Aktiviti DakwahAktiviti Kelab PERKIM

KPU UIAM Rangkul Anugerah YDP PERKIM

KPU UIAM RANGKUL ANUGERAH YDP PERKIM

 Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan baru-baru ini telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Yang DiPertua PERKIM, Tun Dr. Mahathir Mohamad bertempat di The Everly, Putrajaya pada 16 Jun 2017.

Majlis berbuka puasa anjuran PERKIM Kebangsaan merupakan acara rasmi tahunan sebagai menghargai jasa dan bakti Kelab PERKIM Universiti (KPU) kepada PERKIM selama ini. KPU dilihat sebagai tenaga penggerak yang berpotensi untuk mengembangkan dakwah di dalam dan di luar kampus.

Majlis yang menghimpunkan 300 tetamu terdiri daripada Ahli Majlis PERKIM, ahli-ahli PERKIM, ahli KPU dan tokoh agama, dermawan dan korporat itu bertujuan mengeratkan ukhuwah dan ramah mesra sempena meraikan Ramadan dengan aneka juadah berbuka puasa dan ibadah tarawih.

Wan Shahir AzrisTimbalan Pengerusi Kelab Universiti Kuala Lumpur (UniKL) MIIT, Wan Shahir Azri dalam ucapannya melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana diberi peluang untuk berucap mewakili kelab PERKIM seluruh Malaysia.

KPU begitu sinonim melalui penglibatan ahli daripada mahasiswa dan mahasiswi seluruh Malaysia. Sehingga kini terdapat 17 buah KPU terdiri dari institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

Kami amat bertuah kerana terlibat melaksanakan aktiviti KPU di dalam dan di luar kampus termasuklah ke perkampungan Orang Asli dan program Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM) selaras dengan misi PERKIM.

PERKIM merupakan salah satu pertubuhan kebajikan yang kukuh di Malaysia telah mencatat sejarah yang tidak ternilai melalui pengislaman dan melakukan kerja kebajikan sejak zaman Al Marhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Sehingga kini, PERKIM dilihat semakin utuh dan diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat. Kami yakin dan percaya bahawa PERKIM amat sesuai dengan kehendak kami yang menginginkan aktiviti kemasyarakatan, kebajikan serta khidmat sosial walaupun pada masa yang sama kami masih menuntut ilmu di IPT.

Pada fikiran saya, KPU merupakan platform yang sesuai untuk melahir generasi yang memahami, menghayati dan mengamalkan ilmu agama dalam masa yang sama mempunyai akhlak yang mulia.

KPU juga bertindak sebagai agen pemupuk keharmonian kaum di kalangan belia Islam khususnya.

Tenaga serta pemikiran belia harus diserapkan bagi mengimbangi golongan muda dan barisan kepimpinan PERKIM.

Melalui kepimpinan PERKIM oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kami sentiasa menyokong dan membantu Perkim dalam melaksanakan aktiviti bagi mencapai misi PERKIM.

Kami bersyukur dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada PERKIM yang banyak mendidik dari sudut ilmu, nasihat dan kewangan dalam mengadakan program dan aktiviti.

Program diadakan tidak lain tidak bukan adalah kerana ingin menonjolkan kebaikan yang ada dianjurkan Islam menerusi pendamaian dan perpaduan.

Maka masyarakat non-muslim boleh menerima Islam tanpa prejudis dan diskriminasi terhadap Islam. Bahkan ada beberapa program KPU berteraskan perpaduan, kedamaian dan persefahaman berjaya mengislamkan mereka yang bukan Islam.

Diharapkan KPU dapat diperkasakan lagi kedudukannya di PERKIM sebagai pemangkin penggerak aktiviti PERKIM. Sokongan dan dorongan dari semua pihak amatlah diharapkan.

Sekaligus menjadi penyumbang jalan kebaikan kepada banyak pihak dalam membantu sesama insan tanpa mengira bangsa di atas satu misi iaitu mencari keredaan Allah SWT.

Turut hadir ialah pimpinan PERKIM, isteri kepada Yang DiPertua Tun Dr Siti Hasmah Mohd. Ali; Naib Yang DiPertua, Prof. Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah, Dato’ Dr. Mustapha Ma, Dato’ Mohd. Nakhaie Ahmad; Bendahari Kehormat, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim; isteri Bendahari Kehormat, Prof. Rohaty Majzub; Penolong Setiausaha Agung Kehormat, Datuk Hasbullah L. Isa.

Tan Sri Dr Mohd Yusof NoorsSetiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor dalam ucapan aluannya berkata majlis pada kali ini diadakan pada 10 hari terakhir Ramadan. Merupakan antara hari-hari teristimewa di mana ia mempunyai keberkatan di dalamnya yang lebih baik daripada 1,000 bulan iaitu lailatul qadar.

Beliau turut mengalu-alukan kehadiran tetamu khas iaitu Archbishop Kuala Lumpur, Julian Leow Beng Kim.

PERKIM sukar untuk menterjemahkan penghargaan kepada mantan Perdana Menteri yang sudi bersama PERKIM. Walaupun kita tahu keadaan yang dialami oleh Yang DiPertua PERKIM telah melepaskan kesemua jawatannya, namun beliau tetap diundang dari dalam dan luar negara bagi memberikan pandangan, idea dan pembangunan negara.

Kita akan terus berusaha untuk menentukan dan memainkan peranan yang berterusan terutamanya dalam kerja-kerja kebajikan walaupun terdapat kekangan kewangan.

Ramai lagi rakyat Malaysia yang masih memerlukan pertolongan namun kita tidak dapat menolong semua atas nama PERKIM. Bagaimana pun, kita memilih untuk menumpukan perhatian pada mangsa lumpuh atau strok yang dikendalikan oleh Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE) terletak di Bandar Baru Sentul.

Sumbangan van SCORE adalah tajaan daripada Yayasan PERKIM. Mudah-mudahan urusan untuk membantu mereka yang mengalami kesukaran, akan direstui oleh Allah SWT.

Saya percaya semangat yang diberikan oleh Yang DiPertua PERKIM kepada kita, akan kita manfaatkan sebagai meneruskan amanah penubuhan dan pengasasan PERKIM pada zaman Al-Marhum Tunku Abdul Rahman.

Saya turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada KPU yang datang dari beberapa perwakilan universiti merupakan generasi baru yang akan menyambung misi PERKIM di masa akan datang.

KPU pada masa ini sedang mempelajari pengorbanan orang-orang lama dan terdahulu seterusnya akan diterapkan kepada generasi muda PERKIM di kampus.

Tun Dr Mahathir MohamadsYang DiPertua PERKIM, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam ucaptamanya melahirkan terima kasih kepada PERKIM kerana menjemputnya di dalam majlis tahunan tersebut.

“PERKIM menyediakan generasi muda melalui KPU untuk mengambil alih pimpinan yang sedia ada,” ucap Dr. Mahathir selepas merasmikan upacara penyerahan kenderaan SCORE beberapa minit lalu di perkarangan hotel tersebut.

Tambahnya, generasi yang sedia ada sanggup meletakkan jawatan bagi digantikan oleh generasi-generasi baru selari dengan fitrah manusia yang perlu dipimpin.

Kita berpandukan kepada ajaran agama Islam dan sebagai orang Islam kita sedia maklum dan berbangga bahawa Islam bukan sahaja satu agama tetapi ianya juga satu cara hidup.

Tetapi kita dapati cara hidup yang kita alami sekarang ini nampak seolah-olah tidak begitu baik bagi kita umat Islam.

Rata-rata kita dapati mereka bermusuh, berperang sesama sendiri, tidak dapat mendirikan kerajaan yang baik, tekanan-tekanan terhadap rakyat dan sebagainya.

Kita lihat keadaan di Timur Tengah umpamanya, di mana beberapa buah negara sudah hancur lebur kerana peperangan dan mereka begitu menderita sehingga ramai daripada penduduk negara Islam yang duduk negara Islam, berhijrah ke negara bukan Islam untuk mencari keselamatan bagi diri mereka.

Apakah ini disebabkan cara hidup Islam? Iaitu cara hidup Islamkah yang mencetuskan huru-hara, peperangan, permusuhan, bunuh-membunuh dan sebagainya?

Apakah ini sebahagian daripada ajaran Islam sebagai cara hidup? Saya tidak boleh terima bahawa cara Islam ialah dengan bermusuh sesama sendiri bahkan di dalam al-Quran berkali-kali dilarang kita bermusuh kerana orang Islam disebut sebagai bersaudara.

Tetapi keadaan sekarang ini sudah menjadi begitu teruk sehingga mereka tidak sama sekali mempedulikan cara hidup Islam seperti yang terdapat dalam al-Quran.

Mereka yang bermusuh, berperang dan berlawan dengan Islam sahaja merupakan musuh Islam di mana umat Islam wajib pertahankan agamanya tetapi berlainan dengan mereka yang membunuh diri tanpa mengira orang di sekeliling yang tidak berdosa kerana apabila bom badan diletupkan, ramai yang tidak bermusuh dengan Islam turut terbunuh.

Bukan sahaja di negara Islam, tetapi di Eropah juga orang Islam meletupkan diri mereka dengan bom yang menyebabkan mereka yang tidak bermusuh dengan Islam turut menjadi mangsa.

“Kebanyakkan mangsa adalah mereka yang terdiri daripada kanak-kanak, wanita, orang sakit, warga emas, daif dan sebagainya,” ucapnya.

Mereka ini dibunuh dengan cara dengan cukup kejam, walhal ini bukanlah satu cara yang diajar sebagai ajaran cara hidup Islam. Kenapakah ini berlaku? Sebabnya ialah kerana kita sebenarnya mengaku diri kita sebagai orang Islam tetapi menolak cara hidup Islam.

Kita patuh dengan rukun Islam yang lima tetapi kita tidak mengamalkan Islam sebagai satu cara hidup.

Keburukan yang kita lihat di Timur Tengah disebabkan oleh kita yang sengaja memilih untuk bermusuh-musuhan, membunuh, mencedera, merosakkan harta dan sebagainya.

Hidup ini adalah pilihan. Kita menentukan sama ada kita mahu menjadi manusia yang baik dan memberi manfaat kepada orang lain atau sebaliknya.

Kita perlu kaji semula keislaman kita, apakah keislaman kita tertumpu kepada ibadat tertentu sahaja atau memilih untuk mengikuti cara hidup Islam seperti yang terdapat di dalam al-Quran.

Banyak sungguh ajaran al-Quran berkenaan dengan cara hidup orang Islam tetapi ramai yang tidak sama sekali mempedulikan apa yang diajar di dalam al-Quran berkenaan cara hidup Islam. Terdapat 43 petikan ayat dalam al Quran yang menekankan aspek keadilan; “Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil.”

Jika kita mengutamakan soal agama dan menghormati pandangan politik yang berbeza  pastinya kita tidak akan berpecah-belah malah tidak akan timbul isu pengaruh negatif terhadap pengikut masing-masing. Sebaiknya, kita perlu mencari jalan terbaik dan diredai oleh Allah SWT.

Diharapkan PERKIM dapat meneruskan legasi kepimpinan yang unggul tanpa dipengaruhi dengan anasir luar atau agenda yang tidak bermoral sebaliknya menumpukan kerja-kerja kebajikan seperti yang dianjurkan oleh agama Islam.

Perdana Menteri Malaysia keempat mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Batin kepada para hadirin di akhir ucaptamanya.

Beliau diiringi Dr. Yusof Noor dan Prof. Dr. Mohd Ridhuan Tee menyampaikan trofi dan wang tunai kepada pemenang Anugerah Yang DiPertua PERKIM kategori Program dan Aktiviti Cemerlang.

Kelab PERKIM Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak merangkul kategori emas menerima sebuah trofi, sijil anugerah dan wang tunai RM2,000, manakala kategori perak dimenangi oleh Kelab PERKIM Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berserta trofi, sijil anugerah dan wang tunai RM1,500 manakala Kelab PERKIM Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima trofi, sijil anugerah dan wang tunai RM1,000 bagi gangsa.

Kelab PERKIM Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Universiti Tun Abdul Razak (UniRAZAK), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Kolej Universiti Islam Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) masing-masing menerima wang sumbangan sebanyak RM1,000 disampaikan oleh Dr. Mahathir.

Majlis diserikan dengan tazkirah ringkas Presiden Global Unity Network (Unity), Shahkirit Kakulal Govindji bertajuk Meraih Gandaan Pahala Ramadan.

Majlis ringkas dan sederhana tersebut berakhir dengan jamuan berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak dan tarawih.

Hadir sama pimpinan PERKIM, Setiausaha Kerja, Zulkefli Arifin; Penyelaras Unit Perancangan, Penyelarasan dan Perlaksanaan (UPPP), Haji Mamat Che Chik; Timbalan Penyelaras UPPP, Datuk Abdu Hanif Harun; Penyelaras Unit Aset dan Pembangunan, Dato’ Ahmad Mustafa; Penyelaras Unit Komunikasi dan Media Baru, Haji Idris Mamat.

001
Dr. Mahathir (tengah) menyerahkan replika kunci kepada Dr. Fatimah (bertudung jingga) di Majlis Penyerahan Kenderaan SCORE.

002
Dr. Mahathir memotong reben tanda simbolik perasmian kenderaan SCORE.

003
Dr. Mahathir bersama kepimpinan PERKIM menyaksikan demonstrasi mesin angkut yang diubahsuai pada van SCORE.

004
Tun Dr Siti Hasmah turut bersama di dalam majlis berbuka puasa PERKIM.

005
Dr. Yusof Noor menyampaikan ucapan aluan di majlis berbuka puasa.

006
Yang DiPertua PERKIM menyampaikan ucaptamanya di majlis berbuka puasa anjuran PERKIM.

007
Dr Mahathir diiringi Dr. Yusof Noor menyampaikan trofi gangsa, sijil penghargaan dan replika cek berjumlah RM1,000 kepada KPU UUM.

008
KPU UniKL MIIT menerima trofi perak, sijil penghargaan dan replika cek berjumlah RM1,500 kepada pemenang anugerah YDP PERKIM.

009
Anugerah Emas YDP PERKIM  dinobatkan kepada KPU UIAM Gombak yang menerima trofi emas, sijil penghargaan dan replika cek berjumlah RM2,000 dari Dr. Mahathir sambil disaksikan Dr. Yusof Noor dan Prof. Ridhuan Tee.

010
17 Kelab PERKIM Universiti bergambar kenang-kenangan bersama kepimpinan PERKIM beserta hadiah yang dimenangi

011
Antara KPU yang hadir di majlis berbuka puasa anjuran PERKIM.

012
Shahkirit Kakulal Govindji menyampaikan tazkirah ringkas kepada tetamu yang hadir.

015
Tetamu kehormat menikmati juadah berbuka puasa.

013
Para tetamu menunaikan solat Maghrib, Isyak dan sunat tarawih yang diketuai Pengerusi PERKIM Ehsan, Mohd. Noor Hamim Suntong.

014
Bekas ahli KPU turut menikmati aneka juadah makanan di majlis berbuka puasa.

016
Para hadirin mengaminkan doa yang dibacakan selepas menunaikan solat sunat tarawih di The Everly Putrajaya.

Related Articles

Back to top button