Aktiviti Dakwah

Dr Mahathir Lancar Buku Warisan dan Wawasan 60 Tahun PERKIM

PUTRAJAYA – 17 MAC 2021. “Saya telah diberi satu naskah draf buku ini tatkala Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan pada Disember 2020 dan melihat sepintas lalu buku setebal 375 muka surat ini,” kata Yang Dipertua PERKIM, YBhg Tun Dr Mahathir Mohamad.


“Saya dimaklumkan ianya mengambil masa bertahun-tahun untuk mengumpul sebegitu banyak dokumen, gambar dan keratan akhbar dan seterusnya menyusun, menyunting dan membuat rekabentuk,” kata beliau ketika menyampaikan ucapan di Majlis Pelancaran Buku Warisan dan Wawasan PERKIM Sempena Jubli Intan 60 Tahun di Yayasan Kepimpinan Perdana, Presint 8.

Turut hadir ialah kepimpinan tertinggi PERKIM, Setiausaha Agung Kehormat, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor; Bendahari Kehormat, YBhg Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim; Penolong Setiausaha Agung Kehormat, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa; Setiausaha Kerja Program dan Pentadbiran, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik; Ketua Sekretariat Mesyuarat-Mesyuarat, YBhg Tuan Haji Mohd Zuber Zain.

Pelancaran secara siaran langsung tersebut turut disaksikan oleh seluruh jawatankuasa PERKIM Bahagian Negeri-negeri dan cawangan melalui platform facebook dan Google Meet.

Menurut Tun Dr Mahathir lagi, kita sebagai warga PERKIM hari ini boleh berbangga mempunyai sebuah buku rasmi yang diberi judul “Warisan dan Wawasan PERKIM” sebagai satu kenang-kenangan Jubli Intan 60 Tahun PERKIM.

Beliau percaya buku itu bukan sahaja menjadi rakaman sejarah PERKIM malah boleh dijadikan rujukan penting dalam mengkaji penglibatan orang Melayu dan orang Islam bukan Melayu (mualaf) dalam kegiatan kebajikan dan dakwah di negara.

Beliau juga berharap PERKIM akan mengadakan sebuah arkib bagi tujuan menyimpan semua dokumen, gambar dan keratan akhbar serta buku-buku rujukan tersebut, jika tidak dipelihara warisan sejarah yang sebegitu penting, ia boleh hilang selama-lamanya.

“Pada 19 Ogos 2020 lalu, PERKIM Kebangsaan telah menyambut perayaan Jubli Intan bagi menyambut ulangtahunnya ke-60 tahun walaupun diraikan tanpa sebarang perayaan berikutan wabak COVID-19,” katanya.

Jelas Tun Dr Mahathir, PERKIM bermula dengan 16 orang pelopor dari pelbagai bangsa yang telah hadir untuk mengadakan mesyuarat pertama di Residensi, Kediaman Rasmi Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra pada petang Jumaat 19 Ogos 1960.

Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra selaku pemimpin utama negara ketika itu berpandangan jauh apabila mengambil langkah dengan menubuhkan PERKIM, sebuah pertubuhan sosial yang mengutamakan kebajikan golongan yang memerlukan tanpa mengira bangsa, agama dan kedudukan dalam.

Penglibatan Almarhum Tunku dalam penubuhan PERKIM membuka ruang yang luas dalam kerja-kerja kebajikan dan sukarela di negara kita, membuka suasana, ruang dan peluang untuk rakyat tempatan khasnya orang Melayu terlibat dalam kerja-kerja sosial melalui persatuan kebajikan.

Sebelum Merdeka, kerja-kerja sosial dan kebajikan lazimnya dilakukan oleh pihak Inggeris yang beragama Kristian melalui persatuan-persatuan sukarela dan “missionary”.

Saya dimaklumkan sebelum PERKIM ditubuhkan, terdapat hanya sebuah persatuan kebajikan Islam iaitu Persatuan Jamaiyah (Muslim Missionary Society) yang ditubuhkan di Singapura pada 1932 dan mempunyai cawangan di Kuala Lumpur.

Kata Dr Mahathir lagi, selaku Penaung PERKIM yang lalu, Almarhum Tunku telah mempersembahkan kepada Persidangan Majlis Raja-Raja 1962 tentang penubuhan PERKIM dan hasrat PERKIM untuk berkembang ke seluruh negara dengan menubuhkan bahagian dan cawangan di negeri-negeri.

Raja-Raja Melayu telah memberi perkenan permohonan PERKIM dan telah mengumpul kutipan zakat sebanyak RM30,000 bagi membantu kewangan PERKIM. Sokongan Raja-Raja Melayu kepada PERKIM adalah satu peristiwa penting kerana mereka merupakan Ketua Agama Islam di semua negeri-negeri Melayu dan menjadi Penaung kepada semua Majlis-Majlis Agama.

Tambahnya, dari Kuala Lumpur, PERKIM berkembang ke seluruh negara menubuhkan Bahagian di negeri- negeri malah aktivis PERKIM di Bahagian-Bahagian telah menggerakkan PERKIM dengan kegiatan-kegiatan kebajikan dan dakwah sehingga menarik minat ramai orang awam yang ingin turut serta dalam kegiatan PERKIM dan selepas itu cawangan-cawangan ditubuhkan di peringkat daerah, sehingga kini keahlian PERKIM meningkat lebih 37,000 ahli.

Ujar Dr Mahathir lagi, golongan awal PERKIM dengan usaha tekun dan gigih menabur bakti secara sukarela, melakukan pelbagai usaha; mengadakan mesyuarat, menambah ahli, mencari dana, merancang dan melaksana aktiviti, sehingga PERKIM dapat bertapak dalam masyarakat.

Ramai pula di antara mereka, telah kembali ke Rahmatullah dan semoga segala jasa murni dan khidmat bakti mereka diterima oleh Allah SWT sebagai amal makruf yang dikurniakan ganjaran dunia dan akhirat.

Sewajarnya, jasa bakti para pelopor dan aktivis PERKIM yang berada di sebalik kejayaan PERKIM akan kita kenang dan hargai serta amalan yang mereka kerjakan mendapat ganjaran daripada Allah SWT.

Ucap Dr Mahathir lagi, perjalanan panjang selama 60 tahun ini pastinya sarat dengan pelbagai peristiwa, cabaran dan ujian, merangkumi kisah-kisah kejayaan, pencapaian dan juga ketidaktercapaian. Penerbitan sebuah buku kenang-kenangan mengenai susur galur perjalanan PERKIM ini pasti akan menjadi rakaman sejarah yang sangat bernilai kepada negara Malaysia.

PERKIM bukan sahaja terlibat dalam kerja-kerja kebajikan dalam negara malah telah membantu ribuan pelarian perang dari negara Kemboja dan juga beratus keluarga Muslim Bosnia.

Almarhum Tunku pada 1980 telah menubuhkan sebuah sekretariat yang disebut Regional Islamic Secretariat For Asia Pacific (RISEAP) bagi tujuan membantu Muslim Minorities di kawasan Asia Pasifik iaitu satu badan penting yang menjalan kerja-kerja kebajikan dan dakwah di rantau Asia.

Jelas beliau, PERKIM berpegang pada Al-Quran dan al-Hadis dalam berkebajikan dan berdakwah kerana kitab suci Al-Quran telah menunjuk kepada kita semua bagaimana jalan dakwah yang betul yang mana telah dilakukan oleh Nabi-nabi Allah yang sepatutnya menjadi ikutan contoh kepada para pendakwah:

Sikap tolong menolong dan saling bantu membantu dalam membuat kerja amal dan kebajikan yang dianjurkan oleh Islam supaya timbul perasaan kasih sayang antara pihak yang membantu dan pihak yang menerima bantuan kerana inilah pekerjaan amal makruf, menyeru kepada kebaikan.

Katanya, di dalam buku tersebut terkandung banyak rakaman kerja-kerja dakwah dan kebajikan yang telah dilakukan oleh PERKIM yang boleh dijadikan contoh teladan kepada orang awam yang berminat dalam kerja-kerja sukarela.

Selain itu, beliau berharap buku ini akan dapat mendorong golongan muda untuk menyertai Majlis Belia PERKIM yang akan memberi peluang kepada mereka untuk menjadi golongan pelapis PERKIM.

Ulas Dr Mahathir, sejak penubuhannya pada 1960 hingga sekarang, PERKIM sebagai sebuah organisasi Islam yang bergerak cergas dalam bidang kebajikan dan dakwah yang bukan sahaja memberi manfaat kepada orang Islam malahan orang bukan Islam juga mendapat faedah kerana kerja PERKIM tidak mengenal kaum dan agama.

PERKIM sentiasa mengguna pendekatan sederhana dan terbuka di mana kaedah ini pada hemat saya amat sesuai dengan masyarakat Malaysia yang majmuk.

Selama hampir 60 tahun bergerak di lapangan, PERKIM telah berjaya menjadi satu wadah sosial yang wibawa, yang diterima rakyat semua bangsa untuk memupuk permuafakatan sesama Islam dan membina perpaduan di antara pelbagai kaum di negara kita.

Peranan yang dimainkan oleh PERKIM ini amat penting selaras dengan dasar kerajaan yang berusaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam contoh walaupun rakyatnya majmuk terdiri daripada pelbagai bangsa, budaya dan kepercayaan.

PERKIM perlu sentiasa menjadi jambatan yang menghubungi dan menyantuni aspirasi semua rakyat yang impikan kepada kehidupan yang harmoni dan aman damai.

“PERKIM selama 60 tahun ini telah memberi tumpuan khusus kepada tiga tugas utama iaitu kebajikan, dakwah dan pelajaran,” jelas bekas Perdana Menteri.

PERKIM menjadikan kebajikan sebagai wahana penyebaran Islam kerana Tunku mengarah PERKIM melakukan dakwah bil hal melalui projek-projek kebajikan yang memberi manfaat kepada semua kaum, melihatkan sosok mulia Islam agama yang prihatin kepada golongan yang susah dan memerlukan.

Di akhir ucapannya, Tun Dr Mahathir melafazkan kalimah Basmallah seterusnya melancarkan Buku Warisan dan Wawasan PERKIM sempena Sambutan Perayaan Jubli Intan 60 Tahun PERKIM sambil melakukan gimik pelancaran dengan memegang peranti pintar sekali gus video pelancaran berdurasi kurang lima minit dipertontonkan.  – MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI


Dr Mahathir menuju ke lokasi Majlis Pelancaran Buku Warisan dan Wawasan PERKIM sempena Sambutan Perayaan Jubli Intan 60 Tahun PERKIM di Yayasan Kepimpinan Perdana.


Muhammad Farhan Tee selaku kakitangan PERKIM mengemudikan majlis pelancaran di Putrajaya.


Abdul Qawi Navine Abdullah memimpin majlis bacaan doa.


Yang Dipertua PERKIM, YBhg Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan di Majlis Pelancaran Buku Warisan dan Wawasan PERKIM sempena Sambutan Perayaan Jubli Intan 60 Tahun PERKIM.


“PERKIM selama 60 tahun ini telah memberi tumpuan khusus kepada tiga tugas utama iaitu kebajikan, dakwah dan pelajaran,” jelas bekas Perdana Menteri.


Dr Mahathir melakukan gimik perasmian dengan menyentuh peranti pintar di majlis perasmian tersebut.


Dr Mahathir menonton video berdurasi kurang daripada lima minit Pelancaran Buku Warisan dan Wawasan PERKIM sempena Sambutan Perayaan Jubli Intan 60 Tahun PERKIM.


Buku Warisan dan Wawasan PERKIM sempena Sambutan Perayaan Jubli Intan 60 Tahun PERKIM.


Dr Mahathir menonton video pelancaran yang meliputi usaha dan tugasannya bersama PERKIM selaku Yang Dipertua.


Antara kandungan Buku Warisan dan Wawasan 60 tahun PERKIM.


YABhg Tun Yang Dipertua merakamkan gambar kenangan bersama kepimpinan tertinggi dan kakitangan PERKIM Kebangsaan di akhir majlis.

Related Articles

Back to top button