Aktiviti Dakwah

Forum Perdana Sempena Maulidur Rasul 1435 H – ‘Allah Milik Siapa?’

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI 

“Katakanlah (Wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah yang Maha Esa; Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”. (al-Ikhlas: 1-4)

Bagi memberi pendedahan dan kefahaman berhubung isu-isu semasa kepada Saudara Muslim, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan telah menganjurkan Forum Perdana Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1435 H Bersama Saudara Muslim bertempat di Surau Bangunan Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 26 Januari 2014 lalu.

Program tersebut dihadiri lebih 300 Saudara Muslim di kalangan Cina, India, Kadazan, Bidayuh, Siam, Filipina, Kemboja dan Indonesia menyertai forum tersebut.

Forum yang bertajuk ‘Allah Milik Siapa?’ itu dipengerusikan oleh Ahli Majlis Tertinggi Mesyuarat Gabungan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN), Muhammad Zaid Tandang.

Manakala ahli panelnya pula ialah Ketua Pegawai Dakwah, Islamic Information Services Foundation (IIS), Shah Kirit Kakulal Govindji dan Presiden Hidayah Centre Foundation, Nicholas Sylvester Muhammad Abdullah.

shah-kirit-kakulal-govindjisShah Kirit dalam ceramahnya mengupas tentang isu bolehkah orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah? Beliau berpendapat, orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah dengan syarat mereka merujuk kepada Allah sesuai dengan sifat-Nya sebagai ‘Allah’.

Jelasnya, menerusi surah al-Ankabut ayat 61 dan 63, az-Zumar ayat 38 serta az-Zukhruf ayat 87, Allah berfirman: “Sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Siapakah yang menurunkan hujan dari langit? Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Siapakah yang menjadikan manusia? Mereka akan menjawab: “Allah”.

“Lalu Allah menempelak mereka (kaum musyrik) kerana mereka mengaku Allah menjadikan mereka, tetapi tetap menyembah selain daripada Allah,” tambah Shah Kirit yang telah memeluk Islam pada Ramadan 1996 lalu.

Walaupun kaum musyrikun menyembah berhala, tetapi apabila ditanya siapakah yang menjadi langit dan bumi? Mereka menjawab Allah, ianya berlandaskan kepada sifat yang betul kerana ianya merujuk kepada Allah yang sesuai sifatnya sebagai pencipta.

Saya tidak setuju orang bukan Islam hari ini, menggunakan ‘Allah’ kerana ia tidak sesuai dengan sifatnya sebagai Allah. “Sungguh keji, sungguh jahat kata-kata mereka mengatakan ar-Rahmat (Allah) mempunyai anak,” (Maryam, ayat 48)

Jelas Shah Kirit sambil memetik surah al-Nahl, ayat 125: “Serulah semua manusia ke jalan Tuhanmu dengan cara bijaksana.”

Bila berhadapan dengan orang-orang bukan Islam dan mereka katakan Allah ada anak, Allah Bapa dan Ruhul Kudus, kita jangan berlengah dan terus berdakwah kepada mereka.

“Berapa ramaikah di antara kita yang pergi berdakwah kepada orang bukan Islam? Adakah kita telah melaksanakan usaha dakwah seperti Rasulullah SAW? Ternyata kita kurang berdakwah kepada non-Muslim.

Di dalam agama Sikh, mereka juga merujuk Tuhan sebagai Allah kerana terdapat lebih daripada 40 perkataan Allah di dalam kitab Guru Granth. Adakah orang Sikh membaca kitab apabila tibanya di perkataan Allah mereka akan mendiamkan? Sudah pasti tidak kerana mereka merujuk Tuhan itu Esa sesuai sifatnya sebagai Allah, dalam rujukan kitab Guru Granth Sahib muka surat pertama jakuji nombor satu.

Dalam kitab Hindu Aloho Banushan pula dirujuk kepada Tuhan, di antara namanya ialah ‘Allah’.

Shah Kirit berpendapat lagi, orang bukan Islam yang telah menggunakan kalimah Allah tidak menjadi masalah kerana yang menjadi masalah ialah berlakunya penyalahgunaan kalimah Allah tersebut.

“Antara kali selidik yang telah dilakukan oleh IIS ialah mengkaji Bible iaitu al-Kitab dalam versi Bahasa Arab dan mendapati kebanyakkan ayat-ayat yang terdapat nama Allah digunakan secara umum. Ia juga paling banyak digunakan kalimah Allah tidak bersesuaian dengan tauhid iaitu keesaan Allah SWT,” jelas beliau selaku Duta Dakwah di SABA Islamic Media.

Di dalam Islam, kriteria kita kepada Allah ialah seperti mana disebut dalam Surah al-Ikhlas, ayat 1 hingga 4.

Jelas Shah Kirit lagi, berdasarkan ayat al-Ikhlas tersebut, jika sesiapa mengatakan Allah lebih dari satu, kita memang tidak sependapat. Sekalian makhluk dan seluruh alam bergantung kepada Allah. Allah tidak melahirkan dan tidak dilahirkan yang bermaksud Allah tidak mempunyai moyang, datuk, nenek, bapa, ibu serta tidak mempunyai anak. Tidak ada sesuatu makhluk atau benda yang boleh dilihat melalui mata kita itu bukannya Allah. Jika ada gambaran, imej atau bayangan yang terlintas di fikiran kita, itu bukannya Allah.

“Orang Kristian tidak tahu agama Islam adalah agama yang benar dan agama Kristian adalah agama yang salah dan sesat, perkara ini terjadi adalah kerana orang Islam tidak pergi berdakwah kepada orang Kristian,” tegas Shah Kirit.

“Setakat ini, saya belum pernah jumpa atau dengar cerita, orang Islam menjadi murtad disebabkan kekeliruan kalimah Allah di dalam Bible dan saya juga tidak pernah dengar mana-mana manusia di atas muka bumi ini, hanya dengan mengkaji Bible semata-mata dia masuk agama Kristian,” ujar beliau.

Mereka masuk agama Kristian disebabkan kebaikan, kasih sayang, perasaan cinta dan kebajikan yang ditunjukkan oleh orang Kristian.

Jika orang Islam hari ini memahami Islam dan akidah Islam, mereka tidak akan terpengaruh dengan orang Kristian yang menggunakan kalimah Allah di dalam Bahasa Melayu. Kita takut hari ini orang Islam terpengaruh kerana orang Islam tidak faham Islam. Bila orang Islam tidak faham akidah Islam, itu adalah kesalahan dan kelemahan kita.

Adakah perkara akan selesai jika kita menghalang orang Kristian daripada menggunakan kalimah Allah? Orang Islam lemah dalam pemahaman dan penghayatan Islam kerana didikan dan tarbiyah dakwah kepada sesama Islam pun rapuh dan dakwah kepada bukan Islam pun tiada.

Beliau menegaskan bahawa umat Islam hanya mendidik anak atau Saudara Muslim mata pelajaran fardu ain, belajar solat dan bacaan al-Quran sahaja tetapi tidak diberikan pendedahan mengenai pemahaman akidah, pemantapan iman, takwa dan akhlak.

Saya memberi contoh, di dalam kitab Bible Gospel of John, Bab 14 ayat 28: Jesus berkata: “Tuhan Bapa lebih besar daripada saya.” Kalau ditukarkan ‘Tuhan Bapa’ kepada ‘Allah’, ayat tersebut akan menjadi “Allah lebih besar daripada Jesus.”

Di dalam Gospel of Mathew, bab 26 ayat 39: “Jesus menyembah Tuhan”. Kalau ditukarkan ‘Tuhan’ kepada ‘Allah’, ia akan menjadi “Jesus menyembah Allah”.

“Orang Kristian juga bergaduh sehingga kafir mengkafirkan sesama mereka disebabkan tidak bersetuju dalam penggunaan kalimah Allah di dalam Bible, tetapi mereka tidak memperbesar-besarkan isu tersebut,” katanya.

muhammad-zaid-tandangsMenurut Muhammad Zaid, terdapat banyak hujah yang membatalkan Isa al-Masih sebagai Tuhan menurut di dalam al-Kitab, antaranya kitab bilangan 43 ayat 19: “Allah bukan manusia, Allah bukan anak manusia.” Bayi yang dikandung sembilan bulan sembilan hari, dia tidak boleh menjadi Allah.

Tambahnya lagi, dalam kitab ulangan Bab 5, ayat 7 dan ayat 8 yang menyatakan “haram kamu menggambarkan Allah.” Apabila orang Kristian menggunakan kalimah Allah, mereka sendiri yang terkeliru dan orang Islam tidak mengambil daripada kesempatan ini malahan mereka menggunakan perkataan yang kasar dan tidak diajar dalam ajaran Islam.

“Berdasarkan statistik tahun 1960, sebelum Sarawak menyertai Malaysia jumlah orang Kristian ialah 117,000 dan orang Islam ialah 174,000 manakala pada tahun 2010, jumlah orang Kristian 1,256,000 dan 700,000 orang Islam di Sarawak,” jelas Muhammad Zaid yang juga bekas Mubaligh Kristian Sarawak.

“Terdapat pelbagai bukti segelintir orang Islam yang menukar agamanya kepada Kristian adalah kerana pihak gereja membela nasib mereka yang kesempitan hidup, lalai dan masalah kewangan,” ujar beliau yang telah memeluk Islam pada tahun 2002.

Berapa ramai orang Islam di kalangan gelendangan di sekitar ibu negara yang terkandas dan terpinggir mendapat belas kasihan dan ihsan daripada orang Kristian yang menghulurkan bantuan dan memberikan makanan selama tiga hari dalam seminggu sehingga mereka berjaya membawa orang Islam ke gereja akhirnya menukar agamanya kepada Kristian.

Menurut Muhammad Zaid lagi, di dalam kitab Asbab al-Nuzul melalui Imam Habib Hassan Ali bin Ahmad Mansori menceritakan Rasulullah SAW menerima 60 perwakilan daripada daerah Najran (Kristian) yang dipimpin oleh Abdul al-Masih dan Harithah al-Qamah untuk berdialog dengan baginda Nabi dan akhirnya mereka menemukan titik persamaan sehingga orang Kristian meminta naungan daripada kerajaan Islam, kemudian Rasulullah SAW menghantar utusan iaitu Umar bin al-Khattab ke Baitul Maqdis dan daulat Kristian meminta naungan daripada Islam.

Begitu juga berlakunya pada 639 Masihi di zaman sahabat Nabi iaitu Amru al-As telah berdialog Patriach John 1, Ketua Gereja Jacobite di Syria.

719 Masihi, apabila bangkitnya Kerajaan Bani Umayyah yang dipimpin oleh Umar Abdul Aziz telah mengadakan dialog dengan Leo 111 Maharaja Empayar Byzantine.

Pada 781 Masihi pula Kerajaan Bani Abbasiyyah yang dipimpin oleh Khalifah al-Mahdi telah berdialog dengan Patriach Timothy 1 selaku Ketua Gereja Nestorian.

Kemudian Turki Uthmaniah yang dipimpin oleh Maulana Rahmtullah Kairanwi al-Utmani yang berdialog dengan Ketua Mubaligh India, Revonan Petfenda.

Kesan daripada dialog tersebut, maka ramai yang memeluk Islam walaupun tidak secara keseluruhan, maka inilah tugas orang Islam.

nicholas-sylvester-muhammad-abdullahsNicholas dalam ceramahnya berkata, terdapat tiga kebimbangan yang menjadi maslahah kepada umat Islam di Malaysia iaitu pertama, sekiranya diizinkan dan tidak dilarang mereka menggunakan kalimah Allah di dalam kitab-kitab mereka, maka ianya menjadi batu loncatan untuk berdakyah kepada umat Islam; kedua, menjadikan umat Islam sendiri keliru kerana terdapat kitab dan gereja mereka diletakkan kalimah Allah serta ketiga ialah seperti mana kalimah Allah yang digunakan di dalam kitab dan di gereja di Indonesia, ianya pasti akan berlaku di Malaysia.

Meniti situasi dakwah dan psikolgi umat Islam di Malaysia, hukum asal memang boleh berubah, kerana asalnya ialah harus tetapi untuk mengubah itu perlu kepada sebab yang benar-benar terbukti menyebabkan hukum asal itu berubah kerana ini hukum Allah SWT yang tidak boleh dipermainkan.

Nicholas yang memeluk Islam pada 13 Januari 1985 juga berpendapat, bahawa mereka yang berarak dijalanan disebabkan penggunaan nama Allah oleh orang Kristian perlu dikaji semula kerana umat Islam perlu melaksanakan pendirian yang lebih sesuai bila berhadapan dengan orang Kristian.

Berdasarkan melalui beberapa pemerhatian, dari segi fakta asasnya ialah umat Islam pada masa ini sangat lemah dakwahnya berbanding dakyah orang Kristian kerana melihat sejarah dari kemerdekaan Malaysia sehingga masa kini, kejayaan mubaligh Kristian ke atas orang Asli, Cina dan India serta melihat kegagalan umat Islam menyebarkan dakwah kepada masyarakat orang Cina dan India.

Menurutnya, berdasarkan statistik dahulu, umat Islam di Malaysia mengatasi jumlah lebih jauh daripada penganut Kristian di kalangan orang Cina dan India berbanding masa kini iaitu hanya kurang daripada satu peratus Cina dan kurang satu peratus India adalah beragama Islam berbanding jumlah lebih daripada 10 peratus bangsa Cina dan India yang beragama Kristian.

“Tidak ada bukti mereka yang menukar agama kepada Kristian disebabkan melihat nama Allah di dalam Bible kerana saya boleh buktikan berbondong-bondong orang yang memeluk Islam disebabkan kalimah Allah di dalam Bible,” tegas Nicholas yang pernah dipilih oleh pihak gereja pada suatu ketika dahulu sebagai ‘Soldier of Jesus Christ’.

Tidak ada bukti yang jika dizinkan berlaku penyebaran berkesan kepada umat Islam, tetapi mereka akan tetap menyebarkan dengan strategi kontekstualisasi supaya umat Islam akan mudah menukar agama mereka.

Di Kalimantan, Indonesia saya berjumpa dengan orang yang mengislamkan 900 Saudara Muslim yang dahulunya tidak beragama dan suku kaum Dayak. Mereka memeluk agama Islam kerana kekeliruan mereka sendiri apabila kalimah Allah terdapat di dalam al-Kitab.

Sebanyak 50 orang memeluk Islam di Ranau, Sabah kerana mereka keliru kalimah Allah terdapat di dalam Bible.

Saya belum pernah melihat orang murtad kerana kalimah Allah di dalam Bible tetapi yang saya temui beberapa kes murtad di sebahagian negeri disebabkan kelemahan dan kejahilan terhadap agama Islam dan ketidak prihatinan umat Islam kepada mereka serta aspek percintaan.

Kalau kita mengatakan di Indonesia, mengapa ramai yang menukar agama kepada Kristian sejak kebelakangan ini? Apabila bertemu dan ditanya kepada pemilik atau kepimpinan 283 pesantren di seluruh Indonesia, kenapakah berlakunya gejala murtad di sini? Apakah sebab mereka bertambah yakin dengan agama Kristian atau kontekstualisasi berjaya atau apakah terdapatnya kalimah Allah di dalam al-Kitab? Lantas mereka menjawab, mereka semuanya murtad disebabkan kelaparan dan kemiskinan.

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah Yang bersamaan antara Kami Dengan kamu, Iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian Yang lain untuk dijadikan orang-orang Yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah”. kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka Katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu Bahawa Sesungguhnya Kami adalah orang-orang Islam“. (ali-Imran: 64)

“Pertahanan yang terbaik ialah serangan yang baik,” kata Nicholas yang bercadang supaya umat Islam menukar cara minda berfikir bagi mengutamakan usaha berdakwah kepada orang Kristian.

Jelasnya, umat Islam perlu bersatu atas kebenaran dengan mengadakan dialog antara Muslim untuk memutuskan maslahah yang sebenarnya masa depan Islam di Malaysia ini.

Mungkin jika kita bagi kebenaran penggunaan kalimah Allah, ianya memudahkan kerja dakwah dan lebih ramai umat mereka memeluk agama Islam.

“Jika mereka menggunakan itu sebagai satu strategi mereka, ia memudahkan kita untuk menjelaskan dengan bertanyakan semula kepada mereka: Adakah Allah itu Esa atau tiga dalam satu? Adakah Jesus Kristus itu juga Allah? Kalau Allah itu Esa, bagaimanakah dengan Tuhan bapa? Siapa pula Tuhan Ruhul Kudus? Ternyata mereka akan keliru,” jelas Nicholas.

tan-sri-dr-mohd-yusof-noorsSetiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor dalam ucapan perasmiannya berkata, isu-isu yang berlaku pada hari ini tidak pernah terjadi pada zaman dahulu di Malaysia seperti orang menyerang Islam, menghina Nabi Muhammad SAW menerusi kartun dan menggunakan kalimah yang biasanya dimiliki oleh orang-orang Islam.

Terdapat bukti-bukti bahawa yang ditakuti dan digeruni oleh orang lain ialah perkembangan Islam kerana perkembangan Islam bukanlah dengan menggunakan peluru atau senjata.

“Walaupun mereka menuduh Islam berkembang dengan ugutan, senjata dan lain-lain tetapi itu merupakan rekaan yang dibuat oleh orang yang bimbang akan perkembangan Islam,” ujarnya.

“Saya tidak terfikir selepas Islam masuk ke Malaysia ini, Raja-raja Melayu yang menjaga hal ehwal Islam dengan menggunakan pedang dengan memaksa rakyat jika tidak masuk Islam, kamu akan dibunuh!” kata Dr. Mohd. Yusof.

“Saya tidak terfikir bahawa orang Islam memaksa orang bukan Islam memeluk Islam kerana itu bukan tabiat atau tradisi kita,” katanya yang juga Pengerusi TV AlHijrah.

Amalan dan asuhan yang diberikan kepada kita sebagai seorang Muslim bukanlah untuk mengganggu gugat orang bukan Islam.

Terdapat pemimpin-pemimpin besar di negara yang besar sudah secara sulit akur kepada Islam, tetapi beliau masih tidak mengaku Islam kerana menjaga keharmonian negaranya. Apabila ianya diheboh-hebohkan, mungkin boleh berlaku peperangan antara kaum.

Kepuasan kita sebenarnya ialah mendapat nikmat daripada Allah dan kita telah mendapat hidayah-Nya.

Jelasnya, menurut beberapa sumber, pada tahun 1200 hijrah atau kurun ketujuh yang lalu, Islam telah berkembang ke negara China.

Kalau tidak ada keimanan kepada Allah SWT, sanggupkah para pedagang bergerak dari negara mereka untuk berdakwah ke negara lain hanya kerana ingin menyampaikan risalah dengan secara tidak ada paksaan.

Jesteru, hari ini kita ingin menyambut hari lahir baginda Nabi Muhammad SAW. Baginda berjalan dari Mekah sampai ke negeri Syam dan diambil bekerja oleh Siti Khadijah dengan meniagakan barang-barangnya hingga beliau telah jatuh hati kepada baginda hinggalah mereka berkongsi hidup.

“Tidak ada bukti orang-orang Islam di zaman kesultanan Melayu Melaka memeluk Islam kerana terpaksa,” ujar Dr. Mohd. Yusof.

Islam di Malaysia masuk menerusi negeri Kedah, Melaka dan pada kurun ke 12 di negeri Terengganu mereka mendapat bukti tembikar dari negera China yang tertulis ayat suci al-Quran.

“Tekanan pada Islam lebih hebat dan kuat kerana mereka bimbang Islam akan terus berkembang dengan luas,” ujarnya.

“Walau apa pun istilah yang mereka guna pakai, kalau hendak ambil, ambilah semua dan jangan ambil separuh-separuh. Kalau ambil kalimah Allah, ambil ke semuanya iaitu pesuruh Allah itu adalah Nabi Isa dan Nabi Muhammad,” tegasnya.

“Memang banyak perkara kita sedang buat seperti Forum Perbandingan Agama atau Dialog Harmoni terbitan TV AlHijrah, ianya bukan untuk menyusahkan orang tetapi cuba menjelaskan hakikat Islam yang sebenar,” kata Dr. Mohd. Yusof.

Majlis seperti maulud, tahlil, talqin harus dikekalkan kerana ianya adat dan tradisi budaya masyarakat di sini. Adat seperti maulid ini telah dicampur nilai-nilai Islam dan ianya tidak dijadikan sebagai ibadah fardu serta ianya adat yang mengukuhkan ikatan ukhwah, silaturahim dan kemesraan antara kita.

Majlis berakhir dengan bacaan selawat kepada junjungan Nabi Muhammad SAW, penyampaian hadiah nombor cabutan bertuah kepada peserta, solat Zohor berjemaah dan jamuan makan tengahari.

Turut hadir ialah Naib Yang Dipertua Perkim 3; Dato’ Mustapha Ma, Pengarah Dakwah dan Inovasi Perkim; Datuk Zainal Abidin Ab Kadir, Timbalan Pengarah Dakwah dan Inovasi Perkim; Hj. Abdul Hanif Harun dan Penyelaras Hal Ehwal Minoriti Islam Perkim; Hj. Ibrahim Md. Amin dan Penyelaras Komunikasi dan Media Baru Perkim; Ahmad Mustafa.

1
Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah selaku Pengacara Majlis.

2
Bacaan doa oleh Pegawai Hal Ehwal Minoriti Perkim, Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah.

3
Peserta menadah tangan ketika doa dibacakan.

 

4
Muhammad Zaid (kiri) selaku pengerusi forum membuka bicara di dalam forum perdana bertajuk ‘Allah Milik Siapa?’

 

5
Perserta di kalangan Saudara Muslim tekun mendengar pengisian disampaikan oleh panel.

 

8
Nicholas Sylvester (kanan) memberikan pendapatnya di dalam forum tersebut.

 

6
Antara peserta yang hadir di forum bertajuk ‘Allah Milik Siapa?’ diadakan di Surau Bangunan Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

10
Shah Kirit (tengah) mengemukan pendapatnya di forum tersebut.

 

9
Antara peserta yang memeriahkan forum perdana.

7
Tidak ketinggalan Saudara Muslim di kalangan Orang Asli dari Asrama Darul Falah Perkim (ASDAF).

10-a
Dr Mohd. Yusof menyampaikan ucapan perasmiannya di forum tersebut.

11
Muhammad Zaid (kiri) menyampaikan hadiah cabutan nombor bertuah kepada peserta.

12
Shah Kirit turut menyampaikan hadiah cabutan nombor bertuah kepada pemenang.

13
Nicholas (kiri) turut menyampaikan hadiah cabutan nombor bertuah kepada Saudara Muslimah.

14
Penyelaras Unit Hal Ehwal Minoriti Perkim, Hj Ibrahim Md Amin menyampaikan hadiah cabutan nombor bertuah kepada peserta Saudara Muslim.

15
Saudara Muslim menerima hadiah cabutan nombor bertuah daripada Penyelaras Komunikasi dan Media Baru Perkim, Ahmad Mustafa (kiri).

16
Saudara Muslim menerima hadiah cabutan nombor bertuah daripada Timbalan Pengarah Dakwah dan Inovasi Perkim, Hj Abdul Hanif Harun (kiri).

17
Datuk Zainal Abidin Ab Kadir (kiri) selaku Pengarah Dakwah dan Inovasi Perkim menyampaikan hadiah nombor cabutan bertuah kepada peserta.

18
Saudara Muslim menerima hamper sebagai hadiah cabutan nombor bertuah yang disampaikan oleh Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor (tengah).

19
Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor (kiri) menyampaikan hadiah al-Quran digital kepada pemenang nombor cabutan bertuah.

19-a
Datuk Mustapha Ma (kiri) berpeluang menyampaikan hadiah cabutan nombor bertuah kepada peserta.

20
Peserta bersama-sama berselawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

LAGI GAMBAR FORUM PERDANA : ALLAH MILIK SIAPA? >>>

Related Articles

Back to top button