PERKIM HQ, PERKIM UIAM Santuni 24 Keluarga Mualaf Bukit Beruntung, Bukit Sentosa

Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dengan kerjasama Kelab PERKIM Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak menyambung misi pengagihan Bantuan Makanan di beberapa kawasan Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa, Selangor pada 7 Jun 2020 lalu.
Menurut Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM (UPPP), Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan, ia merupakan hasrat Panel Dakwah Mualaf Kelas Pengajian Mualaf Majlis Agama Islam Selangor, Khilawati Ahmad setelah melihat bantuan dan sumbangan PERKIM yang tular di media sosial dan berhajat supaya sumbangan dapat diberikan juga kepada pelajar-pelajar kelas beliau.
Sebelum ini, PERKIM telah mengagihkan lebih 1,000 set Program Bantuan Makanan PERKIM kepada asnaf kategori saudara baru, fakir dan miskin kerana hilang mata pencarian disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac hingga 9 Jun 2020 berikutan penularan jangkitan wabak COVID-19.
Turut hadir ialah pegawai PERKIM iaitu Muhammad Farhan Tee Abdullah, Jamilatun Noor Hashim, Umi Musfirah Abd Ghani, Nayli Mohamad Nizam dan lima ahli KPU UIAM.
Munirah berharap dengan sumbangan tersebut sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan beban dan kesusahan yang ditanggung oleh keluarga yang baru berjinak-jinak dengan Islam di musim COVID-19.
Katanya lagi, program seperti ini dapat memberikan peluang dan pengalaman kepada KPU UIAM dalam mendekati dan mendengar rintihan saudara baharu yang memerlukan bantuan dan sokongan.
Jelas Munirah lagi, secara tidak langsung kita telah melaksanakan dakwah melalui khidmat masyarakat dan sosial berbentuk kemasyarakatan sebagai asas membina hubungan melalui penyampaian sumbangan bantuan kepada asnaf yang memerlukan.
Seramai 24 penerima bantuan masing-masing menerima barangan makanan seperti beras, tepung, gula, sardin, krimer, biskut, kopi, teh, kurma, kordial, mi segera, bihun, minyak masak, sos cili, kicap dan garam.
Selain itu, terdapat juga barangan kebersihan seperti ubat gigi, pencuci pinggan, sabun badan, sabun pencuci baju, topeng muka dan pencuci tangan (hand sanitizer).
Penyampaian sumbangan dijalankan melalui pergerakan kumpulan dari rumah ke rumah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa pendemik COVID-19.
Sebarang sumbangan boleh dibuat secara tunai/online melalui akaun: AFFIN BANK 1050 2000 2899 (PERKIM – TABUNG KEBAJIKAN TUNKU)
Maklumat lanjut boleh hubungi Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM Kebangsaan.
– Muhammad Farhan Tee Abdullah – 017-4788934
– Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan – 013-3574786
– Amran Anbarasu Abdullah – 016-8067864