PERKIM Lantik Bendahari Kehormat, Penolong Setiausaha Agung Kehormat Baharu
oleh: SAFIYYA NUR SAKEENA SALLEHUDDIN
Bagi mengeratkan ukhwah, PERKIM Kebangsaan telah menganjurkan Majlis Pertemuan Setiausaha Agung Kehormat dengan Kakitangan PERKIM pada 12 Ogos 2022 yang lalu di Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM (IDIP-KL), Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur.
Muhammad Farhan Tee Abdullah selaku pengacara majlis memulakan ucapan alu-aluan diikuti dengan bacaan doa oleh Muhammad Jais Mariappan Abdullah, Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM Kebangsaan.
Pasukan Koir PERKIM Kebangsaan turut mengetuai nyanyian lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan.
Majlis tersebut dihadiri seramai lebih 60 orang yang terdiri daripada Pegawai dan kakitangan PERKIM Kebangsaan, Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM – Kuala Lumpur (IDIP-KL) dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE).
Majlis disempurnakan dengan penyampaian amanat oleh Setiausaha Agung Kehormat, YBhg. Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
Tan Sri Yusof Noor mengucapkan rasa syukur dan berbesar hati kerana dapat bertemu bersama kakitangan PERKIM di dalam majlis pertemuan itu di mana peranan yang dimainkan oleh warga PERKIM dalam perkembangan dakwah Islam perlu diiktiraf kedudukannya sebagai sebuah badan pertubuhan kebajikan yang dihormati dalam menjaga dakwah dan kebajikan umat Islam di Malaysia.
Beliau menggalakkan supaya warga PERKIM terutamanya Kakitangan PERKIM Kebangsaan terus bersemangat dalam menggerakkan kerja-kerja dakwah dan menggalakkan kemesraan dan kasih sayang antara satu sama lain.
“Sebagai badan dakwah, kita hendaklan sentiasa bersatu hati dalam menjalankan dakwah dan kebajikan kepada golongan yang memerlukan”, tambahnya lagi.
Majlis tersebut turut menyaksikan pelantikan YBhg. Dato’ Haji Abdul Hanif Harun sebagai Bendahari Kehormat PERKIM Kebangsaan dan YBhg. Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim sebagai Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan bagi penggal 2022 hingga 2025.
Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor berkata, pengalaman dan kebolehan Bendahari Kehormat dan Penolong Setiausaha Agung Kehormat yang baharu itu dapat mempelbagaikan inovasi dan inisiatif demi penambahbaikan proses kewangan dan tadbir PERKIM Kebangsaan.
“Saya mengambil kesempatan ini ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Bendahari Kehormat, Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim dan mantan Penolong Setiausaha Agung Kehormat, Datuk Haji Hasbullah L.Isa atas jasa dan bakti yang telah ditaburkan di PERKIM sepanjang mereka berkhidmat.
Semoga ukhwah yang terjalin di bawah PERKIM ini akan sentiasa berkekalan” ujar Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor mengakhiri ucapannya.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerja (Pentadbiran dan Program) PERKIM Kebangsaan, YBhg. Tuan Haji Mamat Che Chik; Setiausaha Kerja (Bahagian dan Cawangan), Zulkefli Arifin; Pengarah Unit Pembangunan dan Aset PERKIM Kebangsaan, YBhg. Dato’ Haji Ahmad Mustafa dan Pengetua Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) Kelantan, Che Ahmad Che Mahmood.
Selesai majlis, Tan Sri SUA bersama Dato’ Bendahari Kehormat mengadakan mesyuarat bersama kakitangan Unit Kewangan PERKIM Kebangsaan.
Ketibaan Pengurusan Tertinggi PERKIM Kebangsaan di Majlis Perjumpaan Bersama Kakitangan PERKIM Kebangsaan.
Pasukan Koir PERKIM Kebangsaan mengetuai nyanyian lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan.
Pengacara majlis, Muhammad Farhan Tee Abdullah menyampaikan kata-kata aluan di majlis tersebut.
Muhammad Jais Mariappan Abdullah memimpin bacaan doa.
Pengurusan tertinggi bersama kakitangan PERKIM mengaminkan doa yang dibacakan.
Seramai lebih 60 kakitangan menadah tangan ketika doa dibaca.
Pegawai dan kakitangan PERKIM Kebangsaan, IDIP-KL dan SCORE hadir di majlis tersebut.
Amanat Tan Sri Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan.
Kakitangan mendengar amanat yang disampaikan oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan.
SUA menyeru Kakitangan PERKIM Kebangsaan terus bersemangat dalam menggerakkan kerja-kerja dakwah dan menggalakkan kemesraan dan kasih sayang antara satu sama lain.
Tan Sri Setiausaha Agung Kehormat (kanan) menyerahkan surat pelantikan Bendahari Kehormat PERKIM Kebangsaan bagi penggal 2022 – 2025 yang ditandatangani oleh Yang Dipertua PERKIM kepada Dato’ Haji Abdul Hanif Harun.
Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim menerima surat pelantikan Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan bagi penggal 2022 – 2025 daripada Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan.
Perjumpaan Setiausaha Agung Kehormat dan Bendahari Kehormat baharu bersama Unit Kewangan PERKIM Kebangsaan.