LZS, PERKIM Selangor, PMM Anjur Usrah Perdana Pendakwah Mualaf Cina
oleh: SRZ
SHAH ALAM, 6 NOVEMBER 2022 – Seramai 50 peserta telah menghadiri Program Usrah Perdana 2.0 Pendakwah Saudara Muslim Cina bertempat di Hotel Mardhiyyah dekat sini, Ahad.
Program yang disertai saudara baharu keturunan Cina itu dianjurkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama PERKIM Bahagian Negeri Selangor dan Pertubuhan Mualaf Malaysia (PMM).
Taklimat program sepanjang tiga hari dua malam itu disampaikan oleh Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM Kebangsaan, Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah.
Pengarah Program, YBhg Ustaz Haji Amran Anbarasu Abdullah berkata program tersebut diadakan bertujuan menghimpunkan pendakwah-pendakwah Saudara Muslim Cina dari seluruh Malaysia bagi membincangkan kaedah-kaedah dakwah berkesan yang akan digerakkan sendiri oleh mereka di negeri masing-masing sekali gus membincangkan serta meleraikan isu permasalahan khususnya di kalangan mualaf Cina.
Tambah Amran, program itu merupakan program kedua selepas melaksanakan Program Usrah Perdana 2.0 Pendakwah Saudara Muslim India 2022 minggu lalu.
Kata Amran, firman Allah SWT yang dirakamkan di dalam Surah Al-Hujurat, ayat 13 bermaksud: “Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertakwa.”
Selain itu, program itu menyediakan ruang dan peluang kepada Saudara Muslim bagi membincangkan dan memahami kaedah usrah serta teknik-teknik berkesan melalui bengkel, diskusi dan ceramah.
“Ia dapat membina satu generasi Islam yang mengenali Islam sebagai menghayatinya di dalam kehidupan peribadi, menjadikan azam dan cita-cita serta tindakan pendakwahan sebagai sistem hidup dalam keluarga, masyarakat dan negara,” kata Amran yang juga selaku Pengerusi PMM.
“Program itu menggunakan sepenuhnya bahasa ibunda iaitu Bahasa Mandarin, Hokkien dan Kantonis bagi melancarkan komunikasi dan kefahaman dan ia juga merupakan salah satu alternatif untuk mendedahkan ilmu dakwah yang pelbagai khusus untuk masyarakat Cina,” kata Amran yang juga kakitangan Unit Perancangan, Penyelarasan dan Perlaksanaan PERKIM Kebangsaan.
Peserta program dibahagikan kepada enam kumpulan bagi tugasan dalam menghuraikan segala permasalahan yang dihadapi oleh saudara Muslim Cina di Bengkel Meleraikan Isu Mualaf Cina.
Bengkel tersebut dipengerusikan oleh Pegawai Eksekutif Unit Dakwah Waqaf An-Nur Corporation Berhad, YBhg Ustaz Muhammad Ridhuan Tan Abdullah.
Antara isu dan permasalahan yang dibincangkan ialah mengenai adat, ibadat, kebajikan, ekonomi, institusi keluarga, pendidikan, hubungan bersama ahli keluarga non-Muslim serta cabaran globalisasi kepada umat Islam.
Ridhuan berkesempatan menyampaikan kuliah Subuh bertajuk ‘You Know Who I Am?’ dan ‘Ingat Mati Itu Pasti’.
Majlis pembukaan program dirasmikan oleh Ketua Pegawai Kewangan LZS, Puan Rapizah Muhammad Sharif.
Rapizah dalam ucapannya berkata, penghargaan untuk LZS baginya adalah teramat tinggi jika dibandingkan sumbangan, ruangan masa, tenaga serta juga buah fikiran pendakwah.
Beliau berharap program tersebut merupakan inisiatif yang sangat murni untuk dibangunkan bersama dan lebih ramai lagi mereka yang masih belum Islam untuk memeluk Islam.
Kata Rapizah, komitmen daripada LZS adalah untuk terus membantu, menyantuni dan bersama-sama meningkatkan syiar Islam di Negeri Selangor Darul Ehsan.
Ujar beliau, dengan usaha Pendakwah Saudara Muslim Cina, kita berharap dapat memberi peluang rakan-rakan mualaf di luar sana untuk terus kekal bersama Islam walau ditimpa dengan pelbagai ujian dan cabaran.
Rapizah merasmikan program pembukaan dengan lafaz Bismillahiramanirrahim.
Sebelum itu, YBhg Dr Johari Yap selaku wakil pendakwah telah menyampaikan ucapan aluannya.
Dr Johari Yap dalam ucapannya berkata, pendakwah wajib menguasai ilmu untuk berdakwah kerana mempelajari ilmu tidak terhenti walaupun usia makin bertambah.
“Pendakwah yang hadir bukanlah semua di kalangan usia muda tetapi pelbagai peringkat umur.
“Jika kita merasakan sudah berusia, kita perlulah memandang jauh dengan melihat bekas Perdana Menteri merangkap Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad yang usianya hampir mencecah 100 tahun.
“Walaupun usianya telah lanjut, Dr Mahathir masih lagi bertenaga dan mempelajari ilmu,” ucapnya.
Jelas Dr Johari, semangat itulah yang seharusnya kita ambil untuk terus berdakwah kepada masyarakat terutama keluarga terdekat kita yang masih belum memeluk Islam.
Dr Johari yang juga Ahli Jawatankuasa PERKIM Bahagian Negeri Kelantan berharap dan berdoa agar keluarga terdekat diberikan hidayah oleh Allah SWT sebelum mereka menghembuskan nafas terakhir.
Katanya, sebagai wakil peserta kita ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada LZS di di atas tajaan program khusus kepada pendakwah Saudara Muslim Cina.
Ceramah bertajuk ‘Adat dan Ibadat Dalam Kehidupan Mualaf’ disampaikan oleh Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, YBhg Dr Haji Ann Wan Seng.
Dr Ann dalam ceramahnya, terdapat saudara Muslim Cina apabila memeluk Islam mereka menghadapi krisis identiti sama ada mereka bertukar bangsa Melayu atau masih berbangsa Cina.
Setelah memeluk Islam, mereka mendapat penentangan daripada keluarga, dibuang kerja, ancaman daripada masyarakat dan tidak dapat bimbingan agama.
Dr Ann turut menjelaskan adat dan ibadat yang harus atau haram di dalam kelahiran, kebudayaan, perayaan, perkahwinan serta kematian orang Cina.
Jelasnya, beliau menyarankan selain mendalami ilmu Al-Quran dan hadis, pendakwah sentiasa mempersiapkan serta mempertingkatkan ilmu dengan mendapatkan tauliah agama bagi menyebarkan luaskan dakwah.’
Turut diadakan forum bertajuk ‘Mencari Penyelesaian’ dipengerusikan oleh selebriti tanah air, Adam Corrie Lee Abdullah manakala ahli panelnya ialah Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Kelantan, YBhg Dr Johari Yap; Setiausaha Agung Jamiyah Selangor dan Wilayah Persekutuan, YBhg Dr Ann Wan Seng serta Hos Rancangan Kembali Fitrah TV AlHijrah, YBhg Ustaz Syafiq Rafiqqin Liow.
Bagi memperkasakan lagi jati diri dan keperibadian pendakwah, Pegawai Dakwah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK), YBhg Ustaz Mohd Taufik Tee Abdullah menyampaikan ceramah bertajuk ‘Sahsiah Pendakwah’.
Enam kumpulan peserta turut membentangkan tugasan isu permasalahan yang dihadapi oleh Saudara Muslim Cina sekali gus menjadikan perkara dan agenda tersebut sebagai satu resolusi untuk dimajukan ke peringkat Majlis Agama Islam negeri-negeri.
Dr Johari Yap Abdullah yang juga selaku Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Mualaf Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) merasmikan program penutup.
Beliau dalam ucapan perasmiannya menggesa daie untuk menyampaikan dakwah kepada mereka yang masih belum Islam kerana ia merupakan tugas penting kepada kita dan Allah SWT yang akan memberikan hidayah kepada mereka.
Kata Dr Johari lagi, pendakwah boleh menyampaikan dakwahnya melalui platform ceramah atau pun takzirah dan yang mahir dalam menulis, boleh menyebarkannya melalui majalah, surat khabar atau pun media sosial.
Dr Johari berkesempatan menyampaikan sijil penyertaan setiap peserta dan hamper pemenang kumpulan di akhir program.
Turut hadir Ketua Jabatan Pembangunan Mualaf LZS, Encik Hafiz Salimun; Ahli Jawatankuasa PERKIM Bahagian Negeri Selangor, YBhg Ustaz Mohd Yusof Ong Abdullah; Pegawai Dakwah PERKIM Bahagian Negeri Selangor, Ustaz Mohd Yusoff Ahmad; Pegawai Eksekutif Pembangunan Mualaf LZS Sepang, YBhg Ustaz Ahmad Fauzi Siva Abdullah; Pegawai Eksekutif Pembangunan Mualaf LZS Klang, Muhammad Yazid Abdullah.
Pendaftaran Pendakwah Saudara Muslim Cina.
Farhan Tee menyampaikan taklimat program kepada peserta.
Pendakwah saudara Muslim Cina yang menyertai program usrah.
Ridhuan Tan (tengah) mengendalikan Bengkel Isu dan Permasalahan Saudara Muslim Cina.
Pendakwah Cina menunaikan solat berjemaah bersama-sama.
Ridhuan Tan menyampaikan kuliah Subuh bertajuk ‘You Know Who I Am?’.
‘Adat dan Ibadat Dalam Kehidupan Mualaf’ merupakan tajuk ceramah disampaikan oleh Dr Ann Wan Seng.
Ustaz Yusoff Ahmad memimpin bacaan doa majlis perasmian pembukaan.
Ucapan aluan wakil peserta disampaikan oleh Dr Johari Yap.
Majlis dirasmikan oleh Rapizah selaku Ketua Pegawai Kewangan LZS.
Ustaz Yusof Ong (dua dari kanan) menyampaikan plak cenderahati PERKIM Selangor kepada Rapizah.
Pendakwah bergambar bersama-sama tetamu kehormat.
Ustaz Amin Lum menyampaikan pembentangan dari Kumpulan 1.
Peserta Kumpulan 3 membuat pembentangan tugasan yang diberikan.
Dr Johari Yap mewakili Kumpulan 4 untuk pembentangan.
‘Hubungan Bersama Ahli Keluarga Non Muslim‘ merupakan tajuk pembentangan oleh pendakwah Kumpulan 5.
Kumpulan 6 membentang tajuk Cabaran
Forum yang dijayakan oleh (dari kiri:) Adam Corrie, Dr Johari Yap, Ann Wan Seng dan Syafiq Rafiqqin Liow.
Pendakwah bergambar bersama-sama barisan ahli panel forum.
Ustaz Taufik Tee menyampaikan ceramah bertajuk ‘Sahsiah Pendakwah‘.
Pendakwah Saudara Muslim Cina di majlis penutup.
Farhan Tee mengacarakan majlis penutup.
Ustaz Amran menyampaikan ucapan aluan di majlis penutup.
Dr Johari Yap menyempurnkan majlis penutup program usrah pendakwah.
Pendakwah lelaki menerima sijil penyertaan daripada Dr Johari Yap.
Dr Johari Yap menyampaikan sijil penyertaan kepada pendakwah wanita.
Ustaz Fauzi Siva menyampaikan hamper kepada peserta kumpulan.
Peserta kumpulan menerima hadiah hamper daripada Ustaz Fauzi Siva.
Pendakwah Saudara Muslim Cina merakamkan kenangan di akhir program usrah.