Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Aktiviti Dakwah

PERKIM Jayakan SKOP Ke-11 Bertajuk ‘Menghayati Makna Kemerdekaan Hakiki’

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 29 OGOS 2024 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan telah menganjurkan Siri Kuliah Dakwah Perdana (SKOP) Ke-11 bertempat di Dataran Dakwah, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini pada pagi Khamis.

Lebih 130 orang telah menghadiri program tersebut terdiri daripada saudara baharu, Pelajar Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK), PERKIM Bahagian Negeri Sembilan, PERKIM Cawangan Selayang Baru, PERKIM Cawangan Datuk Keramat, Kelab PERKIM Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS) dan lain-lain.

Program tersebut telah diacarakan oleh Penolong Pegawai Dakwah Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIPKL), Abdul Qawi Navine Abdullah.

Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor berkesempatan menyampaikan ucapan aluan pada program tersebut.

Dr Yusof Noor dalam ucapan aluannya berkata, keunikan dan keistimewaan kita di PERKIM ialah kerana kita tumpukan kepada kepelbagaian kaum yang berbeza di Malaysia ini tetapi mempunyai satu akidah yang sama iaitu Islam.

Jelas beliau, ramai mungkin tidak sedar bahawa PERKIM merupakan produk daripada Bapa Kemerdekaan Malaysia, YTM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Negara kita telah merdeka selama 67 tahun dan PERKIM telah ditubuhkan tiga tahun selepas kemerdekaan negara Malaysia oleh Almarhum Tunku yang juga digelar ‘Bapa PERKIM’.

“Bila kita sebut merdeka kita akan ingat kepada Almarhum Tunku dan bila kita sebut PERKIM, takkan kita lupa kepada pengasasnya?

Kini, PERKIM sudah berusia 64 tahun dan hari ini kita berjumpa kerana pengasasnya yang mewariskan PERKIM kepada kita.

Setelah Almarhum Tunku mengasaskan PERKIM, tugas kita ialah melaksanakan misi dan visi PERKIM supaya dakwah, kebajikan, pendidikan dapat direalisasikan.

Di antara orang kanan Almarhum Tunku yang telah mengasaskan PERKIM ialah Allahyarham Tun Haji Datu Mustapha Datu Harun, Ketua Menteri Sabah Ketiga dan juga Yang di-Pertua Negeri Sabah Pertama.

Tun Mustapha membantu Almarhum Tunku dengan memberi sumbangan pembelian premis Tadika PERKIM di Pulau Pinang dan Podium Dataran Dakwah yang sedang kita adakan SKOP ini.

Tambah beliau, jika tidak kerana pertolongan daripada Tun Mustapha, podium Dataran Dakwah ini tiada dan kita hendaklah mengenang jasa serta pengorbanan mereka yang telah berbakti kepada PERKIM.

Dr Yusof Noor berharap, hubungan PERKIM dengan Sabah dan juga negeri-negeri lain akan lebih kuat sekali gus Islam terus berkembang bukan sahaja di Malaysia tetapi di mana-mana sahaja.

“Sesungguhnya kewujudan bangsa-bangsa itu selagi ada akhlaknya. Sekiranya akhlak mereka telah tiada, mereka pun turut tiada,” kata beliau mengakhiri ucapannya.

SKOP ke-11 bertajuk ‘Menghayati Makna Kemerdekaan Hakiki’ dipengerusikan oleh Pensyarah Kanan merangkap Pengarah Pusat Islam Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), YBhg Dr Redwan Yasin.

Ahli panelnya pula disampaikan oleh Mufti Kerajaan Negeri Sabah, YBhg Sahibus Samahah Datuk Ustaz Haji Bungsu @ Aziz Haji Jaafar serta Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, YBhg Dr Ann Wan Seng.

Barisan panelis berpandangan bahawa menghayati makna kemerdekaan Malaysia yang hakiki membawa kita kepada kefahaman yang mendalam tentang konsep kebebasan, keadilan dan tanggungjawab dalam membentuk masyarakat yang sejahtera.

Ia juga menghargai pengorbanan para pejuang terdahulu di mana mereka berjuang tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama demi melihat Malaysia bebas dan berdiri di atas kaki sendiri.

Kemerdekaan sebenar juga terletak pada kesatuan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Dalam Islam, kebebasan yang hakiki adalah kebebasan yang berlandaskan kepada takwa dan ketaatan kepada Allah SWT.

Kemerdekaan yang dicapai oleh Malaysia memberi peluang kepada umat Islam untuk mengamalkan ajaran agama tanpa sebarang halangan daripada pihak luar dan kebebasan ini tidak bermakna melakukan apa sahaja yang diingini, tetapi kebebasan untuk hidup berlandaskan syariat Islam.

Kemerdekaan membawa erti pembebasan daripada penindasan, dan penubuhan sebuah negara yang memartabatkan keadilan.

Ini selari dengan prinsip Islam yang menuntut supaya setiap individu, tanpa mengira bangsa atau agama, diperlakukan dengan adil dan saksama.

Kemerdekaan juga perlu dilihat dari sudut maqasid syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Kemerdekaan Malaysia membolehkan negara ini membentuk dasar dan sistem yang melindungi kepentingan ummah.

Ini termasuk membangunkan ekonomi yang adil, sistem pendidikan yang seimbang dan menjaga keamanan serta keharmonian masyarakat.

Kemerdekaan memberikan ruang kepada rakyat Malaysia untuk melaksanakan tanggungjawab ini dengan membina negara yang sejahtera, memelihara alam sekitar dan memastikan kesejahteraan sosial.

Sebagai khalifah, rakyat perlu memainkan peranan aktif dalam menjaga kemakmuran negara dengan mengamalkan prinsip-prinsip Islam dalam kehidupan seharian.

Islam menekankan pentingnya ukhuwah atau persaudaraan sesama umat Islam dan juga hubungan baik dengan mereka yang bukan Islam.

Kemerdekaan membolehkan Malaysia membentuk masyarakat yang bersatu padu, yang hidup dalam keharmonian dan saling menghormati antara satu sama lain.

Syukur adalah sebahagian daripada iman dan ia membawa kepada keberkatan dalam kehidupan serta menyedari bahawa nikmat kebebasan ini adalah kurniaan Allah SWT yang perlu dijaga serta dipelihara.

Kemerdekaan memberi peluang kepada Malaysia untuk mengekalkan kedaulatan sebagai negara Islam, ini termasuk menegakkan syariat Islam dalam undang-undang dan pentadbiran negara serta memastikan nilai-nilai Islam diterapkan dalam setiap aspek kehidupan bermasyarakat.

Saudara baharu juga telah memerdekakan diri mereka dan kembali kepada pengabdian yang sebenar kepada Allah SWT.

Kembali kepada agama fitrah merujuk kepada pembebasan dari kehidupan terdahulu yang tidak berlandaskan Islam dan penghijrahan kepada kehidupan baru yang selari dengan ajaran Islam.

Bagi saudara baharu, merdeka bukan sekadar perubahan agama, tetapi juga perubahan jiwa, pemikiran, dan cara hidup yang sejati.

Kemerdekaan bagi mereka menerima hidayah Allah SWT yang membebaskan mereka dari kekeliruan dan kesesatan dan membawa mereka kepada jalan yang lurus.

Mereka kini mempunyai identiti baru sebagai seorang Muslim, yang membawa jati diri yang berlandaskan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Penghijrahan mereka merupakan bentuk kemerdekaan yang memperkukuh hubungan mereka dengan Pencipta.

Dalam Islam, apabila seseorang memeluk agama Islam, semua dosa mereka yang terdahulu diampunkan kerana mereka diberi peluang untuk memulakan kehidupan baru dengan lembaran yang suci serta mereka dibebaskan dari bebanan dosa masa lalu dan diberi peluang untuk hidup dengan cara yang diredhai Allah SWT.

Kemerdekaan memberikan mualaf identiti baru, kebebasan beribadah, perpaduan dengan umat Islam dan kekuatan untuk menghadapi cabaran dengan penuh keimanan.

Dalam erti kata lain, mereka kini hidup dalam kebebasan yang sejati, yang membawa kepada ketenangan jiwa dan kebahagiaan yang hakiki.

Turut diadakan sesi soal jawab bersama hadirin.

Majlis berakhir dengan penyampaian cenderahati kepada barisan ahli panel disampaikan oleh Dr Yusof Noor dan jamuan makan tengah hari.

Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah IDIP-KL, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik serta Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin.


Dr Yusof Noor mengalu-alukan kehadiran dan menyambut mesra tetamu yang hadir di SKOP.
Abdul Qawi Navine mempengerusikan majlis sekali gus memimpin bacaan doa pembuka majlis.
Kepimpinan PERKIM bersama tetamu menadah tangan ketika doa dibacakan.


Barisan ahli panel mengaminkan doa yang dibacakan.


Dr Yusof Noor menyampaikan ucapan aluannya.


Dr Yusof Noor berkata PERKIM merupakan produk daripada Bapa Kemerdekaan Malaysia, YTM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.


Tekun…hadirin mendengar amanat yang disampaikan oleh Dr Yusof Noor.


(Dari kiri) : SS Datuk Ustaz Bungsu, Dr Redwan dan Dr Ann Wan Seng.


Para hadirin mendengar SKOP yang disampaikan oleh barisan ahli panel.


Datuk Ustaz Bungsu menyampaikan ceramahnya kepada hadirin.


Barisan kepimpinan PERKIM mendengar SKOP yang disampaikan.


Dr Ann Wan Seng turut menyampaikan ceramahnya di dalam majlis ilmu.


Saudara baharu berbangsa Cina mengajukan soalan dalam sesi soal jawab.


Mualaf berbangsa Singh turut mengemukakan soalan dan pandangan beliau.


Datuk Ustaz Bungsu berkata, kemerdekaan juga perlu dilihat dari sudut maqasid syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.


Dr Ann Wan Seng berpendapat kemerdekaan memberikan mualaf identiti baru, kebebasan beribadah, perpaduan dengan umat Islam.


Dr Yusof Noor menyampaikan cenderahati kepada SS Datuk Ustaz Bungsu.


Dr Ann Wan Seng menerima cenderahati daripada Dr Yusof Noor.


Dr Yusof Noor menyampaikan cenderahati kepada Dr Redwan Yasin.

Related Articles

Back to top button