PERKIM Jayakan SKOP Ke-14 Bertajuk Pembangunan Dakwah Mualaf Di Malaysia
oleh: SRZ
KUALA LUMPUR, 19 DISEMBER 2024 – Pembangunan dakwah mualaf di Malaysia memainkan peranan penting dalam memastikan individu yang baru memeluk Islam (mualaf) menerima bimbingan dan sokongan yang diperlukan untuk mengukuhkan keimanan serta pengetahuan mereka tentang Islam.
Bertepatan dengan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) telah menganjurkan Siri Kuliah Dakwah Perdana (SKOP) bertajuk Pembangunan Dakwah Mualaf di Malaysia bertempat di Dewan Tingkat 1, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini, pada pagi Khamis.
Program tersebut dihadiri seramai lebih 250 orang terdiri daripada warga PERKIM Kebangsaan, PERKIM Cawangan Selayang Baru, PERKIM Cawangan Nilai, Pelajar Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK), Pelajar Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan saudara baharu berbangsa Cina, India, Iban, Kadazan, Bidayuh serta warga negara daripada Thailand, Filipina, Kemboja, Myanmar dan lain-lain.
SKOP kali ke-14 itu dipengerusikan oleh Pengacara Rancangan Tanyalah Ustaz TV3, Da’i Aiman Sufyan Aezman manakala ahli panelnya pula ialah Presiden Pertubuhan Penyebaran Islam Antarbangsa (IPSI), YBhg Dato’ Haji Kamarudin Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Interaktif Dakwah dan Tarbiyah (IDT), Lim Jooi Soon.
Siri Kuliah Dakwah Perdana dimulakan dengan ucapan Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
Dr Yusof Noor dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran barisan panelis yang istimewa kerana mereka merupakan insan yang telah mendapat cahaya Islam daripada Allah SWT di mana di dalam perkataan Arab dipanggil ‘munawwar’ tetapi istilah di dalam al-Quran dipanggil mualaf.
Katanya, mualaf wujud di zaman Nabi Muhammad SAW kerana golongan terawal memeluk Islam ialah isteri Baginda, Khadijah binti Khuwalid diikuti dengan sahabat-sahabat lain iaitu Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq, Sayyidina Umar Al-Khattab, Sayyidina Usman bin Affan dan Sayyidina Ali bin Abi Talib.
Jelas beliau, SKOP diadakan untuk kita mendekati komuniti Muslim daripada berbagai golongan dan secara tidak langsung untuk menyampaikan kefahaman Islam dan dakwah kepada mereka.
“Saya mendapat idea untuk membuat siri kuliah ini daripada Universiti Al-Azhar di Mesir di mana mereka telah menganjurkan kuliah dakwah akademik secara terbuka, jadi apa salahnya kita cuba serta ia mula nampak ada tarikan setelah menjemput di kalangan para mufti dan profesor universiti,” ujar Dr Yusof Noor.
Inilah sebenarnya misi Pengasas PERKIM, YTM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj untuk menyampaikan dakwah Islamiah kepada bukan Islam dan juga kepada penganut Islam.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan penghargaan kepada Dato’ Kamarudin dan Lim Jooi Soon kerana jasa, bakti serta pengorbanan mereka dalam dakwah kepada umat manusia di dalam dan luar negara sekali gus PERKIM memberi sokongan yang penuh kepada IPSI dan IDT dalam gerakan kerja dakwah mereka.
Kegiatan yang mereka laksanakan adalah sebahagian daripada matlamat PERKIM dan kita harus menyokong usaha tersebut kerana ia merupakan satu persamaan dengan objektif penubuhan PERKIM.
Kita perlu bekerjasama dan menyokong usaha yang dibuat oleh IPSI dan IDT supaya Islam lebih maju dan berkembang.
Jika mualaf di United Kingdom, Perancis atau Amerika Syarikat terdiri daripada golongan Muslim intelektual tetapi di Malaysia terdiri daripada Cina dan India korporat serta terdapat juga golongan kurang bernasib baik.
“Saya berharap kita dapat membina Islam sekali gus mengembangkannya dan sampai kepada non-Muslim dalam kadar yang lebih pantas,” kata Dr Yusof Noor mengakhiri ucapannya.
Menurut barisan panelis, mualaf sering menghadapi pelbagai cabaran selepas memeluk Islam iaitu
tekanan keluarga dan masyarakat di mana kajian menunjukkan bahawa mualaf kerap disindir oleh keluarga kerana memeluk Islam dan dilabel sebagai “masuk Melayu”.
Sebagai contoh, satu kajian mendapati bahawa 71 peratus responden mengalami sindiran keluarga, manakala 70 peratus dilabel sedemikian.
Segilintir mualaf juga menghadapi kesukaran mendapatkan pendidikan agama yang mencukupi, yang penting untuk mengukuhkan keimanan dan amalan mereka serta kekurangan tempat merujuk berkaitan ilmu-ilmu agama Islam dalam Bahasa Mandarin, Kantonis, Hokkien, Tamil juga menjadi salah satu cabaran.
Pembangunan dakwah mualaf di Malaysia memerlukan kerjasama pelbagai pihak untuk memastikan mualaf menerima sokongan yang komprehensif dalam perjalanan mereka sebagai Muslim.
Jesteru, dengan memahami cabaran yang dihadapi dan menyediakan program yang sesuai, mualaf dapat mengukuhkan keimanan dan pengetahuan mereka, seterusnya menyumbang kepada masyarakat Islam yang lebih harmoni dan inklusif.
Barisan panelis juga turut berkongsi pengalaman mereka mendapat hidayah daripada Allah SWT dan diselangi dengan sajian halwa telinga disampaikan oleh pengerusi SKOP.
Majlis diserikan lagi dengan penyampaian cenderahati PERKIM disampaikan oleh Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun kepada Dato’ Kamarudin dan Lim Jooi Soon.
Turut diadakan dengan sesi soal jawab bersama hadirin dan program berakhir dengan jamuan merarau.
Turut hadir ialah Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah; Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, YBhg Dato’ Haji Ali Ab Majid; Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin serta Pengarah Unit Pembangunan dan Aset PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa.
Muhammad Farhan Tee Abdullah mengemudi majlis selaku juruacara SKOP ke-14.
Antara hadirin yang hadir di Siri Kuliah Dakwah Perdana Ke-14 PERKIM.
Muhammad Jais Mariappan Abdullah memimpin bacaan doa pembuka majlis.
Barisan Kepimpinan PERKIM bersama panelis SKOP-14 menadah tangan ketika doa dibacakan.
Hadirin mengaminkan doa yang dibacakan agar majlis diberkati dan dirahmati.
Dr Yusof Noor menyampaikan ucapan selaku Setiausaha Agung Kehormat PERKIM.
Dr Yusof Noor berharap kita dapat membina Islam sekali gus mengembangkannya dan sampai kepada non-Muslim dalam kadar yang lebih pantas.
Antara wajah-wajah mualaf pelbagai bangsa dan etnik hadir di SKOP-14.
Antara barisan panelis yang menjayakan SKOP-14 iaitu (dari kiri) Dato’ Kamarudin, Da’i Aiman dan Lim Jooi Soon.
Da’i Aiman mengemukan soalan kepada panelis sambil menambat hati hadirin dengan beberapa potongan lagu nasyid.
Dato’ Kamarudin turut mengajukan soalan dakwah iaitu siapakah yang telah menghafaz 30 juzuk al-Quran beserta terjemahan dalam Bahasa Melayu, Mandarin atau Tamil?
Dato’ Kamarudin menggesa supaya memperbanyakkan lagi buku-buku fardu ain dan kursus-kursus bagi mualaf dalam bahasa ibunda mereka supaya mereka lebih faham.
Lim Jooi Soon berkongsi pengalaman dan cabarannya memeluk Islam selama 28 tahun kepada hadirin.
Jelas Lim Jooi Soon, bagi golongan yang telah memahami fardu ain, fardu kifayah dan mengamalkan cara hidup Islam bukan lagi dipanggil mualaf sebaliknya mukalaf.
Ali Abdullah yang juga seorang mualaf mengajukan beberapa soalan kepada panelis.
Azim Daniel Gurpeet Singh bertanyakan soalan dalam sesi soal jawab.
Dato’ Abdul Hanif menyampaikan cenderahati PERKIM kepada Dato’ Kamarudin.
Lim Jooi Soon menerima cenderahati PERKIM daripada Dato’ Abdul Hanif.
Tetamu kehormat PERKIM bergambar kenang-kenangan di akhir majlis.
Kepimpinan PERKIM bersama barisan panelis menikmati hidangan merarau.