PERKIM Kedah, LZNK Anjur Karnival Mahabbah Mualaf 2024
ALOR SETAR, 25 OGOS 2024 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Negeri Kedah telah mengadakan Karnival Mahabbah Mualaf Tahun 2024 bertempat di Dewan Seri Mentaloon, Jalan Anak Bukit, Pantai Johor dekat sini pada pagi Ahad.
Karnival yang diadakan kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) itu dihadiri seramai lebih 330 orang peserta terdiri daripada mualaf, ahli jawatankuasa PERKIM Bahagian dan Wanita PERKIM Bahagian dan Cawangan, rakan-rakan agensi di peringkat negeri, swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta Masyarakat Orang Asli.
Turut memeriahkan karnival ialah Majlis Belia PERKIM Kedah, mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’azam Shah (UNISHAMS), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan komuniti setempat sekitar Alor Setar Kedah.
Pengarah program, Zaatil Hidaayah Ahmad Bustaman berkata, karnival yang dianjurkan ini bertujuan untuk memaparkan dan berkongsi kepada masyarakat khususnya saudara baru tentang Islam sebagai agama dan cara hidup yang lengkap dan menyeluruh yang datangkan dari Tuhan yang Maha Pencipta yang menciptakan segala-galanya.
Katanya, sebagai seorang mualaf kita hendaklah sentiasa mendalami Islam dengan menuntut ilmu sekali gus mempejuangkan dua kalimah syahadah agar hidup dan mati kita dalam Islam”.
Karnival telah disempurnakan pembukaannya oleh Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Kedah, YBhg Dato’ Wira Mansor Haji Ismail.
Menurut Dato’ Mansor, objektif utama karnival itu diadakan adalah untuk menyebarkan keindahan ajaran Islam serta memberikan penjelasan dan kefahaman kepada mualaf tentang syariat Islam.
Selain itu, ia dapat mengeratkan lagi hubungan ukhuwah dan mahabbah khususnya di kalangan mualaf melalui aktiviti kebersamaan dengan agensi kerajaan dan NGO Islam di Negeri Kedah.
Kata Dato’ Mansor lagi, karnival yang bermula dari jam 8.00 pagi sehingga jam 4.30 petang itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti dan pengisian antaranya ceramah agama daripada pendakwah terkenal seperti Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Amin; Kaunselor Berdaftar merangkap Pengerusi PERKIM Cawangan Klang, Tuan Haji Hushim Haji Salleh serta Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Tuan Haji Muhammad Fitri Abdullah.
Tambahnya, terdapat lebih 15 unit gerai jualan turut dibuka termasuk makanan, minuman, aksesori, wangian dan pakaian.
Karnival tersebut juga menyediakan ruang untuk pameran dan jualan produk-produk sunnah yang bermanfaat bagi kesihatan dan kebaikan ummah.
Selain itu, diadakan juga persembahan nasyid dan kebudayaan, aktiviti melukis dan mewarna, mengenal huruf hijaiyah, permainan kuiz islam dan cabutan bertuah.
Turut diadakan, gerai pameran PERKIM Kedah, Perkhidmatan Klinik Zakat Bergerak dan Kaunter Zakat Bergerak.
Karnival turut diserikan dengan Persembahan Kebudayaan yang menggambarkan masyarakat majmuk berbilang kaum dan agama melibatkan masyarakat Cina dan Melayu seperti persembahan Gendang Cina dari pelajar Sekolah Menengah Sin Min dan persembahan nasyid dari pelajar Maktab Mahmud Alor Setar Kedah.
Karnival tersebut telah disempurnakan penutupannya oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, YBhg Dato’ Sheikh Zakaria Othman.
Beliau berharap program seperti ini dapat memberi impak positif dan menjadi satu pendekatan yang efektif untuk memperkukuhkan lagi hubungan dan kerjasama dalam usaha memperkasa dakwah Islam kepada masyarakat khususnya mualaf.
Turut hadir ialah Naib Pengerusi 1 PERKIM Bahagian Negeri Kedah, YBhg Tuan Haji Ahmad Puat Abdul Hamid serta Ketua Divisyen Pembangunan Mualaf dan Dakwah Sosial LZNK, Ustaz Mohd Idris Mohd Yussoff.
Sebahagian mualaf yang hadir di karnival ketika sesi pendaftaran.
Ahli Jawatankuasa Wanita PERKIM Bahagian Negeri Kedah turut menyertai karnival tersebut.
Kedah Medical Centre (KMC) menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma.
Jururawat dari Klinik Bergerak Lembaga Zakat Negeri Kedah
Pengerusi Wanita PERKIM Alor Setar, Rokiah Saad sedang menjalani pemeriksaan kesihatan.
Dato’ Mansor (kanan) menyambut ketibaan penceramah bebas, PU Amin.
Barisan Ahli Jawatankuasa PERKIM Bahagian Negeri Kedah bersama-sama tetamu berdiri tegak bagi menyanyikan lagu Negaraku, PERKIM Pacu Kemajuan dan Asmaul Husna.
Kanak-kanak dari Tahfiz Al Hidayah Ilmiyah Ad Diniah turut hadir dalam karnival mahabbah.
Pengerusi PERKIM Cawangan Daerah Kuala Muda, Ustaz Imron Kochem Haji Ahmad memimpin bacaan doa.
Mualaf Rohani Abdullah membaca Al-Quran di pembukaan majlis.
(Dari kiri:) Ustaz Mohd Idris Mohd Yussoff, Dato’ Mansor dan Zaatil di pembukaan karnival.
Pengerusi PERKIM Kedah, Dato’ Mansor Haji Ismail menyampaikan ucapan perasmian pembukaan Karnival Mahabbah Mualaf 2024.
PU Amin menyampaikan ceramahnya sempena Karnival Mahabbah Mualaf 2024.
Gerai Pameran Pendidikan dari UNISHAMS.
Gerai pameran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Pelajar Maktab Mahmud Alor Setar menyampaikan beberapa buah lagu nasyid.
Ceramah motivasi disampaikan oleh Kaunselor Berdaftar merangkap Pengerusi PERKIM Cawangan Klang, Tuan Haji Hushim Salleh.
Persembahan Kebudayaan daripada Pelajar Sekolah Menengah Sin Min.
Naib Yang Dipertua PERKIM merangkap Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Selangor, YBhg Ustaz Haji Muhammad Fitri Abdullah menyampaikan ceramah kepada hadirin.
Ketibaan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Dato’ Sheikh Zakaria Othman.
Dato’ Sheikh Zakaria menyempurnakan penutupan Karnival Mahabbah Mualaf 2024.
Dato’ Sheikh Zakaria berharap karnival tersebut merupakan satu pendekatan yang efektif untuk memperkukuhkan lagi hubungan dalam usaha memperkasakan dakwah Islam kepada masyarakat khususnya mualaf.
Dato’ Sheikh Zakaria mengambil nombor bagi cabutan bertuah.
Saudara baharu menerima hadiah cabutan bertuah daripada Dato’ Sheikh Zakaria.
Dato’ Sheikh Zakaria menyampaikan hadiah kepada pemenang cabutan nombor bertuah.
Kakitangan PERKIM Bahagian Negeri Kedah bergambar kenang-kenangan bersama Dato’ Mansor dan Ustaz Idris di akhir karnival.