PERKIM Adakan Majlis Amanat Integriti Sempena Bulan Kemerdekaan, Jamuan Perpisahan Kakitangan
oleh: SRZ
KUALA LUMPUR, 22 OGOS 2024 – Seramai lebih 40 pegawai dan kakitangan Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan menghadiri Majlis Amanat Integriti Sempena Bulan Kemerdekaan dan Jamuan Perpisahan Kakitangan bertempat di Dewan Tingkat 1, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, dekat sini pada pagi Khamis.
Ia dihadiri pegawai kakitangan PERKIM Kebangsaan, Institut Dakwah Antarabangsa Islam PERKIM (IDIP-KL) dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE).
Majlis itu diadakan bertujuan untuk memberikan penyampaian amanat integriti bersempena bulan kemerdekaan Malaysia ke-67 kepada kakitangan PERKIM serta meraikan kakitangan yang bersara setelah mencurahkan khidmat bakti dan sumbangan kepada PERKIM.
Majlis penyampaian amanat integriti itu disampaikan oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
Dr Yusof Noor memulakan ucapannya dengan mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada bekas Pembantu Tadbir Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Tuan Haji Ishak Othman dan Pembantu Pegawai Dakwah PERKIM Cawangan Masjid Kolej Islam Malaya (MKIM) Petaling Jaya, Tuan Haji Mohd Zainuddin Abdullah di atas segala jasa, bakti dan pengorbanan yang dicurahkan mereka di dalam kerja-kerja dakwah, kebajikan dan pendidikan di PERKIM.
Katanya lagi, bersandarkan Surah Ali Imran, ayat 159 bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.”
Jelasnya, jika dahulu Haji Ishak dan Haji Zainuddin berkhidmat dengan cara yang kasar, sudah pasti tiada siapa yang akan mendekati mereka.
Ujarnya, bahkan jika Nabi Muhammad SAW merupakan seorang yang kasar, sahabat-sahabat baginda pun akan lari meninggalkannya dan dakwahnya.
Tambah Dr Yusof Noor lagi, salah satu amanat Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad di Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan menggesa supaya kita menunjukkan akhlak dan contoh yang baik untuk berdakwah.
“Sekiranya mereka berkasar dan agresif, saya fikir itu bukanlah contoh yang baik dan tidak mempunyai ciri-ciri yang baik dalam berdakwah.
“Jika kita mengamati kandungan al-Quran secara mendalam, maka kita akan dapat menunaikan amanah bila berada di PERKIM ini walaupun kita tidak berupaya membaca al-Quran sebanyak mungkin, tetapi menerusi langkah kita dan tutur kata kita, ia sebenarnya juga adalah dakwah.
“Saya baru terima buku ini daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkaitan peningkatkan tata kelola di mana organisasi yang menerima sumbangan daripada kerajaan diwajibkan mengikut tatakelola yang dinamakan Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional,” jelas Dr Yusof Noor.
“Saya fikir sangat baik dan berguna kerana dengan tata kelola ini maka dakwah boleh berkembang dan jika zaman Rasulullah SAW dahulu, selesai sahaja Nabi bersabda maka sahabat akan terus ikut.
“Eloklah kita berusaha mencari jalan untuk meningkatkan kualiti kita dengan mengikut tatakelola berlandaskan kepimpinan kerajaan Malaysia Madani,” ujar beliau.
Ucapnya lagi, di dalam Islam, perbuatan senyum dikira sebagai amal kebaikan sedekah kerana Rasulullah SAW adalah seorang yang kaya dengan senyuman sekali gus menjadikan dakwah mudah berkembang.
“Saya pasti, sumbangan besar Haji Ishak dan Haji Zainuddin kepada PERKIM khususnya dalam menjayakan agenda dakwah, kebajikan dan pendidikan tidak mungkin dapat dibalas dengan majlis keraian seumpama ini kerana, setiap idea, usaha dan pengorbanan yang telah mereka lakukan sepanjang berkhidmat terlalu besar maknanya.
“Proses perpindahan dari alam pekerjaan kepada persaraan, merupakan fitrah perjalanan seseorang yang berkerjaya dan sememangnya perlu ditempuhi.
“Persaraan yang dilihat sebagai sebuah pengakhiran dalam fasa kerjaya adalah satu permulaan kepada fasa kehidupan baharu, yang penuh cabaran untuk diterokai dalam mencari makna kehidupan.
“Walau bagaimanapun, perpisahan ini bukan bermakna sumbangan terhadap dakwah telah berakhir tetapi segala kemahiran, kepakaran dan pengalaman yang diperolehi semasa berkhidmat sebagai kakitangan PERKIM boleh dijadikan aset untuk terus bergiat aktif dan menyumbang terutamanya kepada agama Islam.
“Pada kali ini ‘Jiwa Merdeka’ telah dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun 2024,” kata beliau mengakhiri ucapannya.
Sebelum itu, Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dalam ucapannya berkata, kita merupakan antara organisasi pertama yang mendapat geran atau dana oleh pihak kerajaan selain daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) serta Majlis Dakwah Islamiah Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP).
Katanya, sebab itu kerajaan memberikan kita salinan tatakelola sebagai satu panduan untuk melaksanakan integriti dalam pengurusan khususnya dalam konteks dakwah saudara baru khususnya, pendidikan dan kebajikan.
Selain itu, kita perlu mengikuti panduan tatakelola dari segi pengurusan kewangan, bajet, tuntutan, elaun dan cuti.
Datuk Nordin berharap kakitangannya dapat melaksanakan tugas dengan baik dan jayanya untuk dakwah.
Dalam pada itu, Tuan Haji Ishak Othman dalam ucapan ringkasnya berkata, persaraan itu sangat menyentuh perasaan kerana merasai bahawa satu kehilangan yang besar buat dirinya.
Tambahnya, beliau telah berkhidmat di PERKIM sebelum Bangunan PERKIM dibangunkan lagi pada tahun 1967.
Masih segar lagi di fikiran saya ketika Bangunan PERKIM ini mula dibangunkan pada tahun 1980 hinggalah ia teguh dan megah tinggi berdiri pada tahun 1982 serta merupakan di antara bangunan tertinggi di Kuala Lumpur.
Selain itu, banyak lakaran sejarah PERKIM yang melekat dalam fikiran ini dan sedikit sebanyak saya mencatat perihal sejarah PERKIM.
Di akhir ucapannya, Haji Ishak turut memohon keampunan dan kemaafan sekiranya terdapat ketelanjuran dan kekhilafan sepanjang beliau menjalankan tugas di PERKIM.
Tuan Haji Mohd Zainuddin Abdullah dalam ucapannya pula mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada PERKIM kerana meraikan majlis yang memberi makna baginya.
Katanya, beliau telah memulakan khidmatnya di PERKIM Cawangan MKIM Petaling Jaya pada tahun 1980 di mana ketika beliau ditemuduga mengenai sumbangan yang diberikan kepada PERKIM, lantas beliau menjawab akan berkhidmat dengan PERKIM tidak kira hari dan masa.
“Alhamdulillah, sehingga ke hari ini saya telah kotakan janji saya dalam memberi khidmat dalam PERKIM di mana lazimnya jika ada pengislaman pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, saya akan menjalankan tugas seperti hari-hari biasa serta tidak pernah mengabaikan tanggungjawab saya pada agama khususnya PERKIM.
Haji Zainuddin yang juga merupakan bekas pelajar Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) Kota Bharu berkata, beliau mengikut pesan gurunya bahawa jika ada pengislaman, jangan ditangguh-tangguh.
Beliau yang dahulunya mualaf berketurunan India berkata, walaupun beliau telah tamat perkhidmatan, tetapi dakwah tidak pernah tamat tempoh.
Jelasnya, kerja dakwah bukanlah separuh masa atau kadang-kala atau lain kali atau tiada masa tetapi kerja dakwah mestilah sepenuh masa kerana mati itu akan tiba bila-bila masa.
“Saya akan teruskan misi dakwah ini selagi hayat dan nyawa dikandung badan,” kata Haji Zainuddin mengakhiri ucapan ringkasnya.
Di akhir majlis, Dr Yusof Noor diiringi Datuk Nordin dan Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin menyampaikan cenderahati persaraan kepada Haji Ishak dan Haji Zainuddin.
Dr Yusof Noor juga berkesempatan menyampaikan sumbangan ehsan kepada Pengarah Komunikasi dan Media PERKIM Kebangsaan, Firdaus Lokman Tah di atas pemergian anak syurganya, Muhammad Al-Amin Suffian Firdaus Lokman ke rahmatullah pada 1 Ogos 2024.
Majlis berakhir dengan meraikan jamuan perpisahan kakitangan PERKIM, Haji Ishak dan Haji Zainuddin.
Turut hadir ialah Pengarah Aset dan Pembangunan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah Pembangunan Pendidikan dan Operasi PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad, Pengarah IDIPKL, Tuan Haji Mamat Che Chik serta Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin.
Safiyya Nur Sakeena Sallehuddin mengacarakan Majlis Amanat Integriti Sempena Bulan Kemerdekaan.
Kepimpinan PERKIM berdiri tegak ketika menyanyikan lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan.
Muhammad Jais Mariappan Abdullah memimpin bacaan doa pembuka majlis.
Warga dan kepimpinan PERKIM menadah tangan ketika doa dibacakan.
Haji Zainuddin (berbaju kuning) dan Haji Ishak (tengah) antara kakitangan yang diraikan di dalam majlis perpisahan.
Haji Ishak telah berkhidmat di PERKIM pada tahun 1967 sebelum Bangunan PERKIM dibangunkan lagi.
Haji Zainuddin dalam ucapan ringkasnya berkata, kerja dakwah bukanlah separuh masa atau kadang-kala atau lain kali atau tiada masa tetapi kerja dakwah mestilah sepenuh masa.
Datuk Nordin menyampaikan ucapannya di majlis tersebut.
Datuk Nordin menggesa kakitangannya dapat melaksanakan tugas dengan baik dan jayanya untuk dakwah.
Dr Yusof Noor menyampaikan ucapan Amanat Integriti Sempena Bulan Kemerdekaan kepada warganya.
Dr Yusof Noor menasihatkan warganya agar tidak bersikap kasar dan agresif kerana ia bukanlah contoh yang baik serta bukan ciri-ciri seorang pendakwah.
Dr Yusof Noor menyampaikan sumbangan ehsan kepada Firdaus Lokman Tah di atas pemergian anak syurganya ke rahmatullah pada 1 Ogos 2024 lalu.
Haji Ishak menerima sumbangan dan cenderahati persaraan daripada Dr Yusof Noor.
Dr Yusof Noor menyampaikan sumbangan dan cenderahati perpisahan kepada Haji Zainuddin.
Dr Yusof Noor berbual mesra bersama kakitangan yang telah banyak menabur budi, jasa dan pengorbanan mereka kepada PERKIM iaitu Haji Zainuddin (kiri) dan Haji Ishak (kanan).
Warga dan kepimpinan PERKIM bergambar kenang-kenangan bagi meraikan perpisahan Haji Ishak dan Haji Zainuddin.
Warga PERKIM menikmati juadah makanan yang disediakan.