Aktiviti DakwahAktiviti Kebajikan

PERKIM Anjur Usrah Ziarah di Pulau Pinang

Oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu tolong-menolong dalam melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). (al-Maidah: 2)

Dengan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dan PERKIM Bahagian Negeri Pulau Pinang menganjurkan Program Usrah dan Ziarah Saudara Muslim bertempat di Hotel Seri Malaysia Bayan Baru, Pulau Pinang pada 24 hingga 27 Oktober 2019 lalu.


Penyelaras Program,
Muhammad Farhan Tee Abdullah berkata, usrah merupakan medium dakwah dalam menyampaikan risalah Islam dan ilmu secara berkumpulan dengan membincangkan sesuatu perkara atau masalah bagi membentuk sahsiah yang unggul melalui tarbiah, ziarah, dan bantuan.

Program itu bertujuan untuk membina ukhwah Islamiah di kalangan saudara Muslim dalam sesi ziarah berbekalkan iman dan ilmu serta bantuan yang mendorong peningkatan amal di dunia dan akhirat..

“Selain itu, program itu menyediakan ruang dan peluang kepada saudara Muslim bagi membincangkan dan memahami kaedah usrah serta teknik-teknik yang berkesan melalui bengkel, diskusi dan ceramah, kata Farhan.

Jelas Amran lagi, ianya dapat membina satu generasi Islam yang mengenali Islam sebagai menghayatinya di dalam kehidupan peribadi, menjadikan azam dan cita-cita serta tindakan pendakwahan sebagai sistem hidup dalam keluarga, masyarakat dan negara.

“Secara tidak langsung, ia dapat mengikhlaskan diri mereka kepada Allah, demi untuk mencari keredhaann Nya, mengharapkan pahala dan merasa gerun dengan siksaan Nya bukan kerana segan dengan kumpulan usrah tetapi kerana ketaatan kepada Allah,” jelasnya

“Perkim menziarahi 11 saudara Muslim kategori baru memeluk Islam, daif, miskin, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan warga emas di sekitar Pulau Pinang dengan menyampaikan sumbangan berbentuk makanan serta wang tunai,” kata Farhan yang mengetuai rombongan ziarah.

Farhan yang juga Pegawai Unit Perancangan, Penyelidikan dan Pelaksanaan (UPPP) PERKIM berkata, program ziarah ini merupakan hasrat utama Perkim yang harus diperkembangkan dan diperluaskan ke seluruh Malaysia antara Perkim bahagian, cawangan-cawangan serta mendapat kerjasama dengan jabatan atau majlis agama Islam negeri-negeri dalam membantu kebajikan saudara Muslim.

Ziarah pertama adalah ke rumah saudara Muslim berketurunan Cina, Adam Teh Abdullah di Jelutong, Georgetown yang mendapat hidayah pada tiga tahun lalu kini menyara isterinya yang sarat mengandung dan keluarganya dengan meraih pendapatan sumber dengan bekerja di sebuah kedai makanan segera.

Ziarah diteruskan ke Paya Terubong, Ayer Itam iaitu di kediaman Adam Haris Abdullah, saudara Muslim berbangsa India yang menyara kehidupan bersama isterinya dengan kedua-dua berkhidmat separuh masa di Perkhidmatan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Adam Haris sebelumnya merupakan penjual burger terlaris selama lima tahun di Paya Terubong sebelum ini terpaksa menutup perniagaannya kerana disihir oleh penduduk yang mengambil alih gerainya sehingga menyebabkan kaki kiri beliau membesar akibat penyakit untut atau dikenali sebagai kaki gajah. Selepas banyak wang dihabiskan di beberapa klinik dan hospital beliau pulih setelah berubat dengan perubatan tradisional As-Syifa.

Rombongan seterusnya berkunjung ke kediaman Muhammad Fauzi Abdullah dan Shafiq Abdullah di Majestic Height, Paya Terubong.

Ziarah diteruskan ke Lahar Tiang, Kepala Batas di kediaman milik Noor Aini Goh Abdullah kemudian ke Kampung Tok Otek, Penaga untuk menziarahi Nurul Syazwani Maylin Abdullah manakala Faiz Chang Fook Aun di Kampung Benggali, Butterworth.

Aktiviti usrah dan ziarah disertai Pegawai Dakwah PERKIM Pulau Pinang, Siti Nasyrah Rosli dan Nur Syahirah Ismail; Pengerusi Cawangan PERKIM Barat Daya, Ismail Kassim; Pegawai UPPP, Amran Anbarasu Abdullah dan Jamilatun Noor Hashim serta Eksekutif Pembangunan Insan, Jabatan Pembangunan Insan dan Ekonomi Lembaga Zakat Selangor, Ahmad Fauzi Siva Abdullah.

Rombongan ziarah meneruskan aktiviti mereka ke rumah Raini Julius di Sungai Nibong,Nur Aisyah Lee Thor di Sungai Ara, Halimah Hakim di Teluk Kumbar, Siti Khadijah Maree Abdullah di Kampung Paya Simpang Empat, Muhammad Kalip Layang di Jalan Bukit Penara, Balik Pulau.

Mereka masing-masing menerima barangan makanan seperti beras, tepung, bihun, minyak, gula, biskut, teh, kopi, susu dan lain-lain.

Selepas ziarah, Perkim mengadakan bengkel kepada 55 saudara Muslim pelbagai kaum yang terdiri dari bangsa India, Cina, Orang Asli, Iban, Kadazan, Bidayuh, Penan serta warga dari negara Indonesia, Thailand dan Filipina.


Ahli Majlis Kebangsaan Perkim merangkap Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Selangor, Muhammad Fitri Abdullah menyampaikan dua sesi ceramah bertajuk ‘Pegangan Akidah Muslim’ serta ‘Menangani Masalah Mengikut Cara Islam Berlandaskan al-Quran dan Sunah’.

Fitri dalam ceramahnya berkata, ilmu dalam Islam merangkumi pelbagai perkara iaitu al-Quran, syariah, sunnah, iman, ilmu kerohanian, hikmah, makrifat, pemikiran, sains dan pendidikan.

“Ilmu merupakan suatu perkara yang penting dalam kehidupan manusia melalui perkembangan dan kemajuan individu dengan pencapaian informasi melalui kursus, sekolah, perbincangan, pengembaraan, latihan dalam kumpulan (LDK) serta melalui sumber-sumbernya seperti wahyu, pancaindera, akal dan ilham untuk menyampaikan sebagai risalah dakwah,” kata Fitri.

“Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad, sejak bayi dilahirkan diazankan dan diqamatkan ini bererti ilmu disampaikan kepada manusia sejak detik kelahiran hingga ke akhir pernafasan,” ujarnya.

Beliau mengajak peserta mencintai program dan majlis ilmu agar menambahkan pengetahuan agama melalui ziarah, ceramah dan aktiviti-aktiviti kumpulan.


Majlis diserikan lagi dengan ucapan perasmian oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr Mohd. Yusof Noor.

Dr. Yusof dalam ucapannya berkata, manusia akan berasa lemah dan takut bila berada di dalam dunia yang gelap gelita tanpa sebarang cahaya.

Syukur kepada Ilahi kerana peserta mendapat kasih daripada Allah SWT kerana Dia menggerakkan hati mereka kembali dalam agama fitrah.

Agama Islam berkembang sehingga 1.8 bilion yang disebarkan oleh Nabi Muhammad SAW yang tidak pandai membaca dan menulis tetapi mukjizat al-Quran kekal sehingga ke hari ini.

Al-Quran yang dibaca oleh Rasulullah SAW yang diajar oleh Jibril a.s sehingga ke hari ini langsung tidak berubah.

Dr. Yusof Noor turut menerangkan bahawa AlMarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj merupakan Pengasas PERKIM dan Tan Sri SOK Ubaidullah berperanan menguruskan pentadbiran ketika beliau menjadi Setiausaha Agung Kehormat PERKIM pada ketika itu.

PERKIM mengutamakan Islam nombor satu  dan keturunan nombor dua kerana ia mengikatkan kita sebagai manusia yang mendapat kasih daripada Allah SWT.

Ada orang kata agama Islam itu tidak baik, garang, jahat atau ganas tetapi sebaliknya kasih sayang yang terserlah melalui Islam.

Allah menyayangi orang yang senang tetapi Allah lebih menyayangi orang yang susah dan orang yang senang tidak boleh sombong dan orang yang susah tidak boleh marah.

Jika orang India dan Cina hendak merayakan hari tradisi mereka, raikanlah tetapi mestilah mengikut syariat Islam dengan baik serta sederhana

Dr Yusof Noor turut mendoakan agar diberikan kemudahan, kesihatan dan hidayah kepada keluarga serta mendapat kesenangan di dunia dan di akhirat.

Peserta turut diberi penerangan tajuk ‘Kenapa Solat, Puasa, Zakat dan Haji’ disampaikan oleh Abdul Malek Abdullah dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAIPP) manakala  Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, Ann Wan Seng menyampaikan tajuk ‘Apakah Erti Saya Seorang Muslim’.

Majlis diteruskan lagi dengan forum bertajuk ‘Cabaran, Isu dan Masalah Saudara Muslim dan Cara Penyelesaian di Pulau Pinang’ dipengerusikan oleh Muhammad Nur Azlee Stanley Abdullah dari MyIkut.

Ahli panelnya pula ialah Abdul Malek Abdullah dari JAIPP, Nazirah Nanta Kumari dari Hidayah Centre Foundation dan Muhammad Shah Shanmugam selaku pendakwah bebas.

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu)” (al-Baqarah: 120)

Panelis menerangkan bahawa terdapat pelbagai musuh akidah yang tidak disedari disampaikan melalui media cetak dan elektronik serta media baru yang membawa unsur-unsur kepada kelalaian dan kealpaan yang harus dicegah kerana ianya boleh membawa kepada kehancuran kepada umat Islam khususnya saudara Muslim.

Menurut ahli panel, konspirasi asing kini merancang untuk menghancurkan umat Islam melalui serangan berbagai aliran pemikiran dan budaya sekular, terutama fahaman liberalisme yang menawarkan kebebasan individu, baik dalam pemikiran, tingkah laku, beragama, mahu pun dalam hal pemilikan harta.

Antara serangan dan ancaman terhadap Islam ialah serangan akidah, sistem ekonomi, pemakanan, gaya hidup serta pemikiran.

Mereka turut mengajak peserta membangunkan peribadi Muslim dan bersiap sedia berjuang melakukan perubahan dengan meningkatkan keimanan, taubat, muzakarah, sedia mengajak serta memimpin umat Islam untuk perubahan ke arah Islam atas dasar ketakwaan dan ketaatan kepada Allah.

Ahli panel turut menekankan konsep yang berteraskan rukun iman dan rukun Islam dalam menambahkan ketakwaan diri kepada Allah SWT sebagai Maha Pencipta.

Penstrukturan rukun iman dan rukun Islam merupakan tunjang pembangunan serta sahsiah peribadi perlulah ditekankan kepada aspek mekanisme dalam proses membentuk keyakinan, nilai dan paradigma seterusnya tingkah laku manusia.

Menurut ahli panel, dalam melahirkan masyarakat  yang bertamadun dan progresif  atau masyarakat madani iaitu masyarakat moden yang inovatif, berdaya saing dan mempunyai semangat juang tinggi mereka haruslah membentuk ukhwah Islamiah kerana ia merupakan hubungan yang paling penting dalam pembentukan persaudaraan sesama Muslim.

Usrah merupakan kaedah yang dilaksanakan Nabi Muhammad SAW sebelum berdakwah ke seluruh dunia dan membangkitkan agama Islam melalui dakwah secara sulit dan terang-terangan serta kaedah tersebut membangkitkan semangat bersatu padu dalam Islam sehingga mampu menguasai dua pertiga dunia.

Kekuatan persaudaraan yang teguh menjadikan umat Islam berada dalam bersatu padu, saling memahami, bertolak ansur, bantu membantu dan sedia berkorban demi Islam berlandaskan kepada ukhuwah Islamiah.

Panelis mengajak peserta mencontohi para sahabat yang mendapat tarbiah agung daripada Rasulullah SAW sehingga mereka sanggup berkorban dan berhadapan dengan rintangan yang mencabar demi kebaikan serta kebajikan saudaranya yang lain biar pun pada hakikatnya diri mereka sendiri berhadapan masalah yang rumit.

Peserta dibahagikan kepada empat kumpulan bagi sesi latihan dalam kumpulan (LDK), bengkel solat dan fardu ain.

Turut diserikan lagi dengan majlis perasmian penutup dan penyampaian sijil penghargaan, hamper dan hadiah kepada peserta yang disampaikan oleh Setiausaha Kehormat Perkim Bahagian Pulau Pinang, Dato’ Latiffa Abdul Rahman.

Latiffa dalam ucapannya berkata, jadikan kerja ziarah dan usrah itu sebagai satu titik tolak untuk terus bersama berusaha mengiatkan lagi kerja dakwah bagi menyampaikan kerja Islam kepada masyarakat semata-mata kerana Allah SWT.

Jelasnya, keunikan yang ada pada Perkim ialah terutamanya dapat menghimpunkan pelbagai bangsa untuk bersama dalam menyebar luaskan syiar Islam dalam satu ummah dan satu agama bagi menyampaikan wadah Islam kepada masyarakat.

Beliau menyarankan peserta agar menyampaikan risalah Islam kepada semua masyarakat menerusi akhlak, sikap dan perbuatan agar mereka tertarik, positif , tidak dipandang rendah serta menjadi model ikutan.

Hasbullah juga menasihatkan peserta supaya berhati-hati dalam memilih guru agama agar tidak tersesat dengan ilmu yang dipelajari kerana terdapat gerakan ajaran sesat seperti kumpulan solat hanya dengan niat sahaja yang boleh menyebabkan kekeliruan terutama kepada golongan yang baru memeluk Islam.

Peserta juga harus berhati-hati dengan fahaman liberalisme, pluralisme dan sekularisme yang boleh mengancam keharmonian akidah umat Islam.

Beliau turut menyampaikan salam hormat daripada Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Pulau Pinang, Prof Madya Dr Amin Malik Shah Abdul Majid yang tidak dapat bersama kerana masih terkandas di Kuala Lumpur.

Jelasnya lagi, terima kasih diucapkan kepada PERKIM Kebangsaan kerana dan memberi sokongan sepenuhnya kepada PERKIM Bahagian Pulau Pinang dalam penganjuran bersama saudara Muslim.

“Saya berasa bahagia kerana mempunyai keluarga Islam yang besar walau berlainan bangsa kerana cogankata yang digunakan PERKIM iaitu Islam itu Persaudaraan.

Selain itu, PERKIM juga memberi tumpuan dan mencari jalan untuk membendung masalah penyalahgunaan dadah, gelaja sosial, keruntuhan akhlak, seks bebas serta pembuangan bayi seperti saranan Perdana Menteri merangkap Yang Dipertua Perkim, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Perkim perlu mempergiatkan lagi usaha dakwah melalui ziarah dan usrah kerana program ini amat berkesan kepada mereka yang memerlukan perhatian, pembelaan dan kasih sayang berbekalkan doa, sumbangan dan keprihatinan,” ujar Latiffa.

Turut hadir, Bendahari PERKIM Bahagian Negeri Pulau Pinang, Abdul Fattah Mohamed Abbu Bakar.


Farhan (tengah) menyampaikan sumbangan makanan dan wang tunai kepada Adam Teh Abdullah.


Adam Haris Abdullah yang berkhidmat sebagai pasukan RELA menerima sumbangan daripada PERKIM.


PERKIM menghulurkan sumbangan kepada Muhammad Fauzi Abdullah dan keluarganya.


Farhan selaku ketua rombongan menyampaikan sumbangan makanan dan wang tunai kepada Shafiq Abdullah.


Noor Aini Goh Abdullah dari Lahar Tiang, Kepala Batas menerima sumbangan daripada PERKIM.


Nasyrah (kiri) menyampaikan sumbangan makanan kepada Nurul Syazwani Maylin Abdullah di Kampung Tok Otek, Penaga.


PERKIM menziarahi Faiz Chang Fook Aun di Kampung Benggali, Butterworth dan menyampaikan sumbangan kepadanya dan ahli keluarganya.


Suami kepada saudara baharu, Nur Aisyah Lee Thor menerima sumbangan makanan daripada Amran ketika menziarahinya di Sungai Ara.


Ismail Kassim (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada saudara baharu, Raini Julius di Sungai Nibong.


Amran (kanan) menyampaikan sumbangan wang tunai dan makanan kepada saudara baharu, Siti Khadijah Maree Abdullah di Kampung Paya, Simpang Empat.


Halimah Hakim dari Teluk Kumbar turut menerima kunjungan ziarah dan sumbangan dari PERKIM.


PERKIM menziarahi saudara baharu Muhammad Kalip Layang di Bukit Penara, Balik Pulau Garden.


Muhammad Farhan Tee selaku Penyelaras Program merangkap Pengerusi Majlis memberikan taklimat kepada peserta.


Antara 55 peserta yang hadir terdiri daripada satu agama tetapi pelbagai bangsa.


Fitri menyampaikan dua sesi ceramah bertajuk ‘Pegangan Akidah Muslim’ serta ‘Menangani Masalah Mengikut Cara Islam Berlandaskan al-Quran dan Sunah’ kepada peserta.


Nazirah (kanan) memberikan kefahaman dalam bengkel solat dan fardu ain.


Amran (kiri) memberikan penerangan kepada peserta kumpulan.


Fauzi Siva (kiri) menjawab beberapa soalan berkaitan solat dan fardu ain yang diajukan peserta.


Nasyrah (berpakaian hitam) mengajak peserta bersama-sama mengikuti bacaan dalam solat.


Dr. Yusof Noor menyampaikan ucapan perasmian di program tersebut.


Dr. Yusof Noor menyampaikan amanat dan nasihat berguna kepada saudara baharu.


Tetamu kehormat dan peserta bergambar kenang-kenangan sambil menunjukkan isyarat kalimah tauhid.


Malek menyampaikan tajuk ‘Kenapa Solat, Puasa, Zakat dan Haji’ kepada peserta program.


‘Apakah Erti Saya Seorang Muslim’ merupakan tajuk ceramah disampaikan Ann Wan Seng.


Peserta menunaikan solat fardu bersama-sama yang dipimpin oleh Imam Masjid Umar Ibnu Al-Khattab Bayan Baru, Mohamad Zaki Abdul Aziz.


Mohamad Zaki memberikan motivasi dan semangat kepada saudara baharu di dalam kuliah Subuh.


(Dari kanan:) Shah Shanmugam, Nazirah, Malek dan Azlee Stanley menjayakan forum bertajuk ‘Cabaran, Isu dan Masalah Saudara Muslim dan Cara Penyelesaian di Pulau Pinang’.


Tekun…saudara baharu mendengar forum yang disampaikan.


Amran turut menyampaikan mutiara kata perangsang khusus kepada peserta di dalam ucapan aluan majlis penutup.


Dato’ Latiffa menyampaikan ucapan penutup dengan meninggalkan pesanan dan panduan kepada peserta.


Latiffa (kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada saudara baharu berbangsa Cina.


Saudari baharu berketurunan India menerima sijil penyertaan daripada Latiffa.


Peserta bergambar kenang-kenangan bersama tetamu kehormat PERKIM di akhir program.


Saudara baru berkesempatan merakamkan kenangan manis bersama tetamu kehormat PERKIM.

 

[youtube url=”https://www.youtube.com/watch?v=oGhMXoHzK0E&t=13s” width=”560″ height=”315″]

Related Articles

Back to top button