PERKIM Anjur Kursus Induksi Dakwah Kepada Kakitangan
KUALA LUMPUR, 15 OGOS 2023 – Bagi memberi pencerahan dan penghuraian berkenaan dengan dakwah, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan menganjurkan Kursus Induksi Dakwah kepada Pegawai dan kakitangannya.
Kursus yang dihadiri seramai lebih 40 orang itu terdiri daripada kakitangan PERKIM Kebangsaan, Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL) dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE) telah diadakan di Bilik Mesyuarat Tingkat 4, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini.
Kursus tersebut diacarakan oleh Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan (UDPI), Muhammad Farhan Tee Abdullah.
Kursus dimulakan dengan ceramah 1 bertajuk ‘Pengenalan Dakwah’ disampaikan oleh YBhg Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman daripada Fakulti Bahasa Moden Dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM).
Menurut Dr Sukki, definisi dakwah daripada segi bahasa iaitu menyeru, menyampaikan, mengajak, memanggil sama ada kepada hak atau batil.
Dari sudut istilah pula, dakwah ialah usaha yang dilakukan untuk mengajak manusia kepada kebaikan.
Katanya, dakwah merupakan ilmu mengenai segala seni dan kaedah untuk menyampaikan ajaran Islam kepada umat manusia baik dari segi akidah, syariat mahupun akhlak.
Dakwah adalah satu usaha untuk menyeru manusia agar beriman kepada Allah SWT dan apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW iaitu dengan membenarkan segala perkara yang disampaikan mereka dan mentaati apa yang diperintahkan.
Jelas Dr Sukki, dalil wajib dakwah iaitu menerusi firman Allah SWT di dalam Surah Ali Imran, ayat 110 bermaksud : “Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia, kerana kamu menyuruh menlakukan yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar disamping kamu beriman kepada Allah.”
Antara matlamat dakwah ialah memelihara agama, akal, nyawa, harta serta keturunan dan kemuliaan insan.
Kursus tersebut telah disempurnakan perasmiannya oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
Dr Yusof Noor menyeru pegawai dan kakitangannya untuk menjadi seorang pendakwah walau apa pun unit tugasannya.
Katanya, berdakwah merupakan satu perkara yang baik disisi agama walaupun berbeza latar belakang kita boleh belajar dan berlatih untuk menjadi seorang pendakwah dengan mengamalkan ciri-ciri pendakwah.
Syarat untuk menjadi seorang pendakwah yang tulen ialah mereka haruslah menghafaz al-Quran atau hadis serta memahami maksudnya dan mahir dalam berkomunikasi Bahasa Arab.
Beliau menyeru kakitangannya berdakwah dengan kriteria ‘FAST’ yang merupakan sifat-sifat pada Nabi Muhammad SAW iaitu Fatanah (bijaksana), Amanah (dipercayai), Siddiq (benar) dan Tabligh (menyampaikan).
Beliau turut bermohon pada Allah SWT agar kakitangannya diberikan sifat kecerdikan untuk melaksanakan tugas dakwah dengan penuh bijaksana.
Ceramah 2 bertajuk Pendekatan Dakwah telah disampaikan oleh YBhg Dr Sayyid Musa Al-Kazim daripada Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya manakala Bro Lim Jooi Soon selaku Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Interaktif Dakwah dan Tarbiyah (IDT) menyampaikan ceramah 3 bertajuk Dakwah kepada Non-Muslim.
Pengarah Dakwah Kanan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin turut berkesempatan menyampaikan cenderahati kepada ketiga-tiga penceramah dan sijil penyertaan kepada semua peserta.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Encik Zulkefli Arifin; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa serta Pengarah Unit Penerbitan dan Media PERKIM Kebangsaan, Encik Firdaus Lokman Tah.
Dr Sukki memberi pencerahan mengenai definisi dakwah kepada kakitangan PERKIM.
Pengenalan Dakwah merupakan tajuk ceramah pertama disampaikan oleh Dr Sukki.
Antara lebih 40 warga PERKIM terdiri daripada pegawai dan kakitangan menyertai Kursus Induksi Dakwah.
Dato’ Razali menyampaikan cenderahati kepada Dr Sukki.
Dr Yusof Noor menggesa pegawai dan kakitangannya daripada semua unit menjadi pendakwah.
Dr Yusof Noor menyempurnakan perasmian Kursus Induksi Dakwah.
Dr Sayyid menyampaikan slot ceramah kedua bertajuk Pendekatan Dakwah.
Menurut Dr Sayyid, senyum merupakan kriteria pendekatan dakwah kepada non-Muslim.
Dr Sayyid menerima cenderahati daripada Dato’ Razali.
Lim Jooi Soon menyampaikan slot ceramah terakhir bertajuk Dakwah Kepada Non-Muslim.
Beberapa kaedah dan cara berdakwah kepada non-Muslim disampaikan oleh Lim Jooi Soon.
Dato’ Razali menyampaikan cenderahati kepada Lim Jooi Soon.
Abdul Qawi Navine menerima sijil penyertaan daripada Dato’ Razali.
Dato’ Razali menyampaikan sijil penyertaan kepada Azura Abdul Rahman di akhir kursus.
Peserta Kursus Induksi Dakwah merakamkan gambar kenang-kenangan bersama Pengerusi IDT, Lim Jooi Soon.