Berita PERKIM Bahagian & Cawangan

PERKIM Terengganu Santuni Saudara Kita Di Dungun

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan takwa.” (Surah Al-Maidah, ayat 2)

DUNGUN, 7 NOVEMBER 2022 – Skuad Ziarah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Terengganu telah berkesempatan mengunjungi dua orang saudara baru yang mencari rezeki melalui pembiakan ikan hiasan dekat sini.

Aktiviti ziarah merupakan aktiviti yang dijalankan pada setiap bulan bagi mengikuti perkembangan saudara baru yang telah memeluk Islam di PERKIM.

Skuad ziarah telah berkunjung ke rumah pertama iaitu Siti Rohani Ern Loo yang mengusahakan pembiakan ikan hiasan Glo Fish.

Siti Rohani telah memeluk Islam pada Jun 2020 lalu yang menjalankan perniagaan ikan hiasan bersama suaminya di Pasar Pagi Dungun dan Pasar Malam Bandar Dungun.

Dalam kunjungan tersebut, Pengerusi PERKIM Cawangan Dungun, YM Raja Ibrahim Raja Manis telah menyampaikan sumbangan barangan dapur kepada Siti Rohani.

Skuad ziarah meneruskan perjalanan ke rumah mualaf yang berasal dari Johor, Othman Ho.

Othman Ho yang telah lama menetap di Dungun juga merupakan pengusaha ikan hiasan dan menjalankan proses pembiakan ikan di rumahnya sendiri.

Hasil dari usaha tersebut, ia menjadi sumber pendapatan utama Othman Ho.

Othman Ho turut menerima sumbangan barangan makanan seperti beras, biskut, kopi, sardin, susu, gula, teh, kopi, minyak dan lain-lain.

Turut hadir ialah Pegawai Eksekutif PERKIM Bahagian Negeri Terengganu, YBhg Tuan Haji Subri Jaafar; Setiausaha PERKIM Cawangan Dungun, YBrs Ustaz Muhammad Zaki Yusof dan Ahli Jawatankuasa PERKIM Cawangan Dungun, YBrs Ustaz Fadly Yusof dan Encik Che Wan Hamishan Che Wan Rani; Penolong Pegawai Kerja PERKIM Bahagian Negeri Terengganu, Rosnaliza Ahmadiah dan Aishah Abdul Wahab.


Siti Rohani (tiga dari kiri) menerima sumbangan barangan dapur daripada Raja Ibrahim.


Suami Siti Rohani menunjukkan ikan hiasan yang menjadi sumber utama pendapatan mereka.


Haji Subri (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Othman Ho.


Skuad ziarah melihat akuarium yang dibiak milik Othman Ho.

Related Articles

Back to top button