Aktiviti Dakwah

Pertemuan Usrah Kakitangan PERKIM Bulan Oktober

oleh: UMI MUSFIRAH ABDUL GHANI

2 OKTOBER – KUALA LUMPUR. Seperti mana takwim bulanan pada setiap minggu pertama hari Jumaat setiap bulan, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan mengadakan Pertemuan Usrah Bulanan Bersama Kakitangan PERKIM di Ruang Legar, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah pagi tadi.

Seramai lebih 60 kakitangan menghadiri pertemuan usrah terdiri daripada PERKIM Kebangsaan, PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL) dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE).

Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa; Pengarah Unit Hubungan Dalam dan Luar Negara, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Pengarah Unit Pembangunan dan Aset, YBhg Dato Haji Ahmad Mustafa; Pengarah Unit Pentadbiran dan Program, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik; Pengarah IDIP-KL, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad.

Majlis dimulakan dengan ucapan pengerusi majlis, YBrs Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah dan disusuli nyanyian lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan dipimpin oleh 12 Pasukan Koir PERKIM.

YBrs Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah mengetuai majlis bacaan doa pembuka majlis.

Majlis diserikan lagi dengan ucapan Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor.


Tan Sri Yusof Noor dalam ucapannya mencadangkan untuk mewujudkan pakaian seragam bagi 12 ahli Pasukan Koir PERKIM bertujuan menambahkan lagi semangat ahli Koir PERKIM serta membezakan Pasukan Koir PERKIM dengan pakaian seragam yang lain serta berhasrat menaja pakaian mereka.

Katanya, beliau telah memperkenalkan nasyid sebagai wasilah dakwah pada tahun 1988 dahulu di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana nyanyian nasyid adalah penting dalam mewujudkan semangat kekitaan bukan sahaja di peringkat PERKIM Kebangsaan malah PERKIM seluruh negeri.

Dengan kelahiran Pasukan Koir PERKIM ia dapat menyerlahkan kemajuan PERKIM selepas era 60 tahun PERKIM ditubuhkan dan pada masa akan datang pasukan kita boleh menyanyikan pelbagai lagu yang lain.

Ujar Tan Sri Yusof Noor, pada masa kini keadaan negara kita berada dalam keadaan kurang baik kerana kes COVID-19 meningkat semula. Penyakit ini sukar dikesan, kemungkinan suhu badan kita normal, namun apabila dilakukan pemeriksaan lanjut didapati orang tersebut dijangkiti COVID-19.

Beliau mengajak hadirin memanjatkan doa kepada Allah SWT agar warga PERKIM khususnya, serta yang lainnya terselamat dan dilindungi daripada wabak COVID-19. Kebarangkalian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pernah dilaksanakan pada bulan Mac lalu akan dilaksanakan semula sepertimana yang dilaksanakan di negara-negara lain.

Kes jangkitan COVID-19 secara keseluruhan di peringkat global telah melebihi 30 juta manakala kematian akibat wabak tersebut telah mencecah satu juta. Maka, kita perlu ambil serius mengenai perkara ini dan kita perlu terus berdoa kepada Allah SWT agar kita semua dilindungi daripada wabak penyakit ini.

Tan Sri Yusof Noor turut menyampaikan salah satu doa yang ma’thur iaitu:

               تَحَصَنتُ بِذي العِزةِ وَالجَبروْت وَاعْتَصَمْتُ بِرَبّ الملَكُوت وَتوَكلتُ عَلىَ الحَيّ الذي لَا يَمُوت

                  اللهم اصْرِف عَنا هَذا الوبَاء وَقِنا شَرّ الدَاء  بِلُطفِكَ ياَلطيْفُ يَاخَبِير إنكَ عَلى كُل شَيء قدير

Maksudnya: “Aku berlindung kepada Allah, zat pemilik kemuliaan dan kekuasaan, dan aku meminta perlindungan kepada Tuhan Kerajaan Langit. Dan aku bertawakal kepada zat Yang Maha Hidup yang tak pernah mati. Ya Allah, lindungilah kami dari wabak penyakit ini.

Dan jagalah kami dari bahaya penyakit. Dan selamatkanlah kami dari segala wabak penyakit yang berbahaya (mematikan) dan segala bala.  Berkat sifat kelembutanMu, Wahai Zat Yang Maha Memberi Kabar, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.”

Tambah Tan Sri Yusof Noor lagi, walaupun kita tidak mampu mengingati nasnya, kita boleh berdoa dengan kefahaman daripada makna doa tersebut dan kita boleh mengambil pengajaran dari wabak penyakit yang melanda sekarang ini. Walau sehebat mana pun kita, jikalau Allah menguji kita hanya dengan penyakit sedikit ini, manusia akan menjadi lemah.

“PERKIM diwujudkan bertujuan untuk berdakwah, maka kita boleh sama-sama berfikir apakah kerja dakwah yang kita lakukan di samping saya menjalankan peranan sebagai Setiausaha Agung Kehormat, apakah kerja dakwah yang saya lakukan,” jelas Tan Sri Yusof Noor.

“Terdapat segelintir orang yang sanggup melakukan pengislaman dan kerja dakwah tanpa dibayar serta melaksanakan kerja agama tanpa mengharapkan apa-apa balasan serta saya juga ingin memberitahu bahawa ramai orang yang sukarela serta sanggup mengeluarkan wangnya sendiri untuk dibelanjakan dalam usaha berdakwah serta mengislamkan golongan yang belum Islam,” ujar beliau.

Jiwa PERKIM yang sebenarnya ialah berdakwah dan pentadbiran itu perlu namun kita seharusnya memfokuskan lebih kepada usaha-usaha berdakwah dan apabila Bangunan PERKIM ini sudah menjadi milik kita sepenuhnya, kita perlu mengimarahkan Bangunan PERKIM ini dengan aktiviti-aktiviti seperti usrah bulanan, kebajikan dan barulah masyarakat menyedari kewujudan PERKIM.

Justeru, kita perlu berusaha untuk menjaga bangunan ini supaya ia menjadi bangunan yang baik dan dihormati. Apabila orang awam melalui Bangunan PERKIM ini, sekurang-kurangnya mereka memahami etika pakaian bersopan perlu diamalkan ketika berada di dalam bangunan ini.

Kita perlu sama-sama menjaga kebersihan serta memelihara keindahan Bangunan PERKIM dan kita sedang berusaha untuk memperbaiki imej PERKIM. Kita perlu fokus untuk meningkatkan lagi usaha-usaha dakwah di PERKIM ini kerana itu yang lebih utama.

“Ini adalah bendera PERKIM berwarna hijau, kuning dan putih yang merupakan lambang semangat kepada satu pasukan,” jelas Tan Sri Yusof Noor diakhir ucapannya sambil mengibarkan bendera PERKIM.

 

Related Articles

Back to top button