Aktiviti Dakwah

Metodologi Dakwah Lahir 70 Pendakwah India PERKIM

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

“Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu dia tetap berada dalam cahaya (hidayat petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.” (az-Zumar: 22)

Metodologi dakwah merupakan satu wadah penyampaian yang dilihat cukup berkesan untuk membina sahsiah mukmin dan melahirkan pendakwah-pendakwah di kalangan Saudara Muslim.

Pendakwah cemerlang bukan sahaja bijak dalam akademik dan kemahiran tetapi juga hebat akhlak serta sahsiahnya. Lebih-lebih lagi yang dituntut oleh Islam itu cemerlang di dunia dan akhirat.

Sehubungan dengan itu Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan Program Metodologi Dakwah Saudara Muslim India 2014 bertempat di Hotel Merdeka, Jalan Mengkibol, Kluang, Johor pada 13 hingga 15 November 2014 lalu.

Program yang menghimpunkan 70 Saudara Muslim berketurunan India dari negeri Johor dan Negeri Sembilan itu mendapat kerjasama daripada Perkim Bahagian Negeri Johor, Perkim Cawangan Kluang, Pertubuhan Kebajikan Mualaf Johor Bahru, Pertubuhan Kebajikan Mualaf Kluang, Pertubuhan Kebajikan Mualaf Muar, Pejabat Kadi Daerah Kluang dan Badan Kebajikan Saudara Kita (BKSK) Daerah Kluang.

AMRAN ABDULLAHsPenyelaras Program, Ustaz Amran Abdullah berkata, program tersebut bertujuan untuk mengenal pasti bakat-bakat Saudara Muslim berbangsa India yang boleh dibimbing dan dibentuk untuk menjadi pendakwah dan sukarelawan dakwah khususnya kepada bangsa India sendiri.

Katanya, ini adalah tanggungjawab umat Islam untuk menyebarkan agama Islam kepada seluruh manusia kerana Islam bukan milik bangsa Arab  mahu pun bangsa Melayu.

Jelasnya, peserta adalah antara khalifah yang dipilih oleh Allah sebagai duta Islam untuk berdakwah kepada bukan Islam kerana ada di antara ibu bapa, adik beradik dan saudara mara kita yang masih belum memeluk Islam.

Tunjukkan Islam bukan dengan ceramah semata-mata, tetapi tunjukkanlah dengan akhlak Islamiah kerana Nabi Muhammad SAW menyebar agama Islam dengan akhlak baginda.

Selain memberi pendedahan dan latihan kepada Saudara Muslim berkatian dengan amalan kehidupan Islam seharian, Perkim juga menyediakan ruang untuk peserta mendalami Islam secara lebih berkesan melalui pendekatan dan penggunaan bahasa ibunda (Tamil) bagi melancarkan komunikasi dan kefahaman.

Jelas Amran, program itu juga memupuk semangat kekeluargaan di antara saudara-saudara Muslim berbangsa India seluruh Malaysia.

Program itu turut menyediakan ruang dan peluang kepada Saudara Muslim bagi membincangkan masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka melalui bengkel, dialog dan ceramah.

Kata Amran, usaha dakwah amat penting bagi melahirkan peserta di kalangan pendakwah yang berilmu, berakhlak mulia, berketerampilan, bertanggungjawab dan menyumbang terhadap kemakmuran masyarakat, agama dan negara.

Selain itu, ia bukan sahaja berpeluang memperkemaskan keimanan dan keperibadian Muslim dalam semua aktiviti sekali gus melahirkan pendakwah professional dan serba boleh.

Peserta juga berpeluang mengenali Perkim serta fungsi sebenar, di samping mewujudkan tanggungjawab mereka secara individu dan kolektif di dalam proses perlaksanaan program.

KHALILsMajlis perasmian pembukaan telah disempurnakan oleh Kadi Daerah Kluang, Haji Mohamad Khalil Mohd. Noor.

Khalil dalam ucapannya merakamkan ucapan terima kasih kerana telah memilih daerah Kluang untuk diadakan program yang melahirkan pendakwah di kalangan bangsa India.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada peserta yang masih belum memeluk Islam tetapi telah menyertai program tersebut untuk mendapat ilmu mengenai Islam.

Khalil turut menegaskan kepada peserta janganlah membuat salah tanggapan bahawa memeluk Islam itu ialah menjadi orang Melayu.

Jelasnya,mengikut statistik kajian terdapat lebih 200 juta umat Islam di Indonesia manakala 174 juta di Pakistan, 160 juta di India, 22 juta di negara China berbanding di Malaysia iaitu seramai 16 juta.

Terdapat pelbagai sebab mereka memeluk Islam, ada di antara mereka mendapat hidayah melalui perkahwinan, mendalami agama Islam, mengkaji Islam, tertarik dengan akhlak orang Islam, mengikut jejak rakan, mimpi dan sebagainya.

Dakwah Di Kalangan Masyarakat India (Antara Persepsi dan Realiti) merupakan tajuk mini forum yang disampaikan oleh moderator Ustaz Abdul Rahman Siva Abdullah dari Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta ahli panel Ustaz Mohd. Zulkarnain Abdullah dari Pusat Dakwah Paroi dan Muhammad Zamri Vinoth Abdullah dari Skuad Mubaligh Negeri Sembilan.

Pendekatan dakwah kepada masyarakat India adalah dengan berkempen, berdiskusi, perjumpaan, jamuan makanan, fesyen pakaian, program di kolej atau universiti, bahan atau media bacaan, radio atau televisyen, blog atau laman media baru dan penganjuran seminar mengenai sumbangan masyarakat India terhadap Islam di Malaysia.

Pendakwah perlulah berilmu untuk berdakwah kepada bukan Islam bagi memberi keyakinan kepada mereka bahawa agama Islam adalah satu-satunya agama yang selamat di dunia dan di akhirat serta membawa manusia kepada keredaan Allah SWT.

Pendakwah yang mulia di sisi Allah tidak takut atau tergugat dengan apa jua dugaan dan fitnah kerana usaha dakwah serta mereka tidak berasa hina apabila menyeru kebaikan atau mencegah kemungkaran.

Program disusuli dengan pelbagai aktiviti membabitkan solat berjemaah, kuliah selepas solat, bengkel dan persembahan kumpulan.

Nikmat Kemanisan Iman dan Islam merupakan kuliah Subuh yang disampaikan oleh Ustaz Mohd. Jamil Abdul Hamid selaku Pegawai Bahagian Undang-Undang Keluarga, Pejabat Kadi Daerah Kluang.

Antara kumpulan yang membentangkan persembahan ialah Al-Muhajirin, Al-Islam, Al-Mujahid, Omar Al-Khattab, Art Of Dakwah dan Mustakim.

Murtad merupakan tajuk slot ceramah pertama yang turut disampaikan oleh Zamri.

Zamri turut membentangkan mengenai definisi, sejarah, jenis, tahap dan formula bagi menangani murtad.

Slot ceramah kedua yang bertajuk Transformasi Inovasi Dakwah disampaikan oleh Ahli Majlis Kebangsaan Perkim, Ustaz Muhammad Fitri Abdullah.

Beliau menasihatkan peserta  supaya melakukan kajian terhadap golongan sasar sebelum menjalankan usaha dakwah di samping melakukan transformasi dalam berdakwah.

Kejayaan menyebarkan dakwah kepada golongan berpengaruh akan dapat menarik pengikut bawahan individu tersebut untuk mengikuti Islam yang merupakan antara kaedah transformasi yang boleh dilakukan dengan memfokuskan dakwah kepada mereka yang belum memeluk Islam.

Ianya diikuti slot ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Muhamed Mubarak Abdul Lathif selaku Imam Besar Madrasah Noorul Muhammadia, Bangsar yang bertajuk ‘Persiapan Sebagai Seorang Da’ie’.

DATUK AWANGsMajlis itu ditutup oleh Datuk Haji Awang Mohamad, Pengerusi Perkim Cawangan Batu Pahat.

Awang dalam ucapannya berharap supaya peserta dapat memanfaatkan ilmu yang disampaikan dan berkeyakinan untuk menyampaikan dakwah seperti mana latihan dan bengkel yang telah diadakan.

Jelasnya, Perkim Kebangsaan dan Perkim Bahagian Johor turut mengatur pelbagai program untuk Saudara Muslim bagi mempergiatkan impak dakwah kepada orang Cina, India, Asli, Kemboja, Siam, Filipina dan Rohingya.

Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (al-Baqarah: 256)

“Kita sebagai pendakwah seharusnya memberi penjelasan, penerangan, kefahaman, contoh tauladan, budi pekerti  dan menyampaikan seruan dakwah berdasarkan ilmu dengan cara bijaksana serta berhikmah kepada mereka yang belum memeluk Islam,” jelas Awang yang juga Naib Pengerusi 2, Perkim Bahagian Negeri Johor.

Jelas Awang, untuk menjadi orang berjaya, kita haruslah menjadikan al-Quran itu sebagai pendamping dengan membacanya, memahami isi kandungannya, mengamalkannya serta mengajarkan kepada orang lain dengan konsep 3T iaitu tadarus, tilawah, tadabbur.

Ianya bersandarkan dengan maksud hadith Rasulullah SAW: “Sebaik-baik dari kamu ialah yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya.” (Hadith Riwayat Bukhari)

Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan dan hadiah kepada pemenang kumpulan.

Sebelum itu Ustaz Fitri menyampaikan hadiah berbentuk set pena pembaca al-Quran tajaan My Qalam Technology (M) Sdn. Bhd. kepada peserta pertandingan ceramah.

Turut hadir ialah Pegawai Dakwah dan Inovasi Perkim; Muhammad Farhan Tee Abdullah, Pegawai Dakwah Perkim Bahagian Negeri Johor; Ustaz Ghazali Ismail, Pengerusi Perkim Cawangan Kluang; Ustaz Mohd. Zabri Kamdi dan Pengerusi BKSK Daerah Kluang, Mohd. Shafiq Vijaya Abdullah.

4

Abdul Rahman (kiri) menyampaikan taklimat dan tazkirah kepada peserta.

3

Mini forum yang bertajuk Dakwah Di Kalangan Masyarakat India (Antara Persepsi dan Realiti) disampaikan oleh ahli panel Zulkarnain (kiri) dan Zamri (kanan).

2

Ghazali (berbaju ungu) menyampaikan cenderahati kepada Kadi Daerah Kluang, Mohamad Khalil (kiri).

0

Firdaus Tamil Maran (berbaju hitam) menjadi pemudah cara di dalam bengkel latihan dalam kumpulan (LDK).

1

Harun Segaran (tengah) dari kumpulan Art Of Dakwah membentangkan persembahan kumpulan bertajuk ‘Cara Berkesan Untuk Berdakwah‘.

8

Zamri Vinoth menyampaikan slot ceramah bertajuk Murtad.

5

Kuliah Subuh bertajuk Nikmat Kemanisan Iman dan Islam disampaikan oleh Ustaz Mohd. Jamil Abdul Hamid.

6

Ustaz Muhamed Mubarak menyampaikan ceramah yang bertajuk ‘Persiapan Sebagai Seorang Da’ie’.

7

Transformasi Inovasi Dakwah merupakan tajuk yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Fitri.

12

Hadiah berbentuk set pena pembaca al-Quran tajaan My Qalam Technology (M) Sdn. Bhd. diterima oleh peserta yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Fitri (kanan).

9

Ustaz Muhamad Fitri (kanan) menyampaikan hadiah kepada johan pertandingan ceramah.

10

Datuk Awang (kanan) menyampaikan penghargaan cenderahati kepada Zabri Kamdi (kiri).

11

Tetamu kehormat bersama peserta bergambar kenang-kenangan di akhir Program Metodologi Dakwah Saudara Muslim India 2014.

 LAGI GAMBAR DI >>> facebook-logo-spaced

Related Articles

Back to top button