PERKIM Anjur Kursus Pengkaderan Pendakwah

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
“Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu dia tetap berada dalam cahaya (hidayat petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata.” (az-Zumar: 22)
Kaedah dakwah merupakan satu wadah penyampaian yang dilihat cukup berkesan untuk membina sahsiah mukmin dan melahirkan pendakwah terutama dalam kalangan saudara Muslim.
Pendakwah cemerlang bukan sahaja bijak dalam aspek akademik dan kemahiran, tetapi juga hebat akhlak serta sahsiahnya. Lebih-lebih lagi Islam menuntut umatnya supaya mengejar kecemerlangan dunia dan akhirat.
Bertepatan dengan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan bersama Yayasan PERKIM menganjurkan Kursus Pengkaderan Pendakwah bertempat di Hotel Grand Seasons, Jalan Pahang, Kuala Lumpur pada 31 Oktober hingga 2 November 2016 lalu.
Ia disertai seramai 50 orang peserta terdiri dari kalangan Saudara Muslim, kakitangan PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak, Pahang, Terengganu, Kelantan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (PERKIM) manakala badan bukan kerajaan yang menyertai ialah Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Koperasi Permodalan Mualaf Berhad (KPMB), Badan Kebajikan Saudara Kita (BKSK) Daerah Kluang, Multiracial Reverted Muslims (MRM), Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) dan Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM).
Turut menyertai kursus tersebut ialah Kelab PERKIM Universiti dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Universiti Tun Abdul Razak (UniRAZAK), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kolej Universiti Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS).
Program tersebut diketuai oleh Pengarah Unit Perancangan, Penyelarasan dan Perlaksanaan PERKIM, Tuan Haji Mamat Che Chik.
Ia diadakan untuk menghimpunkan pendakwah dari kalangan mualaf dan dari organisasi Islam untuk membincangkan kaedah yang terbaik dalam menyampaikan dakwah kerana ia merupakan tanggungjawab umat Islam untuk menyebarkan agama Islam kepada seluruh manusia kerana Islam bukan milik bangsa Arab mahu pun kaum Melayu.
Program tersebut dikendalikan oleh para pemudah cara dan penceramah yang berwibawa serta berpengalaman luas dalam bidang dakwah selain di kalangan mereka yang telah dilatih juga pernah menerima Anugerah Khidmat Bakti Dakwah PERKIM pada 14 September lalu bersempena Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM kali ke-55.
Matlamatnya adalah supaya para peserta memperolehi satu rangka kerja mengenai cara untuk menyampaikan risalah Islam dengan berkesan kepada bukan Islam.
Ia juga merupakan ‘residential course’ yang mengandungi ceramah interaktif selain aktiviti latihan praktikal.
Hasil latihan sepanjang kursus telah memberi pegalaman kepada para peserta dalam melakukan sebarang perancangan dan pelaksanaan untuk melakukan dakwah kepada bukan Islam.
Selain itu, ia mengasah teknik dan kemahiran para peserta dalam mencapai proses dakwah yang berkesan.
Kursus tersebut telah dirasmikan oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.
Yusof Noor dalam ucapannya berkata, usaha dakwah mengIslamkan orang hanya diketahui oleh orang yang berdakwah.
Orang yang berada di jalan dakwah berusaha menambah bilangan umat Islam terutamanya dari Sabah dan Sarawak, dan sempadan-sempadan Malaysia.
Allah sahaja yang boleh menilai ganjaran seseorang yang sanggup berkorban demi menyebarkan Islam di kawasan-kawasan pedalaman dengan meninggalkan keluarga dan tanah air berbulan-bulan lamanya.
Kursus tersebut diadakan untuk mengenalpasti dan berkongsi apa yang boleh dilakukan untuk meluaskan dan menyebarkan Islam dengan cabaran serta ujian dalam menyebarkan Islam adalah terlalu banyak.
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.”
Menerusi firman Allah di dalam surah An-Nahl, ayat 125 tersebut, lazim dijadikan dalil kuat untuk menyeru umat Islam untuk berdakwah.
Susunan praktikal yang telah diajar oleh Allah secara berturut-turut serta mempunyai hikmah tertentu malah tiada ssesuatu yang terjadi tanpa pengetahuan Allah dan sususan huruf hijaiyah juga tersusun mengikut aturan Allah.
Kata Yusof Noor lagi, kalimah hikmah perlu kepada penelitian supaya tujuan untuk berdakwah tercapai. Bijaksana atau hikmah merupakan suatu elemen yang amat diperlukan bukan sahaja dari sudut akal fikiran tetapi juga dari segi kata-kata, perbuatan, kaedah berkomunikasi, bermasyarakat, pergaulan, pengurusan, dan pentadbiran.
“Musyawarah, muamalat dan musahabah antara cara yang berhikmah,” katanya yang juga Presiden Universiti Islam Malaysia (UIM).
Nasihat yang berguna dapat merubah diri nasib seseorang dan jadilah pencetus kepada perubahan seseorang.
Tambah beliau lagi, mungkin kata-kata dan akhlak kita yang baik dapat merubah hati dan iman seseorang.
Allah menegaskan kepada umat Islam supaya memulakan dakwah dengan berhikmah sesuai dengan keadaan, sasaran dan tempat untuk menyebarkan dakwah.
“Sesiapa yang Allah berikan hikmah, maka mereka akan mendapat kebaikan yang cukup dari Allah kerana anugerah dari Allah bagi mereka yang terpilih,” ujar beliau di akhir ucapannya.
Tuan Haji Mamat Che Chik turut menyampaikan taklimat kursus kepada peserta dan memberikan maklumat mengenai ‘Statistik Peratus Taburan Penduduk Malaysia Mengikut Agama dan Etnik bagi tahun 2010’.
Program disusuli dengan sesi pertama iaitu ceramah bertajuk ‘Sifat-sifat Pendakwah’ yang disampaikan oleh Pendakwah Pedalaman Sabah, Ustaz Mohd. Fadli Yusof.
Mohd. Fadli turut menceritakan pengalaman pahit manis beliau ketika berdakwah di Pensiangan, Sabah dan telah mengislamkan 560 orang sejak tahun 2011.
‘Penyampaian Risalah Islam kepada Non-Muslim Melalui Komunikasi Berkesan’ merupakan tajuk sesi kedua perbincangan panel yang dipengerusikan oleh Saudara Firdaus Wong Wai Hung bersama ahli panel iaitu Dr. Ann Wan Seng, Ustaz Kamarudin Abdullah, Sheikh Hussain Yee Abdullah dan Ustaz Mohd. Fadli Yusof.
Presiden Global Unity Network, Saudara Shah Kirit Kakulal Govindji menyampaikan sesi ketiga ceramah bertajuk ‘Menangani Soalan-soalan, Isu-isu dan Salah Faham Mengenai Islam dan Muslim’.
Sheikh Hussain Yee Abdullah yang merupakan Presiden Pertubuhan Al-Khadeem turut menyampaikan sesi keempat ceramah bertajuk ‘Dakwah kepada Atheists, Agnostics dan Deists’.
‘Dakwah kepada Orang Asli’ merupakan tajuk ceramah sesi kelima disampaikan oleh Ustaz Yusuf Abdullah merupakan Penggerak Masyarakat Orang Asli di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Sesi keenam diteruskan lagi dengan pembentangan ceramah oleh Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Melaka, Saudara Lim Jooi Soon bertajuk ‘Dakwah kepada Penganut Buddha’.
Presiden IPSI, Ustaz Kamaruddin Abdullah turut menyampaikan sesi ketujuh ceramah ‘Dakwah kepada Penganut Kristian’ manakala ‘Dakwah kepada Penganut Hindu’ merupakan sesi terakhir ceramah yang disampaikan oleh Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM merangkap Naib Pengerusi 2 PERKIM Bahagian Negeri Selangor, Ustaz Haji Muhammad Fitri Abdullah.
50 peserta dibahagikan kepada lima kumpulan dan menjalani praktikal dakwah jalanan di sekitar Jalan Chow Kit, Jalan Tunku Abdul Rahman, Lorong Haji Taib, Jalan Raja Laut dan Jalan Sultan Ismail dekat ibu negara dengan mengedarkan risalah dakwah di samping menemubual beberapa orang belum Islam mengenai pengetahuan dan minat mereka terhadap Islam.
Program berakhir dengan penyampaian sijil penghargaan dan cenderahati kepada peserta disampaikan oleh Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Datuk Hasbullah L. Isa.
Turut hadir ialah kepimpinan Perkim, Bendahari Kehormat, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim; Setiausaha Kerja, Zulkefli Arifin; Penyelaras Unit Komunikasi dan Media Baru merangkap Penyelaras Unit Pembangunan dan Aset, Dato’ Ahmad Mustafa serta Pengarah Yayasan Perkim, Tuan Haji Zakaria Ismail.
Muhammad Farhan selaku pengacara majlis dan urus setia Kursus Pengkaderan Pendakwah.
Muhammad Jais mengetuai bacaan doa ketika majlis perasmian.
(Dari kanan:) Hasbullah, Yusof Noor dan Dr. Muhammad Rais menadah tangan ketika doa dibacakan.
Tetamu kehormat bersama peserta menadah tangan ketika doa dibaca.
Amanat dan nasihat daripada Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor kepada peserta.
Tetamu kehormat bersama peserta mendengar amanat yang disampaikan oleh Tan Sri Setiausaha Agung Kehormat.
Mohd. Fadli (berserban) menghadiahkan sebuah buku ‘One Way Ticket: Pergi Tak Pasti Kembali’ kepada Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.
Tuan Haji Mamat menyampaikan taklimat kursus kepada peserta dan membentangkan ‘Statistik Peratus Taburan Penduduk Malaysia Mengikut Agama dan Etnik bagi tahun 2010’.
Antara sebahagian peserta kursus.
Ustaz Mohd. Fadli menyampaikan ceramahnya bertajuk ‘Sifat-sifat Pendakwah’.
Barisan penceramah berbilang bangsa tetapi satu agama dan akidah sambil menunjukkan isyarat kalimah syahadah (dari kiri:) Dr. Ann Wan Seng, Ustaz Mohd. Fadli dan Ustaz Kamaruddin.
(Dari kiri:) Firdaus Wong selaku moderator bersama panelis Kamaruddin, Ann, Fadli, dan Hussain membincangkan mengenai ‘Penyampaian Risalah Islam kepada Non-Muslim Melalui Komunikasi Berkesan’ .
Peserta dari Kelab PERKIM KUIS mengajukan beberapa soalan kepada panelis.
Shah Kirit membentangkan tajuk ‘Menangani Soalan-soalan, Isu-isu dan Salah Faham Mengenai Islam dan Muslim’.
Sebahagian peserta mengambil maklumat dan mencatat melalui pembentangan di kursus tersebut.
‘Dakwah kepada Atheists, Agnostics dan Deists’ merupakan tajuk pembentangan dari Sheikh Hussain Yee.
Saudara Lim membentang kaedah ‘Berdakwah kepada Penganut Buddha’.
Pendakwah mengajukan beberapa soalan kepada Lim pada sesi soal jawab.
Presiden IPSI, Kamarudin membentangkan tajuk ‘Dakwah kepada Penganut Kristian’.
Kamaruddin menunjukkan cara dan kaedah berdakwah yang berkesan.
‘Dakwah kepada Penganut Hindu’ pula dibentangkan oleh Muhammad Fitri.
Salah seorang peserta menunjukkan isyarat bagus kerana kursus tersebut memberikan banyak maklumat dan kaedah untuk berdakwah.
Firdaus (tengah) menerangkan kaedah bagi dakwah jalanan kepada peserta.
Fitri mengajar kaedah dan teknik untuk dakwah jalanan.
Peserta turun padang bagi menyampaikan risalah dakwah kepada mad’u.
Pendakwah menemubual salah seorang mad’u di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman.
Orang belum Islam turut memberi kerjasama dan respon yang positif mengenai Islam.
Pendakwah mengajukan beberapa soalan mengenai Islam kepada salah seorang kaum Cina.
Orang belum Islam turut memberi maklum balas yang baik mengenai Islam.
Warga emas mengelak apabila diajukan beberapa soalan.
Menyampaikan risalah Islam walau di mana sahaja.
Terdapat juga yang tidak memberikan kerjasama bahkan dikaitkan pendakwah dengan unsur-unsur politik.
Pendakwah menggunakan bahasa ibunda dalam berkomunikasi bersama mad’u bagi memudahkan mereka untuk memahami dengan lebih mendalam.
Datuk Haji Hasbullah (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada Mohammad Suffian Mohd. Sulaiman (kiri) dan ditemani oleh Haji Mamat (kanan).
Peserta bersama tetamu kehormat bergambar kenang-kenangan di akhir kursus tersebut.