PERKIM Wilayah Santuni Gelandangan Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR, 18 OGOS 2022 – Kakitangan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Wilayah Persekutuan telah mengadakan Program Santuni Gelandangan di sekitar ibu negara tengah hari tadi.
Menurut Pegawai Dakwah PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, Mohd Jogi Maruli Panjaitan, bungkusan telah diagihkan kepada gelandangan di lorong-lorong sekitar Jalan Raja Laut, Jalan Haji Taib, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Chow Kit, Jalan Tun Perak, Jalan Masjid India dan dan berakhir di Jalan Dang Wangi.
Bungkusan yang diagihkan ialah bungkusan makanan nasi lauk ayam, ikan, sayur, air minuman, air kotak dan biskut serta set kebersihan seperti sabun, berus gigi dan ubat gigi.
Mohd Jogi berharap, dengan bungkusan yang disampaikan itu sekurang-kurangnya dapat mengalas perut gelandangan yang masih belum terisi pada hari itu di samping memberi kesedaran agar sentiasa menjaga asas kebersihan diri.
Insha Allah, PERKIM Wilayah Persekutuan akan meningkatkan lagi agihan bungkusan kepada gelandangan dari semasa ke semasa di kawasan ibu negara bagi tanda keprihatinan PERKIM kepada mereka yang memerlukan.
Turut menyertai staf PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, Suria Abdullah dan Azim Sivasalam serta pelajar latihan industri, Muhammad Adli Hisham.