Dakwah Teras Utama PERKIM Bahagian Negeri Selangor
Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
“Dakwah merupakan teras utama di dalam agama Islam dengan mengajak umat manusia ke jalan Allah SWT kerana ia merupakan antara tugasan yang paling mulia seperti mana yang dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW,” kata Muhammad Fitri Abdullah.
Katanya, oleh kerana amanah dakwah ini adalah amalan yang ditaklifkan, mulia dan mendapat ganjaran yang besar, ia memerlukan persiapan yang rapi dari sudut keilmuan yang menyeluruh, keimanan yang mendalam, kepimpinan yang adil dan amanah, pendekatan yang penuh hikmah, mengenali sasaran dakwah dan sebagainya.
Beliau berkata ketika menyampaikan ucapan aluannya sempena Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Negeri Selangor (PBNS) Kali Ke-30 bertempat di Kompleks PERKIM Selangor, Seksyen 8, Shah Alam, Selangor pada 30 Mac 2019 lalu.
Fitri yang juga merupakan Pengerusi PBNS menasihatkan lebih 200 perwakilan dan pemerhati supaya menjadi mukmin yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran sebagaimana yang ditegaskan di dalam al-Quran.
Turut hadir ialah pimpinan PBNS, Naib Pengerusi 1, Dato’ Mansur Ramli; Naib Pengerusi 2, Hushim Salleh; Setiausaha, Harun Hassan; Bendahari, Tengku Ahmad Tengku Kasim; Pengerusi Tetap; Husain Anjang Pulau dan Timbalan Pengerusi Tetap, Bahari Tajuddin.
“PBNS perlu meneruskan kerja-kerja dakwah selari dengan kehendak dan tuntutan semasa.” kata Fitri yang juga Pengerusi PERKIM Cawangan Serendah.
Jelasnya, PBNS telah melaksanakan pelbagai program menjurus ke arah memartabatkan agama Islam di mata masyarakat sekali gus memperkasakan dakwah di negeri Selangor.
Ia bersandarkan firman Allah SWT dalam Surah Fussilat, ayat 33 bermaksud: “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal soleh dan berkata: Sesungguhn ya aku termasuk orang yang menyerah diri.”
“Usaha seperti ini memberi gambaran bahawa Islam adalah agama yang baik dan sesuai dengan fitrah manusia serta dapat menghakis salah tanggapan orang bukan Islam terhadap agama Islam.
“Di samping itu, usaha ke arah memelihara akidah dan kebajikan saudara baharu juga terus diperkukuhkan dengan pelbagai proram dan aktiviti di setiap peringkat bahagian dan cawangan.
“Dalam menjaga kebajikan mualaf, PBNS dengan bantuan Lembaga Zakat Selangor (LSZ) dan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) telah menyediakan bantuan khusus untuk membantu serta meringankan bebanan yang ditanggung oleh mereka.
Sebelum itu diadakan doa dan tazkirah ringkas disampaikan oleh Tokoh Agama PBNS, Roslan Mohamed.
Turut diadakan persembahan nasyid dari Ikhwanul PERKIM Selayang yang membawa dua buah lagu iaitu ‘PERKIM Perkasa’ dan ‘Doa Iman’.
Majlis diserikan lagi dengan ucapan perasmian oleh Penolong Setiausaha Agung PERKIM Kebangsaan, Datuk Hasbullah L. Isa.
Hasbullah dalam ucapannya mengucapkan tahniah dan syabas kepada PBNS yang berjaya mengadakan mesyuarat terbabit berlandaskan perlembagaan PERKIM.
Beliau memaklumkan bahawa PERKIM Kebangsaan turut mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-59 pada 10 hingga 11 Oktober 2019 di Johor Bahru kelak.
“PERKIM akan menyambut Jubli Intan pada tahun 2020 dengan mengadakan sambutan ulang tahun ke-60 secara besar-besaran yang disusun dengan pelbagai program dan aktiviti serta ianya mendapat persetujuan awal daripada Yang DiPertua PERKIM, Tun Dr. Mahahtir Mohamad yang juga Perdana Menteri Malaysia.
Kata Hasbullah, sebanyak 27 cawangan PBNS yang aktif menganjurkan pelbagai program kepada mualaf dan umat Islam seperti mana yang telah dimuatnaik di akaun media sosial.
Ulasnya, kerja dakwah ini merupakan kerja para Nabi dan Rasul yang menjadi satu tuntutan dan tanggungjawab kepada kita semua walau di mana kita berada sekali pun.
Beliau menggesa kepada ahli-ahli PBNS supaya bersama-sama bangkit dan menyampaikan risalah agama Allah SWT seperti mana firman-Nya dalam Surah Luqman, ayat 17 bermaksud: “Dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu.”
“Kita ada lebih daripada 20 Kelab PERKIM Universiti (KPU) sama ada di institut pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta yang berdaftar dan sedang digerakkan menjadi pendakwah bukan di universiti sahaja bahkan menjadi pelapis di bahagian dan cawangan PERKIM setelah mereka tamat pengajian.
“Kita berharap mereka terus dan tetap bersama PERKIM walaupun sibuk dengan kerjaya kerana mereka inilah yang akan menghiasi, mewarnai dan mencorakkan PERKIM kita nanti dengan dorongan kepimpinan PERKIM.
Ujarnya, PERKM juga akan mengadakan program Wacana Rakan Seagama (WARAS) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dengan menghimpunkan pelbagai kaum serta agama untuk mengenali dan memahami Islam dengan lebih dekat.
“PERKIM turut melahirkan rasa simpati di atas kejadian serangan yang mengorbankan 50 umat Islam di dua buah masjid di Christchurch New Zealand baru-baru ini rupanya ada hikmah disebalik musibah tersebut.
“Ia membuka mata seluruh dunia apabila masyarakat bukan Islam mengawal dan menyaksikan sendiri umat Islam melaksanakan solat Jumaat pada minggu-minggu seterusnya, sidang parlimen negara itu di buka dengan bacaan ayat suci al-Quran dan doa oleh imam masjid serta Perdana Menterinya, Jacinda Ardern mengucapkan Assalamualaikum pada pembukaan ucapannya selain memakai tudung bagi menghormati rakyatnya yang beragama Islam.
Hasbullah turut menyampaikan salam hormat daripada Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor dan Bendahari Kehormat PERKIM, Tan Sri Datuk Dr. Muhammad Rais Abdul Karim kepada seluruh para perwakilan dan pemerhati PBNS.
Majlis diserikan lagi dengan penyampaian Anugerah Tokoh Saudara Baru PBNS 2019, Anugerah Jasamu Dikenang PBNS 2019 dan Anugerah Khas PERKIM Cawangan 2019.
Hasbullah menyampaikan sebuah plak, wang tunai, sijil penghargaan serta Pen al-Quran Digital MyQalam kepada Abdul Ghani Krishana Moorthy dan Mohd. Sufian Abdullah selaku penerima Anugerah Tokoh Saudara Baru PBNS 2019.
Abdul Ghani merupakan Naib Pengerusi PERKIM Cawangan Serendah yang aktif menjalankan program dan aktiviti dakwah seperti Program Dakwah Masyarakat Majmuk Serendah, Program Mualaf di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Program Pengurusan Jenazah Mulalaf, menguruskan hal ehwal mualaf di Selangor dan pembabitan beliau bersama Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Meskipun beliau sibuk dengan kerja dakwah dan tanggungjawab kepada keluarganya namun Abdul Ghani atau nama asalnya Ganesh a/l Krishna Moorthy masih berkesempatan menamatkan pengajian Diploma Usuluddin di peringkat semester akhir di Kolej Dar al-Hikmah, Kajang.
Abdul Ghani bekerja sebagai Penasihat Akidah di Jabatan Mufti Negeri Selangor telah memeluk Islam pada 5 Ogos 2013 lalu. Kini beliau telah dikurniakan seorang cahaya mata hasil perkahwinan bersama isterinya, Nur Aneesa Fahmeeda Abdullah.
Mohd. Sufian atau nama asalnya Iruthiq Dass a/l Joseph merupakan pendakwah yang aktif dalam PERKIM Cawangan Klang dalam menguruskan hal ehwal pengislaman di MAIS, terbabit dalam Program Pengurusan Jenazah Mualaf, Ziarah Kasih Mualaf, Ziarah Pesakit Hospital.
Beliau memeluk Islam pada tahun 1978 itu pernah dinobatkan Tokoh Maulidur Rasul 2008 anjuran Majlis Perbandaran Klang (MPK) sekali gus memperoleh Pingat Perkhidmatan Selangor (PPS).
Hasbullah turut menyampaikan sijil penghargaan dan plak khas kepada 13 penerima Anugerah Jasamu Dikenang bagi memperingati jasa dan bakti mereka kepada PBNS.
Penerima anugerah ialah Bekas Pengerusi PBNS, Dato’ Mohd. Yasin Taib; Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, Datuk Mohd. Mokhtar Shafie serta ahli jawatankuasa, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ariffin Suhaimi, Dato’ Tunku Mukminah Tunku Mohd. Jiwa, Dato’ Abdul Majid Omar,Ramlan Hussin, Hussain Anjang Pulau, Che Omar Ahmad, Datin Latifah Ahmad Jailani, Datuk Rahani Jamil, Khamshiah Othman, Abdul Majid Kadir dan Harun Hassan.
Hasbullah turut menyampaikan Anugerah Khas PERKIM Cawangan 2019 kepada PERKIM Cawangan Selayang Baru yang diwakili oleh setiausahanya, Subki Abdul Hamid. Pengiktirafan tersebut menghargai komitmen dan iltizam berterusan pertubuhan tersebut dalam usaha pendidikan iaitu mewujudkan Kelas Agama Fardu Ain (KAFA) bagi saudara baharu sejak 25 tahun lalu.
Persidangan Mesyuarat Agung PBNS 2019 diadakan dengan ucapan Pengerusi Tetap, ucapan Pengerusi PBNS, pengesahan minit mesyuarat agung yang lalu, penerimaan laporan tahunan 2018, meluluskan akaun bagi tahun berakhir 31 Disember 2018, meluluskan anggaran belanjawan 2020, memilih ahli-ahli audit tahun berikut, melantik pewakilan ke Mesyuarat Agung Kebangsaan 2019, pencalonan Ahli Majlis Kebangsaan 2019 – 2022, membincangkan usul-usul dan ucapan penangguhan.
Majlis berakhir dengan jamuan makan tengah hari dan sesi fotografi bersama perwakilan dan pemerhati PBNS.
Sesi pendaftaran perwakilan dan pemerhati PBNS.
Muhammad Farhan Tee mempengerusikan majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PBNS kali ke-30.
Para perwakilan yang menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan PBNS kali ke-30 diadakan di Kompleks PERKIM Selangor, Shah Alam.
Tokoh Agama PBNS menyampaikan tazkirah ringkas dan doa kepada seluruh perwakilan dan pemerhati.
Muhammad Fitri menyampaikan ucapan aluan di majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PBNS.
Datuk Hasbullah menggesa seluruh perwakilan dan pemerhati supaya terus menyampaikan risalah agama Allah SWT ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBNS.
Hasbullah (dua dari kanan) menyampaikan Anugerah Jasamu Dikenang 2019 kepada bekas Pengerusi PBNS, Dato’ Mohd. Yasin Taib.
Dato’ Mohd. Mokhtar Shafie (kiri) menerima Anugerah Jasamu Dikenang daripada Hasbullah (kanan).
Tunku Mukminah Tunku Mohd. Jiwa turut menerima Anugerah Jasamu Dikenang daripada Hasbullah (kiri).
Hasbullah (tengah) menyampaikan Anugerah Jasamu Dikenang kepada bekas Naib Yang DiPertua PERKIM merangkap ahli jawatankuasa PBNS, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ariffin Suhaimi.
13 penerima Anugerah Jasamu Dikenang bergambar bersama pimpinan PBNS.
Abdul Ghani (tiga dari kiri) selaku penerima Anugerah Tokoh Saudara Baharu PBNS 2019 menerima sebuah trofi, plak penghargaan dan replika cek daripada Hasbullah (dua dari kanan).
Mohd. Sufian (kiri) menerima Anugerah Calon Tokoh Saudara Baharu PBNS 2019 daripada Hasbullah (tengah).
Setiausaha PERKIM Cawangan Selayang Baru, Subki Abdul Hamid (kiri) menerima Anugerah Khas PERKIM Cawangan daripada Hasbullah (kanan).
Fitri (kanan) menyampaikan cenderahati kenang-kenangan kepada Hasbullah (kiri).
Fitri mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan PBNS Kali Ke-30.
Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Bahagian Negeri Selangor Kali Ke-30 bersidang.
Kumpulan Ikhwanul PERKIM Selayang menyampaikan dua buah lagu bertajuk ‘PERKIM Perkasa’ dan ‘Doa Iman’.