Aktiviti DakwahAktiviti Kelab PERKIM

Pelancaran Kelab PERKIM Insaniah

oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

“Kita hendaklah melibatkan lebih ramai anak muda dan mahasiswa universiti dalam menyertai bahagian serta cawangan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) di setiap negeri bagi memudahkan gerak kerja dakwah, kebajikan dan pendidikan,” kata Naib Yang DiPertua PERKIM, Prof. Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah dalam ucapan perasmiannya.

Beliau berucap ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kelab PERKIM Kolej Universiti Insaniah (IPC) bertempat di Dewan Senat, Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Kuala Ketil, Kedah pada 30 Januari 2018 lalu.

Dr. Ridhuan Tee turut mengucapkan terima kasih kepada IPC dan pihak pengurusan KUIN kerana bertungkus lumus bagi menjayakan program tersebut.

Beliau menyatakan hasratnya untuk menubuhkan Kelab PERKIM Universiti sewaktu pertama kali berkunjung ke KUIN pada September 2017 lalu memandangkan masih tidak terdapat lagi KPU di institusi tersebut.

Dr. Ridhuan Tee yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil KPU berkata, PERKIM merupakan organisasi Islam paling lama bertapak dalam negara dan ditubuhkan pada 19 Ogos 1960 oleh Perdana Menteri Malaysia pertama.

Jelasnya, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj merupakan Pengasas PERKIM dipilih menjadi Yang DiPertua pada tahun 1974 hingga 1989 selepas dua pemimpinnya iaitu Tan Sri SOK Ubaidullah dan Tan Sri Yusoff Ibrahim.

“Salah satu jasa Tunku ialah sewaktu di zamannya ramai tokoh-tokoh besar memeluk Islam seperti Tun Omar Ong Yoke Lin, Tan Sri Abdul Mubin Sheppard dan ramai lagi,” ucap Dr. Ridhuan Tee.

Saya melihat semangat yang cuba dibawa oleh Tunku iaitu mengajak orang kepada Islam dan diharap IPC dapat menyambung tradisi kepimpinan Perkim selepas ini.

Mahasiswa IPC secara tidak langsung menjadi ahli PERKIM serta mudah berurusan di bahagian dan cawangan PERKIM.

“Kita mahu IPC melaksanakan kerja amal dan dakwah bil hal dengan menumpukan dakwah jalanan di mana ahli IPC perlu berdakwah di bandar Kuala Ketil serta Kuala Muda dengan menyampaikan kebenaran Islam kepada orang bukan Islam sekali gus mengedarkan risalah dan sebelumnya mereka dilatih dalam bengkel dakwah jalanan,” ujarnya.

Kita mesti menonjolkan diri di khalayak terutama kepada orang bukan Islam kerana negara kita mempunyai jumlah peratusan kedua terbesar di Malaysia iaitu kaum Cina 23 peratus daripada 30 juta rakyat Malaysia manakala India 10 peratus.

Menurut Dr. Ridhuan Tee lagi, hasrat PERKIM sangat tinggi kerana bila berdakwah melalui kebajikan kita dapat menunjukkan akhlak yang baik lagi mulia dan memberi pendekatan dakwah kepada mereka mudah-mudahan satu hari jikalau mereka tidak masuk Islam sekali pun, mereka berlembut dengan Islam, jangan sampai mereka benci dan begitu kuat anti dengan Islam.

“Legasi Tunku Abdul Rahman perlu diteruskan kerana kini sangat sukar melihat pemimpin bukan Islam memeluk Islam,” ujar Dr. Ridhuan Tee  yang merupakan Pensyarah di Pusat Penataran Ilmu Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Kesannya besar sekiranya tokoh kepimpinan memeluk Islam kerana lebih mudah pengikut mereka faham dan mengikuti mereka.

Dr. Ridhuan Tee berharap, kita perlu mewujudkan perkongsian pintar zon utara bagi melicinkan gerak dakwah di antara KPU IPC, KPU Universiti Utara Malaysia (UUM) dan KPU Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Katanya, dakwah melalui kebajikan akan berkembang dan diyakini serta lebih ramai orang akan memeluk Islam atas usaha dan kerja dakwah.

Menurut Dr. Ridhuan Tee, Pusat Kajian Pew di Amerika Syarikat menjangkakan pada tahun 2050, agama Islam akan menyamai agama Kristian di seluruh dunia manakala pada tahun 2070, agama Islam akan menjadi agama terbesar di seluruh dunia. Maknanya orang bukan Islam menjangkakan agama Islam akan mendapat sambutan yang begitu hebat pada masa akan datang sehingga menenggelamkan agama Kristian.

Tidak ada kerja lain yang paling mulia selain daripada kita dapat membawa orang Islam kembali kepada Islam seperti mana kerja-kerja para nabi-nabi yang kita perlu diteruskan.

Turut hadir ialah Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Kewangan dan Pengurusan KUIN, Datuk Bukhari Abdullah; Pengarah Jabatan HEP KUIN, Mohd Sayuti Sanusi; Pengarah Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM (UPPP), Haji Mamat Che Chik; Pengerusi PERKIM Cawangan Kuala Muda, Haji Abdul Hameed Abd. Kadir; Pegawai UPPP, Muhammad Farhan Tee Abdullah dan Siti Munirah Sayed Mohd. Hamdan; Yang DiPertua IPC, Muhammad Al-Hafiz Firdaus Abdul Razak serta Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIN, Abdul Rafiq Abdul Latib.

Majlis diserikan lagi dengan penyerahan sijil penubuhan KPU KUIN disampaikan oleh Ridhuan Tee kepada Rektor KUIN, Prof. Datuk Dr. Mohd. Fakhrudin Abdul Mukti dan acara memotong kek IPC.

Ridhuan Tee juga turut menyampaikan buku Dasar dan Peraturan KPU serta memakaikan rompi KPU kepada mahasiswa IPC.

Sebelum itu, Fakhrudin dalam ucapan aluannya merakamkan ucapan terima kasih kepada Perkim kerana telah bersama KUIN untuk menjayakan hasrat PERKIM untuk menubuhkan KPU selaras dengan pendekatan PERKIM di universiti.

Ia merupakan satu langkah dan platform terkini bagi menyokong hasrat PERKIM iaitu satu pertubuhan membimbing mualaf.

KUIN telah mendapat persetujuan dan diluluskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi bagi menaiktaraf dengan nama baharu Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua’adzam Shah (UniSHAMS).

UniSHAMS turut mendapat perkenan daripada Sultan Kedah, Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah ketika bertitah pada Konvensyen KUIN ke-18 pada 20 Oktober 2017 lalu.

Objektif utama penubuhan IPC adalah untuk memupuk perpaduan berteraskan kebajikan secara Islam, meningkatkan persefahaman, perhubungan dan kepentingan kepada Islam serta belum Islam.

Pendekatan dakwah dan pengalaman PERKIM boleh dicurahkan kepada IPC yang merupakan tunggak kepimpinan masa depan dengan memperkenalkan keindahan Islam sebagai satu cara hidup serta rahmat kepada sekalian alam.

Akhlak Islamiah dan sikap mulia yang ditunjukkan juga merupakan tarikan kepada belum Islam di samping Allah SWT memberi hidayah kepada mereka.

Harapan Fakhrudin, supaya IPC dapat melaksanakan dakwah Islamiah melalui pendekatan dakwah yang bersistematik, tarbiah pendidikan dan amalan aktiviti kebajikan sekali gus menjalankan kegiatan dengan badan-badan agama yang lain demi kepentingan penyebaran dan perkembangan syariat Islam.

Pelbagai program turut dirancang pada masa hadapan bagi merancakkan lagi penubuhan kelab ini dan agar warga KUIN dan masyarakat sekeliling menyedari akan kewujudan IPC ini.

Dengan penubuhan kelab tersebut sekurang-kurangnya mereka dapat mendekati PERKIM dan terus menyumbang sama ada fikiran, tenaga mahupun kewangan bagi kerja-kerja dakwah dan kebajikan.

“Saya harap IPC akan menjalankan fungsinya tersendiri dengan jayanya dan amat berharap hubungan yang telah terjalin antara pihak KUIN dan PERKIM terus erat pada masa hadapan melalui program yang dirancang bersama dan dijalankan,” jelasnya.

 


Kolej Universiti Insaniah yang terletak di Kuala Ketil, Kedah Darul Aman.


Tetamu kehormat dan mahasiswa IPC menyanyikan lagu Asmaul Husna di awal permulaan majlis.

 


Pemimpin KUIN dan IPC menadah tangan ketika doa dibacakan bagi keberkatan majlis.

 


Antara pegawai PERKIM yang hadir di majlis tersebut (dari kanan:) Farhan Tee, Abdul Hameed, Siti Munirah dan Jamilatun.

 


Dr. Ridhuan Tee menyampaikan ucapan perasmian pada majlis tersebut.

 


Tetamu kehormat dan mahasiswa IPC mendengar amanat dan nasihat yang disampaikan oleh Dr. Ridhuan Tee.

 


Rektor KUIN, Dr. Fakhrudin turut menyampaikan ucapan aluan di majlis tersebut.

 

 


Dekan dan pensyarah bersama mahasiswa yang memberi sokongan di majlis tersebut.

 


Dr. Ridhuan Tee (kiri) dan Dr. Fakhrudin memotong kek tanda perasmian penubuhan IPC.

 


Dr. Ridhuan Tee (tengah) menyerahkan sijil penubuhan KPU KUIN kepada Dr. Fakhrudin (kiri) sambil disaksikan oleh Haji Mamat.

 


Dr. Ridhuan Tee dan Dr. Fakhrudin mengenakan rompi KPU kepada salah seorang mahasiswa IPC

 


Dr. Fakhrudin (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Dr. Ridhuan Tee (tengah).

 

 


Pengarah UPPP, Haji Mamat (kanan) menerima cenderahati daripada Rektor KUIN, Dr. Fakhrudin (tengah).

 


Mahasiswa IPC bergambar kenang-kenangan bersama tetamu kehormat PERKIM dan KUIN di akhir majlis.

 

 


Ahli jawatankuasa IPC bergambar bersama tetamu kehormat PERKIM dan KUIN.

Related Articles

Back to top button