Aktiviti Wanita PERKIM

Raja Perempuan Perlis Berangkat Ke Majlis Santapan Sempena Mesyuarat Agung Wanita PERKIM Ke-44

KANGAR, 4 MEI 2024 – Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan menghadiri Majlis Santapan Sempena Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan kali ke-44 di Dewan Banquet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis.

Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Tengku Puan Temenggong Kelantan merangkap Ketua Wanita PERKIM Kebangsaan, YTM Tunku Puan Sri Dato’ Hajah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Majlis santapan itu dihadiri seramai 350 orang terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Perlis, Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM serta para perwakilan dan pemerhati Wanita PERKIM Kebangsaan dari seluruh negeri termasuk Sarawak.


Tunku Noor Hayati dalam ucapannya menzahirkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan sekalung penghargaan buat YAB Menteri Besar Perlis dan Kerajaan Negeri Perlis serta barisan kepimpinan kerana penajaan majlis santapan tersebut.

Katanya, sokongan dan kerjasama yang penuh daripada kerajaan Negeri Perlis dalam memastikan kelangsungan dan kejayaan Wanita PERKIM di Perlis amat dihargai.

Jelas Tunku Noor Hayati lagi, sumbangan tersebut amat bernilai buat kami dalam kebergantungan kepada dana pertubuhan dan ianya adalah satu suntikan semangat untuk kami meneruskan perjuangan dakwah Islam.

“Kini, Wanita PERKIM mempunyai 17,000 ahli-ahli di 13 buah negeri- negeri di Malaysia di mana perjuangan Wanita PERKIM bermula dari tahun 1980 di bawah pandangan serta wasiat Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj dan Ketua Wanita pertama iaitu Almarhumah Datuk Amar Puan Sri Dr. Hajah Laila Taib serta diikuti dengan Almarhumah Puan Sri Minuira Sabki,” kata beliau yang juga merupakan Ketua Wanita PERKIM yang ketiga.

“Wanita PERKIM di peringkat Kebangsaan sentiasa berusaha untuk menentukan dasar-dasar yang efisyen dan efektif serta memantapkan perancangan yang strategik secara menyeluruh di semua peringkat bagi manfaat semua lapisan masyarakat.

“Wanita PERKIM telah banyak menjalankan program di peringkat bahagian setiap negeri dan cawangan-cawangan antaranya pengislaman, kelas-kelas agama dan juga aktiviti sosial serta program pengumpulan data wanita mualaf PERKIM menerusi Pelan Pembangunan Wanita Mualaf Malaysia.

“Wanita PERKIM di setiap bahagian telah memainkan peranan yang amat besar dengan mengadakan kolaborasi bersama Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan Jabatan Pendaftaran Malaysia,” kata Tunku Noor Hayati mengakhiri ucapannya.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis, YAB Mohd Shukri Ramli dalam ucapannya pula merakamkan penghargaan dan terima kasih kerana memilih Negeri Perlis sebagai tuan rumah bagi Mesyuarat Agung Tahunan Wanita PERKIM Kebangsaan kali ke-44.


Kata Mohd Shukri, PERKIM telah diasaskan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang merupakan satu badan dakwah yang terbesar di Malaysia.

“Melihat kepada kepentingan kebajikan ini juga buat kaum wanita, atas nasihat Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, Wanita PERKIM Kebangsaan berjaya ditubuhkan oleh Almarhumah Dato Amar Puan Sri Dr Hjh Laila Taib pada 1974.

“Umum mengetahui antara matlamat penubuhannya adalah untuk menjaga kebajikan saudara baru yang mempunyai masalah berkait dengan keluarga asal mereka yang bukan Islam setelah mereka menganuti Islam.

“Besarnya pengorbanan dan dakwah yang dijalankan oleh anggota PERKIM khususnya Wanita PERKIM Kebangsaan ini dalam memastikan saudara baru kita terbela.

“Malah dengan gerakan dakwah terbesar ini maka lahirlah tokoh- tokoh dakwah Islam di Malaysia ini yang terus berkomitmen dalam menyampaikan dakwah khususnya kepada non Muslim.

“Tahniah dan syabas, mudah- mudahan tokoh-tokoh dakwah yang berada di dalam Wanita PERKIM akan terus istiqamah dan diberikan kekuatan dalam menyampaikan dakwah Islamiah kepada masyarakat.

“Semua sedia maklum Mesyuarat Agung Tahunan Wanita PERKIM Kebangsaan kali ke 44 ini merupakan agenda tahunan yang wajib dihadiri oleh ahli-ahli wanita PERKIM. Selain melaksanakan mesyuarat wajib ini, saya yakin dengan mengumpulkan ahli-ahli wanita PERKIM akan terus memartabatkan agenda dan objektif PERKIM itu sendiri.

“Teruskan memberi pendidikan kepada mualaf wanita dan jagalah kebajikan mereka. Mungkin ada di kalangan saudara baru kita ini khususnya wanita yang menganggap PERKIM inilah keluarga baru mereka.
“Saya yakin juga antara peranan Wanita PERKIM Kebangsaan adalah untuk mencurahkan matlamat bagi merealisasikan hasrat kerajaan dalam meningkatkan martabat wanita sebagai nadi pembangunan modal insan di Malaysia dan menuju ke tahap kecemerlangan negara,” ujar Mohd Shukri.

Kini Wanita PERKIM Kebangsaan diterajui oleh YTM Tunku Puan Sri Dato’ Hjh Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Saya yakin dengan kepimpinan YTM Tunku akan memperhebatkan lagi gerakan dakwah PERKIM ini.

“Saya difahamkan antara program yang sedang dirancang dan dijalankan oleh Wanita PERKIM ini adalah untuk membantu pembangunan kehidupan wanita mualaf termasuklah meneroka pelbagai sektor seperti pertanian, keusahawanan, kaunseling dan lain-lain.

Mohd Shukri berharap, semoga Wanita PERKIM terus mengorak langkah dalam memacu dakwah dan kebajikan kepada masyarakat khususnya buat kaum wanita.

Tuanku Raja Perempuan Perlis turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Wanita PERKIM Kebangsaan kali ke-44 sambil disaksikan oleh dif-dif lain yang hadir.

Turut diadakan persembahan Kumpulan AhbabuzZahra’ dari Ma’had Tahfiz AlQuran AlImam AnNawawi Kangar Perlis yang membawa lagu berjudul ‘Al-Quran Mutiara Iman’, ‘Pertemuan di Hari Mulia’, ‘Selawat di Hari Raya’, manakala Kumpulan Soutul Maad Lil-Banat membawa lagu ‘ Aqidah Lestari Ummah’, ‘Rahman Ya Rahman’ dan ‘Cahaya Insaniah’ sambil menikmati juadah santapan makan malam yang disediakan.

Turut hadir ialah YBM Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz; Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, YB Tuan Rus’sele Eizan; Naib Yang Dipertua PERKIM, YB Dato Seri Shahidan Kassim dan YBhg. Prof Dr Ramlee Abdullah; Naib Ketua Wanita PERKIM, Datin Seri Dato’ Shamsiah Md Yassin; Isteri Menteri Besar Kelantan merangkap Pengerusi Wanita PERKIM Negeri Kelantan, YBhg Datin Panglima Perang Kelantan Hajah Wan Nor Hanita Wan Yaacob; YBhg Datin Bentara Kanan Kelantan Hajah Siti Zabidah Hamid; Isteri Menteri Besar Perlis, YABhg Puan Hjh Najwa Othman serta Presiden Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan, YM Datin Tengku Ramizan Tengku Abdul Aziz.


Keberangkatan tiba Tunku Noor Hayati bersama YBM Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz


Ketua Wanita PERKIM berkesempatan mengambil gambar bersama perwakilan di majlis santapan malam.


Perwakilan Wanita PERKIM Negeri Sembilan bergambar bersama Tunku Noor Hayati.


Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan menyambut ketibaan Menteri Besar Perlis, YB Mohd Shukri Ramli.


Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil diiringi Tunku Noor Hayati bersalaman bersama Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan.


Tunku Noor Hayati menyampaikan cenderamata kepada Menteri Besar Perlis, YB Mohd Shukri Ramli.


Raja Perempuan Perlis DYMM Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid mencemar duli berkenan ke Majlis Santapan Malam sempena Mesyuarat Agung Tahunan Wanita PERKIM Kebangsaan ke-44.


DYMM Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid bersama tetamu kehormat menyanyikan lagu Wanita PERKIM.


Perwakilan Wanita PERKIM bersama-sama menyanyikan lagu Wanita PERKIM.


Ketua Wanita PERKIM Kebangsaan, Tunku Noor Hayati menyampaikan ucapannya di majlis tersebut.


Mohd Shukri Ramli selaku tuan rumah mengalu-alukan kehadiran Tuanku Raja Perempuan Perlis dan para perwakilan dan pemerhati di majlis tersebut.


DYMM Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan meletakkan tangan ke atas gadet pengimbas bagi menyempurnakan simbolik perasmian Mesyuarat Agung Wanita PERKIM.


Kumpulan AhbabuzZahra’ dari Ma’had Tahfiz AlQuran AlImam AnNawawi Kangar Perlis menyampaikan tiga buah lagu berjudul ‘Al-Quran Mutiara Iman’, ‘Pertemuan di Hari Mulia’, ‘Selawat di Hari Raya’.


Kumpulan Soutul Maad Lil-Banat menyampaikan lagu ‘ Aqidah Lestari Ummah’, ‘Rahman Ya Rahman’ dan ‘Cahaya Insaniah’.


Para perwakilan mengambil juadah makanan Hari Raya Aidilfitri yang disediakan.


Pelbagai jenis air minuman yang menjadi tarikan minat perwakilan Wanita PERKIM.


Makanan tradisi Negeri Perlis turut disajikan kepada Wanita PERKIM.


Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan menikmati juadah yang disediakan.


Wanita PERKIM Selangor sedang menjamu selera dengan hidangan yang telah tersedia.


Perwakilan Wanita PERKIM Wilayah Persekutuan selesai menikmati hidangan.


Perwakilan dan pemerhati Wanita PERKIM Terengganu bergambar setelah selesai menjamu selera.


DYMM Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid menitahkan untuk menyanyikan semula lagu Wanita PERKIM bersama-sama di akhir majlis.


Wanita PERKIM seluruh negeri berkesempatan bergambar bersama DYMM Raja Permaisuri Perlis sambil melaungkan ‘Daulat Tuanku’.


Wanita PERKIM mengambil kesempatan bersalaman dengan DYMM Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Related Articles

Back to top button