Aktiviti Dakwah

PERKIM Anjur Forum ‘Hijrah Suatu Pengorbanan’ Buat Mualaf

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Al-Baqarah, 218)
Sempena sambutan tahun baharu Islam, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan Forum Perdana Awal Muharram 1435 H Bersama Saudara Muslim bertempat di Surau Bangunan Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 17 November 2013 lalu.
Forum itu dijadikan sebagai ruang untuk memberi kefahaman mengenai peristiwa hijrah dalam memahami bulan Muharram sebagai bulan pertama di dalam kalendar Islam di samping mengajak semua Saudara Muslim untuk melakukan penghijrahan serta perubahan dalam kehidupan mereka dengan menuruti tatacara hidup yang sebenar sebagai umat Islam.
Forum yang bertajuk Hijrah Suatu Pengorbanan itu disertai seramai 300 peserta dikalangan Saudara Muslim berketurunan Cina, India, Kadazan, Iban, Bidayuh, Siam, Filipina, Indonesia dan Nigeria serta bangsa Melayu.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Mohd. Zanafi Mustaffa.
Forum tersebut dipengerusikan oleh Pendakwah Bebas, Ustaz Mohd. Ibrahim manakala ahli panelnya ialah Ustaz Ghazali Omar selaku guru agama dan Ustaz Amran Yusoff selaku pendakwah bebas.
Tahun hijrah atau tahun baharu Islam membukakan suatu lembaran baru, semangat baru serta mahukan perkara yang terbaik serta menguntungkan khususnya mereka yang bergelar Saudara Muslim.
gambar-mohd-ibrahims“Saya sebelum ini telah dijemput bagi menghadiri forum perbandingan agama di Puchong di mana beliau mendengar ulasan daripada ahli panel agama Buddha, Hindu dan Kristian bahawa masing-masing mengupas berdasarkan falsafah dan solusi untuk menyelesaikan faktor-faktor jenayah adalah kembali kepada agama,” kata Mohd. Ibrahim selaku pembuka forum.
“Umat Islam harus berasa untung kerana berada di dalam Islam di mana Islam merupakan jalan penyelesaian kepada segala masalah tetapi umat Islam tidak menjadikan agama Islam sebagai panduan atau rujukan yang menyebabkan mereka tersasar hingga sesat,” jelasnya yang juga dikenali sebagai Ustaz Mad China.
gambar-ghazali-omarsGhazali menerangkan pengertian Maal Hijrah kepada peserta iaitu maal bermaksud seiring atau bersama-sama manakala hijrah pula ialah perpindahan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW daripada kota Mekah ke Madinah.
“Hijrah jika disebut Al-hijrah ianya rujuk kepada perpindahan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat daripada bumi Mekah menuju ke Madinah di mana proses perpindahan yang dilakukan oleh baginda semata-mata demi menegakkan, menyampaikan serta menyebar luaskan agama Islam,” ucap Ghazali.
Hijrah tersebut telah berlakunya tiga perkara iaitu pertama perpindahan sahabat dari kota Mekah ke Habsyah (Utopia); perkara kedua ialah Abu Lahab memukul Abu Zar al-Ghifari kerana beliau mendengar ceramah Rasulullah lantas memeluk Islam dan perkara ketiga ialah Rasulullah dilontar batu ketika baginda menyampaikan ceramah di Thaif sehingga datang para malaikat meminta izin dari baginda untuk menghancurkan penduduk Thaif dengan dua Bukit Thaif, lantas baginda memberitahu supaya tidak diapa-apakan mereka kerana baginda yakin bahawa anak cucu mereka pasti akan beriman kepada Allah.
“Hijrah juga boleh ertikan daripada seseorang itu kufur kepada Allah, berubah kepada berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar. Hijrah juga boleh dikatakan hidayah Allah iaitu kisah sahabat-sahabat Rasulullah SAW seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab, Abu Zar dan lain-lain yang telah memeluk Islam dan pandai membaca al-Quran,” ujar Ghazali.
gambar-amran-yusoffsAmran Yusoff pula berbangga dan teruja dengan perjuangan sahabat yang bergelar mualaf, di mana mereka mempunyai nilai yang tinggi berbanding mereka-mereka yang berasal agama Islam kerana mereka telah berhijrah dengan penuh pengorbanan dan pancaroba.
“Mengikut beberapa hadis, Rasulullah tidak pernah berhijrah pada bulan Muharam tetapi sebenarnya baginda telah berhijrah pada bulan Safar. Menurut kitab ar-Rahim Makhtum, Allah telah mengutuskan Nabi Muhammad SAW untuk berhijrah dalam waktu yang terlalu panjang, sukar, payah sehingga tapak kaki baginda pecah sehingga Saidina Abu Bakar as-Siddiq mendukung baginda,” jelas Amran yang berkebolehan menyampaikan ceramah dalam rentak Bollywood.
Dalam penghijrahan itu, Abu Bakar kadang kala berjalan di hadapan, di belakang, mendukung baginda hingga timbul persoalan daripada Rasulullah. Wahai Abu Bakar, kenapakah di kau melakukan sedemikian? lalu Abu Bakar berkata, “tidak mengapa, jika musuh datang, biar aku yang mati, kalau aku mati, itu tidak mengapa wahai Nabiku janganlah engkau yang mati dulu sebelum ku. Sesungguhnya Islam tidak sampai ke Madinah, jika engkau mati,” tegas Abu Bakar.
Sahabat Nabi Muhammad SAW, Abu Salamah, terpaksa meninggalkan anak-anak dan isteri kerana keluarga anak dan isteri telah merampas mereka lalu Abu Salamah berhijrah demi untuk berdakwah bagi memperjuangkan agama Islam bersama Rasulullah.
Shohib bin Arumi yang juga merupakan sahabat Rasulullah yang telah memeluk Islam selepas berpindah dari kampung halamannya menuju ke Mekah. Setelah itu, Shohib yang juga ahli perniagaan mendengar Nabi Muhammad akan berhijrah, lalu beliau membawa semua hartanya berhijrah bersama Rasulullah sehingga beliau ditahan oleh kaum musyrik yang menyuruh meninggalkan segala hartanya kerana hasilnya diperolehi dari bumi Mekah, lantas beliau meninggalkan hartanya dan berhijrah ke Madinah dengan sehelai sepinggang.
Jelas Amran Yusoff lagi, menurut Ibnu Qayim al-Juziah “Sesungguhnya hijrah yang sebenarnya adalah hijrah hati menuju Allah dan Rasul.”
 “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai,” (al-A’raf: 179)
Ghazali turut mengajak peserta mengetahui apa yang ada disebalik perkataan ‘HIJRAH’ iaitu H: hijrah hati, I: iman serta ilmu, J: jihad, R: rajin, A: amal ibadah dan H: hubungan baik.
Pesan Ghazali kepada peserta, hijrahkan dahulu hati yang kufur kepada iman, yang tidak meyakini Islam kepada meyakini Islam, yang tidak ikhlas kepada ikhlas kerana hati yang keras boleh dilembutkan dengan hidayah Allah seperti mana sahabat Nabi SAW, Umar al-Khattab selepas membaca surah Taha ayat satu hingga enam.
“Cara mencucikan hati supaya hati bersih untuk berhijrah ialah dengan membanyakkan membaca Al-Quran, banyak mengingati tentang kematian dan memperbanyakkan zikir kepada Allah,” ujar Ghazali.
“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (ali-Imran: 31)      
Amran turut memperingatkan peserta supaya berhati-hati dengan hadis palsu atau maudu’ yang terdapat di dalam kitab al-Maudu’ah Ibn Al-Jauzi, iaitu antaranya ialah “Barangsiapa yang bepuasa pada 30 Zulhijjah dan berpuasa satu hari dari 1 Muharam iaitu pada hari terakhir tahun lalu maka, dia akan diberi pengampunan sebanyak 50 tahun pengampunan.” dan “barangsiapa yang berpuasa dari 1 hingga 9 Muharram maka, dia akan dibina sebuah kubah di udara seluasnya ratusan kaki persegi dan ada empat pintu”.
Jelas Amran lagi, hadis maudu’ turut menceritakan mengenai tanggal 10 Muharam iaitu terdapat kisah-kisah seperti Nabi Adam diberi keampunan, Nabi Yunus dikeluarkan dari perut ikan Nun, Nabi Yaakob dicerahkan matanya, Nabi Ayob disembuhkan penyakit kulit kakinya dan tersadainya bahtera Nabi Nuh di Bukit Juddi.
Amran menambah, terdapat satu kisah sahaja yang sahih mengenai 10 Muharram iaitu Nabi Muhammad berkata, “Ketika aku berhijrah dari Mekah ke Madinah, aku dapati orang Yahudi itu berpuasa pada hari Asyura, iaitu hari Allah menyelamatkan Nabi Musa dari jerat Firaun.” Maka nabi berkata, “Wahai sahabatku, kamu itu lebih berhak ke atas Musa, maka berpuasalah kamu akan tetapi sesiapa yang mahu berselisih (membezakan) dengan orang Yahudi, maka berpuasalah satu hari sebelum atau satu hari selepas 10 Muharram.”
Tambahnya, Nabi Muhammad pernah berpesan, tanda-tanda seseorang itu beriman ada tiga menurut di dalam Riwayat al-Bukhari dan Muslim iaitu, “barang siapa yang beriman kepada Allah ialah dia muliakan tetamunya, hubungkan hubungan silaturahim dan berkata yang baik-baik atau pun diam.
Nabi berkata, “Barang siapa yang masuk dalam rumah bersama Bismillahirrahmanirrahim maka, berkatalah raja kepada syaitan, “Wahai rakyatku, tiada tempat bemalam hari ini.” “Dan barangsiapa yang makan bersama Bismillah maka, berkata raja kepada syaitan,” “Sesungguhnya tiada makananlah kita malam ini.” Maka, barang siapa yang masuk dan makan tidak membaca Bismillah, maka beranak-anaklah syaitan masuk ke dalam rumah dan makan bersama-sama”. Nabi berkata, “Apabila azan dilaungkan maka, berlarilah syaitan bertempiaran hingga terkentut-kentut. (Hadis Sahih Muslim)
Amran menegaskan peserta supaya berhijrah dengan penuh kekuatan kerana Allah SWT telah memberi ruang dan peluang kepada kita masih hidup di atas bumi untuk mentaati segala perintah dan menjauhi larangan-Nya.

Program diakhiri dengan solat Zohor berjemaah dan jamuan makan tenghari. Turut hadir ialah Pegawai Dakwah dan Inovasi Perkim, Muhammad Farhan Tee Abdullah dan Pembantu Pegawai Perkim, Amran Abdullah.

 

01
Peserta menadah tangan ketika doa dibacakan.

 

02
Antara peserta yang hadir mendengar forum.

 

03
Barisan ahli panel (dari kiri) Mohd. Ibrahim, Ghazali Omar dan Amran Yusoff.

 

04
Tekun…peserta mendengar forum yang disampaikan.

 

05
Antara Saudara Muslim yang hadir di forum tersebut.

 

06
Pembentangan yang lucu mengukir senyum tawa daripada peserta.

 

07
Amran Yusoff (kanan) menyampaikan ceramahnya dalam rentak Bollywood yang menarik perhatian peserta.

 Lagi Gambar Forum Perdana Awal Muharram 1435 H >>>

 Saksikan pula video Forum Perdana Awal Muharram 1435 H Bersama Saudara Muslim bertajuk ‘Hijrah Suatu Pengorbanan’.

Related Articles

Back to top button