Jakim, Perkim Anjur Ziarah Silaturahim Bersama Komuniti Pedalaman Sabah

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.”(an-Nahl: 125)
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) menganjurkan ‘Ziarah Silaturahim Bersama Komuniti Pedalaman Sabah’ bertempat di Keningau, Sook, Kampung Silungai, Kampung Pagar-Pagar, Kampung Padang, Sepulut, Pensiangan dan Mansiang di Sabah pada 24 hingga 30 Ogos 2015 lalu bagi memacu kekukuhan gerakan dakwah kepada masyarakat supaya ia berterusan dan berkesan.
Penyelaras Program, Siti Munirah Sayed Mohd. Hamdan, aktiviti itu pada dasarnya adalah untuk membawa imej dan fikrah kepada masyarakat di pedalaman Sabah melalui pendekatan dakwah Islamiah serta pendekatan akhlak Islamiah.
Program tersebut merupakan cetusan daripada dua susulan program yang telah dilaksanakan sebelum ini iaitu ‘Ekspedisi Ziarah Syahadah Di Bumi Sabah’ pada 13 Januari 2014 dan ‘Program Ziarah Kasih Saudara Muslim Sabah’ pada 14 Mac 2014.
Jelas Siti Munirah, program tersebut menjalankan kerja-kerja dakwah susulan di kawasan terbabit serta menjalinkan ikatan ukhwah silaturahim bersama masyarakat di sana, selain melihat pendekatan dan perkembangan dakwah Sahabat Perkim di sana.
Program itu juga memperkenalkan Islam sebagai Rahmatan Lil ‘Alamin iaitu ‘memberi rahmat kepada seluruh alam’ dengan kerja nyata, ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk perubahan masyarakat serta meneguhkan dan menguatkan akidah masyarakat Muslim di pedalaman agar tidak terpengaruh dengan ajaran-ajaran lain.
Program itu disertai seramai 30 orang yang terdiri daripada kakitangan Perkim Kebangsaan, Perkim Bahagian Negeri Selangor, Perkim Bahagian Negeri Johor, Sahabat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Pendakwah Pedalaman Sabah, Kembara As-Syahadah dan kumpulan nasyid As-Syahadah.
Perjalanan yang memakan masa selama empat jam dari Kota Kinabalu itu perlu melalui beberapa tempat iaitu Kinarut, Papar, Kampung Langkawit, Kampung Kelatuan, Banjaran Crocker, Kimanis, Keningau sebelum tiba di Kampung Silungai, jelas Timbalan Pengarah Unit Perancangan, Penyelarasan dan Perlaksanaan Perkim, Abdul Hanif Harun.
Ujar Abdul Hanif, rombongan dibawa menjelajah dengan menaiki kenderaan berpacuan empat roda yang jaraknya 180 kilometer daripada Kota Kinabalu untuk tiba di kampung tersebut dengan mengharungi beberapa jalan sempit, berbukit bukau, belukar, simpang siur, jalan tidak berturap, kawasan pembalakan, berlecak, tidak bertar dan tanah merah.
Meredah anak sungai dan mengharungi arus air yang deras dengan menggunakan enam buah bot menjadi satu pengalaman manis bagi setiap rombongan musafir untuk menziarahi penduduk Kampung Silungai yang mempunyai lebih 400 orang penduduk.
Abdul Hanif bersama rombongan ziarah serta tetamu kehormat turut beramah mesra bersama penduduk kampung dengan bertanyakan khabar dan sejarah kawasan tersebut sambil menyampaikan sumbangan berbentuk makanan.
Sebelum itu, rombongan ziarah mengadakan pertemuan bersama Penolong Pengarah Unit Dakwah Jakim Sabah, Mohd. Shamsuri Ghazali bertempat di Jakim Cawangan Sabah, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, Jalan UMS, Kota Kinabalu.
Rombongan Perkim menyatakan tujuan dan hasrat utama organisasi tersebut dalam misi ziarah silaturahim ke pedalaman Sabah yang turut dihadiri oleh Penggerak Dakwah Jakim Sabah, Mohd. Marzuki Mohd Taha dan Mohd. Kamar Daud.
Setelah selesai perbincangan dua hala bersama Jakim Sabah, mereka meneruskan perjalanan selama dua jam perjalanan ke Kampung Sinua yang terletak di kaki Gunung Trusmadi.
Pendakwah perlu melalui Kampung Delayan, Kampung Kiulu Baru, Kampung Pauh, Kampung Kindasan, Kampung Batu Lunguyan, Kampung Pinipi, Kampung Tulid Kampung Tuawon dan Kampung Mempisas untuk tiba di Kampung Sinua.
Setibanya di Kampung Sinua, rombongan menziarahi keluarga Tayban Sinan, 20, telah memeluk Islam tiga bulan lalu yang masih memerlukan bimbingan dan didikan agama. Tayban yang berketurunan Bajau turut mendapat sumbangan berbentuk makanan dan wang zakat manakala beberapa rumah yang lain turut dikunjungi dan disampaikan juga sumbangan makanan seperti beras, tepung, minyak, gula, teh, sardin dan lain-lain.
Kanak-kanak Kampung Mansiat yang dilawati turut bergembira dengan kehadiran rombongan ziarah dan mereka turut diberikan gula-gula.
Rombongan musafir meneruskan destinasi ke Kampung Kilo Lanas, Sook untuk menziarahi Muda@Terdi Klumpang.
Penduduk Kampung Sinulihan Baru turut berasa gembira menyambut kedatangan rombongan ziarah dan sempat berbual mesra ketika singgah menunaikan solat fardu Maghrib dan Isyak di Masjid Babur Rahman.
Pendakwah Pedalaman Sabah, Mohd. Fadli Yusof yang mengetuai program tersebut berkata, misi utama program itu ialah menyampaikan agama Islam kepada seluruh manusia dengan memperkenalkan mereka kepada Allah seperti mana riwayat hadis Rasulullah berpesan kepada Muaz bin Jabal: ‘Wahai Muaz, kamu akan pergi ke suatu negeri (Yaman) yang di sana ramai ahlul kitab (Yahudi) dan (Nasrani) dan ajaklah mereka agar mereka beriman kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.’
Masjid tersebut telah dibina pada tahun 2001 hasil cetusan daripada ziarah dan dakwah Mohd. Fadli serta isteri, Aisyah Nordin kepada penduduk Kampung Sinulihan Baru pada 25 Disember 1990, kata salah seorang penduduk kampung.
Langkah pertama iaitu berdakwah ialah bawa manusia mengenal Allah SWT sehingga mereka itu menerima Allah SWT sebagai Tuhan yang mencipta dan menolak segala makhluk yang lain sebagai tuhan dengan mengucapkan kalimah syahadah iaitu: “Aku bersaksi tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku bersaksi Nabi Muhammad itu pesuruh Allah” dan pada ketika itu mereka telah beriman.
Jelas Mohd. Fadli, sesiapa sahaja yang telah memeluk Islam, segeralah didik mereka menyembah Allah SWT dengan menunaikan solat lima waktu sehari semalam kerana solat merupakan ibu segala ibadah yang merupakan langkah kedua iaitu beriman.
Katanya, solat atau sembahyang itu disebut oleh Rasulullah SAW sebagai lambang bahawa mereka yang telah Islam wajib menunaikan solat fardu lima waktu dan dididik dengan syariat-syariat Islam lain seperti puasa, haji, sedekah, berjuang, berjihad dan sebagainya
“Langkah ketiga pula ialah taat iaitu taat beribadah, jika mereka taat, Allah SWT mewajibkan mereka mengeluarkan zakat dengan mengambil sebahagian harta di kalangan mereka yang kaya untuk diberikan kepada mereka yang miskin,” kata Timbalan Presiden Pertubuhan Masyrakat Madani Malaysia (MIM Bersaudara), Mohd. Fadli.
Jelasnya, dalam berdakwah, kita mesti perhatikan tiga perkara tersebut dengan memperkenalkan mereka dengan bersungguh-sungguh, meyakini, memahami, mencintai, merindui, takut iaitu tunduk dan patuh kepada perintah Allah serta memperkenalkan mereka utusan Allah iaitu Nabi Muhammad SAW agar mereka mencintai, merindui, mengikuti sunnah Rasulullah kerana sunnah Rasulullah SAW itulah kehidupan Islam yang kita hendak bawa dan hidupkan.
Tegas Mohd. Fadli, tiada agama disisi Allah melainkan Islam dan apa yang diperjuangkan ialah melaksanakan Islam secara keseluruhan.
Sejak Perkim menyertai program tersebut pada 13 Januari 2014 lalu, seramai 271 orang telah memeluk Islam dan hasil usaha gerakan dakwah dalam tempoh 21 bulan, jumlah penambahan memeluk Islam telah meningkat sebanyak 220 orang menjadikan jumlah keseluruhan kini seramai 491 orang.
Antara kaedah yang berkesan ialah mereka perlu diberi pengukuhkan akidah iman, bimbingan ibadah dan menjaga kebajikan mereka seperti mana yang telah diperintahkan oleh Rasulullah SAW terdapat dalam hadith sewaktu menghantar Muaz bin Jabal ke negeri Yaman.
KISAH MASJID-MASJID
Sepanjang misi tersebut, ianya menyaksikan kejayaan dengan pertambahan tiga buah masjid iaitu Masjid As-Syahadah di Kampung Padang Sepulut, Masjid Syahadatul Muttaqin di Pensiangan dan Masjid Kampung Samparita di Kota Marudu serta Musolla Kampung Pagar-Pagar di Keningau.
Pembinaan ke semua masjid-masjid di beberapa kawasan tersebut bermula dengan membina manusianya terlebih dahulu melalui kaedah penanaman iman, bimbingan ibadah dan istiqamah sehingga timbul cadangan daripada penduduk kampung yang memerlukan masjid kerana ruang tempat untuk bersolat secara berjemaah sempit dan tidak sesuai.
Rombongan seterusnya singgah bermalam di Kampung Padang, Sepulut yang terletak di daerah Nabawan di mana pendakwah perlu melalui beberapa kawasan seperti Kampung Bahagia, Pekan Nabawan dan Kampung Tetagas.
Jelas beliau, kampung yang dinamakan Kampung Padang Inirwanan tersebut mempunyai 83 keluarga yang menduduki 25 buah rumah kampung di mana 87 peratus di kalangan mereka berbangsa Murut manakala 13 peratus lain-lain bangsa. Selain itu, majoriti penduduk kampung bekerja sebagai petani, pekebun, penjala ikan, mencari hasil hutan, penebang kayu balak, pemandu kereta pacuan empat roda dan lain-lain.
Mereka perlu menyeberangi ke kampung dengan menggunakan jambatan gantung sepanjang 400 meter dan merentasi pertemuan dua batang sungai iaitu Sungai Penawan dan Sungai Telangkai.
“Jika tidak dikukuhkan iman dan ibadah mereka, mana mungkin mereka sanggup pergi ke hutan yang jaraknya berbatu-batu untuk menebang kayu balak, kemudian memotong dan dibawa keluar serta kayu seberat 1000 tan itu diangkut secara bergilir-gilir oleh penduduk kampung dengan menyeberangi sungai melalui jambatan gantung sehingga tersergam indahnya Masjid As-Syahadah, Kampung Padang, Sepulut, kata Mohd. Fadli.
“Barang siapa membina masjid walau sebesar sarang burung, Allah SWT membina rumah di syurga untuknya,” jelas Mohd. Fadli sambil mengingatkan 28 September 2012 yang merupakan tarikh tiang Masjid As-Syahadah, Kampung Padang Sepulut didirikan.
Dengan keimanan yang terbentuk, penduduk kampung yang bergelar mualaf membina masjid sehingga ianya siap dibina serta ada penderma yang menyumbang alatan masjid, karpet dan set alat pembesar suara.
Pada hari pembinaan masjid, seramai 11 orang yang telah memeluk Islam kerana mereka tertarik dengan akhlak dan sikap bekerjasama serta bergotong-royong yang dilakukan oleh penduduk kampung dalam pembinaan masjid.
Sehingga ada seorang yang beragama Kristian Katolik yang baru pulang dari gereja melihat pembinaan masjid, beliau terus berminat memeluk Islam setelah diterangkan kepadanya tentang Islam.
Terdapat juga dua orang penduduk di sini yang memeluk Islam kerana mengetahui masjid akan dibina. Begitu juga apabila seorang kanak-kanak yang membantu membina masjid, setelah pulang ke rumah, mereka menyuruh ibu bapa mereka memeluk Islam.
Tiga orang daripada penduduk kampung memeluk Islam sehari sebelum masjid tersebut digunakan iaitu Robert Singgah atau nama Islamnya Abdul Aziz, Pinili atau Azizah dan Andatung atau Khadijah.
Masjid tersebut diberi nama Masjid As-Syahadah kerana berlakunya ibadah pengislaman oleh salah seorang penduduk kampung, Rimin Ansalin pada 9 Februari 2013 sebelum azan pertama berkumandang di masjid yang telah siap dibina itu. Rimin adalah antara penduduk yang menjaga persekitaran masjid sebelum masjid siap dibina meski pun pada ketika itu beliau belum memeluk Islam.
Penduduk di sini menggunakan kepakaran masing-masing untuk membantu dengan dibayar upah berdasarkan kemahiran mereka.
Masjid As-Syahadah juga digunakan untuk anak-anak penduduk belajar mengaji, solat, melakukan ulang kaji dan kerja sekolah.
Mereka berjaya membina masjid sendiri dan kini mereka mengimarahkan dengan solat serta pengajian ilmu. Ini adalah contoh Islam kerana kecantikan akhlak dan budi pekerti yang dipamerkan oleh orang Islam beserta hidayah Allah SWT secara tidak langsung ia telah menarik hati ramai penduduk kampung untuk memeluk Islam.
Rombongan turut menziarahi penduduk kampung, beramah mesra dan sempat menikmati hidangan yang disediakan oleh penduduk kampung sebelum bertolak ke destinasi seterusnya iaitu Pensiangan di mana mereka perlu merentasi belukar, jalan berbukit-bukau, kawasan pembalakan, berlecak, anak sungai, jalan tidak rata, tanah merah dan tidak bertar selama tiga jam dengan menaiki kenderaan berpacuan empat roda.
Sepanjang perjalanan tersebut, pendakwah dihiburkan dengan nyanyian daripada kumpulan nasyid As-Syahadah yang berasal daripada Kota Kinabalu yang terdiri oleh Al Muaz Ya Hannan, As Shafeq Ya Hannan dan Al Lokman Ya Hannan yang membawa beberapa buah lagu antaranya ‘Islam Telah Berkembang’, ‘Rintihan Hamba’, ‘Aku Ingin Kembali’, ‘Rasa Bertuhan’, ‘Musafir Kelana’, ‘Di Mana Kasih Di Mana Sayang’ dan ‘Sunnah Pejuang’ yang dipetik dari album Kembara Syahadah.
Setibanya di Pensiangan, rombongan ditempatkan di Masjid Syahadatul Muttaqin di mana pembinaannya juga tercetus daripada keinginan penduduk kampung yang memerlukan tempat yang luas untuk bersolat seperti masjid kerana penambahan umat Islam kian bertambah.
Seramai 11 penduduk Kampung Pensiangan telah memeluk Islam pada 11 Februari 2014 lalu, kerana melihat kerjasama dan ukhwah ketika aktiviti mengutip batu sungai untuk pembinaan Masjid Syahadatul Muttaqin yang dijalankan membuatkan mereka tertarik sekali gus mengucap dua kalimah syahadah.
Mereka berbaris dengan mengutip serta menyerahkan satu demi satu batu sungai antara sesama mereka yang membawa batu-batu tersebut di atas bukit untuk dijadikan tapak masjid dan kini masjid tersebut telah beroperasi sepenuhnya pada Aidilfitri lalu.
Penduduk kampung diziarahi oleh rombongan bagi merapatkan ukhwah silaturahim dan mereka turut diberi sumbangan berbentuk makanan.
Bersempena bulan kemerdekaan, para pendakwah bersama penduduk kampung memasang jalur gemilang di sekeliling kawasan Masjid Syahadatul Muttaqin tanda bukti cinta mereka kepada tanah air dan negara Malaysia yang menyambut hari kebangsaannya ke-58 yang bertemakan Malaysia, sehati sejiwa.
Akibat bekalan air tidak mencukupi untuk kegunaan wuduk, mandi dan memasak penduduk kampung bersama pendakwah bertungkus-lumus memasang pam untuk menyedut air dari sungai ke masjid walaupun beberapa kali gagal berfungsi.
Turut diadakan nyanyian asmaul husna, kuliah agama, gotong-royong membersihkan masjid, perlawanan persahabatan bola tampar antara penduduk kampung dan pendakwah.
Antara kemudahan yang terdapat di Pensiangan ialah klinik kesihatan, kedai runcit, sekolah rendah dan menengah serta mahkamah adat manakala kemudahan elektrik beroperasi pada waktu malam sahaja.
Destinasi membawa rombongan ke perkampungan seterusnya iaitu di Kampung Mansiang Baru yang terletak di daerah Sook di mana jaraknya sejauh 12 kilometer daripada bandar Keningau.
Kampung tersebut mempunyai 150 orang penduduk di mana 30 peratus daripada mereka adalah beragama Islam yang diketuai oleh Abdul Manan Abdullah Wong yang telah memeluk Islam 22 Disember 2014 lalu.
Mansiang yang bermakna ‘banyak nama’ merupakan terjemahan bahasa Cina yang diberikan oleh orang Cina pada waktu dahulu, jelas Abdul Manan atau nama asalnya Wong Kim Loi, 82 tahun.
Sebanyak 50 peratus suku kaum Kampung Mansiang terdiri daripada suku kaum Kadazan Dusun, manakala 30 peratus terdiri dari suku kaum Sino iaitu kacukan Cina dan bumiputera serta 20 peratus lagi adalah daripada keturunan Cina.
Abdul Manan berharap supaya diwujudkan sebuah surau di dalam kampung tersebut bagi kemudahan untuk bersolat dan belajar agama Islam kerana menginginkan tempat untuk bersolat secara berjemaah dan mendalami Islam.
Penduduk kampung turut menerima ikrar dua kalimah syahadah, sumbangan makanan dan pakaian solat.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Kampung (JKKK), Juhili Ar-Shyad Chani, 95 peratus daripada penduduk kampung terlibat dalam sektor pertanian manakala lima peratus lagi terlibat sebagai kakitangan awam dan swasta.
Beliau yang juga guru sekolah di Keningau berkata, purata pendapatan penduduk di kampung tersebut ialah kurang daripada RM500 sebulan.
Sambil berkenal-kenalan di antara satu sama lain, rombongan ziarah turut menyampaikan sumbangan berbentuk makanan, ikrar syahadah dan pakaian solat kepada penduduk kampung yang beragama Islam serta memperbaharui syahadah bersama-sama.
Rombongan meneruskan misi dakwah mereka ke perkampungan yang terakhir iaitu di Kampung Pagar-Pagar di mana ianya terletak sejauh 20 kilometer dari bandar Keningau.
Kampung tersebut dinamakan pagar-pagar kerana ianya terletak di antara pagar kawasan padang golf dan pagar kawasan pasukan polis hutan.
Mohd. Fadli telah menziarahi penghujung 2013 yang lalu dan pada ketika itu belum ada yang Islam sehingga Saudara Muslim, Linaun Antaim yang memeluk Islam pada Aidilfitri 2013 dari Sepulut menginap sementara di rumah birasnya yang bernama Yang Yang di Kampung Pagar-Pagar untuk mendapatkan rawatan di Hospital Keningau.
Hasil dakwah Linaun atau nama Islamnya Muhammad Othman, satu keluarga birasnya yang terdiri daripada lima orang memeluk Islam dan diikuti oleh jiran-jiran yang lain. Jumlah pengislaman itu meningkat dari satu ke 15 daripada 24 buah rumah keluarga telah memeluk Islam.
Apabila jumlah bilangan Saudara Muslim itu meningkat, mereka sendiri membangunkan tempat solat yang dinamakan Musolla As-Syahadah di mana sumbangan yang diinfakkan oleh umat Islam semenanjung Malaysia dan tempatan.
Majlis diserikan lagi dengan majlis ibadah pengislaman Saminggu atau kini nama Islamnya Kamilah Ampohol yang merupakan insan ke-490 memeluk Islam sepanjang misi dakwah dan rombongan turut memperbaharui syahadah bersama-sama penduduk kampung.
“Kamu akan menjadi seorang Islam bila mana seorang itu mengaku tiada Tuhan melainkan Allah iaitu Esa (tunggal) dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah,” itulah di antara ungkapan dakwah yang sering diucapkan oleh Mohd. Fadli kepada setiap Saudara Muslim atau lebih dikenali dengan mualaf dan mereka yang belum Islam.
“Sekiranya ada orang masuk Islam sebab dipaksa ianya adalah tidak sah,” tegasnya.
Mohd. Fadli juga turut menyampaikan beberapa mutiara kata serta kuliah sepanjang program ziarah tersebut yang bertajuk ‘Persediaan Pendakwah’, ‘Mengapakah Sembahyang Menjadi Tiang Agama’, ‘Serban’, ‘Ajaran Islam: Akidah dan Iman’, ‘Kisah Sebatang Pokok’ dan ‘Mengapa Perlu Berdakwah’.
Penduduk Kampung Pagar-Pagar turut mendapatkan khidmat rawatan Islam menggunakan kaedah bacaan ayat suci Al-Quran atau ruqyah kepada tubuh badan pesakit dan juga air penawar oleh Mohd. Zul Amirul Izwan Mat Deraseh dari Sahabat PPUM.
Mohd. Fadli berkata, beliau turut menumbangkan 10 ekor lembu untuk perlaksanaan ibadah korban, di mana lembu-lembu korban penyertaan umat Islam tersebut akan dihantar dan disembelih secara serentak pada Hari Raya Aidiladha di Masjid As-Syahadah, Kampung Padang, Sepulut; Masjid Syahadatul Muttaqin, Pensiangan; Surau An Nusrah, Kampung Kuala Salung; Musolla As-Syahadah, Kampung Pagar-Pagar; Surau Ar-Rahim, Kampung Sinua, Sook dan Surau Insaniah Kampung, Timbang Batu, Kota Marudu.
Mereka yang ingin turut serta untuk menambah saham akhirat boleh turut serta menyalurkan ke akaun wakaf Maybank Pusat Pembangunan As Sabah bernombor 564427506145.
Turut hadir ialah Pegawai Unit Perancangan Penyelarasan dan Perlaksanaan Perkim; Muhammad Farhan Tee Abdullah dan Sulaiman Ding Yu Zhong, Pegawai Perkim Bahagian Negeri Selangor; Mohd. Yusoff Ahmad, Pegawai Perkim Bahagian Negeri Johor; Mohd. Ghazali Ismail serta Mohd. Aizat Rosli.
Destinasi pertama yang dilawati ialah Jakim Cawangan Sabah, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, Jalan UMS, Kota Kinabalu.
Mohd. Shamsuri (kiri) selaku Penolong Pengarah Unit Dakwah Jakim mengetuai pertemuan bersama Perkim.
Rombongan Perkim menyatakan tujuan utama dalam misi ziarah silaturahim ke pedalaman Sabah kepada Jakim Sabah.
Abdul Hanif (lima dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Mohd. Shamsul selepas perbincangan bersama Jakim Sabah.
Rombongan memulakan penjelajahan ke pedalaman Sabah.
Kampung Silungai antara destinasi yang diziarahi dengan menggunakan bot.
Ketibaan rombongan ziarah di Kampung Silungai.
Penduduk Kampung Silungai bergambar kenang-kenangan selepas beramah-mesra bersama rombongan Perkim.
Para pendakwah menunaikan solat secara berjemaah apabila telah tiba waktunya ketika singgah di Masjid Ar-Raudhah, Keningau.
Selepas menunaikan solat berjemaah, Mohd. Fadli menyampaikan tazkirah bertajuk ‘Persediaan Pendakwah’ kepada rombongan.
Sesi ziarah Saudara Muslim bernama Muda@Terdi Klumpang di Kampung Kilo Lanas, Sook.
Pendakwah menyampaikan sumbangan berbentuk makanan kepada Saudara Muslim di Kampung Sinua.
Rombongan ziarah meneruskan perjalanan mereka dari rumah ke rumah untuk bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan makanan.
Tayban (berbaju belang ungu) merupakan Saudara Muslim yang baru beberapa bulan memeluk Islam telah diziarahi rombongan Perkim.
Kanak-kanak Kampung Mansiat bersuka-ria apabila diberikan gula-gula kepada mereka.
Farhan (kanan) dan Aizat (kiri) merakamkan kenangan manis bersama kanak-kanak Kampung Mansiat.
Mohd. Fadli (kiri) bersama rombongan beramah mesra bersama penduduk Kampung Sinulihan Baru di Masjid Babur Rahman.
Pendakwah diberikan taklimat selepas menyampaikan kuliah Subuh bertajuk ‘Mengapa Sembahyang Menjadi Tiang Agama’ di Masjid As-Syahadah.
Program ziarah dengan menyampaikan sumbangan makanan seperti beras, gula, tepung, minyak, teh, kopi dan sebagainya.
Masjid As-Syahadah tersergam indah di Kampung Padang, Sepulut selepas bermalam sebentar di sana.
Pendakwah Perkim bertanyakan penduduk kampung mengenai sejarah Kampung Padang, Sepulut di atas jambatan gantung.
Pendakwah bergambar kenang-kenangan di Kampung Padang, Sepulut.
Rombongan meneruskan perjalanan ke Pensiangan yang memakan masa tiga jam dari Kampung Padang dengan melalui jalan yang penuh cabaran.
Kerjasama antara pendakwah dan penduduk kampung untuk pemasangan pam air.
Jemaah bertungkus-lumus menyalurkan air sungai ke masjid dengan mengunakan pam air.
Pegawai UPPP Perkim beramah mesra dan bertanya khabar kepada penduduk Pensiangan.
Sulaiman Ding (kiri) menyampaikan sumbangan makanan kepada penduduk Pensiangan.
Siti Munirah (kanan) menyampaikan sumbangan makanan kepada penduduk Pensiangan.
Rombongan ziarah beramah mesra dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk kampung.
Penduduk Pensiangan menerima sumbangan makanan daripada Siti Fatimah (kiri).
Ziarah merupakan tujuan utama dalam program tersebut bagi merapatkan ikatan ukhwah Islamiah sesama Muslim.
Berlatar belakangkan Masjid Syahadatul Muttaqin, Pensiangan rombongan Perkim bergambar setelah selesai sesi ziarah.
Pendakwah turut menyertai aktiviti permainan bola tampar bersama penduduk kampung yang diadakan pada sebelah petang.
Turut diadakan kuliah Maghrib bertajuk “Kisah Pokok” yang disampaikan oleh Mohd. Fadli kepada penduduk kampung.
Jalur gemilang juga dipasang pada keliling masjid bersempena bulan kemerdekaan.
Farhan (bertopi merah) menyampaikan cenderahati kepada Pengerusi Umat Islam Mukim Pensiangan, Ridhuan Omopor.
Rombongan ziarah bergambar di hadapan Masjid Syahadatul Muttaqin, Pensiangan yang telah beroperasi pada Aidilfitri 2015.
Kembara meneruskan perjalanannya ke bandar Keningau yang memakan masa empat jam.
Jemaah bergotong-royong membersihkan masjid ketika singgah hendak menunaikan solat di Masjid Al-Falah, Sook.
Mohd. Fadli menyampaikan amanat dan pesanan serta nasihat melalui kuliahnya bertajuk ‘Mengapa Perlu Berdakwah’ ketika misi perjalanan ke tempat ziarah.
Sulaiman Ding (dua dari kiri) bersama rombongan ziarah menyampaikan sumbangan makanan kepada penduduk Kampung Sook.
Penduduk kampung diziarahi dan ditanyakan khabar oleh Sulaiman Ding (kanan) dan Mohd. Fadli (kiri).
Pengerusi JKKK Kampung Mansiang Baru, Juhili (kanan) beramah mesra bersama rombongan Perkim.
Muhammad Hafiz James menerima ikrar dua kalimah syahadah dan wang sumbangan yang disampaikan oleh Mohd. Fadli (kanan).
Aisyah (kiri) dan Fatimah Ladda (dua dari kiri) bergambar bersama keluarga Hafiz James setelah beramah mesra dan menyampaikan set pakaian solat kepada mereka.
Suhaidi Abdul Manan atau lebih asalnya Light Wong menerima wang sumbangan dan ikrar dua kalimah syahadah yang disampaikan oleh Sulaiman Ding (tengah).
Mohd. Fadli menyampaikan sumbangan makanan kepada Meja Wong atau nama Islamnya Muhammad Adi Wong dalam sesi ziarah di Kampung Mansiang Baru.
Ketua Kampung Mansiang Baru, Abdul Manan Wong menceritakan kisah asal-usul sejarah perkataan ‘mansiang’ kepada rombongan.
Mohd. Fadli (kanan) dan penduduk kampung memperbaharui dua kalimah syahadah bersama-sama.
Abdul Hanif menyampaikan salam perkenalan kepada penduduk Kampung Pagar-Pagar.
Fatimah Ladda (bertudung hitam) mengislamkan Kamilah Ampohol (dua dari kiri) di Kampung Pagar-Pagar.
Penduduk Kampung Pagar-Pagar turut memperbaharui syahadah bersama-sama.
Penduduk kampung turut mendapat perkhidmatan rawatan Islam oleh Zul Amirul dari Sahabat PPUM.