Aktiviti Dakwah

Ramadan Pertama Buat Mualaf PERKIM

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (al-Baqarah : 185)

Majoriti umat Islam telah dibimbing berpuasa oleh ibu bapa sejak kecil bermula pada usia 5 atau 6 tahun dan mereka tidak sabar dengan perasaan gembira menantikan saat waktu berbuka apabila azan dikumandangkan malah segelintir ibu bapa memberikan saguhati sebagai token bagi hari setiap ibadah yang dikerjakan sebagai penyuntik semangat.

Namun, bagi mereka yang baru mendapat hidayah iaitu mualaf atau pun dikenali sebagai Saudara Muslim kebanyakknya sukar untuk menunaikan rukun Islam yang ketiga di bulan Ramadan itu kerana tidak pernah atau tidak biasa dengan amalan berlapar dan dahaga.

Dalam tempoh kira-kira 13 jam lamanya dan bersertakan niat yang ikhlas semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah, mereka seolah-olah tidak percaya dapat menunaikan ibadah puasa dengan penuh kenikmatan selama dua minggu tanpa berponteng.

Malah program Ihya’ Ramadan atau dikenali sebagai Majlis Iftar Bersama Saudara Muslim yang bermula 10 Julai hingga 7 Ogos 2013 anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan telah dilaksanakan setiap tahun sejak sepuluh tahun lalu.

Ia bertujuan memberikan pendedahkan kepada Saudara Muslim ikatan silaturahim dan pembinaan akidah melalui pengisian program yang diadakan seperti tazkirah, berbuka puasa, tadarus al-Quran, solat Maghrib dan Isyak berjemaah serta solat sunat tarawih.

gambar-nordin-chaw-foois“Sebelum memeluk Islam, saya telah lapan tahun belajar puasa dengan dua orang anak angkat berbangsa Melayu tanpa sebarang masalah tetapi saya berasa lebih nikmat dan seronok apabila berpuasa selepas masuk Islam,” kata Nordin Chaw Fooi, 65, dari Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Beliau yang juga penuntut kelas pengajian harian Perkim dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berasa gembira dengan aktiviti dan program yang dianjurkan Perkim kerana dapat menjalinkan ukhwah Islamiah dengan rakan-rakan pelbagai kaum dan berbuka puasa serta menunaikan solat tarawih bersama mereka.

“Dengan tazkirah yang disampaikan oleh penceramah jemputan, sedikit sebanyak dapat memberikan ilmu agama dan pengetahuan kepada saya yang menggemari majlis ilmu,” jelas Nordin yang berketurunan Cina.

“Saya juga bertekad untuk memperbanyakkan amalan ibadah seperti berdoa, berzikir, berselawat, qiamulail, bertadarus al-Quran dan membuat kebajikan di bulan Ramadan yang banyak ganjaran pahalanya,” ujar Nordin.

gambar-fathiya-espinosa-abdullahsPegawai Perhubungan Pelanggan di Bandar Raya Developments Berhad (BRDB), Fathiya Espinosa Abdullah, 27, yang memeluk Islam pada 10 Mei 2013 juga belajar berpuasa sebelum menjadi Muslim.

“Puasa sebelum Islam hanya saya rasa kosong kerana cuma dapat rasa lapar dan dahaga sahaja, tetapi kini saya berasa lebih puas kerana ketika berbuka saya merasakan hadirnya keberkatan pada diri serta berhasrat ingin melengkapkan puasa selama 30 hari,” ujar Fathiya.

Beliau yang berketurunan Kadazan Filipina itu berkata, pengalaman berpuasa sebenarnya bukan sahaja menahan lapar dan dahaga, tetapi kita juga perlu mengawal nafsu dan menjauhkan diri dari sifat-sifat mazmumah.

Fathiya juga turut bersahur dengan memanaskan makanan lebihan berbuka semalam atau memasak makanan yang mudah seperti nasi dan telur goreng sahaja kerana katanya pernah mendengar Hadis Riwayat Ahmad yang disampaikan oleh penceramah iaitu:, “Sahur adalah makanan berkat, maka jangan kalian tinggalkan walaupun salah seorang dari kalian hanya minum seteguk air, kerana Allah dan para malaikat berselawat ke atas orang-orang yang bersahur.”

Selain itu, beliau bertekad ingin melaksanakan ibadah puasa sunat enam Syawal serta puasa sunat Isnin dan Khamis selepas berakhirnya bulan Ramadan.

“Di bulan turunnya al-Quran ini, saya ingin meningkatkan tahap bacaan al-Quran dengan bacaan yang lancar dan memahami terjemahannya sekali gus dapat membaca secara berjemaah bersama rakan-rakan dalam tadarus al-Quran,” hasratnya.

Selain itu, beliau ingin mempertingkatkan amalan kebajikan seperti bersedekah, gotong-royong membersihkan masjid, menghulurkan kasih sayang kepada anak yatim dan menziarahi rumah orang tua.

“Cita-cita saya ingin menjadi Muslimah sejati dengan mendalami ilmu agama, memperbanyakkan amalan dan melaksanakan ibadah secara beristiqamah,” ujar Fathiya yang berasal dari Keningau, Sabah.

gambar-humairah-dorin-sepiri-abdullahsManakala, bagi Humairah Dorin Sepiri Abdullah, 26, pernah mencuba berpuasa tetapi disebabkan lapar dan mengalami masalah gastrik, beliau hanya bertahan selama dua hari sahaja.

“Alhamdulillah, dengan semangat dan keyakinan daripada rakan-rakan, Ramadan ini belum pernah saya gagal untuk menunaikan ibadah puasa,” kata beliau.

“Syukur nikmat yang diberikan Allah SWT, apabila berbuka dengan air sejuk yang diminum melalui tekak yang kering kedahagaan serta merasai kemanisan kurma yang memberikan tenaga pada badan,” ulasnya.

Beliau yang setiap hari berbuka puasa di Surau Bangunan Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur itu berasa gembira kerana dapat mengenali dan beramah mesra serta bertukar-tukar fikiran bersama Saudara Muslim yang lain.

Jelasnya, antara juadah berbuka puasa yang disediakan ialah aneka kuih muih, nasi beriyani, nasi berlauk manakala bubur lambuk merupakan juadah moreh.

Humairah berhasrat meningkat amalan dengan bersedia menyambut dan menghayati sepuluh malam terakhir Ramadan iaitu Lailatul Qadar, malam kemuliaan yang dinantikan oleh setiap umat Islam kerana malam tersebut adalah lebih baik daripada seribu bulan.

“Barang siapa melaksanakan solat pada malam al-Qadar kerana keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampunkan.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Saya ingin memperbanyakkan amal jariah dengan memberikan sedekah kepada orang kelainan upaya (OKU), fakir miskin dan mereka yang memerlukan,” kata Humairah yang memeluk Islam pada 2012.

“Saya juga turut bersama rakan-rakan menunaikan solat sunat tarawih lapan rakaat diketuai oleh imam jemputan mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang memberi ketenangan dan kekhusyukkan kepada saya lain daripada yang lain,” kata gadis dari Ranau, Sabah.

1
Peserta mendengar tazkirah yang disampaikan oleh penceramah jemputan.

 

2
Penceramah jemputan menyampaikan tazkirah Ramadan kepada peserta.

 

3
Nordin (kanan) menyerahkan kupon makanan kepada urus setia ketika persiapan berbuka puasa.

 

4
Saat dan ketika Saudara Muslim berbuka puasa dengan kurma, kuih dan air minuman.

 

5
Saudara Muslim menikmati juadah yang disediakan ketika berbuka puasa.

 

6
Ada di antara Saudara Muslim membawa bekal tambahan untuk dikongsikan ketika berbuka puasa.

 

7
Saudara Muslim riang gembira di saat berbuka puasa di Majlis Iftar Ramadan Perkim.

 

8
Wajah-wajah gembira Saudara Muslim ketika berbuka puasa.

 

9
Saudara Muslim bersama-sama bertadarus al-Quran sementara menunggu masuknya waktu Isyak.

 

10
Saudara Muslim membaca al-Quran dengan penuh kekhusyukan.

 

11
Bertadarus bukan sahaja melancarkan bacaan malah mendapat ganjaran pahala yang berlipat kali ganda di bulan yang penuh berkat ini.

 

12
Saudara Muslim bersama-sama bertadarus bagi mengimarahkan lagi bulan Ramadan al-Mubarak.

 

13
Saudara Muslim bersama-sama menunaikan solat fardu Isyak berjemaah diketuai oleh imam jemputan.

 

14
Saudara Muslim menunaikan solat dengan penuh khusyuk dan tawaduk.

 

15
Jemaah menadah tangan ketika doa dibacakan.

 

16
Muslimah mengaminkan doa yang dibacakan oleh imam.

 

17
Saudara Muslimah berdoa agar diampunkan dosa-dosa yang telah lalu.

 

18
Saudara Muslim mengerjakan solat sunat tarawih berjemaah.

 

19
Muslimah turut mengerjakan solat sunat tarawih yang dijanjikan ganjaran pahala bagi setiap mereka yang melaksanakannya.
Lagi gambar @ 

Related Articles

Back to top button