Berita PERKIM Bahagian & Cawangan

PERKIM Terengganu, MAIDAM, JHEAT Anjur Kursus Pemantapan Penghayatan Islam Saudara Kita

HULU TERENGGANU, 2 DISEMBER 2022 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Negeri Terengganu dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) telah mengadakan Kursus Pemantapan Penghayatan Islam Saudara Kita bertempat di Kompleks Desa Taqwa, Telemong, dekat sini baru-baru ini.

Menurut Pegawai Eksekutif Dakwah PERKIM Bahagian Negeri Terengganu, YBhg Tuan Haji Subri Jaafar, kursus itu bertujuan untuk memberi bimbingan secara berterusan kepada mualaf dengan usaha mempelajari dan melaksanakan syariat dalam menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim selepas mereka memeluk Islam.

Kursus selama dua hari tersebut disertai seramai 60 saudara baru berketurunan Cina, India, Sabah, Sarawak dan Siam dari seluruh negeri Terengganu.

Jelas Subri lagi, antara pengisian yang dijalankan melibatkan ceramah bimbingan, Forum Penghayatan Islam, bimbingan secara praktikal iaitu qiamulail dan sujud sejadah.

Penilaian tahap kefahaman dan penghayatan Islam pula dibimbing oleh pemudah cara mengikut kumpulan.

Pemudah cara turut mengenal pasti tahap kefahaman peserta dan membantu memberikan penjelasan sekali gus pengetahuan fardu ain.

Antara perkara yang dititikberatkan adalah kesempurnaan berwuduk, solat dan mandi wajib secara teori dan praktikal.

Tambah Subri lagi, para peserta telah menunjukkan perkembangan yang baik dari segi pengetahuan dan penghayatan melaksanakan ibadat.

Mereka juga menunjukkan kesungguhan yang tinggi untuk memahami Islam agar terus memantapkan kefahaman agama dari semasa ke semasa.

Majlis perasmian penutup telah dirasmikan oleh Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Terengganu merangkap Naib Yang Dipertua PERKIM Kebangsaan, YBhg Prof Dr Ramle Abdullah.

Turut hadir ialah pimpinan PERKIM Bahagian Negeri Terengganu, Naib Pengerusi, YBhg Ustaz Haji Musammeh Jusoh; Setiausaha Kehormat, YBhg Tuan Haji Abd Ghafar Mamat serta ahli jawatankuasa, Serena Lim Abdullah dan YBhg Ustaz Haji Samsuddin Drahman.

Kalungan tahniah dan terima kasih kepada pihak MAIDAM dan JHEAT serta PERKIM cawangan-cawangan yang telah memberikan kerjasama menjayakan kursus ini.

Penghargaan juga kepada semua pembimbing, urus setia dan juga peserta yang terlibat.


Sesi pendaftaran kursus kepada peserta saudara kita.


Seramai 60 peserta saudara kita pelbagai kaum hadir di kursus tersebut.


Ustaz Mohd Bukhari Muhammad selaku Penolong Pengarah Khidmat Masyarakat Yayasan Islam Terengganu menyampaikan ceramah bertajuk Ilmu, Faham dan Amal.


Peserta bersama-sama membaca bacaan Yasin diadakan selepas solat fardu Maghrib.


Ustaz Mohd Rosli Wahab menyampaikan tazkirah ringkas selepas solat.


Peserta turut mendengar dan mendalami ilmu dalam Forum Penghayatan Islam yang dijayakan.


Salah seorang peserta bertanyakan soalan dalam ruangan sesi soal jawab.


Peserta dibimbing dan diberi kefahaman fardu ain secara kumpulan.


Peserta kumpulan diberi kefahaman berwuduk dan solat secara teori.


Pemudah cara menjelaskan tatacara berwuduk dan solat secara berkumpulan.


Pemudah cara menunjukkan cara praktikal solat yang betul kepada peserta kumpulan.


Pemudah cara memeriksa tahap kefahaman dan pengetahuan peserta kumpulan.


Ustaz Musammeh menyampaikan ucapan aluan pada program penutup.


Prof Dr Ramle menyampaikan ucapan perasmiannya pada penutupan program.


Prof Dr Ramle menyampaikan hamper kepada wakil peserta kumpulan.


Mualaf India selaku wakil peserta kumpulan menerima hamper daripada Prof Dr Ramle.


Abd Ghafar (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Prof Dr Ramle (tengah).


Tetamu kehormat bersama peserta kursus bergambar kenang-kenangan di akhir program.

Related Articles

Back to top button