Aktiviti Dakwah

Amanat Tan Sri SUA Di Perhimpunan Bulanan Disember Warga PERKIM

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 9 DISEMBER 2022 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan menghimpunkan lebih 50 orang terdiri daripada pimpinan, pegawai dan kakitangannya bertempat di perkarangan lobi Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini, Jumaat.

Perhimpunan Bulanan Warga PERKIM merupakan tradisi bulanan pimpinan PERKIM bertemu dengan kakitangannya pada setiap bulan bagi penyampaian amanat oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan dipimpin oleh Pasukan Nasyid PERKIM Kebangsaan.

Perhimpunan tersebut disertai oleh kakitangan PERKIM Kebangsaan, Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL), Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE).

Majlis bacaan doa dipimpin oleh Penolong Pegawai Dakwah IDIP-KL, Abdul Qawi Navine Abdullah

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian amanat oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.


Tan Sri SUA dalam ucapannya merakamkan ucapan takziah kepada Puan Hamidah Ismail selaku Penolong Pegawai Unit Kewangan PERKIM Kebangsaan di atas pemergian suaminya, Allahyarham Mohd Yusop Suboh ke rahmatullah pada 4 Disember 2022 lalu.

Beliau mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Kata Dr Yusof Noor, setiap penciptaan akan kembali semula kepada Sang Pencipta, begitulah hakikat kehidupan di dunia kerana setiap yang hidup pasti akan kembali kepada Allah SWT.

“Perhimpunan itu merupakan perhimpunan yang terakhir pada tahun ini kerana kita telah berada di bulan Disember.

“Kita boleh rumuskan apa yang telah dilaksanakan di peringkat pentadbiran kebangsaan sepanjang tahun ini,” katanya.

Antara program terpenting ialah kejayaan kita dalam melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-61 bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi pada 18 Jun 2022 lalu.

Beliau turut mengucapkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada mereka yang terlibat menjayakan mesyuarat tersebut kerana ia bukan suatu perkara yang mudah untuk melaksanakan tanpa kerjasama dan penglibatan semua pihak.

Tambahnya, mulai tahun hadapan Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK) yang diadakan di Tingkat 23, Bangunan PERKIM akan dipindahkan di ruang legar podium Bangunan PERKIM seperti yang telah dimaklumkan pada perhimpunan lalu.

Kita sedang berusaha untuk mengimarahkan podium Bangunan PERKIM dengan mewujudkan Pusat Khidmat Masyarakat PERKIM.

“Pintu masuk Bangunan PERKIM sudah tentu akan kunjungi oleh orang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat sama ada dari dalam atau luar negeri dan saya fikir ia merupakan satu perkara yang sesuai dengan hala tuju dakwah PERKIM dengan mencari kaedah yang pelbagai bagi menyemarakkan dakwah.

“Kita perlu mengetahui walaupun kita dengar Islam ini berkembang dengan baik dan jumlah yang memeluk agama Islam dari hari ke hari bertambah tetapi janganlah kita ambil mudah,” kata beliau.

Menurut sumber, jumlah orang memeluk Islam bertambah dalam menyaksikan upacara pembukaan Piala Dunia Bola Sepak di Qatar dan melihat keadaan Islam di negara tersebut sekali gus tertarik dengan Islam.

Dilaporkan bahawa berpuluh-puluh ribu orang yang menyaksikan perlawanan tersebut turut menyaksikan keadaan Islam sebenarnya, bukan seperti yang digambarkan di dalam penulisan oleh orang-orang Barat dan mereka dapati Islam itu tidak sama seperti mereka dengar.

“Apabila mereka mendapati Islam itu baik, maka berpuluh-puluh ribu dilaporkan telah memeluk Islam,” kata Dr Yusof Noor sambil mengucapkan Alhamdulillah.

“Mereka tidak menyebut dakwah tetapi menerusi Piala Dunia Qatar sebenarnya itu salah satu wasilah yang lain untuk mengembangkan Islam.

“Bila kita dengar tentang pertambahan jumlah orang-orang Islam di dunia ini, kita juga diingatkan untuk bersungguh-sungguh menguruskan hal Islam ini khususnya di PERKIM.

“Pada masa yang sama orang Islam sendiri telah dicabar akhirnya tergoyah akidah orang-orang Islam sendiri.

“Walaupun berbondong-bondong orang memeluk Islam, tetapi orang Islam sendiri sebahagiannya berkemungkinan telah longgar ikatan mereka dengan Islam.

“Jika kita berpegang teguh dengan ajaran Islam, adakah anak cucu dan keturunan kita akan kuat pegangannya atau berkemungkinan jauh terpesong dengan ajaran Islam? “ soal Dr Yusof Noor.

Jelasnya lagi, kita tidak boleh hanya berseronok apabila orang mengucap dua kalimah syahadah sahaja tetapi perlu merancang bagaimana cara untuk mengukuhkan akidah mualaf dan mereka yang asal Islam.

Seperti mana yang terdapat di dalam Perlembagaan PERKIM, kita perlu menerangkan hal Islam kepada bukan Islam dan pada masa yang sama penerangan juga perlu disampaikan kepada orang Islam sendiri di samping usaha yang dibuat oleh majlis dan jabatan agama Islam.

“Walaupun saiz bilangan organisasi di PERKIM kecil, tetapi kita hendaklah melaksanakan hal Islam dengan lebih efektif.

“Jika Piala Dunia Bola Sepak 2022 di Qatar telah berjaya menarik puluhan ribu orang memeluk Islam, maka di Bangunan PERKIM ini juga boleh memainkan peranan yang sama.

“Antara fungsi Pusat Khidmat Masyarakat PERKIM ialah dengan membuka ruang kepada mereka yang memerlukan khidmat kaunseling bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka melalui pakar perunding.

“Kaunseling akan menjadi salah satu daripada kaedah yang dikenali sebagai satu wasilah dakwah,” kata Dr Yusof Noor.

Selain itu, kita juga akan mewujudkan Pusat Khidmat Kesihatan dengan kerjasama pakar kesihatan bagi memberi khidmat nasihat kesihatan kepada mereka secara percuma.

Mengulas lanjut, perkhidmatan itu bukan sahaja terbuka kepada orang awam kerana ia merupakan khidmat sosial PERKIM kepada semua warga tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit.

Dr Yusof Noor berharap, ia menjadi kewajipan kita untuk memberi khidmat kepada masyarakat dan mudah-mudahan ia akan diakhiri dengan kebaikan.

Secara tidak langsung ia menterjemahkan bahawa dakwah itu boleh disampaikan menerusi pelbagai wasilah atau perantara bukan hanya dengan menghadiri seminar atau kursus dakwah sahaja meski pun ia merupakan satu usaha yang baik.

Kata Tan Sri SUA, kita hendaklah menghayati dan mengamalkan contoh yang baik seperti mana akhlak yang terpuji oleh Baginda Nabi Muhammad SAW.

PERKIM merupakan satu badan yang berusia lebih daripada 60 tahun perlu mempelbagaikan usaha dakwah.

Beliau berharap kakitangan berasa gembira dan bahagia dalam melaksanakan tugas mereka di PERKIM kerana ia memberi makna yang besar melaksanakan tugas dakwah.

Dr Yusof Noor turut memaklumkan bahawa Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun telah menaja pakaian Kumpulan Nasyid PERKIM Kebangsaan manakala Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM telah menaja upah jahit pakaian kumpulan nasyid.

“Banyak lagi perkara yang baik untuk kita jadikan sebagai pendorong dan menguatkan lagi semangat kita bekerja dalam badan ini.

“Kita hendaklah bersedialah menjadikan tahun hadapan menjadi lebih baik daripada tahun ini,” kata Dr Yusof Noor.

Katanya, kita sedang membuat persiapan bagi tahun hadapan seperti mana yang telah dibincangkan di dalam Mesyuarat Exco PERKIM dipersetujui oleh Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad dengan mengadakan Majlis Jubli Intan PERKIM bersempena 60 tahun penubuhan PERKIM yang akan dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Menurut Dr Yusof Noor, kita tidak dapat mengadakan majlis tersebut dua tahun yang lalu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diwartakan oleh kerajaan berikutan jangkitan wabak COVID-19 yang telah melanda negara.

Beliau berharap kakitangan dapat menghadapi tahun hadapan dengan lebih baik dalam keadaan yang lebih sihat dan keyakinan yang lebih kepada perjalanan PERKIM sekali gus memperkasakan PERKIM menerusi tugas yang dipikul.

Ujarnya, tahun hadapan kita akan memfokuskan dua jentera dakwah iaitu Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) Kelantan dan International Da’wah Institute PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL).

“Saya mengucapkan Selamat Tahun Baru 2023 dan semoga tahun baru akan lebih baik daripada tahun lepas,” kata Dr Yusof Noor mengakhiri amanatnya.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerja (Pentadbiran dan Program), YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik; Setiausaha Kerja (Bahagian dan Cawangan) PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM – Kuala Lumpur (IDIP-KL), YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad dan Penyelaras Unit Penerbitan dan Media Baru, Encik Firdaus Lokman Tah.


Ketibaan tetamu kehormat diiringi selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW.


Pasukan Nasyid PERKIM Kebangsaan memimpin nyanyian lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan.


Abdul Qawi mengetuai bacaan doa pembuka majlis.


Dato’ Abdul Hanif (kiri), Tan Sri Dr Yusof Noor dan Dato’ Nordin menadah tangan ketika doa dibacakan.


Warga PERKIM mengaminkan doa yang dibacakan oleh Abdul Qawi.


Farhan Tee Abdullah mengacara majlis Perhimpunan Bulanan Warga PERKIM.


Dr Yusof Noor menyampaikan amanatnya di perhimpunan tersebut.


Kakitangan mendengar amanat yang disampaikan oleh Dr Yusof Noor.


Lebih 50 warga PERKIM berhimpun mendengar amanat dan nasihat yang disampaikan oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM.

Related Articles

Back to top button