Program Ramah Mesra Wanita PERKIM Bersama Saudara Muslim

Oleh: NUR ELIA HUSNA MOHD. KHAIR
“Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk (dalam semua kebaikan dunia dan akhirat); dan barangsiapa yang disesatkan Allah, maka merekalah orang-orang yang rugi (dunia dan akhirat)” (al-A’raaf:178).
Sesungguhnya hidayah itu milik Allah setiap mereka yang bergelar saudara baru atau kini lebih dikenali sebagai Saudara Muslim yang memeluk Islam, masing-masing mempunyai kehendak tersendiri.
Hidayah merupakan sebab utama keselamatan dan kebaikan hidup manusia di dunia dan akhirat. Sehingga barang siapa yang dimudahkan oleh Allah SWT untuk meraihnya, maka sungguh dia telah meraih keuntungan yang besar dan tidak akan ada seorang pun yang mampu menghalangnya.
Baru-baru ini, Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan telah menganjurkan Majlis Ramah Mesra Bersama Saudara Muslim bertempat di ruang legar, Bangunan PERKIM, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 1 Oktober 2015.
Program yang bertemakan ‘Hidayah itu Milik Allah’ itu dihadiri seramai 30 Saudara Muslim berketurunan Cina, India, Kadazan, Iban, Murut, Filipina dan Indonesia.
Ketua Wanita PERKIM Kebangsaan, YBM Tengku Puan Temenggung Kelantan YTM Tunku Dato’ Hajjah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berkata, sempena sambutan Hari Raya Aidil Adha, kita bersama Saudara Muslim meraikan hari yang mulia disamping menyelami kisah suka-duka, pahit dan manis perasaan mereka selama bergelar mualaf.
YTM Tunku Noor dengan rendah hati beramah mesra bersama Saudara Muslim dan berbual santai mengenai perkongsian di saat mendapat hidayah dan ketika memeluk Islam.
“Saya yang dilahirkan sebagai seorang Islam berasa teruja kerana mereka mendapat hidayah untuk memeluk Islam dan menghadapi pelbagai pengorbanan serta cabaran melalui sesi perkongsian yang diadakan,” jelasnya.
YTM Tunku Noor turut menasihatkan Saudara Muslim supaya sentiasa meningkatkan azam dan iltizam bagi mendalami pengetahuan serta kefahaman Islam.
Beliau menjelaskan, program seumpama ini merupakan satu usaha dan cara untuk bersama-sama menyantuni golongan Saudara Muslim yang kebanyakannya terdiri daripada pelbagai latar belakang kehidupan sama ada dari aspek keturunan, budaya, bahasa, pendidikan dan sebagainya.
“Jiwa dan hidup menjadi lebih tenang serta menjadi seorang penyabar antara sebab saya memeluk Islam”, kata Nurul Huda Abdul Manaf yang berasal dari Sentul.
Nurul Huda yang merupakan salah seorang pelajar Kelas Pengajian Fardu Ain dan Al-Quran Saudara Muslim PERKIM berkata, jika sebelum ini hidup saya kosong tetapi setelah memeluk Islam ianya telah dipenuhi serta diwarnai dengan hala tuju kehidupan sekali gus mempercayai bahawa Islam satu-satunya agama yang benar.
Mualaf dari negara India, Mohd Ali Samnani pula merasakan hidupnya lebih berkat dan rezekinya semakin luas setelah kembali kepada agama fitrah.
Beliau juga berkongsi kisah kehidupan beliau sebelum yang berkahwin dengan seorang wanita Islam walaupun pada ketika itu beliau belum memeluk agama Islam. Hal ini kerana di negara India mereka dibenarkan berkahwin walaupun berlainan agama.
Selama ini beliau hanya memerhatikan isteri rajin bersolat dan berpuasa tetapi tidak terlintas untuk mengamalkan cara hidup Islam. Melalui keberkatan doa isterinya, hatinya tertarik dan merasa perubahan hidup yang ketara iaitu ketenangan selepas mendalami Islam.
Selain itu, terdapat juga individu yang memeluk Islam kerana ingin mendisiplinkan diri seperti saudara baru Mark Revello, warganegara Jerman. Hati beliau yakin kerana Islam merupakan satu agama yang mempunyai batas dalam segala hal dan ini dapat mendisiplinkan umat dalam melakukan apa sahaja tindakan. Islam baginya cukup jelas sebagai agama yang terbaik.
Jamuan ringan pada majlis tersebut telah ditaja oleh YTM Tunku Noor yang merupakan anak kepada Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, Pengasas PERKIM merangkap Perdana Menteri Malaysia yang pertama.
YTM Tunku Noor mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerjasama dan bertungkus lumus dalam menjayakan program dan berharap supaya pertemuan seumpama ini adalah bermulanya titik tolak perjumpaan dengan Saudara Muslim.
Beliau juga berharap ada kesinambungan sesi ramah mesra seperti ini pada masa akan datang agar Saudara Muslim tidak berasa terasing dan tersisih.
YTM Tunku Noor Hayati (berbaju kelabu) menyampaikan ucapannya di Program Ramah Mesra di Bangunan PERKIM, Jalan Ipoh.
Di antara 30 Saudara Muslim yang hadir di program tersebut.
Diadakan sesi perkongsian kehidupan dengan menyelami kisah suka-duka, pahit dan manis selama bergelar mualaf.