Berita PERKIM Bahagian & Cawangan

PERKIM Kedah Anjur Program Usrah Mualaf

oleh: ZAATIL HIDAAYAH AHMAD BUSTAMAN


ALOR SETAR, 25 JANUARI 2023 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Negeri Kedah telah mengadakan Program Usrah Bersama Mualaf bertempat di Dewan Darul Aitam Wal Masakin Tunku Abdul Rahman (DATAR) PERKIM, dekat sini.

Seramai 60 orang terdiri daripada saudara baru dan Ahli Jawatankuasa PERKIM Bahagian Negeri Kedah dan cawangan telah menyertai program ini.

Penceramah jemputan ialah Pegawai Zakat Daerah Bandar Baharu, Ustaz Muhammad Firdaous Saifuddin telah menyampaikan ceramah bertajuk ‘Akhlak dan Adab Seorang Muslim’.

Program Usrah Bersama Mualaf ini telah menghimpunkan hampir 53 orang saudara muslim dari kelas pengajian Al-Quran dan Fardhu Ain diberikan kefahaman yang lebih baik kepada mereka khususnya dalam urusan aqidah dan ibadah.

Sebelum bersama Pusat Zakat Daerah Bandar Baharu, Firdaous pernah berkhidmat sebagai Pegawai Dakwah di PERKIM Bahagian Negeri Kedah.

Selain itu, program diadakan bagi mendedahkan kepada peserta berkaitan dengan jati diri saudara Muslim dalam menghadapi cabaran kehidupan selepas memeluk Islam.

Firdaous menegaskan bahawa sekiranya seorang saudara Muslim mahukan jati dirinya kukuh dan hebat maka empat perkara penting tidak boleh dianggap ringgan iaitu memelihara solat, puasa, zakat dan haji serta melakukan amal kebajikan ketika hidup di dunia.

Menurut beliau, saudara Muslim juga perlu berusaha menambah pengetahuan mereka dalam ajaran Islam melalui pembelajaran sepanjang hayat yang boleh diperolehi melalui pendidikan dari guru guru agama dan juga pembacaan.

Majlis ini diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada penceramah sebagai tanda terima kasih kerana sudi menerima jemputan daripada pihak PERKIM Bahagian Negeri Kedah.

Semoga apa yang disampaikan oleh penceramah dapat diamalkan dengan penuh istiqamah agar mendapat keberkatan Allah SWT di samping menyedarkan mereka tentang tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebagai seorang Muslim.


Mualaf mendaftarkan diri dalam sesi pendaftaran.


53 saudara baru hadir di dalam program usrah mualaf.


Firdaous menyampaikan ceramah bertajuk Akhlak dan Adab Seorang Muslim.


Saudara baru tertawa ketika penceramah menyampaikan ceramah dalam bentuk jenaka.


Firdaous berpesan kepada mualaf agar meningkatkan usaha dalam ilmu pengetahuan Islam.


Ustaz Mohammad Firdaous Saifuddin merakamkan gambar bersama 60 saudara baru dan AJK PERKIM Kedah di akhir program.

Related Articles

Back to top button