Berita PERKIM Bahagian & Cawangan

PERKIM Terengganu Sumbang Makanan Dapur Kepada REC

KUALA TERENGGANU, 30 NOVEMBER 2022 – Atas dasar keprihatinan yang tinggi, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Negeri Terengganu telah bekerjasama dengan Pusat Pendidikan Rohingya (REC) Kuala Terengganu mengadakan majlis serahan sumbangan bahan dapur kepada keluarga pelajar-pelajar REC bertempat di REC Kuala Terengganu, Kompleks MDM Telaga Mengkudu dekat sini.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa daripada wakil guru REC diikuti dengan alunan bacaan Al-Quran serta persembahan daripada anak-anak pelajar REC.

Majlis diteruskan lagi dengan ucapan wakil daripada REC iaitu YBhg Dr Maimunah Ropar selaku Ahli Lembaga Rohingya Education Centre.

Naib Pengerusi 2 merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan PERKIM Bahagian Negeri Terengganu, YBhg Ustaz Haji Musammeh Jusoh turut menyampaikan ucapannya di majlis tersebut.

Haji Musammeh berkata, jalinan kerjasama itu diadakan untuk memperluaskan konsep berkebajikan khususnya kepada golongan minoriti.

Selain itu, ia dapat merealisasikan perjuangan PERKIM dalam berdakwah dan berkebajikan tanpa sempadan.

Fokusnya juga adalah untuk mempelbagaikan aktiviti PERKIM ke arah memposisikan kedudukan PERKIM sebagai NGO dakwah dan kebajikan ulung.

Beliau juga menyeru ibubapa dan pelajar menyertai program-program anjuran PERKIM yang bersesuaian seperti Kelas Al-Quran, Program Ihya Ramadhan, Qurban dan sebagainya.

Haji Musammeh bersama Dr Maimunah berkesempatan menyerahkan sumbangan kepada keluarga Rohingya pelajar REC.

Turut hadir dalam majlis ringkas itu, Pegawai Eksekutif Dakwah PERKIM Bahagian Negeri Terengganu, YBhg Tuan Haji Subri Jaafar; Pengetua REC, Cikgu Sabariah Ahmad bersama guru-guru bertugas serta Urusetia PERKIM Terengganu.

PERKIM Bahagian Negeri Terengganu mengucapkan tahniah kepada pihak REC di atas usaha murni dalam menggerakkan aktiviti pendidikan kepada golongan minoriti Rohingya itu dan mendoakan segala urusan dipermudahkanNya.


Hadirin yang hadir terdiri daripada golongan minoriti Rohingya dan tetamu kehormat.


Persembahan anak-anak pelajar REC.


Bacaan ayat suci Al-Quran disampaikan oleh anak-anak REC.


Haji Musammeh dalam ucapannya ingin memperluaskan konsep berkebajikan khususnya kepada golongan minoriti.


Wakil REC, Dr Maimunah turut menyampaikan ucapan di majlis tersebut.


Minoriti Rohingya mendengar ucapan yang disampaikan.


Haji Musammeh menyampaikan sumbangan makanan kepada ibubapa dan penjaga REC.


Keluarga REC menerima sumbangan makanan daripada Haji Musammeh sambil diperhatikan Dr Maimunah (kanan).


Pegawai Eksekutif Dakwah PERKIM Bahagian Negeri Terengganu, YBhg Tuan Haji Subri Jaafar hadir di majlis tersebut.


Haji Musammeh (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Dr Maimunah.

Related Articles

Back to top button