PERKIM Wilayah Atur Strategi Dakwah Berkesan

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
“Usaha dan kerja di dalam arena dakwah ini adalah suatu kurniaan Allah SWT yang sangat bermakna serta betapa manisnya berada di dalam perjuangan dakwah berbanding arena lain,” kata Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad.
Katanya, beliau tidak pernah jemu mengulangi ungkapan yang sama kerana ia adalah seruan Islam yang diperjuangkan dan diusahakan oleh Rasulullah SAW.
Nakhaie berkata ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Wilayah Persekutuan (PBWP) Kali Ke-42 bertempat di Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL), Balai Islam, Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur pada 31 Mac 2019 lalu.
Ulasnya yang juga Pengerusi PBWP, persidangan tersebut dihadiri seramai 104 orang terdiri daripada perwakilan, pemerhati dan ahli jawatankuasa PBWP dari seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Turut hadir ialah pimpinan PBWP, Pengerusi Tetap, Babul Abbas Abdul Aziz; Timbalan Pengerusi Tetap, Abdullah Usman; Naib Pengerusi 1, Dato’ A. Rashid Omar; Naib Pengerusi 2, Dato’ Abdul Hanif Harun; Bendahari Kehormat, Md. Shukor Aziz, Penolong Setiausaha Kehormat, Mohd. Jogi Maruli Panjaitan, Tokoh Agama, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz serta ahli jawatankuasanya Mohd. Mathurudi Rejab, Dziaruddin L. Abd. Rahman, Abdul Rani Mohamed Daud, Amran Anbarasu Abdullah, Md. Shaadun Md. Dali, Muhammad Haikal Chan Hook Hin dan Radziah Md. Salleh.
PERKIM Cawangan Kuala Lumpur Utara, Bangsar, Ekthisamiah Taman Melati, Desa Setapak, Bandaraya, Cheras Utama, Asdaf, Bukit Damansara, Sungai Besi, Alam Damai, Pergerakan Belia (GERAK), Sentul Timur, Wangsa Maju, Datuk Keramat, Batu Muda, Kepong Barat, Taman Sri Sinar Segambut, Labuan Ujana, Bandar Tun Razak, Alam Damai, Kampung Baru, Lembah Pantai, Putra dan Jalan Rahmat merupakan di antara 25 cawangan PBWP yang menyertai mesyuarat terbabit.
Nakhaie juga selaku Naib Yang DiPertua PERKIM mengajak ahli-ahli PBWP mengimbau kembali sirah Rasulullah SAW dalam memulakan dakwah setelah turunnya wahyu pertama dengan menyampaikan seruan Allah di kalangan ahli keluarga serta teman rapat baginda iaitu Siti Khadijah binti Khuwalid, Ali bin Abi Talib, Zaid bin Harithah dan Abu Bakar as-Siddiq.
Jelas Nakhaie lagi, satu cara yang mudah untuk menyampaikan kebenaran Islam ialah dengan menjalinkan hubungan baik dengan manusia seperti mana kebenaran yang disampaikan oleh Rasulullah SAW yang mempamerkan akhlak terpuji dan tutur kata yang mulia.
Dalam strategi dakwah Rasulullah SAW, kepelbagaian diurus secara bijaksana dan iltizam kepada kemanusiaan dan keadilan menjadi perkara penting sebagai tunggak kejayaan.
Tambah beliau, dengan strategi dakwah yang bijaksana, akhirnya kota Madinah serta Semenanjung Arab tidak lagi kekal sebagai masyarakat majmuk tetapi ia menjadi negara keseluruhan penduduknya terdiri daripada orang-orang Islam.
Menurut Nakhaie, peranan PBWP sebagai alat untuk menjadikan negara ini sebuah negara Muslim sepenuhnya mestilah diteruskan dengan melipat gandakan dakwah dan mendidik supaya berpegang teguh dengan tali Allah SWT yang merupakan paksi utama perpaduan sekali gus membentuk minda pekerja untuk membangunkan negara dalam acuan ketamadunan Islam.
Tiga tahun Rasulullah SAW menjalankan dakwah secara sembunyi dan tampil dengan tegas ke tengah masyarakat secara terang-terangan kemudiannya kerana baginda merancang dengan penuh teliti bagi memastikan bahawa dakwahnya tersebar ke seluruh alam.
Tambah Nakhaie, pendekatan dakwah perlu diubah supaya lebih teratur dan tersusun seperti ungkapan daripada Saidina Ali bin Abi Talib RA bermaksud : “Sesungguhnya kebenaran itu akan dapat dikalahkan oleh kebatilan sekiranya kebatilan itu dilaksanakan dengan teratur dan tersusun.”
Jelasnya, PBWP telah melancarkan perancangan lima tahun dalam usaha membina rangkaian dengan mewujudkan hubungan baik di antara organisasi Islam dan mempertingkatkan kerjasama di antara 25 cawangan supaya program-program dakwah serta kebajikan dapat dilaksanakan dengan lebih kerap dan berkesan.
“Tanggungjawab kita kepada mereka yang baru memeluk Islam ialah memberi pemantapan kefahaman Islam dan kita perlu memaparkan akhlak terpuji, hubungan yang baik serta sifat kemanusiaan kepada masyarakat belum Islam sehingga mereka tertarik kepada Islam,” ujarnya.
Kita perlu merancang dan mengatasi kekurangan yang ada serta tidak mengharapkan kepada orang lain sekali gus berjihad dengan harta dan diri sendiri seperti firman Allah SWT di dalam Surah At-Taubah, ayat 41 bermaksud: “Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), samada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab) dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”
Sebelum itu, Setiausaha Kehormat PBWP, Adam Daud dalam ucapan aluannya berkata gerak kerja dakwah harus dilaksanakan oleh cawangan-cawangan PBWP sama ada kecil atau sederhana atau kerjasama adalah semata-mata dengan niat kerana Allah SWT.
Adam turut menegaskan supaya tidak mencampur adukkan PBWP dengan politik kerana kesannya bukan ukhuwah diperkukuhkan tetapi kerenggangan diperolehi.
Tambahnya, peneraju utama cawangan-cawangan hendaklah bekerjasama dengan PBWP supaya kerja dapat dibuat secara cepat, tepat dan teratur mengikut jadual.
Persidangan mesyuarat turut membincangkan agenda dan usul-usul mengenai hal ehwal dakwah, kebajikan, pendidikan dan kewangan PBWP.
“Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya,” (As-Syura: 38)
Mesyuarat diserikan lagi dengan ucapan Pengerusi Tetap, pengesahan minit mesyuarat agung yang lalu, penerimaan laporan tahunan 2018, meluluskan akaun bagi tahun berakhir 31 Disember 2018, meluluskan anggaran belanjawan 2020, memilih ahli-ahli audit tahun berikut, melantik pewakilan ke Mesyuarat Agung Kebangsaan 2019, pencalonan Ahli Majlis Kebangsaan 2019 – 2022, membincangkan usul-usul dan ucapan penangguhan.
Nakhaie turut menyampaikan majalah Berita PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan kepada setiap cawangan.
Mohd. Jogi turut mengumumkan Keputusan Pemilihan Jawatankuasa PBWP sesi 2019 – 2021.
Keputusan Pemilihan Jawatankuasa PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan Bagi Sesi 2019 – 2021.
Pengerusi Tetap
Babul Abbas Abdul Aziz
Timbalan Pengerusi Tetap
Abdullah Usman
Pengerusi
Dato’ Mohd. Nakhaie Ahmad
Naib Pengerusi
Dato’ A. Rashid Omar
Dato’ Abdul Hanif Harun
Ahli Jawatankuasa
Adam Daud
Md. Shukor Aziz
Mohd. Mathurudi Rejab
Dziaruddin L Ab. Rahman
Amran Anbarasu Abdullah
Mohamad Suhaimi Abdul Aziz
Abdul Rani Mohamed Daud
Muhammad Haikal Chan Hook Hin
Md. Shaadun Md. Dali
Datuk Dr. Nor Hafizah Musa
Seluruh kepimpinan PBWP berdiri sambil menyanyikan lagu Negaraku.
Muhammad Farhan Tee Abdullah selaku Pengerusi Majlis sempena Mesyuarat Agung Tahunan PBWP Kali Ke-42.
Tokoh Agama PBWP, Mohamad Suhaimi membacakan doa pembuka majlis.
Ahli-ahli PBWP mengaminkan doa yang dibacakan.
Setiausaha Kehormat, Adam Daud menyampaikan ucapan aluan pada majlis perasmian mesyuarat.
Pengerusi PBWP merangkap Naib Yang DiPertua PERKIM, Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad menyampaikan ucaptama sekali gus merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBWP Kali Ke-42.
Mesyuarat Agung Tahunan PBWP Kali Ke-42 bersidang.
Babul Abbas (kiri) memainkan peranan sebagai Pengerusi Tetap manakala Abdullah Usman sebagai Timbalan Pengerusi Tetap.
Bendahari Kehormat, Md. Shukor Aziz (kanan) membentangkan Penyata Kewangan dan Laporan Juruaudit kepada ahli mesyuarat.
Penolong Setiausaha Kehormat merangkap Pegawai Dakwah PBWP, Mohd. Jogi mengumumkan keputusan Pemilihan Jawatankuasa PBWP sesi 2019 – 2021.
Amir Ng selaku Pengerusi PERKIM Cawangan Pergerakan Belia (GERAK) menyampaikan pandangan dan usul kepada ahli mesyuarat.
Nakhaie menyampaikan ucapan penangguhan
Danial Au (kanan) menerima majalah Berita PBWP selepas dilancarkan oleh Nakhaie (tengah).
Seluruh kepimpinan perwakilan dan pemerhati PBWP bersyukur dan bergembira kerana kejayaan pelaksanaan mesyuarat.