MB Kelantan Rasmi Majlis Jamuan Akhir Tahun 2022 PERKIM Kelantan
KOTA BHARU, 29 DISEMBER 2022 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Negeri Kelantan telah menganjurkan Majlis Jamuan Akhir Tahun 2022 bertempat di Dewan Dato’ Haji Isahak, Kelab Suara Muda, Jalan Doktor dekat sini.
Majlis tersebut dihadiri seramai 120 orang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa PERKIM Bahagian Negeri Kelantan, PERKIM Cawangan-cawangan Negeri Kelantan, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Negeri Kelantan, Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) Negeri Kelantan, Kelab Kebajikan Baitul Hijrah (KKBH), Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) Kelantan, saudara baru dan Pelajar Kelas PERKIM Bahagian Negeri Kelantan.
Majlis akhir tahun itu dimulakan dengan ceramah bertajuk ‘Kelebihan Membaca al-Quran dan Bersedekah’ disampaikan oleh Pegawai Agama Maahad Tahfiz Al-Quran Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), YBhg Ustaz Fikri Hamat
Majlis diserikan dengan ucapan perasmian oleh Menteri Besar Negeri Kelantan merangkap Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Kelantan, YAB Ustaz Dato` Bentara Kanan Haji Ahmad Yakob.
Dato’ Ahmad Yakob melahirkan rasa bersyukur dan terima kasih kepada kepimpinan PERKIM Bahagian Negeri Kelantan yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan majlis itu dan juga aktiviti serta program sepanjang tahun 2022.
Beliau turut menyentuh musibah banjir yang menimpa negeri Kelantan dan secara tidak langsung musibah turut sama dihadapi oleh ahli-ahli PERKIM.
Katanya, setiap dari kalangan kita yang menerima ujian daripada Allah perlu menghadapinya dengan kesabaran yang tinggi dan hendaklah percaya bahawa musibah yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya, sebagaimana kisah nabi-nabi terdahulu yang diuji oleh Allah SWT seperti kisah Nabi Luth dan Nabi Yusuf.
“Sekali lagi saya merakamkan ucapan terima kasih kepada mereka yang terlibat secara langsung atau tidak di dalam menjalankan aktiviti dan program PERKIM Bahagian Negeri Kelantan sepanjang tahun 2022,” kata Dato’ Ahmad Yakob ketika merasmikan majlis itu.
Sebelum itu, Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg. Prof Dr. Ramle Abdullah merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada PERKIM Bahagian Negeri Kelantan kerana berjaya mengadakan Majlis Jamuan Akhir Tahun 2022 dan telah mendahului PERKIM Bahagian-Bahagian Negeri lain dalam mengadakan majlis seperti ini.
“Jawatankuasa Dakwah PERKIM Kebangsaan akan menggiatkan usaha dakwah terhadap golongan non-Muslim secara berskala besar untuk memenuhi pelan strategik 2023 untuk semua orang asli di Malaysia, ucap Dr Ramle bagi mewakili Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
Tambahnya, PERKIM Kebangsaan akan mengadakan kerjasama dengan PERKIM bahagian-bahagian untuk menangani kumpulan sasar secara khusus terhadap golongan asnaf termasuklah golongan Orang Asli.
Kata Dr Ramle lagi, PERKIM Bahagian Negeri Kelantan adalah termasuk kategori yang terbaik dalam menjalankan dakwah terhadap Orang Asli kerana telah berjaya mendirikan Masjid Orang Asli di Pos Handrop Gua Musang, Kelantan.
Terdahulu, Bendahari Kehormat PERKIM Bahagian Negeri Kelantan, YBhg Tuan Haji Zulqarnain Hassan turut menyampaikan ucapan mewakili YB Dato’ Haji Hassan Mohamood selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis Jamuan Akhir Tahun 2022.
Zulqarnain dalam ucapannya mengucapkan ribuan terima kasih kepada PERKIM Bahagian Negeri Kelantan kerana julung kali mengadakan Majlis Jamuan Akhir Tahun 2022.
Beliau juga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan PERKIM Kebangsaan kerana telah menyuntik dana kepada PERKIM Bahagian Negeri Kelantan bagi menjalankan aktiviti dakwah, kebajikan dan pendidikan.
Turut diadakan persembahan deklamasi sajak oleh pelajar IDIP, Muhd Iskandar Dzulkarnain Fernandez Abdullah bertajuk Meniti Syahadah serta pertandingan gubahan tuala dan tengkolok yang melibatkan pelajar-pelajar Kelas Pengajian al-Quran PERKIM Bahagian Negeri Kelantan.
Datuk Ahmad Yakob berkesempatan menyampaikan hadiah kecemerlangan Kelas Pengajian al-Quran PERKIM Bahagian Negeri Kelantan kepada pelajar tahap asas, pertengahan dan lanjutan.
Hasnah Abdullah meraih tempat pertama bagi tahap asas manakala Mastura Remiaz Abdullah di tempat kedua dan Wandee Abdullah di tempat ketiga.
Bagi tahap pertengahan pula, Nur Azizah Suni Abdullah menyandang tempat pertama manakala Norhayati Laotoom Abdullah di tempat kedua dan Nur Fatma Mariam Tan Abdullah di tempat ketiga.
Tempat pertama bagi tahap lanjutan pula disandang oleh Siti Nur Aisyah Tan Abdullah, di tempat kedua pula Khadijah Promjak Abdullah dan Nur Hazlin Wong Abdullah meraih tempat ketiga.
Majlis berakhir dengan penyampaian cenderahati disampaikan oleh Setiausaha kehormat PERKIM Bahagian Negeri Kelantan, YBhg Haji Mohamed Nazir Che Ibrahim kepada Datuk Ahmad Yakob.
Penyampaian cenderahati turut disampaikan kepada isteri Menteri Besar Kelantan merangkap Pengerusi PERKIM Cawangan Wanita Bahagian Negeri Kelantan, YABhg Datin Bentara Kanan Hajah Siti Zabidah Ab Hamid, wakil MAIK, wakil YIK dan Prof Dr Ramle Abdullah.
Majlis berakhir dengan jamuan makan tengah hari dan sesi fotografi bersama Menteri Besar Kelantan.
AJK PERKIM Bahagian dan cawangan Negeri Kelantan bersalaman ketika ketibaan YAB Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar Kelantan.
Ustaz Fikri Hamat menyampaikan ceramah bertajuk ‘Kelebihan Membaca al-Quran dan Bersedekah’.
Dr Ramle menyampaikan ucapan mewakili Setiausaha Agung Kehormat PERKIM.
Ucapan Perasmian Majlis Jamuan Akhir Tahun 2022 oleh Dato’ Ahmad Yakob.
Hajah Siti Zabidah (tengah) menyampaikan pemenang tempat pertama pertandingan gubahan tengkolok, Siti Nur Aisyah Tan Abdullah.
Nor hayati Loatoom Abdullah (kanan) menerima hadiah tempat pertama pertandingan gubahan tuala disampaikan oleh Hajah Siti Zabidah.
Siti Nur Aisyah Tan Abdullah (kanan) menerima sijil penghargaan dan hadiah Anugerah Kecemerlangan Pelajar Tahap Lanjutan tempat pertama disampaikan oleh Dato’ Ahmad Yakob.
Dato’ Ahmad Yakob menyampaikan sijil penghargaan dan hadiah kepada Hasnah Abdullah selaku pemenang Anugerah Kecemerlangan Pelajar Tahap Asas tempat pertama.
Juara pertandingan gubahan tuala bersama hasil gubahan kreatifnya.
Peserta pertandingan gubahan tuala bersama hasil gubahannya.
Hasil gubahan tuala berkonsepkan haiwan.
Peserta pertandingan tuala bersama hasil gubahan berkonsepkan Tahun Baru Cina.
Dato’ Ahmad Yakob menyampaikan plak penghargaan dan cenderahati kepada Dr Ramle (kanan).
Haji Mohamed Nazir menyampaikan cenderahati kepada Dato’ Ahmad Yakob (kanan).
Hajah Hasnah Mohamed (tengah) menyampaikan cenderahati kepada Hajah Siti Zabidah.
Ahli Jawatankuasa PERKIM Bahagian Negeri Kelantan merakamkan gambar kenangan bersama Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yakob.
Pelajar Kelas PERKIM Bahagian Negeri Kelantan bergambar kenang-kenangan bersama isteri Menteri Besar Kelantan, Hajah Siti Zabidah.