdana Ehwal Islam.
Di antara kekuatan badan-badan Islam ialah Majlis Islam Sarawak, Jabatan Agama Islam Sarawak, Tabung Baitulmal Sarawak, Jabatan Mufti Negeri Sarawak, Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Pusat Penerangan Islam Sarawak, Biro Pendidikan Majlis Islam Sarawak, Lembaga Amanah Kebajikan Masjid-masjid, PERKIM Bahagian Negeri Sarawak, Harakah Islamiah Sarawak (HIKMAH), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sarawak dan lain-lain.
Katanya, Jawatankuasa Penyelarasan Dakwah Peringkat Negeri Sarawak pula berfungsi untuk memastikan perjalanan dakwah di dalam keadaan terkawal dan menjaga sensitiviti agama serta adat budaya di Sarawak.
Medan dakwah yang luas merupakan satu kekuatan dengan memberi pemfokusan ilmu seperti kelas, tazkirah serta kuliah kepada generasi kanak-kanak, belia, dewasa, warga emas, lelaki, wanita, saudara baharu, badan kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan dan lain-lain.
Kekuatan sistem sokongan adalah penting bagi berhubung wajib dengan Kerajaan Malaysia dalam membentuk strategik kepada Islam atau bukan Islam.
Sekiranya di kawasan tersebut wakil rakyat bukan Islam, dengan sistem sokongan yang ada mereka membantu mencadangkan untuk dibina masjid di kawasan tersebut.
Sistem Tauliah Sarawak melalui Undang-Undang Imigresen bertindak untuk membanteras ajaran sesat bagi penceramah yang memberi syarahan atau kuliah yang tidak penepati kelayakan serta mereka boleh diarahkan untuk pulang dalam masa 24 jam.
Antara mereka yang akan disenarai hitamkan ialah menyampaikan agenda yang menyalahi keadaan di Sarawak, membawa fahaman-fahaman yang bertentangan dengan nilai yang ada di Sarawak serta pandangan yang boleh memecah belahkan masyarakat.
Turut diadakan sesi soal jawab bersama peserta.
Majlis berakhir dengan penyampaian cenderahati sebuah Buku Warisan dan Wawasan 60 Tahun PERKIM dan plak PERKIM disampaikan oleh Dr Yusof Noor kepada Datu Haji Kipli.
Antara kepimpinan tertinggi PERKIM yang menjayakan SKOP siri kelima di IDIPKL.
Abdul Qawi Navine Abdullah mengacara sambil membacakan doa pembuka majlis.
Antara lebih 100 peserta hadir bagi menjayakan Siri Kuliah Dakwah Perdana Ke-5.
Dr Yusof Noor menyampaikan ucapan aluannya di SKOP siri kelima.
Peserta mendengar ucapan yang disampaikan oleh Tan Sri Setiausaha Agung Kehormat PERKIM.
Sahibus Samahah Datu Haji Kipli Haji Yassin menyampaikan tajuk Dakwah dan Cabarannya di Sarawak.
Datu Haji Kipli menunjukkan jumlah keseluruhan populasi mengikut kawasan atau daerah.
Antara kriteria lima kekuatan yang perlu ada untuk berdakwah di Sarawak.
PERKIM cawangan hadir mendengar kuliah perdana yang disampaikan oleh Mufti Sarawak.
Peserta tekun mendengar metodologi dan cabaran berdakwah di Sarawak disampaikan oleh Mufti Sarawak.
Peserta berasal dari Sarawak mengajukan soalan dalam sesi soal jawab.
Dr Yusof Noor menyampaikan cenderamata Buku Warisan dan Wawasan 60 Tahun PERKIM dan plak PERKIM kepada Datu Haji Kipli sambil diiringi oleh pimpinan PERKIM.
Pimpinan PERKIM bersama Mufti Negeri Sarawak merakamkan gambar kenang-kenangan dengan peserta di akhir majlis.