Berita PERKIM Bahagian & Cawangan

Himpunan Pendakwah Mualaf Orang Asli 2.0

oleh: SRZ

SHAH ALAM, 27 NOVEMBER 2022 – Seramai 50 peserta telah menghadiri Program Usrah Perdana 2.0 Pendakwah Saudara Muslim Orang Asli bertempat di Hotel Mardhiyyah dekat sini, Ahad.

Program disertai pendakwah di kalangan saudara baharu Orang Asli pelbagai suku kaum itu dianjurkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama PERKIM Bahagian Negeri Selangor dan Pertubuhan Mualaf Malaysia (PMM).

Taklimat program sepanjang tiga hari dua malam itu disampaikan oleh Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM Kebangsaan, Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah.


Pengarah Program, YBhg Ustaz Haji Amran Anbarasu Abdullah
 berkata program tersebut diadakan bertujuan menghimpunkan pendakwah-pendakwah Saudara Muslim Orang Asli dari seluruh Malaysia bagi membincangkan kaedah-kaedah dakwah berkesan yang akan digerakkan sendiri oleh mereka di negeri masing-masing sekali gus membincangkan serta meleraikan isu permasalahan khususnya di kalangan mualaf Orang Asli.

Jelas Haji Amran, penyertaan kali ini disertai pendakwah Orang Asli dari suku kaum Temiar, Semai, Mahmeri, Temuan, Jakun dan Semoq Beri.

Program itu merupakan program ketiga selepas melaksanakan Program Usrah Perdana 2.0 Pendakwah Saudara Muslim India dan Cina 2022.

Selain itu, program itu menyediakan ruang dan peluang kepada pendakwah membincangkan isu serta permasalahan yang dihadapi oleh mualaf Orang Asli melalui bengkel, diskusi dan ceramah.

“Ia dapat membina satu generasi Islam yang mengenali Islam sebagai menghayatinya di dalam kehidupan peribadi, menjadikan azam dan cita-cita serta tindakan pendakwahan sebagai sistem hidup dalam keluarga, masyarakat dan negara,” kata Haji Amran yang juga selaku Pengerusi PMM.

Kata Haji Amran, firman Allah SWT yang dirakamkan di dalam Surah Al-Hujurat, ayat 13 bermaksud: “Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertakwa.”

Peserta program dibahagikan kepada enam kumpulan bagi tugasan dalam menghuraikan segala permasalahan yang dihadapi oleh saudara Muslim Orang Asli di Bengkel Meleraikan Isu Mualaf Orang Asli.

Bengkel tersebut dipengerusikan oleh Bekas Penolong Penguasa Penjara Jabatan Penjara Malaysia, Tuan Amran Abdullah.

Antara isu dan permasalahan yang dibincangkan di dalam enam kumpulan ialah mengenai Penerimaan Masyarakat dan Sosio Ekonomi; Pembelajaran Kelas Fardu Ain; Perkahwinan Sebelum dan Selepas Memeluk Islam; Kematian Keluarga Non-Muslim dan Mualaf; Perayaan Antara Adat dan Agama serta Murtad dan Penyelesaiannya.

Majlis pembukaan program dirasmikan oleh Ketua Jabatan Pembangunan Mualaf LZS, Encik Hafiz Salimun.


Hafiz dalam ucapan perasmiannya berkata, sebelum ini LZS telah menganjurkan program melibatkan pendakwah saudara Muslim India, Cina dan Orang Asli, ia tidak lengkap jika tidak menganjurkan program usrah bagi pendakwah saudara Muslim Sabah dan Sarawak selepas ini.

Hafiz berhasrat untuk bertemu dengan semua pendakwah mualaf dengan menghimpunkan ke semua pendakwah saudara Muslim daripada pelbagai bangsa dan keturunan dalam Program Usrah Perdana 3.0 untuk mengenali dan belajar dengan lebih mendalam lagi latar belakang, budaya serta solusi penyelesaian yang membelenggu mereka selama ini.

“Pendakwah di hadapan saya adalah orang hebat kerana mereka adalah orang yang paling hadapan untuk berdakwah kepada ahli keluarga mereka sendiri,” ujar Hafiz.

Terdapat banyak inisiatif yang telah LZS sediakan untuk mualaf di Negeri Selangor antaranya ialah kelas-kelas pendidikan, insentif, bantuan, program dan latihan.

“Tahun hadapan LZS akan mewujudkan inisiatif yang terbaharu iaitu memperkenalkan penilaian had taklif kepada mualaf di Selangor,” kata Hafiz mengakhiri ucapannya.

Pendakwah Orang Asli Suku Kaum Temiar, Ustaz Wan Masindra Juja telah menyampaikan kuliah Subuh di hari kedua.

Ceramah bertajuk ‘Adat dan Ibadat Dalam Kehidupan Mualaf’ pula disampaikan oleh Penolong Pegawai Pejabat Agama Islam Daerah Seremban, YBhg Ustaz Jasni Ajom.

Jasni dalam ceramahnya berkata, terdapat saudara Muslim Orang Asli apabila memeluk Islam mereka menghadapi krisis identiti sama ada mereka bertukar bangsa Melayu atau masih Orang Asli.

Jasni turut menjelaskan adat dan ibadat yang harus atau haram di dalam kelahiran, kebudayaan, perayaan, perkahwinan serta kematian Orang Asli yang berbeza mengikut suku kaum.

Jelasnya, beliau menyarankan selain mendalami ilmu Al-Quran dan hadis, pendakwah sentiasa mempersiapkan serta mempertingkatkan ilmu dengan mendapatkan tauliah agama bagi menyebarkan luaskan dakwah.

Enam kumpulan peserta turut membentangkan tugasan isu permasalahan yang dihadapi oleh mualaf Orang Asli sekali gus menjadikan perkara dan agenda tersebut sebagai satu resolusi untuk dimajukan ke peringkat Majlis Agama Islam negeri-negeri.

Pada sebelah malamnya pula diadakan forum bertajuk ‘Mencari Penyelesaian’ dipengerusikan oleh Bekas Penolong Penguasa Penjara, Jabatan Penjara Malaysia, Tuan Amran Abdullah manakala ahli panelnya ialah Pendakwah Orang Asli Suku Kaum Temiar, Ustaz Wan Masindra; Pengasas Sekolah Rendah Agama Rakyat Orang Asli Nurul Hikmah, Rafiah Anjang serta Penyelaras Komuniti Hal Ehwal Orang Asli Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ustaz Yusuf Jed Abdullah.

Pada hari ketiga, program dimulakan dengan Kuliah Subuh bertajuk Perkongsian Memeluk Islam disampaikan oleh Ustaz Yusuf Jed Abdullah.

Beliau berkongsi kisah hidupnya ketika memeluk Islam pada usia 18 tahun kerana keyakinannya terhadap agama Islam adalah agama yang benar dan beliau dapat melaksanakan ibadah puasa penuh di bulan Ramadan pada tahun itu hingga sekarang.

Antara cabaran Yusuf ketika memeluk Islam ialah dimarahi dan diusir keluarga, namun setelah menunjukkan akhlak Islam yang baik dan berkongsi rezeki setelah bekerja, akhirnya keluarga menerimanya semula.

Menurut Yusuf, mengikut statistik pada tahun 2020, jumlah Orang Asli di seluruh Malaysia berjumlah 206,803 dan yang telah menganut Islam ialah seramai 55,313. Manakala seramai 7,307 Orang Asli yang telah menganut Islam daripada 20,426 orang secara keseluruhannya di Negeri Selangor.

Bagi memperkasakan lagi jati diri dan keperibadian pendakwah, Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Selangor, YBhg Ustaz Haji Muhammad Fitri Abdullah menyampaikan ceramah bertajuk ‘Sahsiah Pendakwah’.

Katanya, Islam menganjurkan umatnya agar berakhlak dan berbudi pekerti mulia dalam setiap perbuatan mahupun tutur kata.

Beliau menyeru pendakwah mengikuti dan memiliki sifat dan akhlak Nabi Muhammad SAW kerana ia merupakan pedoman setiap insan dan perlu dijadikan amalan dalam kehidupan setiap Muslim sekali gus memudahkan usaha untuk berdakwah kepada masyarakat Orang Asli.

Timbalan Ketua Divisyen Pembangunan Asnaf LZS, Mohd Nurhisyam Shamsir telah merasmikan program penutup.


Nurhisyam dalam ucapan perasmiannya berkata, LZS komited dan membantu mualaf kerana mereka adalah asnaf yang perlu disantuni dengan sehabis baik tidak kira dari aspek kebajikan malah pembangunan diri mereka.

“Walau berbeza dari perspektif adat dan budaya tetapi yang menyatukan kita ialah atas dasar iman,” katanya.

Beliau berharap usaha dakwah di Negeri Selangor khususnya dan Malaysia umumnya kekal subur serta membangunkan masyarakat yang taat kepada perintah Allah SWT.

“Saya sangat berterima kasih kepada pendakwah-pendakwah, PERKIM Bahagian Negeri Selangor dan Pertubuhan Mualaf Malaysia kerana menjadi penggerak utama memainkan peranan penting untuk meluaskan lagi usaha dakwah,” ujar Nurhisyam.

Resolusi-resolusi yang diajukan akan diteliti dan akan dibincangkan bersama pihak LZS dalam mesyuarat khusus.


Sebelum itu, Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Ustaz Haji Muhammad Fitri Abdullah menyampaikan ucapan aluannya dengan firman Allah dalam Surah Ali-Imran, ayat 103 bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan karunia-Nya kamu menjadi bersaudara.”

Fitri turut berterima kasih kepada pembayar-pembayar zakat yang memberikan manfaat kepada tenaga pengajar untuk memberi ilmu dan kebajikan kepada asnaf mualaf.

Kita doakan supaya akan makin bertambah pendakwah-pendakwah baharu di kalangan mualaf Orang Asli, Cina, India dan Borneo menerusi Program Usrah Pendakwah 3.0, 4.0 dan seterusnya.

Maklum balas bersama peserta selama dua hari tiga malam amat memberangsangkan dan mereka inilah yang akan pulang ke kampung untuk melatih sekali gus melahirkan lebih ramai lagi kader-kader dakwah.

Nurhisyam menyampaikan sijil penyertaan dan hadiah hamper kepada pemenang kumpulan di akhir program.

Turut hadir Pegawai Dakwah PERKIM Bahagian Negeri Selangor, Ustaz Mohd Yusoff Ahmad; Pegawai Eksekutif Pembangunan Mualaf LZS Sepang, YBhg Ustaz Ahmad Fauzi Siva Abdullah; Pegawai Eksekutif Pembangunan Mualaf LZS Klang, YBhg Ustaz Muhammad Yazid Abdullah serta Pegawai Unit Perancangan Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM Kebangsaan, YBhg Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah.


Pendaftaran peserta di kalangan pendakwah Orang Asli.


Farhan Tee selaku pengacara mengemudikan majlis pembukaan program.


Hafiz Salimun berucap ketika merasmikan Program Usrah Perdana Pendakwah Orang Asli.


Pendakwah menadah tangan ketika doa dibacakan.


Tuan Amran mempengerusikan Bengkel Meleraikan Isu Mualaf Orang Asli.


Peserta dibahagikan kepada enam kumpulan memulakan tugasan yang diberi.


Pendakwah kumpulan berbincang bagi tugasan yang diberikan.


Syakila wakil Klinik Guaman Syarie menyediakan khidmat guaman percuma kepada mualaf Orang Asli.


Ustaz Wan Masindra menyampaikan Kuliah Subuh selepas menunaikan solat Subuh berjemaah.


Ustaz Jasni menyampaikan ceramahnya bertajuk ‘Adat dan Ibadat Dalam Kehidupan Mualaf’.


Kumpulan 6 membentangkan tugasannya mengikut tajuk yang diberi.


Pendakwah kumpulan 2 membentangkan tugasan mereka.


Kematian Keluarga Non Muslim merupakan tajuk tugasan kumpulan 4.


Pendakwah kumpulan 5 membentangkan tajuk Perayaan.


Tajuk perkahwinan merupakan pembentangan pendakwah kumpulan 3.


Kumpulan 1 membentangkan tajuk Penerimaan Masyakarat Orang Asli dan Sosio Ekonomi.


Forum bertajuk Mencari Penyelesaian dijayakan oleh (dari kiri:) Amran, Masindra, Rafiah dan Yusuf.


Para pendakwah mendengar dan memberi tumpuan kepada forum.


Solat berjemaah merupakan ibadah wajib kepada pendakwah.


Ustaz Yusof Jed Abdullah menyampaikan kuliah Subuh bertajuk Perkongsian Sebelum Memeluk Islam.


Sahsiah Pendakwah merupakan tajuk ceramah disampaikan oleh Ustaz Fitri Abdullah.


Pada pendakwah mendengar ceramah yang disampaikan.


Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Ustaz Haji Muhammad Fitri Abdullah menyampaikan ucapan aluan di majlis penutup.


Nurhisyam menyampaikan ucapannya perasmian penutup.


Pendakwah Orang Asli lengkap berpakaian warna merah di majlis penutup.


Nurhisyam menyampaikan sijil penyertaan kepada Jasni (kiri).


Yusuf (kiri) menerima sijil penyertaan daripada Nurhisyam.


Nurhisyam menyampaikan sijil penyertaan kepada Rafiah (kiri).


Pendakwah Orang Asli menerima sijil penyertaan daripada Nurhisyam.


Isyarat dua kalimah syahadah menjadi lambang Pendakwah Saudara Muslim Orang Asli ketika bergambar kenang-kenangan di akhir program.

Related Articles

Back to top button