PERKIM Kedah Anjur Kursus Bimbingan Mualaf
oleh: ZAATIL HIDAAYAH AHMAD BUSTAMAN
foto: AKMAL AZRAM ABU ZARIM
ALOR SETAR, 5 DISEMBER 2022 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Negeri Kedah telah mengadakan Kursus Bimbingan Mualaf bertempat di Dewan Arkib Negara Malaysia Negeri Kedah, dekat sini.
Seramai 100 orang terdiri daripada saudara baru dan Ahli Jawatankuasa PERKIM Bahagian Negeri Kedah dan cawangan telah menyertai program ini.
Penceramah jemputan ialah Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) merangkap Naib Yang Dipertua PERKIM Kebangsaan, YBhg Prof Dr Haji Mohd Ridhuan Tee Abdullah.
Prof Ridhuan Tee dalam ceramahnya menekankan peserta mengenai pendekatan ‘Dakwah Bil Hal’ yang perlu dilaksanakan menerusi penganjuran berbentuk program dan aktiviti yang dikira bersesuaian dengan keadaan dan latarbelakang saudara baru.
Tambahnya, hasrat PERKIM sangat tinggi kerana apabila berdakwah melalui kebajikan, kita dapat menunjukkan akhlak dan teladan yang baik terutamanya dalam memberikan pendekatan dakwah kepada bukan Islam.
Prof Ridhuan Tee berharap, mudah-mudahan satu hari nanti sekiranya mereka tidak memeluk agama Islam sekali pun, tiada istilah anti Islam di dalam diri mereka.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Mansor bin Haji Ismail, Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Kedah.
Dato’ Mansor dalam ucapan perasmiannya merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang selama ini menyokong penuh dan memberikan kerjasama terhadap usaha-usaha dakwah yang dilaksanakan oleh PERKIM Bahagian Negeri Kedah selama ini.
Katanya, PERKIM Kedah menyediakan platform dengan membekalkan golongan mualaf bersama ilmu dan kemahiran berkaitan dakwah bagi menjadikan barisan pendakwah mualaf yang berwibawa.
Beliau juga mengharapkan agar program-program dakwah dapat dilaksana dan diperkasakan lagi dari semasa ke semasa, bagi merealisasikan hasrat PERKIM yang memainkan peranan yang penting dalam usaha dakwah Islamiah dan kebajikan masyarakat di Malaysia, terutamanya dakwah kepada Saudara Muslim.
Turut hadir ialah Naib Pengerusi 2 PERKIM Bahagian Negeri Kedah, YBhg Datin Hajah Aishah Ibrahim, Setiausaha Kehormat PERKIM Bahagian Negeri Kedah, Tuan Haji Turedy Abdullah; Bendahari Kehormat PERKIM Bahagian Negeri Kedah, YBhg Tuan Haji Adzaudddin Haji Salleh; Ketua Bahagian Mualaf Jabatan Agihan dan Pembangunan Asnaf, YBrs Ustaz Mohd Khairi Ishak, serta Ketua Jabatan Agihan dan Pembangunan Asnaf Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), YBrs Ustaz Abdul Hadi Abd Majid.
Program tamat pada jam 1.00 tengah hari dan mendapat sambutan yang sangat hebat di kalangan mualaf.
Prof Ridhuan Tee menyampaikan ceramahnya di Kursus Bimbingan Mualaf anjuran PERKIM Kedah.
Tetamu kehormat dan peserta manfaatkan ilmu dan terhibur dengan ceramah disampaikan.
Prof Ridhuan Tee menekankan ‘dakwah bil hal’ yang perlu dilaksanakan oleh peserta.
“Sebagai Muslim, kita perlu tunjukkan teladan yang baik sebagai pendekatan dakwah kepada bukan Islam,” kata Prof Ridhuan Tee.
Dato’ Mansor menyampaikan ucapan perasmiannya.
Dato’ Mansor merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak yang bekerjasama dalam usaha dakwah PERKIM Kedah.
Dato’ Mansor menyampaikan cenderahati kepada Prof Ridhuan Tee.
Penceramah bersama tetamu kehormat dan peserta bergambar kenang-kenangan di akhir kursus.
Ahli Jawatankuasa PERKIM Bahagian Negeri Kedah dan Wanita PERKIM Bahagian Negeri Kedah berkesempatan bergambar bersama Prof Dr Ridhuan Tee.