Program Komuniti Saudara Muslim Thailand PERKIM di Perlis

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
“JIKA demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah, mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.” (az-Zumar: 22)
Kaedah dakwah merupakan satu wadah penyampaian yang dilihat cukup berkesan untuk membina sahsiah mukmin dan melahirkan daie di kalangan Saudara Muslim.
Oleh yang demikian, bagi meningkatkan kefahaman ilmu agama dan mempraktikkan ajaran Islam kepada masyarakat berketurunan Thailand, di samping mengeratkan silaturahim, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan Program Komuniti Masyarakat Thai bertempat di Hotel Putra Palace, Kangar Perlis pada 23 hingga 25 Oktober 2014 lalu.
Program yang telah mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Perlis (MAIPs), Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Perkim Bahagian Negeri Perlis itu disertai seramai 70 orang Saudara Muslim berketurunan Thailand dari sekitar Kangar, Arau, Padang Besar telah menyertainya.
Penyelaras Program, Muhammad Farhan Tee Abdullah berkata, masyarakat Thai yang beragama Islam majoritinya berasal dari selatan Thailand iaitu Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla berhijrah ke Malaysia untuk melakukan urusan ekonomi seperti perniagaan makanan, pakaian dan barangan.
Program itu juga merupakan satu medan utama yang mengumpulkan Saudara Muslim dari pelbagai daerah dengan objektif mewujudkan silaturahim dan juga perkongsian ilmu di kalangan mereka.
Ia bertujuan untuk membimbing dan mendidik Saudara Muslim Thai mendekati serta mendalami ilmu Islam, hal ini berikutan Perlis merupakan salah sebuah negeri yang mempunyai bilangan populasi Saudara Muslim Thai yang ramai di Malaysia, kebanyakkan dari mereka telah menetap di Malaysia dan mempunyai pekerjaan untuk menyara kehidupan.
Jelas Farhan, ia juga memberikan semangat pada peserta untuk belajar dan berdakwah kepada orang lain.
“Selain memupuk semangat kekeluargaan di antara saudara-saudara Muslim keturunan itu, Perkim juga menyediakan ruang untuk peserta mendalami Islam secara lebih berkesan melalui pendekatan dan penggunaan bahasa ibunda (Bahasa Thai) bagi melancarkan komunikasi dan kefahaman sepanjang program itu berlangsung,” katanya.
Jelasnya, program itu membina satu generasi Islam dengan menghayati dan melaksanakan segala perintah agama dalam kehidupan serta menyebarkan luaskan syiar Islam bagi tujuan seruan dakwah.
Muhammad Farhan yang juga Pegawai Unit Dakwah dan Inovasi Perkim berkata, program itu dilihat sebagai platform merapatkan ukhuwah Islamiah di kalangan peserta di samping bertukar-tukar perkongsian dan pengalaman di antara mereka.
Menurutnya, program di Kangar, Perlis merupakan program kali ke-4 di mana terdahulunya telah diadakan di Sintok, Kedah, Kota Bharu, Kelantan dan Kuala Terengganu, Terengganu.
Peserta pada hari itu telah dibahagikan kepada lima kumpulan yang diketuai oleh pemudah cara di kalangan bangsa Thai bagi kemudahan peserta.
Pengunaan bahasa Thai juga bertujuan agar peserta-peserta lebih mudah menumpukan modul program dan aktiviti yang dijalankan, sekali gus salah satu cara untuk lebih mendekati serta membina kefahaman di antara peserta.
Program itu telah dirasmikan pembukaannya oleh Bendahari Kehormat Perkim, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim.
Dr. Muhammad Rais dalam ucapannya berkata, kerjasama antara Perkim Perlis dan JAIPs serta MAIPs haruslah dipuji dan dicontohi walaupun sukar dilihat organisasi Islam menjalinkan ukhuwah dan bergandingan bahu.
Dr. Muhammad Rais turut berkongsi pengalaman ketika melawat Buenos Aires di Argentina di mana beliau begitu kagum dengan bekas Presiden Argentina, Carlos Menem yang telah mendapatkan dana daripada negara Arab Saudi untuk membina masjid yang tersergam indah di tengah kota Buenos Aires, walaupun bekas presiden itu bukan beragama Islam.
Jelasnya, masjid tersebut menjadi lambang bahawa Islam wujud di Argentina meskipun 95 peratus penduduknya mengamalkan ajaran Kristian Katolik.
Walaupun negeri Perlis merupakan negeri yang kecil berbanding daripada negeri-negeri yang lain, namun negeri tersebut aktif dalam aktiviti dan program keagamaan.
Jelasnya, peserta haruslah menambahkan dan meningkatkan lagi ilmu agama Islam supaya dapat menambahkan lagi pendakwah untuk berdakwah kepada masyarakat Thailand.
Golongan gelandangan di luar negara kebanyakkannya tidak dipedulikan oleh kerajaan negara mereka, tetapi di Malaysia, Perkim turut menyalurkan peruntukan kepada golongan tersebut walaupun tidak banyak tetapi sekurang-kurangnya dapat menampung keperluan mereka.
Saya perlu turun sekali sekala ke lapangan untuk melihat apakah yang dijalankan oleh Perkim di peringkat negeri. Perkim haruslah menjalankan fungsinya dengan baik khususnya di dalam hal-hal kebajikan.
Beliau berharap agar lebih banyak lagi program diadakan pada masa akan datang dan menyarankan umat Islam, khususnya bangsa Melayu dapat mempelajari serta menguasai Bahasa Thailand kerana program tersebut dikendalikan dan ditutur sepenuhnya dalam Bahasa Thailand.
Slot latihan dalam kumpulan (LDK) bertajuk Asas Fardu Ain : Kalimah Syahadah dan Pengertiannya memberikan kefahaman kepada peserta betapa pentingnya dua kalimah syahadah yang menjadi rukun Islam yang pertama dan ianya yang juga disimbolkan sebagai anak kunci syurga.
Asas Fardu Ain : Rukun Islam dan Rukun Iman merupakan tajuk yang menyentuh perkara asas agar mereka memperkukuhkan keimanan dan ketakwaan dalam diri melalui rukun tersebut.
Tajuk Asas Fardu Ain : Bersuci (Taharah) dan Solat memberi kefahaman dan praktikal mengenai perkara asas bersuci, jenis air, wuduk, istinjak, mandi hadas, tayamum, solat fardu, solat sunat, bacaan dalam solat dan pergerakan solat yang betul.
Slot tersebut memberi penekanan secara teori dan amali 13 rukun solat agar mereka menikmati kemanisan, meningkatkan taqarrub dan kekhusyukan dalam menunaikan solat kerana ianya merupakan perkara pertama yang akan dihisab oleh Allah SWT di alam barzakh.
Peserta juga diberi kefahaman mengenai topik lengkap berkaitan ibadah puasa, zakat dan haji.
Pada program itu juga turut diadakan kuliah selepas solat bertajuk Apa Itu Islam?, Gejala Murtad dan Kesannya, Kepentingan Tauhid Mengenal Allah, Ilmu dan Amal.
Siapakah Aku Sebenarnya pula menjadi tajuk forum mini yang dipengerusikan oleh Pegawai Dakwah Perkim Bahagian Negeri Kelantan, Nordin Abdullah manakala ahli panelnya terdiri daripada Pensyarah Universiti Prince of Songkla, Osman Rajniyom dan Maulana Ismail Abdullah, mahasiswa Universiti of Yala.
Bagi mencungkil bakat, kefahaman dan kebolehan peserta, turut diadakan kuiz Islam dan tilawah al-Quran.
Majlis itu disempurnakan penutupannya oleh Naib Yang DiPertua Perkim 1, Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim.
Dr. Shahidan dalam ucapannya berkata, kehidupan di dunia ini adalah untuk hari akhirat dan kita bina akhirat kerana pembinaan dunia dengan terbaik seperti mana di dalam doa yang terakhir di setiap solat kita iaitu Ya Allah, berikanlah kejayaan di dunia dan di akhirat serta jauhilah kami daripada azab api neraka.
Katanya lagi, di antara ilmu yang mudah ialah ilmu mencari pahala iaitu dengan memberikan senyuman, melayani tetamu dengan baik dan hormat-menghormat antara satu sama lain.
Dr. Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengesyorkan kepada Saudara Muslim supaya berdakwah kepada mereka yang berbahasa sama dengan mereka kerana ia merupakan kaedah yang mudah dan berkesan.
Kadang-kadang kita alpa dengan sikap sendiri sehinggakan terdapat mereka yang belum Islam boleh membaca al-Fatihah, boleh mengikuti sembahyang, azan dan mengucap dua kalimah syahadah, tetapi kita tidak mengajak mereka memeluk Islam.
Kita harus berusaha bersungguh-sungguh untuk membawa mereka kepada Islam, tetapi janganlah kita membuatkan mereka sehingga tidak mempercayai agama Islam.
Dr. Shahidan menyarankan kepada peserta supaya dapat menyampaikan risalah dan seruan Islam kepada rakan-rakan mereka yang belum Islam di Thailand.
Jelasnya, Perkim harus meletakkan matlamat supaya setiap orang Islam sekurang-kurangnya dapat membawa seorang yang belum memeluk Islam kepada Islam supaya agama Islam dapat berkembang.
Jadikan Islam agama yang hebat dan jangan memperlekehkan agama, sekiranya kita berniat untuk berdakwah, pasti Allah SWT akan membantu.
Ujarnya lagi, umat Islam seharusnya mempamerkan akhlak dan contoh yang terbaik kepada masyarakat bukan Islam.
Dalam pada itu, Siti Rasikam Abdullah merangkul hadiah peserta terbaik program.
Turut hadir, Pengerusi Perkim Bahagian Negeri Perlis; Datuk Hj Abu Bakar Hj Ahmad, Setiausaha Kehormat Perkim Bahagian Negeri Perlis; Hj Abdul Shukor Samsudin, Timbalan Pengarah Unit Dakwah dan Inovasi Perkim; Hj. Abdul Hanif Harun, Pengarah JAIPs; Hj Mohamad Sokri Husin, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs; Hj Abdul Malik Hussin dan Pegawai Perkim Perlis; Hj Abdul Rahim Abdullah.
APA KATA PESERTA
“Rasa syukur dan sangat gembira kerana program seperti ini amat berfaedah untuk meningkatkan ilmu di kalangan peserta dengan modul dan penerangan terperinci serta tenaga pengajar yang disenangi.” – SITI AISYAH ABDULLAH, 38 tahun.
“Walaupun baru empat tahun memeluk Islam, saya mengharapkan Perkim mengadakan program seperti ini dengan lebih kerap untuk memberi peluang kepada yang lain serta menambahkan pengisian modul berbentuk multimedia, dakwah lapangan dan praktikal supaya lebih berkesan.” – SITI RASIKAM ABDULLAH, 34 tahun.
“Perkim perlu menambah slot pengalaman Saudara Muslim memeluk Islam dan mengadakan program ziarah dan usrah, ijtimak atau metodologi dakwah kepada Saudara Muslim Thailand agar member impak yang positif terhadap masyarakat Thai,” – MUHAMAD SHAHABUDIN, 49 tahun.
“Di harap Perkim dapat menganjurkan lebih kerap lagi program tersebut di samping diadakan pertandingan kebudayaan masyarakat Islam Thai atau pertandingan puisi dan sajak Islam dalam Bahasa Thailand,” – SOPIAH ABDULLAH, 48 tahun.
Siti Fatimah Ladda menyampaikan taklimat kepada peserta.
Peserta di dalam Program Komuniti Masyarakat Thai di Perlis.
Peserta diberi tunjuk ajar oleh pemudah cara, Nordin Abdullah (kanan) dalam slot Asas Fardu Ain: Kalimah Syahadah dan Pengertiannya.
Osman (kiri) menyampaikan kuliah bertajuk Apa itu Islam kepada peserta.
]
Pengerusi Perkim Bahagian Negeri Perlis; Datuk Hj Abu Bakar Hj Ahmad menyampaikan ucapan di majlis perasmian pembukaan Program Komuniti Masyarakat Thai di Perlis.
Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim selaku Bendahari Kehormat Perkim menyampaikan ucapan perasmian pembukaan sempena Program Komuniti Masyarakat Thai di Perlis.
Tetamu kehormat bergambar kenangan bersama-sama pemudah cara dan ahli jawatankuasa Perkim Perlis.
Kuliah bertajuk Gejala Murtad dan Kesannya yang disampaikan oleh Osman Rajniyom kepada peserta.
Maulana Ismail (kanan) memberikan kefahaman kepada peserta di dalam slot Fardu Ain : Rukun Islam dan Rukun Iman.
Nordin (tengah) selaku pengerusi mini forum yang bertajuk Siapakah Aku Sebenarnya dan disampaikan oleh Maulana Ismail (kiri) dan Osman Rajniyom (kanan).
Kepentingan Tauhid Mengenal Allah merupakan tajuk kuliah disampaikan oleh Maulana Ismail.
Peserta menyertai pertandingan Tilawah al-Quran yang diadakan.
Peserta menjawab soalan yang diberikan dalam pertandingan kuiz Islam.
Fatimah Ladda (kiri) menyampaikan hadiah senaskah terjemahan al-Quran dalam Bahasa Thai kepada peserta.
Tetamu kehormat mengaminkan doa yang dibacakan di majlis penutup Program Komuniti Masyarakat Thai di Perlis.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs; Hj Abdul Malik Hussin menyampaikan ucapan aluan di majlis penutup.
Datuk Seri Dr Shahidan Kassim selaku Naib Yang DiPertua Perkim 1 menyampaikan ucapan perasmian penutup di majlis tersebut.
Abdul Malik menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan tilawah al-Quran.
Dr. Shahidan (kanan) menyampaikan hadiah kepada peserta ketiga terbaik keseluruhan.
Peserta kedua terbaik keseluruhan menerima hadiah daripada Naib Yang DiPertua Perkim 1, Dr Shahidan (kiri) sambil disaksikan Datuk Hasbullah (tengah).
Siti Rasikam Abdullah (kanan) selaku peserta terbaik keseluruhan menerima hadiah daripada Dr. Shahidan (kiri).
Abdul Malik (kiri) yang mewakili MAIPs menyampaikan cek sumbangan berjumlah RM5000 kepada Perkim yang diterima oleh Hasbullah (dua dari kanan) sambil disaksikan oleh Dr. Shahidan (dua dari kiri) dan Pengarah JAIPs, Mohamad Sokri Husin (kanan).
Peserta bersama pemudah cara dan tetamu kehormat bergambar kenang-kenangan di akhir program.